Lapan belas tahun sebelum terjadinya peristiwa Bulan Darah.
Kabut tebal menutupi pandangan, hanya kedengaran suara burung gagak yang dalam kelaparan, menjamah mayat yang terhidang. Bau darah hanyir menyelubungi setiap nafas. Tanah yang dulunya hijau kini bertukar merah, dibasahi titisan darah para pejuang yang gugur.
Seorang lelaki terbatuk perlahan, matanya terkebil-kebil sebelum akhirnya dia mampu melihat sepenuhnya. Lantas dia terus terkejut, melihat dirinya yang terdorong sedikit ke tepi, di timbun bersama mayat yang menekannya. Serpihan perisai retak masih melekat pada lengannya. Nafasnya pendek. Dadanya mula berombak kuat.
Dengan penuh gelisah, dia segera keluar dari timbunan tersebut. Sakit, pedih, letih, tidak lagi dipedulikan. Sekarang, dia harus mencari jalan keluar, namun sekali lagi, matanya terbeliak. Medan perang... Sudah jadi tanah perkuburan. Hanya dia seorang yang terselamat.
"Tidak... Tak mungkin..."
Bisiknya dengan suara serak, nyaris tenggelam oleh bisikan angin yang menyapa sunyi.
Mayat-mayat tentera bersekutu bertaburan. Ada yang terkulai dengan mata terbuka luas, seolah-olah masih terperangkap dalam detik kematian. Kuda perang yang perkasa kini sudah diam, rebah dalam lopak darah dan lumpur. Pedang, tombak, busur, semuanya berselerak, kehilangan tuan.
Lelaki itu cuba berdiri, tapi tubuhnya goyah. Satu luka besar dibetis kirinya masih segar, darah merah mengalir keluar. Dengan tangan menggeletar, dia segera mengoyak lengan bajunya, dan dengan tergesa-gesa mengikat luka itu. Nafasnya tersangkut-sangkut, wajahnya dibasahi keringat, sama ada kerana sakit atau takut, dia sendiri tidak pasti.
Melihat darah yang sudah berkurangan, dia cuba merangkak keluar dari kawasan menyeramkan itu.
"Aku... Harus keluar dari sini... Anak... Isteri... Sedang menungguku."
Perlahan, satu tangan ke hadapan, manakala kaki kanannya menolak badannya untuk bergerak. Dengan perlahan, tubuhnya mula bergerak. Walaupun sukar namun dia tetap berusaha sambil membayangkan wajah keluarganya yang tercinta demi mendapatkan kekuatan.
Tiba-tiba.
Sepasang kaki yang penuh dengan perisai, diselaputi dengan darah, sedang berada tepat dihadapannya.
Dengan penuh resah, dia mengangkat wajah.
Di hadapannya, berdirinya seorang lelaki dengan sosok tubuh yang tegap, berambut panjang gelap berkibar ditiup angin. Mata lelaki itu bersinar samar, dan di tangannya tergenggam erat sebuah senjata, cokma berduri yang masih menitis darah.
Lelaki misteri itu tersenyum. Senyuman yang langsung tidak membawa damai, hanya mencetuskan mimpi ngeri.
Tentera bersekutu itu tergamam. Mulutnya ternganga, suaranya tersekat di kerongkong sebelum akhirnya...
"Aaaaaaaa!!"
Jeritannya melambung ke langit yang kabus.
Dan sebelum sempat dia bergerak, satu bunyi hayunan kedengaran kuat di udara, diikuti dengan letusan yang nyaring.
"GTAKKK!!"
Suara sesuatu yang pecah. Dan darah... Memercik hangat ke tanah yang sudah tidak mampu menelan lebih banyak nyawa.
Burung gagak yang terdengar akan bunyi yang mengerikan itu, segera berterbangan ke udara...
Beberapa hari kemudian, mentari terang mula meninggi di langit, menyimbah cahaya ke atas Istana Sri Jayapura yang megah. Kehangatannya mula membakar dinding perkarangan istana, namun rakyat jelata sedikit pun tidak berganjak walau sejengkal. Dari lorong ke lorong, rakyat jelata sudah mulai memenuhi perkarangan istana sehinggakan ada yang sanggup mendaki tembok-tembok kecil hanya untuk melihat sekilas wajah raja mereka.
"Ramainya orang yang berkumpul hari ini?" (ujar hulubalang yang menjaga perkarangan istana.)
"Ya, hari ini bukan hari biasa... Hari ini bakal menentukan nasib Laginda." (jawab rakannya yang turut bersama menjaga perkarangan istana.)
"DUM! DUM! DUM!"
Gendang diraja mula dipalu, menggegarkan tanah. Menandakan yang ditunggu sudah tiba.
"DUM! DUM! DUM!"
Seisi istana bergetar. Para panglima menegakkan tubuh, hulubalang mengetatkan genggaman pada batang lembing yang setia menemani mereka, manakala para bangsawan saling berpandangan dengan wajah gusar. Hanya satu makna di sebalik paluan gendang itu... Raja Agung telah tiba untuk bersemayam di takhta!
Pintu balairung mula terbuka.
Kelihatan Tuanku Izzuddin Shah, Raja Agung Lagindra, melangkah masuk, sambil diapit oleh empat Paduka Diraja. Jubah Baginda berwarna hitam pekat, bersulam benang emas yang memantulkan sinar matahari. Mahkota bertatahkan batu nilam menghiasi kepala, melambangkan kebijaksanaan dan kuasa yang tiada tandingan. Setiap langkah Baginda memecah kesunyian di dalam dewan, seakan suara langit memberi peringatan bahawa keputusan yang bakal dibuat hari ini akan terpahat dalam sejarah.
"DAULAT TUANKU! DAULAT TUANKU! DAULAT TUANKU!"
Laungan rakyat bergema, menggegarkan ruangan istana. Suara mereka tidak sekadar menyambut raja, tetapi menzahirkan harapan yang semakin pudar.
Baginda mengangkat tangan kanannya. Seisi dewan terdiam seketika.
"Duduklah kamu semua."
Dengan satu titah, mereka patuh. Hanya bunyi hela nafas yang kedengaran.
"Panglima, bentangkan kepada Beta perkhabaran dari medan perang. Beta ingin benar mengetahuinya." (titah Tuanku Izzuddin Shah dengan tegas.)
Mata sekalian rakyat jelata mula tertumpu kepada lelaki gagah yang sedang berdiri di tengah balairung, Panglima Diraja, seorang pejuang yang telah mengharungi ribuan medan perang. Parut di pipinya menjadi saksi akan keganasan yang pernah dihadapinya. Namun hari ini, wajahnya suram, seakan dibebani kabus kedukaan.
"Ampun patik beribu ampun, sembah patik mohon diampun. Andai nyawa patik dapat dijadikan ganti untuk menutup luka malu Tuanku, patik sedia melakukannya, Tuanku."
Semua orang terpinga-pinga dengan ungkapan Panglima yang agak aneh, termasuklah Tuanku Izzuddin Shah.
"Apa maksud panglima? Jelaskan kepada Beta dengan sesungguhnya. Jangan berdalih dengan bunga. Beta tidak mengerti." (titah Tuanku Izzuddin Shah lagi.)
Suara Panglima semakin berat.
"Ampun Tuanku beribu ampun, segala rencana telah kami laksanakan dengan sepenuh jiwa dan raga. Tetapi... Tuhan kehendakkan sebaliknya, Tuanku. Kesemua askar kita... Telah gugur di medan perang..."
Balairung menjadi senyap seketika. Terlalu senyap, sehinggakan desiran angin yang masuk melalui jendela dapat didengari. Namun di dalam dada setiap yang hadir, ada gemuruh yang menanti letusan. Air mata sudah kelihatan mengalir disetiap pipi rakyat jelata. Hanya suara sahaja tidak mampu dikeluarkan.
"Pasukan pengintai kita telah dihantar untuk mencari saki-baki askar yang mungkin masih hidup, namun hingga kini, tiada seorang pun yang kembali, Tuanku..."
Panglima menundukkan kepala. Tangannya mengepal erat, seakan menahan duka yang membakar jiwa.
"Kemungkinan besar, mereka juga turut gugur disana, Tuanku..."
Bisikan kebimbangan mula berdesir dikalangan para pembesar. Beberapa pembesar berpaling ke arah satu sama lain, sementara rakyat jelata yang berkumpul di perkarangan istana mula berbisik cemas. Malah suara tangisan, turut kedengaran.
Tuanku Izzuddin Shah meraup wajah dukanya. Nafas Baginda berat, namun mata tetap tajam menikam kehadapan.
"Beta rasa begitu terhina dengan apa yang telah terjadi. Empat empayar bersatu, untuk tumbangkan satu kuasa, tetapi balik-balik... Kita yang tercela..."
Suara Baginda bergema. Tidak meninggi, tetapi cukup untuk membuatkan darah mereka yang mendengar terasa dingin.
"Sejak Beta menaiki takhta, kita telah menentang Garuda dengan segala upaya, tetapi mereka tetap terus meratah tanah kita. Beta sudah tidak tahan, melihat Lagindra diambang kemusnahan."
Sorot mata Baginda merenung jauh, seakan menembusi dinding istana dan melihat musuh yang bermaharajalela di bumi Lagindra.
"Telah Beta kerahkan segala daya, namun bayang kemenangan, masih jauh dari genggaman. Wahai Paduka yang bijaksana, jika ada diantara kamu yang menyimpan bicara, yang mampu mengubah nasib Lagindra, maka bentangkanlah dihadapan Beta..." (titah Tuanku Izzuddin Shah yang sudah putus harapan.)
Dari tempat duduk, bangkit seorang Paduka. Beliau adalah Paduka Wijaya Setia, penguasa bagi Kerajaan Aryudhia. Beliau merupakan seorang Paduka yang sangat terkenal dengan kebijaksanaan dan pertimbangannya yang halus.
"Ampun, Tuanku. Izinkan patik berbicara."
Baginda mengangguk.
"Pada mengamatan patik, sudah tiba masanya kita mendapatkan bantuan daripada ahli nujum negara."
Seisi dewan mula berbisik. Beberapa pembesar kelihatan membantah, sementara yang lain mengangguk tanda setuju.
"Ya, pasti ada dikalangan rakyat jelata yang akan membantah, tapi kita perlu sedar! Mereka juga berasal dari kerajaan Mandala, negeri asal musuh kita. Dengan pengetahuan mereka yang mendalam, patik yakin, pasti mereka mengetahui sesuatu, rahsia yang boleh kita jadikan senjata, untuk menundukkan Garuda."
Keheningan menyelubungi balairung. Para pembesar saling berpandangan. Ada yang ragu, ada yang berharap.
"Benar apa yang dikatakan oleh Paduka Wijaya Setia! Ahli nujum pasti mengetahui sesuatu! Ini satu ikhtiar yang wajar dipertimbangkan, Tuanku!"
Sorakan sokongan mula kedengaran, namun mata Raja Agung tetap tajam, menimbang kata-kata itu dengan penuh berhati-hati. Akhirnya, Baginda bersuara.
"Hmm... Baiklah."
Baginda mula mengangkat tangan. Suara tegasnya menggema, memenuhi ruangan balairung.
"PENGAWAL! Arahkan Daratua untuk menghadap Beta sekarang juga!"
"MENJUNJUNG PERINTAH, TUANKU!" (sahut para pengawal.)
Tanpa lengah, para pengawal segera melangkah keluar, bergegas meninggalkan balairung, menuju ke kediaman ahli nujum istana.
Tidak lama kemudian, derapan langkah halus kedengaran. Kelihatan seorang wanita tua melangkah masuk, diiringi beberapa dayang berpakaian serba putih. Daratua, ahli nujum yang paling terkenal diserata benua Lagindra berjalan perlahan, tongkat kayu cendana ditangannya mengetuk lembut lantai, menghasilkan gema samar. Jubah hijaunya beralun lembut, bersama manik-manik azimat yang tergantung di lehernya memantulkan cahaya sinar.
Dengan perlahan, dia menundukkan kepala dengan penuh hormat sebelum bersimpuh.
"Ampun Tuanku, patik Daratua datang menghadap."
Tuanku Izzuddin Shah menatapnya, matanya tajam meneliti raut wajah wanita tua itu, seorang yang telah lama menjadi penasihat istana, seorang yang tidak pernah berbicara tanpa sebab. Nafas baginda berat, namun suaranya tetap berwibawa.
"Daratua..."
Baginda bersandar sedikit ke belakang.
"Kamu adalah ahli nujum yang bijaksana. Kebijaksanaanmu tiada tandingan. Maka, Beta mohon, dengan kebijaksanaanmu itu, bantulah Beta hapuskan Si Garuda yang durjana itu." (titah Tuanku Izuddin Shah dengan nada yang lembut.)
Bisikan halus mula bertebaran dikalangan para pembesar. Mata mereka mula tertumpu pada Daratua, menanti butiran yang bakal keluar dari bibirnya.
Daratua menarik nafas perlahan, menatap Raja Agung dengan penuh kelembutan.
"Tuanku..."
Suaranya tenang tetapi bergetar sedikit, seolah-olah menanggung beban ilmu yang bakal diperkatakan.
"Sesungguhnya, Garuda ada kelemahan..."
Ruangan itu serta-merta menjadi lebih tegang. Para pembesar yang tadinya berbisik kini semakin rancak bicara seolah tidak percaya. Garuda yang disangka kebal, punya kelemahan.
"Ya... Kekuatan Garuda memang tidak dapat disangkalkan lagi. Tiada senjata yang mampu melukakan tubuh bajanya. Tetapi, itu semua dapat dipatahkan, jika Tuanku menggunakan kekuatan dari ketujuh-tujuh Batu Permata."
Kening Tuanku Izzuddin Shah berkerut seketika. Begitu juga dengan Paduka Wijaya Setia, yang duduk di sisi Baginda.
"Menggunakan kekuatan Batu Permata?"
"Bagaimana?"
Daratua mengetap bibir, lalu menjawabnya.
"Untuk membangkitkan kekuatan sebenar Batu Permata, kesemua tujuh Batu Permata mesti disatukan kembali dengan pasangannya..."
Suasana bertukar hening. Beberapa pembesar mula berbisik sesama sendiri, wajah mereka berbaur keraguan dan tanda tanya.
Tuanku Izzuddin Shah bersandar ke depan, matanya tidak berkelip.
"Pasangan?"
Baginda kehairanan, suara Baginda kini bernada lebih ingin tahu.
"Apa maksud kamu dengan disatukan dengan pasangan asal?" (tanya Tuanku Izzuddin Shah yang inginkan kepastian.)
Daratua tersenyum tipis.
"Lagindra diberi nama kerana negara ini tersimpannya sebuah senjata yang paling besar kekuatannya. Tiada kuasa yang mampu mematahkan kekuatan senjata ini jika ia sudah bersatu dengan ketujuh pasangannya, Batu Permata."
Kata-katanya menggetarkan jiwa. Beberapa pembesar yang faham, terus menundukkan kepala, mengakui kebenaran yang tersembunyi di sebalik kata-kata Daratua.
Tiba-tiba, suara lantang memecah kesenyapan.
"Senjata apa, Daratua? Katakanlah, jangan biarkan kami dalam keadaan tertanya-tanya."
Paduka Dharmasakti, penguasa bagi Kerajaan Sundatara yang sangat tegas, mencelah.
Tuanku Izzuddin Shah segera mengangkat tangan, memberi isyarat agar bertenang.
"Sabar, Paduka Dharmasakti... Biarlah Daratua habiskan kata-katanya dahulu..."
Daratua menundukkan kepala sebentar. Suaranya kini bergetar, seolah-olah setiap patah perkataan mengandung sumpah yang dahsyat.
"Pedang Naga Purba, Pedang Kencana Hitam..."
Seketika, hati mereka terasa bagai disambar halilintar. Balairung seolah-olah dibekukan oleh nama itu. Nafas mereka bagai tersekat. Ada yang menelan liur, ada yang memegang dada. Wajah mereka berubah pucat. Pedang itu bukan sebarang senjata... Ia adalah pusaka dari neraka.
Paduka Dharmasakti menghempas tempat duduknya lalu berdiri tegak, wajahnya merah padam.
"CIS! Dimana kewarasanmu, Daratua?! Sarananmu itu bukannya dapat menyelamatkan Lagindra, malah mengundang bencana yang lebih besar!"
Namun Daratua tidak goyah. Pandangannya teguh, sorot matanya penuh yakin.
"Patik hanya membawa warta, Paduka. Pilihan tetap milik Tuanku. Tapi, jika mahu menewaskan kuasa Garuda, maka haruslah digunakan kuasa yang setandingnya..."
Sekali lagi, balairung tenggelam dalam kebisuan. Meskipun mereka ragu-ragu, namun kata-kata Daratua berbekas dalam sanubari.
"Baiklah, Beta setuju. Di mana tersimpannya Pedang Kencana Hitam." (titah Baginda secara tiba-tiba.)
Semua yang mendengar, terus terperanjat. Paduka Wijaya Setia segera merapat ke hadapan, wajahnya penuh cemas.
"Tuanku! Jangan digunakan pedang itu, Tuanku! Patik mohon, pertimbangkan semula keputusan Tuanku itu."
"Benar, Tuanku." (sahut Paduka Dharmasakti pula.)
"Pedang itu mengandungi sumpahan Naga Purba. Sesiapa menggenggamnya, akan hanyut dalam amarah, dan... Akan berakhir di dalam jurang kematian, Tuanku"
Tuanku Izzuddin Shah bersandar semula, namun mata Baginda menyorot tajam ke hadapan. Nafas Baginda ditarik dalam-dalam, sebelum bersuara dengan penuh azam.
"Ya, Beta mengerti. Tapi, mampukah kamu menatap wajah-wajah ibu, isteri, anak-anak para pejuang yang telah gugur disana? Apa kamu semua sanggup melihat rakyat Lagindra rebah satu-persatu?"
“Beta rela korbankan diri Beta, dari terus melihat rakyat Beta sensara…”
Balairung diam seribu bahasa. Yang tadi menolak, kini terdiam seribu bahasa.
Asalamualaikum dan Selamat Sejahtera.. OVA, adalah sebuah episode flashback sebelum kedatangan Azizi. Antara episode penting bagaimana terjadinya perpecahan empayar.. Teruskan setia untuk mengetahui kisah selanjutnya...
Share this novel