Degupan jantung Panglima Megat Jaya semakin kencang. Tangannya yang menggenggam keris sedikit mengendur. Azizi, yang masih terkejut, memandang gadis misteri itu dengan penuh tanda tanya.
"Siapakah dia? Mengapa dia campur tangan? Apa dia Angmaar?"
Namun, sebelum Azizi sempat bersuara, suara Paduka Azlan membelah keheningan.
"ANAKANDA! HENTIKAN!"
Azizi terkebil-kebil.
"Anakanda?!!"
Mata Azizi terbeliak.
"Gadis ini... Anak Paduka Azlan?!"
Perlahan, kedua-dua senjata mereka diturunkan. Gadis itu menarik baju Panglima Megat Jaya dengan sangat kasar, menjauhkan pemuda itu daripada Azizi. Panglima terkejut, wajahnya pucat kemerahan kerana dirinya dipermalukan dihadapan tentera bawahannya dan juga Paduka Azlan.
Gadis itu mendekati Azizi, berdiri di sisinya, dan dengan penuh tegas, dia menoleh ke arah ayahandanya. Suaranya tenang namun tegas.
"Ayahanda!"
"Apa maksud sebenar Ayahanda mahu membunuh pemuda ini tanpa usul periksa?"
"Mengapa Anakanda tidak diberitahu tentang kemunculan pemuda ini?"
"Bukankah Anakanda yang mengetuai misi pengintipan? Pemuda ini sepatutnya diserahkan kepada Anakanda terlebih dahulu sebelum Ayahanda membuat keputusan."
Gadis itu menatap tajam Paduka Azlan, matanya tidak berkelip. Setiap kata-katanya bagaikan anak panah yang menyentap ke hati sang raja.
Paduka Azlan menghela nafas panjang, wajahnya kini dipenuhi kerutan, cuba menenangkan diri dari kemarahan yang semakin memuncak.
"Suri..."
"Ayahanda bukan tidak mahu memberitahu Anakanda. Tapi keadaan tidak mengizinkan."
"Di tambah pula, Batu Permata Putrajidar ada bersamanya. Bukti ini saja sudah cukup mengatakan yang dia orang suruhan Angmaar."
Gadis itu tidak berganjak.
"Ayahanda, jangan cuba menipu Anakanda! Anakanda bukan anak kecil yang mudah termakan kata!"
"Anakanda tahu niat sebenar Ayahanda! Ayahanda ingin Batu Permata itu, bukan? Kerana itu Ayahanda arahkan Panglima tamatkan riwayat pemuda ini!"
Kata-kata wanita itu tepat mengenai Paduka Azlan. Wajahnya yang keras mula menunjukkan kegelisahan. Gigi-giginya mengerat, tanda tidak suka.
"ANAKANDA!!! JAGA KURANG AJAR!!"
"JAGA TUTUR KATA ANAKANDA ITU!"
"Jangan jadi anak durhaka! Ini adalah keputusan Ayahanda. Ayahanda lakukan semuanya demi bangasa kita! Kerajaan Kita! Kerajaan Tandasuka!"
"Sekarang, Anakanda suka atau tidak, keputusan Ayahanda tetap muktamad." (herdik Paduka Azlan yang semakin emosi.)
Gadis itu semakin tajam memandang ayahandanya seolah-olah dia sangat kecewa dengan apa yang dibicarakan oleh ayahandanya sendiri.
"PANGLIMA! JALANKAN TANGGUNGJAWAB KAMU, SEGERA! PENGAWAL, BANTU PANGLIMA!!"
Para pengawal segera mengepung Azizi dan gadis yang bersamanya. Belum sempat Panglima Megat Jaya menghunuskan kerisnya kembali, gadis itu terus membuka langkahnya dengan penuh tekad, cuba melindungi Azizi dari diserang.
"Siapa gerak... Aku tusuk!"
Ucap gadis itu dengan penuh tegas.
Matanya yang membara, meliar membaca setiap gerakan yang ingin lakukan oleh para pengawal.
Tiba-tiba, gerbang singgahsana dibuka dengan sangat kuat. Seorang wanita tua, wajahnya pucat dengan langkah terburu-buru, berlari menghentukan pertelingkahan itu.
"NANTI, PADUKA! SABAR!"
Jeritan wanita tua itu berjaya memberhentikan pertelingkahan tersebut buat seketika.
Wanita itu berlutut dihadapan Paduka Azlan, nafasnya tercungap-cungap, tubuhnya seperti kehilangan tenaga.
"Ah... Kamu rupanya Kebayan. Apa tujuanmu datang kemari?" (tanya Paduka Azlan dengan nada yang sedikit kebingungan.)
"Ampun, Paduka."
"Mohon patik jelaskan cerita yang sebenarnya. Agar hilang segala resah, dan buruk sangka, Paduka."
Semua yang ada di dalam ruangan itu terpinga-pinga, masing-masing memandang antara satu sama lain, tertanya-tanya apakah kaitan Azizi dengan wanita tua itu.
"Ampun, Paduka."
"Dengan rendah diri, patik pohon ampun di atas tindakan patik mendahului Paduka. Bukan niat patik untuk membelakangkan Paduka, tetapi... Patik terpaksa lakukan demi kita semua."
Suasana semakin tegang, semua orang di balairung hanya terdiam, diliputi tanda tanya yang makin mencengkam.
"Apa maksud kamu, Kebayan? Beta kurang mengerti. Tolong terangkan dengan lebih jelas?" (titah Paduka Azlan dengan nada yang semakin curiga.)
"Ampun, Paduka."
"Sebenarnya... Patik telah mendapat ramalan mengatakan... Garuda... Sedang dibangkitkan kembali, Paduka."
"APA?!"
Teriakan itu membuatkan seluruh balairung terkejut. Semua mata tertumpu pada Nenek Kebayan yang telah mengungkapkan perkataan yang mematikan kesunyian itu. Mereka terpinga-pinga, tidak memahami maksud yang sebenar, namun perasaan terancam semakin membayangi mereka semua.
Paduka Azlan yang duduk di singgahsananya tampak gelisah. Matanya tajam menatap wanita tua itu, seakan berharap kata-kata yang keluar dari bibirnya hanyalah satu kesilapan.
"Apa benar yang kau lihat, Kebayan? Mungkin kau tersalah meniliknya, barangkali?"
Nenek Kebayan menundukkan kepala dengan penuh rasa bersalah.
"Benar, Paduka... Pada mulanya, patik juga tidak percaya. Namun, bila patik menilik semula, ternyata ia benar bagai dikata."
Perasan bimbang jelas terukir di wajah Paduka Azlan.
"Tak mungkin..."
Panglima Megat Jaya segera menyampuk.
"Paduka, patik rasa Kebayan telah salah menilik! Seharusnya tidak ada siapa yang tahu dimana jasad Garuda disimpan, melainkan para Paduka empat bangsa. Mustahil para Paduka yang dipenuhi dengan sifat amanah, belot pada sumpah setia Raja Agung?!" (tegasnya yang cuba membangkang segala hujah Nenek Kebayan.)
Kemudian, Paduka Azlan menarik nafas panjang sebelum menyambung.
"Ya... Tapi tak mustahil..."
Para pembesar dan hulubalang saling berpandangan dengan wajah resah. Siapakah pengkhianat itu?
"Maksud Paduka?" (tanya Panglima yang cemas.)
"Hmm... Beliau pernah melakukannya sebelum ini, dan tidak mustahil jika beliau lakukan buat kali kedua."
Pandangan Paduka Azlan beralih ke jendela, matanya sarat dengan penuh kecurigaan.
Keheningan menyelimuti ruangan. Lalu, Nenek Kebayan bersuara lagi, melanjutkan kata-katanya.
"Kerana itu, patik terpaksa memanggil Damak, Paduka."
"DAMAK?!!"
Serentak, Paduka Azlan mengalih pandangan ke arah Azizi yang sedang berdiri ditengah balairung. Matanya terbeliak, nafasnya sedikit tersekat.
"Pemuda ini, Damak??"
Baginda hampir bangkit dari tempat duduknya.
Suri, yang sejak tadi berdiri disisi Azizi, terkedu seribu bahasa. Para pembesar dan panglima lain turut terkejut. Azizi sendiri kelihatan keliru, matanya liar memandang sekeliling.
"Apa maksud semua ni?" (bisik Azizi.)
Dia melangkah setapak ke hadapan, cuba memperbetulkan situasi yang semakin tegang.
"Maaf mencelah, tapi rasanya Nenek telah salah orang ni. Saya bukan Damak. Nama saya Azizi."
Nenek Kebayan tersenyum sinis, lalu menggeleng perlahan.
"Apa yang anakanda bicarakan ni?
Anakanda adalah Damak. Batu Permata Putrajidar buktinya. Jika anakanda bukan Damak, sudah pasti tubuh anakanda hancur sebelum sempat pindah kemari."
Azizi terdiam seketika. Matanya melerek ke bawah, mencari jawapan. Dadanya semakin sesak dengan pertanyaan yang bersarang.
"Sudah, jangan panjangkan cerita." (titah Paduka Azlan dengan tegas.)
Seluruh balairung menjadi senyap sepi buat seketika.
"Beta tidak mahu mendengar apa-apa pun yang keluar dari mulut kamu semua."
Paduka Azlan menghela nafas sebelum meneruskan bicara.
"Baiklah, Kebayan. Beta letakkan percayakan Beta ke atas kamu. Beta serahkan pemuda itu kepada kamu. Kamu boleh uruskannya seperti yang biasanya. Tapi, ingat!"
"Beta tidak mahu pisang berbuah dua kali."
Nenek Kebayan menunduk hormat.
"Baik, Paduka. Akan patik ingat pesanan Paduka."
"Tapi... Kepercayaan Beta, harus dibalas.. Setiap pemberian, mesti ada imbalannya..." (Paduka Azlan menyambung titahnya semula.)
Nenek Kebayan mengangkat wajah. Hairan dan resah.
"Im... Imbalan? Baiklah, apa imbalan yang diinginkan Paduka? Akan patik cuba usahakan."
Paduka Azlan bersandar ke belakang, senyuman tipis terukir dibibirnya.
"Beta mahu pemuda itu... Paksa Paduka Djata Mamut Aria, serahkan tanah milik kerajaan Aryudhia yang dikuasai oleh bangsa Sriwama kepada Beta."
Riak wajah setiap yang hadir terus berubah mendengar titah Paduka Azlan Mahmud Baginda yang sangat gila dan bahaya itu. Nenek Kebayan sekadar mengangguk tanpa berbincang dengan Azizi.
"Menjunjung perintah, Paduka."
Azizi memandang ke arah Suri. Wajah gadis itu kini merah padam, jemarinya mengepal erat tanda tidak setuju dengan perintah ayahandanya sendiri.
"Dengar sini semua!"
Paduka Azlan bangkit dari tempat duduknya.
"Beta mahu kehadiran Damak di negeri Tandasuka ini dirahsiakan! Jangan sampai bocor diluar sana. Andai kata ada yang cuba mencabar titah Beta, maka orang itu akan dihukum pancung!"
"MENJUNJUNG PERINTAH,
PADUKA!" (laung semua yang hadir serentak.)
Kemudian, mata Paduka Azlan tajam memandang ke arah Azizi.
"Dan kau, si pemuda mentah!"
"Beta berikan kau tempoh satu purnama sahaja untuk dapatkan kembali tanah yang Beta mahukan. Buktikan kepada Beta yang kau adalah Damak bagai yang kata..."
Azizi menjulingkan mata ke atas, langsung tidak terkesan dengan ugutan itu.
"Hmm..."
balasnya acuh tak acuh.
Paduka Azlan mendengus marah.
"Dasar manusia tidak tahu untung."
Tanpa banyak bicara, Paduka Azlan mengambil Batu Permata Putrajidar yang masih dijulang oleh pembantunya, lalu dilemparkan ke arah Azizi secara kasar.
"NAH!"
"Ambil semula Batu Permata kau itu, kemudian berambus dari sini."
Panglima segera bertindak menghulurkan perintah, melepaskan ikatan di tangan Azizi. Nenek Kebayan segera memberikan hormat dan menarik tangan Azizi untuk mengikuti langkahnya meninggalkan Balairung istana. Namun ditempis lembut oleh Azizi, membuatkan Nenek Kebayan menjadi binggung sebentar.
Azizi menggerakkan pergelangan tangannya yang masih terasa sakit, lalu membongkok untuk mengambil kembali permata itu dari lantai. Tanpa memberi hormat kepada Paduka Azlan, dia berpaling dan mengikuti langkah Nenek Kebayan meninggalkan singgahsana.
Namun sebelum mereka sempat beredar, satu suara menyapa dari belakang.
"Nanti!"
"Suri, ke mana Anakanda mahu pergi?"
Langkah Suri terhenti. Dia hanya menoleh dan memandang ayahandanya dari sisi.
"Daripada Anakanda duduk di sini melihat kelakuan Ayahanda yang tidak ada adab pada tamu, lebih baik Anakanda pergi membantu Nenek Kebayan."
Tanpa menunggu balasan, Suri melangkah pergi.
Paduka Azlan tersenyum sinis menahan emosi, merenung tajam ke arah Suri yang berlalu pergi. Kerutan di dahinya jelas menampakkan ketidakpuasan hati. Tanpa sepatah kata, beliau mengangkat tangannya, jari telunjuk melambai perlahan.
Panglima Megat Jaya yang setia, segera melangkah mendekat. Paduka Azlan membisikkan sesuatu dengan suara yang hampir tenggelam. Mata Panglima mula melirik ke arah mereka yang dimaksudkan, seketika Panglima mula tersenyum sinis.
Share this novel