Episode 6 : Sihir Mata.

Fantasy Series 910

Langkah Azizi terawang-awang. Ringan di tapak, namun berat di dada. Wajahnya pucat, terkesima. Nafasnya laju, bukan kerana lelah, tapi kerana diburu. Bukan oleh musuh, tapi oleh kenyataan yang sukar diterima akal fikirannya.

Pintu gerbang istana dibuka perlahan-lahan. Angin luar datang menghembus, membawa bisikan halus, entah dari mana datangnya.

Lantai batu dipijak tanpa arah. Setiap langkah diatur oleh perasaan keliru dan resah. Tubuhnya membongok bukan kerana lemah, tetapi kerana sedang memikul seribu persoalan yang bermain di minda.

Tiba-tiba, suara sayu datang memujuk Azizi.

“Damak...”

Suara serak Nenek Kebayan, merayu lembut.

“Tunggu sebentar, Damak... Tenangkan hatimu dahulu.”

Tangannya cuba menyentuh bahu Azizi. Namun tepis keras.

“Jangan sentuh aku!”

Nenek Kebayan tersentak, tubuhnya terundur setapak. Tapi tiada dendam diwajahnya.

“Berapa kali aku nak cakap?! Aku bukan Damak! Aku Azizi!”

“AZIZI!!”

Azizi berpaling. Wajahnya merah padam. Nafasnya putus-putus. Walaupun berat beban yang ditanggung, namun dia tetap melangkah dengan lemah, berharap agar mimpi ngeri ini cepat berakhir.

“Dunia aku...Bukan di sini... Aku nak balik... Aku nak balik...”

Belum sempat kalimah terakhir habis, satu hentakan dari dalam perutnya mula menyucuk hebat. Perlahan, tapi tajam.

Tiba-tiba kepalanya mula berpusing, telinganya berdesing.

“Ughh... Aku...”

Azizi terdorong ke hadapan, tangannya meraba dada... Tiba-tiba, tubuhnya membongkok...

“HUARGGHHKK!!”

Isi perutnya melimpah ke tanah. Bunyi muntahnya memecah keheningan. Bau asid masam menyambar udara.

Suri yang memerhati dari belakang, terus berkerut wajahnya, rasa jijik jelas terpancar. Dia segera berpaling, cuba menahan rasa mual yang menjalar ke tekak.

Nenek kebayan segera meluru ke Azizi. Wajahnya jelas memancar rasa cemas.

“Tubuhmu masih belum pulih, anakanda... Rentas waktu buatkan jiwa dan jasad anakanda bergelora. Anakanda perlu dipulihkan. Jika tidak, derita anakanda akan lebih parah.”

Tapi Azizi mengangkat tangannya kasar, menolak semua kata dan niat baik Nenek Kebayan.

“Jangan cakap apa-apa! Aku... Aku tak nak dengar lagi!”

Suaranya pecah, matanya masih berair, dada berombak.

“Kalau betul kau nak tolong aku... Tolong... Hantar aku balik! Aku nak keluar dari mimpi gila ni!”

Nenek kebayan cuba menenangkan Azizi yang sudah seperti separuh gila.

“Itu... Mustahil, anakanda. Selagi tugas anakanda belum selesai, anakanda... Tak mungkin dapat pulang.”

Azizi terus mendengus, wajahnya makin tegang. Dia mula terpandang ke luar gerbang istana.

“Kalau kau tak nak bantu, biar aku sendiri cari jalan pulang!”

Azizi terus meninggalkan Nenek Kebayan dan Suri. Seperti berlari, namun langkahnya berat. Kepalanya berdengung, matanya berpinar. Suara sekeliling mula kabur, seperti dunia semakin mengecil dan mengecut dalam balang kaca.

Nenek kebayan berpaling ke arah Suri, wajahnya benar-benar cemas.

“Suri, kejar dia! Jiwanya masih belum pulih! Jika dibiar.. Jiwanya akan musnah!”
“Baik, nenda!”

Suri segera melangkah, mengejar Azizi tanpa berlengah.

Azizi melangkah longlai disekitar kota bandaraya Tandasuka. Kota itu bingit dan riuh dengan suara pedagang bersahutan dari setiap penjuru, kanak-kanak berlari dan menjerit keriangan.

Tapi, semua itu hanyalah bayang kabur di mata Azizi.

Nafasnya makin mengah. Peluh merembes dari dahi hingga kebelakang tengkuk. Matanya layu, tubuhnya mula menggigil, namun dia terus melangkah, seakan tubuhnya digerakkan oleh naluri yang tidak diketahui.

Suara bisikan mula kedengaran.

“Siapa dia tu?”

“Apa pelik benar pakaian dia...”

“Tidak pernah hamba melihat sesiapa berpakaian begitu...”

Langkah Azizi terhenti. Dadanya naik turun, dia mula mengesat keringannya yang rancak menitis ke tanah. Tiba-tiba matanya terpancing ke arah sebuah kolam pancuran air yang berada ditengah kota bandaraya. Pancurannya jernih, bersih. Malah memancarkan pantulan cahaya tenang, seakan-akan memanggil nama Azizi.

Tanpa berfikir panjang, Azizi meluru. Tangannya menadah air, lalu meneguk rakus, bagai manusia yang baru diselamatkan dari kemarau panjang. Air itu...

Sejuk, menyegarkan, bagai tenaga baru yang mengalir ke seluruh tubuhnya.
Di tadahnya lagi, disapu pula ke wajahnya yang penuh kotoran debu. Ketika dia mendongak wajahnya. Pertama kali, dia mula perasan sekelilingnya.

Terlihat pemandangan dihadapannya begitu menakjubkan. Kota itu tampil megah, namun sarat dengan sentuhan warisan zaman silam. Rumah-rumah berdinding papan dan beratapkan nipah tersusun rapi, dihiasi corak bunga dan ukiran yang memikat hati. Budaya asli jelas terpancar di setiap sudut.

Para wanita berjalan anggun mengenakan busana sopan. Baju kurung labuh dan berselendangkan kain batik berwarna lembut yang ditenun halus. Keayuan mereka begitu asli, jauh berbeza dengan wanita moden yang sering dilihat Azizi.

Lelaki-lelaki pula kelihatan gagah, lengkap dengan baju Melayu berlengan tiga suku, bersamping dan bertanjak. Ada yang menyarung semutar, keris dan parang tergantung megah di pinggang masing-masing.

Azizi terdiam.

“Ni... macam... Mimpikah? Tapi semua ni nyata...”

Tiba-tiba Azizi merasakan kehadiran seseorang dibelakangnya.

Sekumpulan pengawal telah muncul, namun pakaian mereka agak berbeza dengan pengawal yang ditemui oleh Azizi pagi tadi. Di tengah mereka, datang seorang lelaki gagah, berambut panjang.

Wajahnya tenang tetapi tegas.

“Tuan hamba, siapa gelaran tuan hamba? Dari mana asal tuan hamba?”

Azizi terkaku. Mulutnya ternganga, lidahnya kelu. Wajah lelaki itu membuatkan Azizi membatu.

“Apa tuan hamba tidak boleh bicara? Tuan hamba tahu bukan, tiada siapa dibenarkan guna air pancuran ini?”

Azizi yang masih terpinga-pinga, hanya menggelengkan kepalanya.

“Ah... Susah hendak bicara jika tuan hamba seperti ini. Maafkan hamba, tapi sudah menjadi tanggungjawab hamba menyoal tuan hamba, kerana tindakan tuan hamba, telah mengundang resah di kalangan rakyat jelata.”

“Sekali lagi hamba ingin bertanya... Siapakah tuan hamba?”

Azizi masih mendiamkan diri. Binggung bagaimana hendak terangkan semuanya. Tindakannya telah mengundang syak wasangka. Lelaki itu mula merenung tajam ke arah Azizi.

“Apakah tuan hamba... Penyusup?”

Azizi cuba mengeluarkan suara, tetapi terkunci...

“Aduh! Macam mana ni? Aku tak boleh kata aku ni Damak. Kalau tak, mampus aku... Paduka dah bagi warning dah tadi.”

“Aduh, macam mana ni?”

“Tak kan nak beritahu nama aku pula... Lagilah cari nahas namanya.”

Azizi semakin gelisah. Riak wajahnya jelas terpapar dihadapan lelaki itu. Segera lelaki itu mencekak kolar Azizi, mengangkatnya sedikit dari tanah.

“Jawab pertanyaanku! Siapa kau yang sebenarnya? Dari riak wajah, aku sudah tahu... Kau pasti penyusup!”

“Jawab! Atau aku jarakkan lidah dari leher kau!”

Azizi semakin cemas. Belum selesai satu masalah, muncul pula masalah lain.
Tiba-tiba.

“Kanda! Hentikan!”

Suri muncul di balik keremunan orang ramai. Nafasnya laju, wajahnya merah menahan amarah. Suri melangkah terus ke arah lelaki itu.

“Lepaskan dia, Kanda. Ini bukan caranya menyelesaikan masalah.”

Azizi memandang aneh pada mereka berdua. Ada bahasa yang tidak Azizi fahami, telah diucapkan oleh Suri. Mata lelaki itu mula melerek ke bawah.

Wajahnya berubah dingin.

“Maafkan Kanda, Suri. Kanda terlalu ikutkan hati. Kanda serahkan lelaki ini kepada Suri. Izinkan Kanda mengundur diri.”

Dia melepaskan Azizi dengan berat hati. Lantas segera bergerak bersama para pengawalnya.

Azizi terduduk, terhingut-hingut menahan nafas.

“Dia pergi begitu saja? Apa semua ni? Suri, siapa lelaki tu?” (tanya Azizi yang bingung.)

Suri diam tidak menjawab.

Orang berkumpul semakin ramai. Bisikan kian rancak. Mata-mata memandang ke arah Azizi. Dituduhnya Azizi sebagai “Si pemuda aneh dari langit.”

Nenek Kebayan akhirnya muncul dari celah orang ramai, wajahnya pucat. Suasana yang semakin riuh meresahkan hatinya.

“Suri... bawa Azizi pergi dari sini, lekas. Biar nenda yang uruskan masalah disini.”

“Baik, nenda.”

Tanpa berkata sepatah, dia terus menyambar tangan Azizi dan menariknya dengan kasar.

“Hoi, lepaskan aku!! Kau ni dah kenapa tarik-tarik aku kasar begini?!”

“DIAMM!!”

Nada Suri kali ini keras memecah udara, Azizi terkedu. Azizi cuba meronta, tapi langkah Suri kasar. Diheretnya sehingga memasuki celah lorong sempit antara dua bangunan kayu tua.

Keadaan lorong itu sangat sunyi. Hanya cahaya mentari yang menembusi samar.

Suri terus menghentak Azizi ke dinding. Bunyi hempasan tubuhnya bergema. Azizi tersentak seketika.

“Apa ni?! Sakitlah....”

Belum sempat Azizi akhiri ayatnya, Suri segera menekan lengannya ke dada Azizi, mengunci tubuh Azizi rapat ke dinding.

Azizi cuba meronta, tapi... Ada sesuatu yang disedari oleh Azizi. Wajah Suri... Kini hanya sejengkal dari wajahnya.

Suri memandang tepat ke arah mata Azizi.

Azizi terus terdiam... Bisu.

Untuk sesaat, Azizi merasakan dunia seakan sunyi. Nafasnya mula tersekat. Bukan kerana takut, tapi kerana... Ada sesuatu yang tak pernah dia rasakan sebelum ini.

Azizi melihat... Wajah Suri, dalam kemarahannya, dipancar pula dengan cahaya mentari tepat mengenai wajah.

Ternyata Suri kelihatan begitu... Ayu.

“Apa benda yang aku rasa ni?”

“Kenapa jantung aku laju semacam?”

Bisik hati kecil Azizi.

Suri masih menekan tubuh Azizi. Nafasnya deras, matanya memaku tepat ke arah Azizi. Tapi... disebalik pandangan itu, ada sinar yang Azizi tak tahu bagaimana hendak tafsirkan.

Azizi segera memejamkan matanya.

“Pandang aku!” (herdik Suri.)

Azizi cuba mengalih mata. Tapi dagunya ditarik, memaksanya bertentang mata dengan Suri.

“Kau memang menyusahkan!”

“Kalau bukan kerana nenda, sudah lama aku tamatkan kau!”

“Tamatkan?! Eh. Tunggu, apa...”

“THUDD!!”

Satu tikaman kuat menusuk kayu disebelah kepalanya.

Pisau belati itu dipacakkan ke dinding. Hanya seinci dari telinga Azizi.

Azizi terkaku. Jantungnya hampir berhenti.

“Sekali lagi kau cari masalah... Aku tidak akan segan benamkan pisau ini ke jantung kau!”

Azizi tergamam. Mulutnya terbuka, tapi tiada suara yang keluar. Keringatnya mula mengalir perlahan ke dagu.

“Ingat! Masuk rumah orang, biar beradab! Beginikah sikap Damak yang mereka agungkan?”

“Memalukan! Nasib saja aku sempat sebentar tadi. Jika tidak...”

“Kau tahu siapa lelaki tadi?! Dia, Panglima Badang. Jangan cuba kau bermain ajal dengannya.”

Azizi menelan air liur. Jantungnya... masih laju. Bukan kerana takut, tapi kerana dekatnya wajah Suri dengan wajahnya. Azizi merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan dirinya.

“Kenapa aku rasa... Lain? Kau marah, tapi...”

“Mata kau buat aku tenang?”

Tiba-tiba,

“BANGGG!”

Beberapa kotak jatuh bertaburan. Mereka berdua tersentak seketika sebelum menoleh.

Terlihat seorang remaja lelaki dalam lingkungan lapan belas tahun sedang mengapai sesuatu, terpaku di hujung lorong sambil melihat mereka berdua.

Seketika suasana menjadi senyap sunyi.

Suri segera menjarakkan dirinya dari Azizi. Azizi berdehem setelah merasakan dirinya tidak lagi ditekan oleh lengan Suri.

Remaja itu dengan perlahan segera tunduk, berpura-pura mengutip barang-barangnya yang bertaburan. Suasana pada masa itu, begitu sunyi. Mereka bertiga merasa begitu janggal dengan keadaan masing-masing.

Setelah selesai, remaja itu berjalan sambil membawa kotak barangnya, melewati Suri dan Azizi. Dia bersiul, berpura-pura seperti tidak melihat apa yang berlaku.

“Awang... Kemana kau mahu pergi, Awang?”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience