Bab 9 : Pengorbanan Dan Kebangkitan. (OVA)

Fantasy Series 919

Balairung diam seribu bahasa, Tatkala mendengar titah Raja Agung yang nekad.

"Daratua, teruskan dengan bicaramu, Beta mahu dengarkan semuanya!" (titah Tuanku Izzuddin shah dengan tegas.)

Daratua menggangguk lalu, menyambung kata-katanya.

"Pedang Kencana Hitam... Di hulunya, terukir wajah Nagasati, raja segala naga. Tiga kakinya harus diberi enam Batu Permata, dan satu lagi di mulutnya yang terbuka. Bila lengkap, maka mengalirlah kekuatan besar yang mampu menembusi tubuh Garuda yang kebal itu."

Daratua berhenti sejenak, membiarkan kata-katanya meresap ke dalam minda setiap yang hadir.

"Jika tubuh kebal Garuda ditembusi, maka segala sihir yang bersarang di dalam tubuhnya selama ini akan diserap oleh kuasa Batu Permata..."

Mendengar jawapan Daratua, Tuanku Izzuddin Shah bersandar sebentar di takhta, jari-jemarinya mengetuk perlahan pemegang lengan singgahsana, berfikir dalam-dalam. Riak wajah Baginda kekal tenang, namun sorotan matanya penuh persoalan.

"Hmm... Dimana terletaknya Pedang Kencana Hitam itu, Daratua?"

Daratua, menunduk dengan penuh serba salah,

"Ampun Tuanku, patik juga tidak ketahui kedudukannya."

"Tetapi menurut riwayat lama, pedang itu hanya akan kelihatan tatkala bulan mengambang penuh, kerana langit di atasnya... Akan terbuka luas. Tiada awan, mahupun naungan. Kerana pedang puaka itu ditolak segala lindungan."

Tuanku Izzuddin Shah termenung seketika, mata Baginda tajam meneliti setiap perkataan yang telah dilontarkan oleh ahli nujum itu. Akhirnya, Baginda mengangguk perlahan.

"Hmm... Baiklah, jika kamu sudah berkata demikian. Terima kasih, Daratua, atas bantuanmu itu."

Baginda berpaling ke arah Paduka Dharmasakti yang berada disisi kanannya.

"Paduka Dharmasakti, arahkan pengawal kita untuk cari Pedang Kencana Hitam dengan segera! Gunakan petunjuk Daratua sebagai pandu arah!"

"Menjunjung perintah, Tuanku." (sahut Paduka Dharmasakti.)

Sinar harapan mula terpancar di raut wajah Tuanku Izzuddin Shah. Harapan yang tadi malap, kini kembali menyala, meskipun masih samar.

"Panglima, bawakan kesemua Batu Permata yang telah Beta simpan di dalam peti diraja!"

"Menjunjung perintah, Tuanku!" (sahut panglima.)

Namun, ketika kesemua Batu Permata dibawa untuk dipersembahkan kepada Raja Agung, kegemparan mula melanda balairung.

Salah satu dari ketujuh-tujuh Batu Permata telah hilang tanpa jejak.

Suasana mula bertukar kalut. Bisikan mula berubah menjadi riuh, keluhan rakyat semakin menghangatkan suasana.

Tiba-tiba,

"DUMM!!"

Satu ketukan kuat menghentak lantai balairung, diikuti suara lantang yang membelah keriuhan.

"Dasar celaka kamu semua!!"

Semua kepala berpaling ke arah suara itu.

Berdiri tegap di tengah balairung, wajahnya merah padam, ialah Paduka Azlan Mahmud Baginda, penguasa Kerajaan Tandasuka. Sorot matanya menikam setiap wajah yang ada di situ.

"Kemana perginya rasa hormat kamu semua kepada Raja Agung?! Inikah cara kamu semua menunjukkan kesetiaan?! Bersikap cela seperti orang yang telah kalah sebelum berjuang?!"

Balairung senyap seketika.

"Walaupun kita hanya kekurangan satu Batu Permata, bukan bermakna kita sudah tewas!" (suaranya lantang, penuh keyakinan.)

"Kita sudah ada enam Batu Permata di tangan sekarang. Tetapi mengapa hanya satu Batu Pertama yang kamu semua bimbangkan?!"

Lantas, seorang bendahara tua yang duduk di sisi kanan balairung segera bersuara.

"Tapi Paduka... syarat untuk menghapuskan Garuda adalah dengan adanya ketujuh-tujuh Batu Permata. Jika tidak lengkap, maka sia-sia usaha kita!"

Bisikan kembali bergema. Ketidakpastian menguasai balairung.

Tuanku Izzuddin Shah mengetap bibir, kemudian berpaling ke arah Daratua.

"Daratua, apakah kamu tahu, kemana perginya Batu Permata yang ketujuh? Bolehkah kamu menilik dan memberitahu kepada kami semua di mana ianya berada?"

Seluruh mata tertumpu kepada ahli nujum itu.

Daratua menarik nafas dalam, kemudian tunduk hormat sebagai tanda setuju.

Daratua mula melaksanakan tugasnya. Bibirnya yang berkedut bergerak perlahan, berkumat-kamit membaca mantera. Suara angin mula kedengaran, berterbangan sekelilingnya, sementara anak matanya kian pudar, lenyap dalam cahaya putih yang menyeramkan.

Seketika kemudian, aura mistik mula menjelma, berputar mengelilingi tubuh tuanya dalam gelombang cahaya yang menakutkan. Udara di balairung seakan menebal, menyesakkan dada setiap yang menyaksikan. Rakyat jelata dan para pembesar terpaku, tidak berani bersuara.

Namun, sebaik aura itu lenyap, Daratua tiba-tiba melemah. Bahunya yang bongkok bergetar hebat, wajahnya yang penuh garis usia kelihatan pucat. Nafasnya tersengal, tangannya yang berparut menggenggam dada, sedangkan tubuhnya kian melentur ke bumi, seperti ranting tua yang hampir patah.

Tuanku Izzuddin Shah segera mengubah kedudukan. Baginda bersandar sedikit kehadapan, kedua kening berkerut dalam kebimbangan yang jelas. Mata Baginda tertancap pada Daratua, hati dipagut risau melihat keadaan Daratua yang tampak lemah selepas mengerah tenaganya.

"Daratua? Kamu tidak apa-apakah? Jika tidak mampu, jangan dipaksa dirimu yang sudah usia. Beta sedikit pun tidak akan murka." (titah Raja Agung yang sangat risau setelah melihat keadaan Daratua yang melemah.)

Daratua tersenyum sinis sambil memperbetulkan kedudukannya.

"Ampun Tuanku... Janganlah Tuanku gusar akan diri patik. Sesungguhnya patik rela berkorban demi negara."

"Jadi bagaimana, Daratua? Apa yang kamu lihat?"

Wajah Daratua mula bertukar pucat, wajah gusarnya itu jelas terpapar.

"Setelah patik meniliknya, ternyata Batu Permata Badar Besi telah dicuri oleh Angmaar!"

Suasana Balairung terus berubah huru-hara seketika takkala nama Angmaar disebut.

Dahi Baginda berkerut hebat. Turut terlihat seorang pembesar menelan liur. Tangannya mengeletar hebat namun segera disembunyikan dibalik kain jubahnya.

Di luar, langit yang cerah secara tiba-tiba menjadi kelam, angin mula berdesir hebat, seolah-olah alam juga turut gerun mendengarkan nama Angmaar.

"Sekarang, Batu Permata Badar Besi itu sedang berada dalam genggaman Garuda. Ia telah dijadikan sebagai azimat."

Hening seketika. Kata-kata itu seperti menyesakkan udara di dalam balairung. Mata-mata bertaut, wajah-wajah membeku dalam keterkejutan.

"Paduka, apa yang harus kita lakukan sekarang? Apakah masih ada harapan untuk merebut kembali Batu Permata itu?"

"Daratua, tolonglah! Yakinkan Tuanku! Berikan kami satu kata pasti. Katakanlah!" (rayu seorang pembesar dengan suara yang bergetar.)

Desakan mula berantai. Keresahan merayap, menggugah ketenteraman balairung hingga ada yang mula berbalah. Bisikan menjadi jeritan, dan seketika, istana menjadi medan kekacauan.

"SUDAH!!"

"HENTIKAN SEMUA INI!"

Satu suara garau menghapus riuh. Paduka Mamut Aria, penguasa Kerajaan Sriwama berdiri gagah, matanya menyala dengan penuh amarah.

"Daripada kamu semua berbalah seperti budak kecil, mengapa kamu semua tidak menyumbangkan akal? Tanggungjawab menjaga tanah air Lagindra adalah tanggungjawab bersama, bukannya diserahkan kepada pemerintah semata! Maka... Bantu! Bukan tunggu!!!"

Kesunyian segera menyelubungi dewan. Seluruh wajah rakyat Lagindra tertunduk menyembah bumi. Malu dengan apa yang dikatakan oleh Paduka Mamut Aria yang ada kebenarannya.

Tuanku Izzuddin Shah mula menghembus nafasnya, mengeluh panjang.

"Daratua..."

Suara Tuanku Izzuddin Shah lebih perlahan, namun berat dengan harapan.

"Apakah kita masih punya peluang untuk menundukkan Garuda? Jika ada, katakanlah. Biarpun peluang itu hanya sekecil cahaya yang menembusi atap singgahsana ini, Beta tetap sedia melaksanakannya."

Daratua menghela nafas, matanya yang redup menatap wajah Tuanku.

"Ada, Tuanku."

"Walaupun kita tiada daya untuk menghapuskan Garuda, namun untuk melumpuhkan dan mengunci langkahnya, mungkin kita mampu..."

"Tetapi tidak boleh digunakan Pedang Kencana, Tuanku. Tuanku harus menempa senjata yang lain untuk dijadikan tempat tumpangan kepada ke enam Batu Permata. Walaupun kekuatannya tidak sebesar Pedang Kencana, tetapi untuk melemahkan Garuda, mungkin ia mampu..."

Baginda menghembus nafas hela sebelum mengeluarkan nada suara Baginda agak berat.

"Jika tiada rotan, akar pun jadilah, Daratua. Beta akan cuba usahakan."

"Tapi... Ada syaratnya, Tuanku." (Daratua tua mencelah.)

"Apa syaratnya itu, wahai Daratua?" (Paduka Dharmasakti bersuara lantang kerana kehairanan.)

Semua yang hadir menanti dengan debaran, dada mereka turun naik dalam ketegangan.

"Syaratnya..."

Daratua memejam mata sejenak sebelum menyambung katanya semula.

"Keris yang telah disatukan dengan keenam-enam Batu Permata harus ditusukkan tepat ke jantung Garuda. Itu sahaja caranya hendak menyerap kuasa dan melemahkan Garuda. Setelah itu, tubuhnya harus segera disemadikan di dalam sebuah kurungan purba... yang terletak Gua Derapik."

Gegak gempita memenuhi balairung.

"Gua Derapik? Bukankah gua itu terletak di perbatasan diantara kerajaan Mandala dan Aryudhia?" (tanya Paduka Mamut Aria dengan dahi yang berkerut.)

"Benar, Paduka." (jawab Daratua.)

"Tapi mengapa Gua Derapik? Bukankah laluan ke sana agak merbahaya? Dengan jalannya yang begitu curam dan berbatu." (ujar Paduka Wijiya Setia yang kehairanan.)

Daratua menjawab dengan tenang.

"Sebenarnya... Gua Derapik merupakan tempat tersimpannya segala jenis sihir dan mantera yang terlarang."

Daratua menelan air liur sebelum meneruskan bicara.

"Jika Garuda berjaya disemadikan, maka akan hancurlah pasukan Garuda seperti kawanan semut tanpa ratu."

Tiba-tiba Daratua menundukkan kepala. Wajahnya mendung, seakan-akan menanggung beban yang terlalu berat untuk dipikul. Bibirnya diketap rapat, hatinya berbolak-balik. Terasa berat untuk meneruskan penjelasannya.

Namun, akhirnya Daratua terpaksa juga bersuara.

"Tetapi... Untuk menghapuskan Garuda..."

Daratua menarik nafas dalam-dalam, lalu menghembuskannya perlahan sebelum menyambung dengan nada yang suram.

"Raja Agung kita, Tuanku Izzuddin Shah... harus dikorbankan bersama-sama dengan Garuda."

"APA?!!"

Tersentak semua yang mendengarnya. Wajah mereka berubah tegang, ada yang ternganga, ada juga yang menggeleng tidak percaya.

"DUMM!!"

Paduka Dharmasakti menghentak kuat tangannya pada perehat lengan.

"Ciss! Mengapa pula Raja Agung harus dikorbankan?!" (bentak Paduka Dharmasakti.)

"Sabar dahulu, Kakanda. Biarkan Daratua jelaskan segalanya."

Paduka Azlan mencelah, cuba meredakan ketegangan. Tangannya menekan bahu Paduka Dharmasakti, memberi isyarat agar tetap bertenang.

Daratua menundukkan diri, seraya berkata dengan lembut,

"Izinkan patik menjelaskan, Paduka."

Seluruh balairung menjadi hening. Mata mereka terpaku pada ahli nujum itu, menanti jawapan yang bakal merungkai keresahan mereka.

"Semua tahu bahawa Armarhum Ayahanda Raja Agung, Armahum Raja Makhota, Raja Iskhandar Shah, yang menciptakan kekuatan Batu Permata ini."

"Maka, hanya dengan mengorbankan keturunan Sri Permata Suci Diraja sahajalah satu-satunya jalan untuk menghapuskan sumpahan Angmaar dan membebaskan Lagindra buat selama-lamanya..."

Sekali lagi, suasana menjadi sepi. Tiada seorang pun berani bersuara. Kesayuan mula menyelimuti singgahsana.

Sebelum ini, mereka sanggup melakukan apa sahaja demi Lagindra. Tetapi jika harga kemenangan adalah nyawa Raja Agung mereka, pemimpin yang dicintai dan dijulang seluruh rakyat jelata, mampukah mereka menerimanya?

Dalam keheningan yang mendebarkan itu, suara Raja Agung bergema perlahan tetapi penuh keteguhan.

"Baiklah."

Semua mata tertumpu kepada Baginda.

"Jika itu satu-satunya jalan untuk menghapuskan Garuda, maka Beta rela melakukannya. Biarlah Beta berputih tulang, daripada berputih mata."

Baginda mengangkat wajahnya, matanya membara dengan tekad.

"Alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan."

Baginda menoleh ke arah Paduka Dharmasakti.

"Paduka Dharmasakti! Segera tempa keris yang sesuai untuk ke enam Batu Permata ini. Negara kamu negara besi, pasti kamu mampu laksanakan!"

"Menjunjung perintah, Tuanku!" (sahut Paduka Dharmasakti, menundukkan kepala tanda menjunjung titah.)

"Paduka Wijaya Setia!"

"Tuanku!" (sahut Paduka Wijaya Setia pula.)

"Segera hantarkan pasukan pengintip ke perbatasan Mandala. Pantau setiap pergerakan musuh dan laporkan segera jika ada yang mencurigakan."

"Menjunjung perintah, Tuanku!"

Raja Agung mengalihkan pandangan ke arah Paduka Mamut Aria dan Paduka Azlan.

"Kamu berdua, himpunkan bala tentera yang masih mampu bertempur. Segera bersiapkan kelengkapan untuk berangkat ke medan perang."

Baginda berdiri tegak, suaranya bergema memenuhi balairung.

"Kita akan serang Mandala setelah genap satu purnama"

"MENJUNJUNG PERINTAH, TUANKU!" (serentak sahutan para Paduka, lantang dan bersemangat.

"Hari ini Beta putuskan bahawa sejarah hitam Langinda, akan lenyap bersama jasadnya Garuda!"

"Biar darah menjadi saksi! Biar nyawa menjadi ganti! Demi kemerdekaan yang kita nanti..."

"KEMERDEKAAN YANG HAKIKI!"

Sorakan rakyat jelata meledak memenuhi ruangan, gegak-gempita seakan menggetarkan dinding-dinding istana. Jiwa mereka berkobar, semangat mereka menyala, seakan deruan lautan yang menggempur pantai dengan amarah yang tidak dapat dibendung lagi.

"DAULAT TUANKU!"

"DAULAT TUANKU!"

"DAULAT TUANKU!"

Di sebalik hiruk-pikuk semangat yang berkobar itu, dari tingkat atas balairung istana, sepasang mata yang sarat dengan kesedihan memerhati tanpa suara. Permaisuri Anggerik Sari berdiri disebalik tirai sutera, tubuhnya kaku, resah yang hanya mampu disimpan di dalam dada.

Matanya yang lembut bergetar, memerhatikan suaminya yang kini menjadi harapan terakhir Lagindra. Bibirnya terkatup rapat, menahan sebak.

Baginda dan Permaisuri bertentang mata sejenak. Saat itu, dunia terasa seakan waktunya terhenti. Mereka saling memahami, meskipun tiada kata yang terucap.

Tuanku Izzuddin Shah melontarkan senyuman, menutup hati yang penuh kepiluan. Sedangkan Permaisuri Anggerik Sari, air matanya gugur jua. Dengan perlahan, Permaisuri Anggerik Sari segera menghapuskan air matanya. Lalu tangannya meraih lembut perutnya yang semakin membesar, mengandungkan putera mereka yang pertama.

Sementara itu di ufuk utara, Garuda hanya tersenyum melihat drama yang terjadi di dalam Istana Sri Jayapura, melalui bola kristal yang berkilau dihadapannya.

"Hahaha... Lihatlah mereka, berbalah sesama sendiri, sedangkan tangan dibelakang bermain api..."

Sindir Garuda yang tersenyum sambil memandang ke medan pertempuran yang bakal menjadi saksi kejatuhan Lagindra.

Di sekelilingnya, barisan tenteranya telah lama bergerak maju ke perbatasan Mandala. Gelombang bala tentera bertubuh sasa memenuhi ufuk, jumlah mereka terlalu banyak hingga tak terhitung. Garuda mula tersenyum lebar, matanya bersinar penuh dendam.

"Jika aku dituduh punca segala binasa, maka kamu semua salah. Aku hanya cerminan dendam dan nafsu tamak yang kamu semua ciptakan..."

"Musuh sebenar kamu semua bukanlah aku... Tetapi dia yang berada dikalangan kamu sendiri... Aku hanya perlu melihat... Kamu semua saling menghancurkan sesama sendiri..."

Suaranya bergema di angkasa, memecah kesunyian malam.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience