Bab 11 : Pelajaran Ketahanan.

Fantasy Series 916

Pagi itu terasa damai dan nyaman. Matahari menyinar lembut di sebalik dedaunan, menyimbah cahaya keemasan ke atas tanah yang masih lembap dengan sisa embun malam. Burung-burung berkicauan di celah ranting, seakan menyambut langkah tiga insan yang sedang merentas belantara sunyi itu.

Azizi mengekori dari belakang, memerhati Awang yang berjalan di sisi Puteri Suri. Gerak-geri mereka tampak mesra. Suri ketawa kecil mendengar celoteh Awang.

Azizi hanya mampu memandang. Dia ingin menyelit, tapi rasa canggung menyekat langkahnya. Maka dia memilih untuk menunggu ruang, hingga mereka berhenti berbual.

Azizi mendekati Awang.

"Awang, jauh lagi ka?"

"Awang pun tidak tahu, Kanda Azizi. Seumur hidup, belum pernah kaki Awang melangkah keluar dari Tandasuka." (Awang menjawab tanpa berpaling.)

"Kalau macam tu, kenapa tak tanya ja Kakanda Suri?"

"Eh, eh! Kanda yang nak tahu, Awang pula yang harus tanya? Kanda lah tanya sendiri."

Azizi menjeling.

"Bila nak sampai kalau berjalan ja... Tak nak naik kuda ka? Lagi cepat."

"Mana boleh." (jawab Awang, nada bersahaja.)

"Dua teruna, Dara. Tidak manis dipandang mata. Awang tak mahu tanggung fitnah."

"Kalau macam tu, kau naik dengan aku. Suri naik satu kuda. Dua ekor, settle."

"Wah... Senangnya cakap. Kuda bukannya murah untuk disewa. Lagi pula, Awang tak pandai menunggang kuda..." (ujar Awang, sedikit menjeling ke belakang.)

Azizi menghembus nafas.

"Hmm... Susah la nak cakap dengan kau ni."

Azizi mengalih pandang, mulutnya terkunci. Dalam hati, pelbagai perkara masih bersarang.

Azizi mula melihat Suri. Suri sangat tenang dan cekap berjalan melalui belantara itu. Seolah-olah setiap track sudah dihafalnya. Dengan dada yang sedikit berdebar, Azizi mengatur langkah menghampirinya.

"Maaf... err, kalau boleh, patik nak tanya... nama permaisuri... Suri, kan?"

Suri sekadar memandangnya melalui ekor mata. Wajahnya kekal tenang, namun jelas dingin. Tiada sepatah kata dibalas, hanya sepi yang menyambut tanyaan Azizi.

Azizi hanya kekakuan, rasa malu mula menyelubungi dirinya selepas tidak diendahkan oleh Suri sebentar tadi. Dia hanya mampu tunduk, membiarkan langkahnya seiring langkah mereka dalam diam.

Namun tiba-tiba, suara lembut menyambut pertanyaannya yang lalu.

"Jangan dikau berpatik denganku... Panggil sahaja diriku Suri. Aku tidak gemar dengan sanjungan, hanya kerana darah Paduka mengalir dalam tubuhku..." (ujar Suri tanpa menoleh.)

"Oh, baiklah."

Jawab Azizi yang sedikit terkejut namun lega dalam masa yang sama.

"Azizi, bagaimana kau sampai ke Lagindra?" (tanya Suri perlahan namun jelas.)

Wajah Azizi berseri sedikit. Pertanyaan itu ibarat isyarat bahawa Suri sudi berbicara dengannya. Tanpa berlengah, dia menjawab.

"Aku tak pasti... Tapi mesti ada kaitan dengan batu permata ni."

Katanya sambil menunjukkan batu yang digenggam erat di tangannya, Permata Putrajidar.

Suri menoleh sedikit, pandangannya tajam namun berisi.

"Hati-hati. Setiap batu permata punya tarikan mistik yang mampu menggoda hati manusia. Jangan sekali-kali dikau mempamerkannya pada mata-mata yang sembarangan."

"Jika ia terlihat, pasti hati mereka dibakar dengan ketamakan, hingga sanggup membunuh kerananya." (ujar Suri dengan nada serius.)

Azizi terdiam seketika. Dia merenung permata yang masih terasa hangat dalam genggamannya. Setelah beberapa saat berfikir, Azizi bersuara kembali.

"Hmm... Apa yang istimewanya dengan Batu Permata ni?" (soal Azizi perlahan.)

Suri memandang kehadapan. Wajahnya tidak menunjukkan sebarang emosi.

"Batu permata itu mampu mengurniakan kuasa kepada yang berkeinginan. Tapi, setiap permintaan ada mahar dan cagar yang harus dibayar."

Azizi mengerutkan keningnya.

"Cagar? Maksudnya?"

Suri menoleh ke arah Azizi. Dengan nada yang amat dingin dia menjawab.

"JIWA..."

Azizi terdiam kaku. Perasaan tidak percaya mula bercampur aduk dalam fikirannya. Bunyi tapak kaki mereka di tanah kering pun terasa menakutkan selepas itu. Suasana sunyi yang menyelubungi mereka, mula terasa suram dan menyeramkan.

"Kalau dah tahu permata ni berbahaya... Kenapa ia tidak dihancurkan?"

Suri tidak menjawab. Dia menarik nafas panjang sebelum membuka mulut, seolah-olah sedang menimbang kata-katanya.

"Mengapa mesti dihancurkan? Tiada satu pun kurniaan Tuhan kepada hambaNya yang membawa cela. Manusia sendiri yang mendustakan nikmat yang diberi, hingga ia menjadi bala yang memakan diri."

Azizi memandang batu permata itu.

"Hanya kerana sebiji permata kecil ini... Manusia boleh hilang kewarasan."

Suri tertawa kecil, tapi nadanya seperti menyindir.

"Sebiji kata kau? Haha... Batu Permata itu ada tujuh kesemuanya."

Azizi tersentak.

"Mak ai... banyaknya?! Sampai tujuh??"

"Ya, tujuh."

"Tujuh petala bumi buktinya, tujuh petala langit saksinya. Tercipta ia mengikut kejadian manusia."

Azizi kelihatan bingung sebentar.

"Ha? Tak faham? Apa kaitan kejadian manusia pula?"

Suri memperlahankan langkah, seolah memberi ruang untuk mereka berdua fokus kepada bicara yang berat itu.

"Sifat manusia terbentuk daripada enam perasaan. Gembira. Sedih. Marah. Jijik. Takut. Terkejut. Keenam perasaan ini wajib dikait untuk mewujudkan satu jiwa. Jika tiada salah satu darinya, maka tidak sempurnalah akhlak seorang manusia."

Azizi diam. Dia cuba memahami maksud Suri.

"Setiap kewujudan batu permata, terhubung dengan satu perasaan manusia. Dan apabila disalah guna, ia akan mengganggu keseimbangan jiwa."

"Segala huru-hara yang berlaku di Lagindra ini, bukan disebabkan kuasa luar. Tapi disebabkan orang Lagindra sendiri yang tamakkan kuasa."

Azizi masih terdiam. Kata-kata Suri bagaikan membuka satu pintu baru dalam fikirannya. Setiap maklumat itu seperti rantai yang bersambung, mengikatnya dengan lebih banyak persoalan. Wajahnya berubah menjadi resah. Fikirannya mula dihantui soalan demi soalan yang belum terjawab.

"Suri, kalau sudi... Boleh kau ceritakan lagi tentang permata ni? Maksud aku... Apakah semua Paduka punya permata seperti ini?"

Suri mengangguk perlahan, langkahnya tidak pernah berhenti.

"Benar. Setiap Paduka di bumi Lagindra, akan mewarisi satu Batu Permata. Bukan untuk lambang kekuasaan, tetapi lebih kepada beban yang terpaksa ditanggung oleh mereka, demi menjaga keseimbangan Lagindra yang telah diikat dengan sumpah darah nenek moyang kami dahulu."

Azizi mengangguk-angguk, seolah-olah mula mengerti.

"Kalau begitu... Dengan permata yang aku pegang sekarang... Dan jika setiap Paduka ada satu... Itu bermakna semuanya ada enam, termasuk aku."

"Ya. Enam semuanya. Namun jangan dikira mudah untuk mengumpulkannya. Ada yang menyimpannya dengan penuh rahsia, ada juga yang melindunginya dengan darah." (ujar Suri.)

Azizi menggenggam permatanya lebih erat, kini terasa lebih berat daripada sebelumnya. Dia menarik nafas panjang.

"Jadi... siapa pula pemilik permata yang ketujuh?"

Suri diam tidak bersuara. Matanya meliar melihat kiri dan kanan sebelum akhirnya dia membuka bicaranya kembali.

"Permata ketujuh... Tiada siapa mengetahuinya, termasuk para Paduka. Tapi jika benar kehadiran kau merupakan takdir. Mungkin takdirmu ialah membongkar rahsia itu."

Azizi terdiam. Hatinya terasa penuh dengan persoalan yang belum terjawab. Namun satu hal yang pasti, perjalanannya masih jauh dari apa yang dia sangka.

Tiba-tiba Awang datang menerjah dari belakang.

"Kakanda Suri! Mana janji Kakanda dulu? Awang mahu tuntut." (kata Awang dengan senyuman penuh makna.)

Suri memandang Awang kehairanan.

"Haa? Janji? Janji apa, Awang? Setahu Kakanda, Kakanda tidak pernah menabur janji pada kau, Awang."

"Tengok tu! Gaharu cendana pula, dah tahu bertanya pula!" Janji nak ajar Awang langkah Kakanda Suri yang baru tu lah! Sudah lupakah?" (jawab Awang dengan wajah kesalnya.)

Suri terus ketawa kecil.

"Oh! Yang itu! Hahaha. Maafkan Kakanda, terlupa pula. Hmm, baiklah. Mari kita pergi dekat pohon rendang sana."

Mereka memberhentikan langkah mereka di sebuah dataran berumput yang luas, di bawah teduhan sebatang pohon yang besar. Azizi yang kepenatan, terus menghempas punggungnya ke tanah, dan bersandar sebentar dibawah pohon tersebut. Suri segera mengambil sebatang ranting dan merautnya menjadi lurus. Kemudian, dia melemparkan kayu itu ke arah Awang.

"Awang, pasang kuda-kudamu. Biar kakanda lihat sekuat mana pasakmu itu." (arah Suri ringkas.)

Awang berdiri tegak, lalu membuka langkah seperti yang diarahkan. Azizi pula hanya duduk bersandar di batang pokok sambil meneguk air. Awang segera menoleh dan memanggil.

"Kanda Azizi! Marilah ikut serta!"

Azizi menggeleng perlahan.

"Tak nak! Malas. Lagipun aku tak suka dengan keganasan."

Suri berpaling. Matanya tajam memandang Azizi.

"Azizi, bangun! Sertai Awang."

Azizi mengeraskan hati. Dia segera baring sambil menutupi wajahnya dengan tanjak.

"Aku tak mahu. Aku bukan dilahirkan untuk meminati silat."

Suri yang berang, segera mendatangi Azizi, lalu ditengking sekuat hati.

"Silat bukan untuk diminati! Tetapi ia seni bela yang wajib di tuntut, terutama kau sebagai lelaki!"

"Untuk apa aku nak belajar semua tu. Buang masa."

Wajah Suri mula merah padam. Dia lantas mengambil ranting patah, lalu dilibas ke arah Azizi.

"PANGG!!"

Azizi menjerit kesakitan.

"Seorang lelaki wajib pertahankan lima perkara! Agama, Bangsa, Keluarga, Maruah, dan Harta. Kalau diri sendiri pun kau tak mampu nak pertahankan, macam mana nak lindungi orang lain?"

Azizi tidak sempat membalas. Libasan kedua pula singgah dipahanya. Azizi yang terperanjat, terpaksa bangun, gosok pahanya yang pedih.

"Aduh! Sakitlah Suri! Apa ni?!"

"Mana boleh paksa-paksa orang macam ni! Aku tak mahu! Boleh tak jangan paksa aku?!" (balas Azizi dengan emosi.)

"BAIK!!"

"Kalau kau tak mahu aku mengganggu lenamu, kau kalahkan Awang. Jika kau berjaya, aku takkan paksa kau berlatih.. Kau bebas buat apa saja."

Azizi tersengih.

"Awang? Budak kecik tu?"

Awang terkesima sebentar.

"Apa?! Budak kecil?"

Awang terus menghampiri Azizi yang sedang melibas habuk sampinnya. Tiba-tiba pergelengan tangan Azizi digenggam erat oleh Awang. Dalam sekelip mata Azizi terus dijatuhkan oleh Awang.

"BANGGG!!"

Azizi meraung kesakitan akibat hentakan yang kuat.

"Arghhh! Sakitnya pinggang aku... Woi! Aku belum sedia lagilah!"

Suri segera mencelah dengan wajahnya yang tampak dingin.

"Musuh takkan tunggu kau untuk bersedia, Azizi. Kau patut lebih peka."

Suri mengarahkan mereka untuk mengulanginya lagi. Dan setiap kali diulang, Azizi akan tersungkur ke tanah. Nafasnya makin sesak, tubuhnya makin lemah. Setiap gerakan Awang, walau nampak mudah, tetap menyakitkan. Sehinggalah waktu senja, sebelum Awang sempat menyerang, Azizi terus rebah ke tanah.

"Laa? Dah pengsan?" (Awang tercengang.)

Suri yang malu hanya mampu menggelengkan kepalanya sambil menekup wajah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience