Episode 2 : Selamat Kembali.

Fantasy Series 910

Bas mula berhenti di hentian terakhir. Azizi bangun perlahan, melangkah keluar ke jalan yang sunyi. Angin malam menyapa wajahnya, tetapi tiada rasa yang singgah di hatinya. Langkah kakinya menuju pulang ke rumah terasa berat… Seperti ada beban yang tidak kelihatan menjerut tubuh dan jiwanya.

Sampai di rumah, Azizi disambut oleh kegelapan yang menyelimuti ruangan rumahnya itu. Rumah peninggalan arwah datuknya yang terletak di pinggir bandar memang sentiasa sunyi. Tiada sesiapa yang menanti kepulangannya, tiada suara yang menyapa, cuma keheningan malam yang menyelubungi setiap penjuru dinding. Dia membuka pintu rumah dengan perlahan, membiarkan bunyi engsel berkeriut menembusi suasana sepi.

Lampu ruang tamu dibiarkan malap. Azizi membuka kasut, meletakkannya di tepi rak, kemudian melangkah perlahan menuju ke bilik air. Dia menyalakan lampu bilik mandi, membiarkan cahaya kekuningan membias di lantai jubin yang sejuk. Air pancuran membasahi tubuhnya, namun dinginnya tidak mampu mengusir beban yang mengikat hatinya sejak sekian lama. Dalam diam, Azizi memejam mata, membiarkan segala keluhan dan kecewa mengalir diwajahnya, seolah-olah cuba membasuh kekosongan yang semakin hari, semakin mencengkam jiwanya.
Selesai mandi, dia menyarungkan baju tidur dan melangkah ke ruang tamu. Dia membuka televisyen, membiarkan suara latar dari siaran berita mengisi kesunyian bilik. Tangan Azizi mencapai sebungkus mi segera yang sudah kembang di dalam mangkuk. Setiap suapan terasa tawar, langsung tiada rasa. Sekadar mengisi perut yang kosong.

Beberapa ketika kemudian, matanya mula melirik ke skrin telefon. Jam di sudut skrin sudah menunjukkan waktu sebelas setengah malam. Azizi langsung menghela nafas panjang.

“Berakhir sudah satu lagi hari tiada makna.”

Dia menutup televisyen, lalu membawa mangkuk kosong ke dapur dan mencucinya perlahan. Selepas itu, langkah kakinya yang berat diheret ke bilik tidur. Tangan Azizi menolak pintu bilik, kelihatan cahaya samar dari lampu jalan di luar menyelinap masuk melalui celahan tirai.
Dengan penuh tidak berdaya, dia merebahkan tubuhnya ke atas tilam yang sudah lama kehilangan empuknya.

Tubuhnya terasa tenggelam dalam keletihan, namun fikirannya tetap ligat berputar. Dari dalam keheningan malam, pelbagai bunyi mula singgah di pendengarannya. Bunyi detikan jam di dinding, suara anjing menyalak dari kejauhan, desiran tayar kenderaan yang melintasi jalan, dan deruan angin yang menampar lembut pada tingkap.
Azizi memejamkan matanya. Dalam kegelapan itu, fikirannya mula hanyut ke ruang kosong yang sudah biasa dihuninya setiap malam. Sebelum tidur, bibirnya sempat mengukir satu bisikan kecil yang seolah-olah menjadi doa yang tidak pernah terjawab.

“Esok… Hari yang sama akan berulang lagi.”

Suara makhluk malam, mula menyelebungi suasana tengah malam yang sunyi. Keadaan sangat tenang pada masa itu dengan angin yang bertiup lembut memecah keheningan malam namun suasana damai itu mula diganggu sebentar.

"PANGG!!"

Bunyi dentuman kuat memecah kesunyian malam. Azizi yang terkejut segera bangun dari tidurnya yang lena. Matanya terbuka luas, dan secara tiba-tiba jantungnya mula berdegup kencang. Dia mula bernafas resah ketika dia duduk di atas katil, matanya liar memandang ke sekeliling bilik yang hanya diterangi samar-samar cahaya dari luar. Bingung, seram, resah. Itulah yang dialami oleh Azizi sekarang ini.

“Bunyi apakah tadi itu? Seperti bunyi benda jatuh, tapi apa?” (keluh Azizi yang penuh kebingungan.)

Dengan tangan yang menggeletar, Azizi mencapai telefon bimbitnya yang berada diatas meja sisi dan lantas menekan butang kuasa. Paparan waktu di skrin telefon menyala terang dihadapan matanya. 03:00 AM.

“Tiga pagi? Siapa pula yang nak buat bising waktu-waktu begini?” (keluhnya lagi.)

Bisikan hati Azizi mula mengusik fikirannya sendiri.

“Hantu ka? Ish, tak mungkin. Selama ni aku tinggal seorang diri, tak ada gangguan pun? Atau… Pencuri? Rasanya tadi sebelum tidur, aku sudah kunci pintu rumah.”

Pelbagai kemungkinan mula bermunculan difikirannya itu. Suasana yang sunyi dan gelap mula terasa menekan. Dia menggenggam erat telefon ditangannya, jemarinya menari di skrin, mahu menelefon polis. Namun, jari-jarinya tiba-tiba terhenti bergerak seketika.

“Nanti kejap! Kalau bukan apa-apa, bukankah akan memalukan aku sendiri? Hmm, lebih baik aku sahkan dulu sebelum buat sebarang tindakan.” (fikirnya.)

Azizi kemudian mula menarik nafasnya dalam-dalam. Lantas matanya melirik ke arah atas almari, di mana sebatang kayu hoki lama tersandar kukuh. Dengan langkah yang berhati-hati, dia bangkit dari katil dan mencapai kayu hoki tersebut, menggenggamnya erat.

“Kalau betul pencuri, memang silap besarlah kau…” (bisik Azizi kepada dirinya sendiri, cuba menenangkan hatinya yang kian berdebar.)

Dengan kayu hoki ditangan, Azizi melangkah perlahan-lahan keluar dari bilik. Kakinya memijak lantai jubin sejuk, setiap derapan langkah terasa bergema dalam keheningan rumah yang sunyi. Dia memeriksa ruang tamu, tiada apa-apa yang mencurigakan. Kemudian, di dapur, kosong. Lantas, bilik mandi juga tiada sesiapa.

Kini, hanya tinggal satu tempat sahaja yang belum diperiksa olehnya. Bilik stor yang dulunya adalah bilik tidur arwah datuknya.

Dengan hati-hati, Azizi berdiri dihadapan pintu bilik stor itu. Tombol pintu lusuh itu kelihatan berkarat. Nafas Azizi semakin memberat. Tangannya teragak-agak sebelum akhirnya menggenggam tombol pintu dengan perlahan. Dengan satu tarikan nafas yang dalam, dia memutarkan tombol itu dan menolak pintu dengan berhati-hati.

“KREEEKKKK…”

Suara engsel pintu yang berkeriut memecahkan kesunyian. Azizi menyergah,

“Siapa kat dalam?! Keluar sekarang! Sebelum kepala kau, aku pecahkan, baik kau keluar!” (pekik Azizi dengan nada yang keras.)

Namun, bilik itu juga kosong. Tiada sesiapa di dalam.

Azizi yang tadinya agak resah, mula melepaskan keluhan berat. Dia menurunkan kayu hoki yang masih digenggamnya. Hatinya mula tenang, namun sebelum dia sempat melangkah keluar dari bilik, matanya tertancap pada sesuatu di lantai.

Sebuah peti kayu kecil.

Peti itu kelihatan usang, dengan ukiran motif bunga dan corak geometri disekelilingnya. Penutupnya sedikit terbuka, seolah-olah telah terjatuh dari tempat tinggi.

Kening Azizi mula berkerut. Dia merasa agak pelik, bagaimana peti tersebut boleh berada di lantai sedangkan kedudukan rak simpanan agak jauh. Dia yang kebingungan, terus berjalan mendekati peti kayu itu, lalu berjongkok dan mengambil peti tersebut. Dengan penuh tanda tanya, Azizi meneliti peti kayu itu. Tangannya meraba permukaan kasar peti tersebut sebelum perlahan-lahan membukanya.

“Klik!”

Penutup peti terangkat perlahan. Di dalamnya, terselit sebuah Batu Permata yang berwarna seakan kekuningan. Batu itu bersinar malap dalam cahaya samar bilik stor, memantulkan kilauan halus yang seakan-akan menari di permukaannya.
Kilauan Batu Permata itu mula menarik minat Azizi. Dengan perlahan, Azizi membelai batu itu dengan hujung jarinya. Lantas dia Batu Permata tersebut mula mengeluarkan aura yang agak hangat. Keadaan itu membuatkan Azizi menjadi terkasima sebentar.

“Eh? Batu ni terasa suam-suam hangatlah.”

Di dalam suasana yang agak pelik dan bingung, satu bayangan samar mula menyentuh mindanya.

“Datuk… Pernah tunjuk benda ni dekat aku dulu, tapi… Bila ya?”

Azizi cuba mengingat kembali, namun ingatan itu terasa kabur. Samar-samar, dia terbayang arwah datuknya pernah duduk di bangku kayu, membersihkan batu itu dengan penuh cermat.

“Batu ini… Batu apa sebenarnya?”

Azizi termenung lama, memandang batu itu dengan penuh kebingungan. Aura misteri yang menyelubungi peti dan batu tersebut mula meresap ke dalam fikirannya. Namun, sebelum fikirannya hanyut lebih jauh, Azizi mula menghela nafas dan menutup peti itu semula.

“Ah, nanti saja aku fikirkan. Bunyi tadi, mungkin kerana aku terlalu penat…”

Dia bangkit, menghempaskan nafas panjang dan melangkah keluar dari bilik stor. Di tangannya, peti kayu itu masih digenggam erat. Perasaan ingin tahu mula menyelinap dalam benaknya, namun dia cuba untuk menghiraukannya kerana baginya semua itu tiada kaitan dengannya.

Keesokkan harinya, embun pagi yang masih membasahi dedaunan, memantulkan cahaya keemasan yang mula menyinari ufuk timur. Udara pagi yang terasa segar, menyusup lembut ke setiap pelusuk. Bunyi desiran angin yang menari di antara ranting-ranting pokok, mula mencipta melodi yang menenangkan. Di tambah pula dengan kicauan burung bersahut-sahutan dari kejauhan, seakan-akan menyambut mentari yang mula memancarkan sinarnya ke seluruh pelosok alam.

Kelihatan langit mula berubah warna, dari kelam kebiruan kepada rona jingga lembut. Awan yang berarak perlahan tampak seperti sapuan halus di atas kanvas langit. Daun-daun hijau berkilau dek pantulan sinar pagi, menambahkan lagi keindahan suasana yang penuh ketenangan.

“KOKOK!! KOKOK!!”

Suara ayam berkokok tiba-tiba memecah keheningan pagi. Azizi mula tersedar dari tidurnya yang lena. Matanya yang masih berat mula dibuka dengan perlahan. Dia mengerutkan kening, cuba menyesuaikan penglihatannya dengan cahaya pagi yang bersinar terang.

Azizi agak kebingungan, bagaimana ruangan biliknya menjadi sangat terang benderang padahal sebelum ini cahaya luar hanya mampu menembusi celahan tirai biliknya sahaja.

Dengan malas, Azizi bangkit dari pembaringannya. Dia menguap panjang sambil meregangkan tubuhnya yang terasa sedikit kejang.

“Hahhh…”

“Kenapa lain macam rasa suasana pagi ni? Dengan bunyi ayam bagai, padahal mana ada orang bela ayam dekat kawasan sini. Pelik betullah…”

Dia menggosok-gosok matanya yang masih terasa kabur. Namun, sebaik sahaja matanya terbuka sepenuhnya, Azizi terus tersentak. Keningnya berkerut rapat.

"Eh?!!"

Perlahan-lahan, dia memandang sekeliling. Apa yang dilihatnya membuatkan jantungnya berdegup kencang.

“Apa yang dah jadi ni?!”

Azizi terus kaku sebentar. Matanya liar memerhatikan suasana sekeliling. Dia tidak lagi berada di biliknya. Sebaliknya, dia kini duduk di atas sebuah padang rumput yang lembut dan basah, diselimuti embun pagi. Pandangannya mula menyapu sekeliling tatkala melihat hamparan padang hijau yang terbentang luas sejauh mata memandang, disinari cahaya matahari pagi yang berkilauan.

“Aku… kat mana ni?” (tanya Azizi yang resah.)

Azizi cuba berdiri dengan perlahan. Hatinya mula berdebar kencang. Kakinya mula bergetaran ketika melangkah ke hadapan dengan perlahan. Angin pagi yang bertiup lembut menyapu wajahnya, tetapi perasaan aneh yang mula menyusup ke dalam hatinya membuatkan dia semakin resah.

“Kenapa… aku boleh ada di sini?”

Dia cuba menenangkan diri, menarik nafas panjang, tetapi perasaan cemas itu sukar untuk dihalau. Fikirannya kian berkecamuk, cuba mencari jawapan.

“AKU DEKAT MANA NI?!!”

Sementara itu, di suatu tempat yang tidak diketahui, kelihatan seorang nenek tua sedang tertawa sinis, lalu berkata…

“Selamat kembali.”

“DAMAK.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience