Completed
2840
PAGI syawal menjelma. Suara takbir berkumandang dari masjid berhampiran jelas kedengaran. Natalia sudah mengenakan baju kurung biru, berbunga putih kecil-kecil. Dia waktu itu sedang dibantu oleh adiknya Maria mengisi kuih muih di dalam balang.
Selepas itu dia memotong nasi impit dan memenuhi rendang ke dalam mangkuk. Semua juadah tersebut dia hidangkan di atas meja. Sekejap lagi, abah, serta adik beradik lelaki yang lain akan pulang dari masjid, dapatlah mereka sama-sama menyantapnya.
Natalia merenung telefon bimbitnya. Seingatnya, masuk hari raya tahun ini sudah tiga tahun Shahdan tidak pernah membalas pesanan ucapan ‘Selamat Hari Raya’ daripadanya. Malah, permohonan kemaafan pun tidak pernah diberi. Agaknya, tahun ni pun sama agaknya? Desisnya.
Ah! buat apa diingat-ingat lagi pasal dia? orang dah benci. Tapi, tangan Natalia tetap juga menaip ucapan selamat hari raya dan permohonan maaf, lalu dihantar kepada Shahdan. Selang beberapa minit, telefon bimbitnya berbunyi. Dengan perasaan berdebar-debar dia melihatnya. Rupanya daripada Syamel.
Selamat Hari Raya Aidilfitri. Saya nak memohon maaf atas segala silap dan salah saya pada awak. Terima kasih atas segala pertolongan awak. Kalau ada rezeki lebih, saya akan membalasnya. Harap awak maafkan saya.
Natalia membacanya dengan satu perasaan yang kosong. Senang membuat salah, senang memohon maaf. Sejak Syamel pergi tempohari, lelaki itu terus diam. Langsung tidak menelefon atau menghantar pesanan. Natalia juga tiada hati untuk memulakan dulu. Tapi pagi itu, Syamel yang memulakan dulu.
Pesanan berbunyi lagi. Adakah itu daripada Shahdan? Pantas tangan Natalia mencapai telefon dengan hati berdebar-debar. Rupanya, masih Syamel. Dia menghantar gambar. Natalia menunggu gambar itu hingga selesai dimuat turun.
Natalia senyum melihat gambar tersebut, tetapi dalam hatinya merasa sedih dan kecewa. Bersyukur kepada ALLAH kerana mungkin ada hikmah. Gambar kad undangan perkahwinan Syamel dan Thieyra pada Raya ke lima itu Natalia tenung hiba.
Ini semua adalah kejutan yang ku kira adalah hadiah di pagi Syawal. Bukankah Kesedihan itu juga hadiah. Dugaan itu adalah REZEKI dalam menduga dan menguji keimanan dan kekuatan kita.
Share this novel