Bab 14 : Musuh Yang Mustahil. (OVA)

Fantasy Series 916

Paduka Mamut Aria bergerak ke hadapan untuk mengetuai serangan.

"PEMANAH, BERSEDIA! (jerit Paduka Mamut Aria.)

Mendengar arahan Paduka Mamut Aria, para pemanah dibarisan tempur dengan cepat mengambil anak panah mereka, meletakkannya pada tali busur panah, dan bersiap sedia dengan penuh debaran.

Tiba-tiba, dari kawasan musuh, muncul seorang lelaki gagah dan berotot melangkah masuk ke tengah medan perang yang tegang. Cara lagaknya tidak ubah seperti ayam jantan. Dengan suara yang menggetarkan angin, dia menjerit dengan penuh semangat sehingga memecahkan keheningan medan perang.

"AKU PANGLIMA TERUPAK!"

"Orang kanan kepada Tuanku Raja Garuda. Aku mahu mencabar Paduka kalian untuk beradu tenaga denganku! Jika kau benar anak jantan..."

"KELUARLAH KAU DAN TENTANG AKU!"

"Tiada guna kau bersembunyi dibelakang askarmu yang bacul!" (jerit Terupak.)

Paduka Mamut Aria mula berjalan ke tengah medan perang sambil membawa lembing dan perisai bersamanya.

"Aku Mamut Aria. Paduka bagi kerajaan Sriwama. Jika kau sudi menjual, aku sud membeli. Ayuh, mari kita beradu tenaga!"

"Jangan sesekali kau hampakanku." (balas Paduka Mamut Aria sambil ketawa sinis.)

Panglima Terupak, yang mendengar sindiran daripada Paduka Mamut Aria, segera menjadi berang. Tanpa berfikir panjang, dia meluru ke arah Paduka Mamut Aria untuk menyerang. Namun, semasa pertempuran satu lawan satu itu hendak berlangsung, tiba-tiba satu anak panah dilepaskan dari arah pasukan bersekutu, dan terus mengenai wajah Panglima Terupak.

Kejadian itu telah mengejutkan semua orang. Pasukan Garuda yang menyaksikannya, mula menjadi marah dan menganggap pasukan bersekutu telah memperdayakan mereka.

Paduka Mamut Aria segera menoleh kearah pasukan askar pemanah bersekutu dengan wajah penuh tegang.

"Siapa yang lepaskan anak panah?"

"SIAPA?!" (jerit Paduka Mamut Aria kepada pasukan pemanah bersekutu).

Semua askar pemanah melihat ke kiri dan ke kanan mencari siapa yang telah melepaskan panahan tersebut. Lalu, ketua dari pasukan pemanah menjerit kepada Paduka Mamut Aria semula.

"TIADA SESIAPA, PADUKA."

"KAMI JUGA TIDAK TAHU."

Paduka Mamut Aria mula berang melihat kekacauan yang melanda. Namun, di tengah kemarahannya itu, matanya tiba-tiba terpaku pada satu pemandangan yang aneh.

Anak panah yang tertancap di wajah Panglima Terupak yang telah gugur, perlahan-lahan berubah menjadi sebatang anak panah berwarna hitam, seolah-olah diselubungi sihir kegelapan. Terkejut dengan petanda buruk itu, Paduka Mamut Aria segera menjerit lantang.

"INI PERBUATAN DARI ANGMAAR!"

"Dia menipu mata kita dengan sihirnya!"

"Anak panah itu milik mereka, bukan kita!"

Tiba-tiba segumpal asap hitam legam muncul, bergulung-gulung bagai naga liar, membelah langit suram. Pusaran itu memutar laju ditengah medan perang, menerbangkan debu dan pasir ke udara.

Dari celah pusaran ngeri itu, muncullah sosok makhluk yang paling digeruni diseluruh Buana Lagindra.

Angmaar.

Jubah hitamnya meleret ke tanah, lusuh, dan menakutkan. Kedua tangannya memakai sarung perisai yang tajam dan berkilat. Warnanya hitam berkilau bagai disepuh racun kematian. Wajahnya disembunyikan dibalik topeng yang bercorak bunga ros hitam berduri. Dengan makhkota yang gah dikepala, jelas mengatakan dia adalah Permaisuri, Penguasa dari dunia kegelapan.

Namun apa yang lebih menggerunkan. Di balik topeng itu, terpancar sepasang mata merah menyala, terang bagai darah yang disinari cahaya bulan purnama. Tatkala matanya membelah pandangan, seakan seluruh medan perang direnggut ke dalam jurang kegelapan yang tiada berpenghujung.

Di tangan kanannya, Angmaar membawa sebuah bola kristal yang aneh. Ia bergelora dengan asap hitam yang berpusing perlahan didalamnya. Sesekali, dari dasar kristal itu, memancar sinar keemasan yang lemah, seakan roh-roh yang terkurung, meraung meminta untuk dilepaskan.

Segala derap kuda dan deru nafas manusia terhenti.
Seluruh pasukan bersekutu membatu, membeku, terpaku antara takut dan ngeri. Ada yang tangannya terkulai di sisi tubuh, ada yang lututnya bergetar hendak rebah, ada pula yang hanya mampu menggenggam senjata dengan jari-jari yang membeku kaku.

Para Paduka dan Raja Agung, Tunku Izzuddin Shah, tergamam tatkala melihat kemunculan Angmaar dihadapan mereka. Suara gigi Baginda yang bergeser, jelas kedengaran. Wajah mereka pucat, berkerut memandang susuk makhluk merbahaya itu.

Angmaar berjalan mendekati Garuda.

Ketawa kecilnya mula berkumandang. ketawa yang panjang, dan mengerikan itu, seakan suara pontianak yang mengilai-ngilai dihujung belantara. Setiap titisan suara ketawanya menikam terus ke jantung mereka yang mendengar, menggugurkan semangat seumpama dedaunan kering ditiup badai.

Angin pun seakan takut untuk terus berhembus.
Medan perang kini berubah menjadi gelanggang maut, menanti takdir terburai.

"Hahaha... Izzuddin Shah..."

"Sudah sekian lama Adinda tidak menatap wajah Tuanku..."

"Akhirnya... Akhirnya hari ini, takdir mempertemukan kita di gelanggang darah ini."

"Hahaha... Betapa Adinda merindui saat mencabut jiwa seorang Raja... Hampir terlupa, bagaimana nikmat rasanya ia mengalir ke jari-jemari..."

Angmaar tersenyum serong, tatkala suaranya memecah kesunyian, bagaikan bisikan maut yang memanggil roh keluar dari tubuh.

"Marilah, kasih... Usah dilambatkan azabmu."

"Adinda sudah tidak sabar mahu merenggut nyawa kamu semua.... Satu persatu... Dengan sekali rentap! Pasti enakkan?"

"CIS!!"

"Angmaar! Tidak kira siapa pun kau! Kami tidak gentar. Biarpun kezalimanmu setinggi gunung, sekejam kerak neraka, tetapi jiwa kami tetap akan teguh!"

"Selagi darah mengalir dalam nadi, selagi itu Lagindra akan tetap berdiri." (herdik Tuanku Izzuddin Shah, lantang.)

Mendengar titah penuh api itu, Angmaar dan Garuda tertawa terbahak-bahak. Ketawa mereka bergema panjang, seakan badai malam yang memukul jiwa-jiwa yang gentar.

"Hmm... Mari kita lihat seteguh mana jiwa kamu semua..."

Garuda mengangkat tangan kanannya tinggi ke langit, lalu dengan perlahan, dia menurunkan tangan itu, menghala ke arah pasukan bersekutu dengan senyuman sinis terukir diwajahnya.

Arahan Garuda seolah-olah seperti melepaskan tali ikatan segerombolan serigala yang lapar. Dalam kehausan akan pertumpahan darah, askar-askar Garuda meluncur laju menuju kearah pasukan bersekutu dengan jeritan yang bergemuruh.

"ARGHH!!"

"Pemanah, bersedia!" (jerit Paduka Mamut Aria sambil berlari kembali kebarisan tempur.)

Seluruh pemanah dari barisan tempur mengangkat busur mereka tinggi ke langit. Paduka Mamut Aria mengangkat tangannya tinggi ke udara, menjadi isyarat kepada semua.

"Tunggu..."

Suaranya bergema ditengah deru angin.

"Sedikit lagi..."

Suaranya menurun, mengawal bara di dada para pemanah.

"Sedikit sahaja lagi..."

Lontaran kata itu seolah-olah menyekat nafas seluruh pasukan, sabar menanti saat pembebasan.

Beberapa tangan askar pemanah sudah mula menggeletar kerana menahan anak panah dari dilepaskan.

"SEKARANG!" (jerit Paduka Mamut Aria sambil menghempaskan tangannya ke bawah.)

Para pemanah segera melepaskan anak panah mereka setelah mendengar perintah. Tiba-tiba, langit berubah menjadi gelap gulita, kerana medan perang ditutupi oleh ribuan anak panah yang berterbangan di udara menuju ke arah para askar Garuda. Suasana yang gelap dan menakutkan itu menyelimuti seluruh medan perang, namun tidak sedikit pun meruntuhkan semangat askar Garuda.

Para askar Garuda yang melihat ribuan anak panah mendatangi mereka segera mengangkat perisai mereka ke atas. Meskipun banyak anak panah mengenai tubuh para askar Garuda dengan sasaran yang tepat, tetapi hanya sedikit dari mereka yang tewas.

"MEREKA KEBAL!" (jerit salah seorang hulubang.)

"Merepek!" Mereka tidak kebal. Cuma sasaran sahaja yang tidak mengenai mereka. Lepaskan anak panah lagi!" (herdik Paduka Mamut Aria.)

Para pemanah segera mengulangi aksi mereka, sehingga anak panah mereka mulai berkurangan.

"Musuh sudah dekat!"

"Pemanah undur ke belakang!"

"Pasukan lembing, benteng!" (arah Paduka Mamut Aria lagi.)

Para pemanah, mendengar titah Paduka Mamut Aria, segera berundur dengan pantas, bergabung dengan barisan pertahanan dibahagian belakang.

Pasukan lembing segera mara ke hadapan, merapatkan saf mereka serapat mungkin, hingga terbentuk seperti sebuah tembok perisai yang kukuh bagai benteng batu.
Tiada celah, tiada ruang. Semuanya dikunci rapat.

Barisan kedua, seiring dengan barisan pertama, melangkah ke depan, menghalakan lembing mereka lurus kehadapan, menusuk ruang di antara perisai.

Manakala barisan ketiga pula, mengangkat perisai ke atas kepala mereka, membentuk bumbung perisai seperti perisai kura-kura.

Tidak berhenti di situ, barisan keempat mencondongkan lembing mereka ke langit, bersilang-bersilang, seperti kawad pagar berduri yang mampu menggetarkan jiwa musuh yang memandang.

Taktik perang mereka sangat sempurna dan teratur. Dari sudut pandang, kelihatan bagai sebuah tembok yang tidak dapat dipecahkan.

Apabila pasukan Garuda mendekat, pasukan lembing dari barisan kedua memulakan tindakan mereka dengan menikam pasukan Garuda menggunakan lembing mereka. Sementara itu, pasukan lembing dari barisan hadapan menahan segala serangan yang dilancarkan oleh askar Garuda.

Ketika berlakunya serangan, seorang askar lembing dari barisan hadapan telah ditikam oleh askar Garuda, menyebabkan ruang tembok perisai sedikit terbuka. Namun, berkat semangat juang yang tinggi, pasukan lembing dengan cepat mengatasi situasi tersebut dengan menggantikan askar yang gugur tadi dengan yang lain, sekali gus, berjaya menutup ruang tembok itu dari ditembusi.

Namun, askar Garuda tidak berputus asa. Sesetengah dari mereka cuba melompat untuk memecahkan tembok perisai dari atas, tetapi usaha itu tetap gagal kerana serangan dari atas juga dapat dipatahkan dengan mudah oleh askar lembing. Para askar Garuda mula merasakan kegelisahan kerana mereka masih gagal untuk memecahkan tembok perisai, sementara mereka terus dihujani dengan ribuan anak panah yang meluncur ke arah mereka.

"BERTAHAN SEMUA!"

"MUSUH SUDAH HILANG SEMANGAT!"

"Jika berterusan begini, kemenangan pasti akan menjadi milik kita!" (jerit salah seorang hulubalang dari pasukan lembing.)

"Tuanku, nampaknya askar Garuda sudah mula berundur." (ujar seorang panglima sambil menundukkan kepalanya kepada Tuanku Izzuddin Shah.)

"BAGUS!"

"Nampaknya, rancangan kita membuahkan hasil. Panglima, sampaikan segera perintah kepada semua Paduka. Kita lanjutkan dengan rancangan yang seterusnya." (titah Tuanku Izzuddin Shah dengan nada yang tenang.)

Tanpa berlengah, panglima segera memacu kudanya, membawa berita itu kepada semua pemimpin barisan.

Namun, dalam kegembiraan yang mula berputik di dada, Tuanku Izzuddin Shah merasakan sesuatu yang aneh.

"Hmmm..."

"Mengapa peperangan ini terasa terlalu mudah?" (bisik Tuanku Izzuddin Shah dalam hati, matanya tajam memerhati suasana.)

Saat para askar bersekutu mula bersorak kecil, tiba-tiba.

"BAAANGGG!!!"

Satu gegaran dahsyat mengegarkan bumi!
Benteng manusia yang terbentuk dari pasukan lembing hancur berkecai dalam sekelip mata. Askar-askar terpelanting ke serata medan, jeritan ngeri memenuhi udara.

Semua askar terbeliak besar, mereka tidak mengerti dari mana datangnya serangan yang begitu mengerikan.

"APAKAH!?"

Paduka Mamut Aria pantas berpaling ke arah Garuda yang kini berdiri dengan wajah puas, senyuman sinis terukir dibibirnya.

"Tak... Tak mungkin."

"Tak mungkin kekuatannya sebesar itu?" (bisik Paduka Mamut Aria, menggenggam lembingnya erat, tubuhnya bergetar menahan rasa terkejut.)

Di tengah-tengah kekacauan perang, Garuda dengan tidak berperikemanusiaan telah melemparkan sebuah batu raksasa ke arah mereka. Seluruh pasukan bersekutu tergamam dengan letupan dahsyat yang baru sahaja diledakkan oleh Garuda.

Mereka seolah-olah baru saja menyaksikan sesuatu yang melangkaui batas akal manusia.

"Tak masuk akal!"

"Seorang manusia mampu mengangkat batu sebesar itu?!" (teriak seorang panglima yang mengawal Tuanku Izzuddin Shah.)

Tuanku Izzuddin Shah mengangkat wajahnya, menatap Garuda yang dipenuhi dengan aura kegelapan.

"Nampaknya, kita sekarang tidak lagi berperang dengan manusia."

"Tetapi... Dengan IBLIS."

Kata-kata Baginda membuatkan beberapa panglima di sisinya tergamam, tubuh mereka menggeletar ketakutan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience