Bab 13 : Gertakan Perang, Bermula. (OVA)

Fantasy Series 916

Pagi itu, langit kelihatan suram. Kawasan lapangan berhampiran Gunung Berapik bergema dengan derapan kaki tiga puluh ribu askar yang berkumpul, membentuk satu lautan manusia yang sangat luar biasa. Panji-panji berkibar, seolah-olah menyahut bisikan angin yang dingin.

Di atas bukit kecil, kelihatan Raja Agung Lagindra, Tuanku Izzuddin Shah, berdiri gah, memerhati medan yang bakal disimbah darah.

Beberapa panglima berdiri disampingnya dengan penuh setia, untuk menjaga keselamatan Baginda.

"Hmmm... kamu semua..."

Suara Tuanku Izzuddin Shah bergema tenang, namun tegas.

"Pergilah berjuang bersama pasukan kalian. Jangan difikirkan Beta. Kekuatan kamu sangat diperlukan mereka."

Seorang panglima melangkah kehadapan, suaranya penuh tegas dan nekad.

"Tidak, Tuanku. Bagi patik, Tuanku adalah obor kami. Tanpa Tuanku, padamlah semangat kami. Kami wajib menjaga Tuanku, walau kami harus terkorban."

Mendengar itu, Tuanku Izzuddin Shah hanya tersenyum kecil. Sebuah senyuman dari seorang raja yang memahami beban dipikulnya.

"Terima kasih Beta ucapkan. Beta terharu dengan keberanian kamu semua. Tetapi... Takdir yang telah ditetapkan, tidak mampu dihalang oleh tangan manusia."

Belum sempat suasana menjadi terlalu syahdu, empat Paduka, menunggang kuda mereka menghampiri dengan laju.

Paduka Wijaya Setia, pemimpin bangsa Aryudhia, melompat turun dari kudanya dan segera menghadap.

"Ampun Tuanku, seluruh pasukan telah pun bersiap-sedia. Hanya menunggu perintah Tuanku sahaja."

"Hmm. Bagus."

"Dengar sini semua. Beta mahu kamu semua rapatkan kawasan tempur. Jangan beri sedikit ruang pun kepada pihak musuh untuk menyerang balas. Jika ada cacat-cela, segera tutup kelemahan itu sebelum pihak musuh menghidunya."

"Pesan kepada semua askar kita. Kita harus selangkah ke hadapan. Jika lengah... Impian akan bertukar menjadi angan-angan."

Suara Tuanku Izzuddin Shah kini berubah menjadi arahan perang.

"Kita akan serang mereka dari empat penjuru. Biar Garuda tahu kekuatan sebenar pasukan Lagindra."

Baginda memandang ke seluruh kawasan medan perang. Ribuan wajah askar bersekutu menantinya.

"Sekarang, semua bergerak ke tempat masing-masing. Angin perang sudah mula mainkan iramanya."

"Menjunjung titah Tuanku!"

Sebelum para Paduka beredar, Tuanku Izzuddin Shah bertitah, keras bagaikan guruh membelah langit.

"Kali ini, kita perang habis-habisan. Jangan mundur, meskipun nyawa terpisah dari badan. Biar putih tulang, jangan putih mata!"

Laungan Baginda bergema ke seluruh medan tempur, membakar semangat setiap pejuang. Genggaman tangan mereka menjadi semakin erat. Jiwa mereka mula membara.

Mereka tahu, peperangan ini bukanlah sekadar peperangan biasa. Tetapi ia adalah penentu masa depan Lagindra.

Angin dingin yang menusuk, mula menyelubungi kawasan perang, membawa bersamanya aroma maut. Burung gagak, hitam seperti bayang kematian, berkumpul dan berterbangan di udara, sabar menanti saat-saat untuk mencabik mayat para askar. Ketegangan semakin terasa seperti tarikan tali dalam sebuah busur panah yang siap melepaskan serangannya.

Kesemua para askar, seperti patung-patung perak, berdiri dengan teguh di tengah medan yang terbuka. Suasana menjadi sunyi, hening, dan menakutkan, sehingga hanya suara angin yang deras mengibarkan panji-panji mereka dapat terdengar, mengingatkan mereka akan nasib yang menanti di garis depan.

Mereka semua sudah pun bersiap siaga, menggenggam erat senjata masing-masing. Hanya menunggu sebarang arahan yang bakal diberikan oleh para Paduka. Anak mata para askar saling memandang tajam ke arah musuh yang jauh dibalik bayangan gelap. Keadaan sepi hanya terganggu oleh gemuruh angin yang berbisik di telinga mereka, seolah-olah membawa pesan kematian yang akan tiba.

Ketika ketegangan mencapai puncaknya, para askar Garuda mulai melakukan gertakan yang memenuhi angkasa dengan seruan-seruan ganas dan dentuman perisai mereka yang bergaung seperti lagu kematian. Irama keganasan itu mengirimkan getaran yang menggigilkan ke seluruh tubuh para askar bersekutu.

Tiba-tiba, muncullah seorang lelaki yang sangat gagah dan menakutkan. Tingginya hampir mencapai lapan kaki, membuatnya seolah-olah seperti seorang lelaki raksasa yang menakutkan. Para askar bersekutu dapat melihatnya dengan jelas, dan aura hitam yang mengelilinginya seakan-akan menjadikannya sosok yang datang dari alam maut. Dengan tubuh yang besar dan menakutkan, dia berdiri dengan gagah di atas tembok menara.

Ketika dia berbicara, nadanya begitu garau dan menakutkan, seolah-olah datang dari dalam jurang kematian. Setiap kata yang terucap dari bibirnya menciptakan getaran yang merambat melalui angin malam, mengejutkan dan menggetarkan jiwa para askar bersekutu.

"Lihatlah mereka disana... Mereka menyangka diri mereka perkasa? Sungguh, jiwa mereka sekecil bayi yang baru belajar merangkak."

"Biarkan... Biarkan mereka mara, jika mereka berani membayarnya dengan nyawa mereka sendiri."

"Dengar sini, wahai bangsa yang hina... Setapak kamu melangkah, hanya kematian yang akan menyambut kamu semua dihujung jalan!"

Seluruh pasukan askar Garuda bergemuruh, meraikan laungan Raja mereka sendiri. Ucapan itu bagai bisikan syaitan yang meracuni hati mereka, menghakis keberanian beberapa askar bersekutu hingga jiwa mereka bergoncang seumpama daun disambar angin rebut. Bahkan kuda-kuda tunggangan mereka turut merasai getar ketakutan yang sama, sehinggakan ada yang meringkik nyaring, seakan-akan menyaksikan sendiri malaikat maut menjengah dihadapan mata.

"BERTENANG!"

"Bertenang semua! Teguhkan hati kamu! Tunjukkan semangat juang kamu semua. Jangan biarkan diri kamu semua dinoda dengan kata-kata mereka!"

"Ingat! Kita berjuang demi maruah, demi tanah air, demi darah daging kita! Demi Lagindra!"

"Jika kamu semua mahu pulang, pulanglah dengan membawa kemenangan! Bukan dengan kehampaan!"

Laung Paduka Mamut Aria, suaranya membelah angin pagi, cuba mengangkat semangat para pejuang yang hampir lemah.

Dalam gegak gempita itu, seorang hulubalang muda dibarisan hadapan membisikkan pertanyaan kepada hulubang lain disisinya.

"Tuan hamba, siapa gerangan musuh yang melaungkan kata-katanya tadi?" (tanya hulubalang muda itu dengan nada yang bergetar.)

Seorang hulubalang yang sedikit berumur menatap wajah rakannya dengan sinis.

"Apa tuan hamba tidak mengenalinya?"

"Maaf... Ini baru pertama kali hamba bersama dalam perang besar."

Hulubalang muda itu menundukkan wajahnya.

"Oh begitu. Hmm...

Hulubalang yang berumur itu berwajah dingin. Berat untuk dia mengatakan tetap, sudah menjadi kewajipan untuk semua para pejuang mengenali musuh mereka.

"Ketahuilah, bahawa dialah Garuda. Orang kanan Angmaar, Penguasa dan Raja bagi kerajaan Mandala."

Mendengar nama itu, tubuh hulubalang muda itu mula menggigil, seakan merasa dirinya bakal melawan malaikat maut. Sahabatnya tersenyum, lalu bertanya perlahan...

"Tuan hamba sudah berkeluarga"

"Sudah... Dan sekarang, hamba dan isteri hamba sedang meniti masa, menyambut cahaya kami yang pertama." (balasnya, suara bergetar menahan sebak.)

"Maka, pejamkanlah mata tuan hamba seketika... Bayangkan wajah dan senyuman isteri yang menanti."

"Dan bersumpahlah. Bahawa kemenangan ini adalah hadiah buat mereka!" (ujar hulubalang yang berumur itu dengan nada yang penuh keyakinan.)

Airmata membasahi pipi hulubalang muda itu, namun dibalik tangisan itu, api semangat mula membakar lebih marak dari sebelumnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience