“KRINGGG!!!”
Bunyi loceng jam bergema memecah keheningan subuh. Suasana bilik yang kelam diterangi samar-samar cahaya lampu jalan yang menembusi langsir nipis di jendela. Lantas muncul tangan seorang lelaki terkapai-kapai di atas meja katil, mengagau mencari sumber bunyi yang mengganggu tidurnya. Sekali tekan, loceng itu terdiam. Kemudian, tangan tersebut mula mengagau suis radio yang turut berada berhampiran dengan jam loceng. Dengan perlahan tangannya memutarkan suara radio tersebut.
“Selamat pagi semua! Selamat memulakan hari yang indah, kawan-kawan! Cuaca hari ini dijangka cerah dan nyaman.”
Kedengaran suara DJ radio berkumandang riang dari corong kecil di meja sisi katil.
Kelihatan seorang lelaki, sekitar usia 27 tahun, berambut hitam sederhana panjang yang sedikit kusut, perlahan-lahan bangun dari tidurnya.
Dia duduk di sisi katil, menundukkan kepala seketika sebelum mengangkat kedua-dua tangan, meregangkan tubuhnya yang terasa lesu. Bunyi tulang yang berkeriut halus kedengaran dalam kesunyian pagi. Keluhan kecil terbit dari bibirnya.
Di bilik air, wajahnya yang muram terpampang di cermin. Dia menyikat rambutnya ke belakang dengan jari sebelum menyumbat berus gigi ke dalam mulut. Sambil menggosok gigi, matanya meneliti refleksi diri sendiri di cermin. Lingkaran hitam di bawah matanya semakin jelas. Pandangan matanya yang kosong, seolah-olah sedang memikirkan sesuatu yang tidak berpenghujung.
Air suam mengalir membasahi tubuhnya ketika dia mandi. Beberapa minit kemudian, dia keluar dengan tuala tersangkut di bahu, mengenakan pakaian kerja yang tersusun kemas di kerusi. Kemeja hitam, seluar kelabu gelap, gaya yang sama seperti semalam, dan hari yang sebelumnya.
Di meja makan kecil di sudut dapur, dia meneguk secawan kopi panas sambil menggigit sekeping roti. Tangannya menolak skrin telefon, meneliti artikel berita tanpa minat. Sebuah keluhan berat terlepas dari bibirnya.
“Hmm, bosan… Tiada yang menarik hari ini. Setiap hari, hampir kesemuanya benda yang sama saja.”
Selesai bersarapan, dia menyarung kasut di tepi pintu. Suara burung berkicau di luar, namun hatinya tetap sepi. Langkahnya perlahan berjalan meninggalkan rumahnya menuju ke jalan utama. Beberapa orang jiran yang sedang menyiram pokok dan menyapu halaman sempat menyapanya dengan ramah, namun dia hanya mengangkat tangan, sekadar memberi isyarat balas tanpa senyuman.
Cara jalannya perlahan dan lemah, seolah-olah ada beban berat yang bergayut di bahunya. Angin pagi yang segar menyapa wajahnya, tetapi tiada rasa yang timbul di hatinya. Semuanya terasa kosong… Dan hambar.
Di stesen bas, suasana agak sibuk dan kacau-bilau. Orang ramai berpusu-pusu, masing-masing bergegas mahu menjadi orang pertama yang melangkah masuk ke dalam bas. Ada yang menolak, ada yang memotong barisan dengan tanpa segan silu. Bunyi hon kenderaan dan suara orang ramai bercampur baur, membentuk satu irama pagi yang agak meriah.
Namun, lelaki itu hanya berdiri di satu sudut, tidak tergesa-gesa seperti yang lain. Tangannya tersimpan kemas di dalam poket seluar, pandangannya dingin memerhati gelagat manusia di sekelilingnya. Di wajahnya, tiada sebarang ekspresi. Kosong dan hambar.
“Kehidupan sekarang tak ubah seperti perlumbaan di Litar Sepang. Semua orang sibuk nak jadi nombor satu. Zaman sekarang, manusia makin hilang sifat kemanusiaan. Mereka hanya tahu fikirkan diri sendiri sahaja. Langsung tidak ambil peduli perasaan orang lain. Dari kanak-kanak hingga dewasa, semuanya sama saja.” (bisik hatinya.)
Dia menarik nafas panjang, membiarkan angin pagi yang dingin menyentuh wajahnya. Perlahan-lahan, bas tiba dan orang ramai mula menolak masuk ke dalamn, seolah-olah tiada masa untuk bersabar, namun lelaki itu hanya melangkah perlahan ke dalam bas, memilih tempat duduk di tepi jendela.
Bas bergerak perlahan menyusuri jalan raya yang sibuk. Dia menyandarkan kepala ke kaca jendela yang sejuk, pandangannya hanya tertumpu di luar.
Bangunan-bangunan tinggi, orang ramai berjalan laju di kaki lima, kenderaan bersimpang siur di jalan raya. Semuanya kelihatan seperti rutin yang diulang setiap hari tanpa henti.
Tiba-tiba, matanya menangkap sekumpulan burung yang sedang terbang bebas di udara. Sayap-sayap kecil itu berkepak serentak, berputar dan meluncur tinggi di bawah langit yang kian cerah. Dengan penuh harapan, hati kecilnya berkata,
“Ah… Alangkah indahnya kalau dapat jadi seperti burung-burung itu. Bebas terbang ke mana saja. Tak perlu fikir hal duniawi yang semakin kelam-kabut ini.”
Dia mengeluh perlahan. Matanya dipejamkan seketika, cuba menghilangkan beban di mindanya.
“Dunia nyata ini… Jauh sekali daripada kebebasan.” (bisiknya lagi.)
Setibanya di tempat kerja, suasana di ruang lobi sudah mulai sibuk. Barisan panjang terbentuk di hadapan mesin punch card. Bunyi mesin itu mengeluarkan nada elektronik setiap kali kad diimbas, berselang-seli dengan bunyi derapan kasut di lantai marmar yang dingin.
Azizi berdiri di barisan itu seperti biasa, dengan wajah kosong dan tubuh yang sedikit membongkok ke hadapan. Matanya separuh tertutup, fikirannya melayang entah ke mana.
Tiba-tiba, satu tepukan kuat hinggap di bahu kanannya. Azizi sedikit terkejut.
“Yo, Azizi! Selamat pagi!”
Seorang lelaki berkulit sawa matang, berpakaian kasual dengan jaket kerja separuh terbuka, tersengih lebar di belakangnya. Tangan lelaki itu masih memeluk bahunya dengan mesra.
“Ha... Selamat pagi…” (jawab Azizi lemah, sekadar membalas kerana terpaksa.)
“Bro, cerialah sikit. Awal pagi dah monyok, apa cerita?” (usik lelaki itu sambil menepuk bahu Azizi sekali lagi.)
Azizi hanya menghela nafas perlahan. Sebelum sempat dia membalas, lelaki itu menyambung katanya lagi.
“Jom lepas scan, kita pergi minum, nak? Aku belanja!”
Azizi menjeling sekilas.
“Kau pergilah dulu, Wan. Aku malaslah. Nanti En. Borhan tu bising. Kau macam tak tahu dia tu macam mana.”
Wan terus ketawa kecil.
“Haha… Alamak bro, takkan takut kot? Relax lah… Kita technician la, bukan budak intern. Lagi pun aku dengar hari ni, En. Borhan MC. So, tak ada hal lah!”
Azizi menggeleng perlahan.
“Tak apa, lain kali saja Wan. Aku dah minum dekat rumah sebelum datang tadi. Lagipun, hari ini aku sibuk sikit, Wan. Lain kali sajalah, ya.”
Wan agak sedikit kecewa dengan tolakan Azizi itu, namun senyuman dibibirnya masih tetap lebar.
“Hahaha, ok lah kalau kau dah kata macam tu. Nanti kalau ada apa-apa, roger saja aku. Confirm aku sampai!”
Dia sempat menunjuk ke dadanya sambil tertawa kecil. Sebelum beredar, dia menepuk bahu Azizi sekali lagi dan berkata,
“By the way, Azizi… Jangan diikutkan sangat emosi kau tu. Chill chill saja bro buat kerja. Tak perlu stress. Hahaha! Jom aku gerak dulu. Bye!”
Wan melambaikan tangannya sambil berlalu, kemudian dengan selamba dia menegur rakan sekerja lain yang berdiri tidak jauh dari situ. Gelak tawa mereka mula memenuhi ruang lobi yang tadinya agak suram.
Azizi hanya memerhati. Senyuman tipis terukir di bibirnya, tetapi sinis. Pandangannya kemudian jatuh semula ke lantai, dan dia mengeluh perlahan.
“Chill, huh?”
“Senang cakap… Tapi bukan semua orang faham apa yang aku rasa.” (bisik hatinya.)
Mesin punch card berbunyi. Azizi melangkah ke hadapan, menekan kadnya ke dalam mesin sebelum berjalan perlahan ke ruang kerja. Hatinya terasa kosong… Seperti biasa.
Suasana di ruang kerja semakin sibuk. Bunyi deruan mesin, suara pekerja yang saling memanggil, dan ketukan papan kekunci komputer bercampur menjadi satu latar bunyi yang tiada henti. Azizi duduk di mejanya, jari-jemarinya lincah mencatat maklumat mesin ke dalam sistem.
Sekali-sekala, dia bangkit untuk memeriksa mesin di sudut kilang, merekod nombor siri, menyusun barang-barang komponen mesin di dalam rak, dan kemudian kembali ke mejanya untuk meneruskan kerja.
Semuanya terasa begitu lancar dan sempurna seperti ada isyarat yang memberikan arahan di dalam kepala. Begitulah rutin hariannya selama ini.
Dari celahan layar komputer, matanya sesekali menangkap pergerakan orang sekeliling. Semua orang bergerak pantas, tergesa-gesa seperti sedang berlumba dengan masa. Ada yang bercakap sambil berjalan, ada yang memecut ke sana-sini membawa dokumen, ada yang tergesa-gesa memasang komponen barang. Semuanya tampak sibuk, seolah-olah tiada masa untuk berhenti walau sesaat.
Namun, berbeza bagi Azizi yang terasa seperti dia berada di dunia yang berbeza. Dia hanya bergerak perlahan, setiap langkah terasa berat. Masa pula terasa bergerak dengan laju. Pagi berlalu dalam sekelip mata, kemudian tengah hari, dan sebelum dia sedar, senja sudah mula menjenguk di ufuk langit.
Wajahnya tetap kosong. Tiada senyum, tiada riak teruja. Sekadar mengikut arus masa. Sambil matanya memerhati gerak-geri orang sekeliling, hati kecil sekali lagi bersuara.
“Hmm… Semuanya bergerak pantas… Seolah-olah mereka sedang mengejar sesuatu yang tidak akan pernah menjadi milik mereka.”
“Mengapa manusia sering melakukan perkara yang mereka tahu pada akhirnya tiada apa yang tinggal pada diri mereka?”
Azizi menarik nafas panjang. Rasa sesak mula menyelubungi dadanya. Dia menekan butang 'Save' pada komputer sebelum menyandarkan tubuhnya ke kerusi. Matanya tertancap pada skrin kosong di hadapannya.
Ketika pulang, Azizi termenung panjang di dalam bas. Pemandangan luar tingkap kelihatan kabur, dicalit cahaya lampu jalan yang berkelip-kelip. Fikirannya mula melayang-layang kerana keletihan. Tanpa semena-mena, fikirannya mula terimbas kembali kenangan lama yang masih tersimpan rapi di sudut hatinya.
Dia mula teringat saat dia masih kecil.
Keluarganya pada ketika itu telah memutuskan untuk tinggal bersama datuknya selepas ayah Azizi mendapat tawaran kerja di kawasan yang berdekatan dengan rumah datuknya. Pada mulanya, kehidupan mereka terasa sudah cukup sempurna. Bagaikan sebuah keluarga kecil yang bahagia. Azizi yang ketika itu berusia sepuluh tahun sering bermain di halaman rumah datuknya, menikmati masa kecilnya dengan penuh gelak tawa dan bahagia.
Namun, segalanya berubah pada satu petang yang suram.
Azizi masih teringat dengan jelas akan kejadian pada petang itu. Dia sedang bermain bola di halaman rumah, ketawa riang sambil menendang bola ke dinding rumah datuknya. Angin petang berhembus lembut, membawa aroma rumput yang segar selepas hujan renyai sebelumnya.
Tiba-tiba, telefon rumah berdering nyaring memecah ketenangan petang.
“Azizi! Tolong angkat telefon tu, nak!”
Datuk bersuara dari depan rumah, sibuk membaiki motosikal antiknya yang berkarat di bahagian ekzos.
Azizi yang masih berpeluh selepas bermain bola segera berlari ke dalam rumah. Wajahnya ceria, fikirannya langsung tidak terlintas apa-apa yang buruk.
“Hello?” (jawab Azizi dengan nada riang.)
Namun, senyumannya mulai pudar perlahan-lahan. Suara di hujung talian kedengaran serius dan mendatar. Ayat demi ayat yang keluar dari suara itu bagai panah yang menembusi dadanya. Wajah Azizi bertukar pucat, bola yang dipegangnya terus terlepas jatuh bergolek ke lantai.
“A… Ayah… Ibu… Aliaa…”
Bisik Azizi, namun suaranya hampir tenggelam.
Ibu dan adik perempuannya, Aliaa, telah meninggal dunia di tempat kejadian selepas terlibat dengan satu kemalangan ngeri ketika mereka pulang dari membeli-belah di sebuah pasar raya. Ayahnya pula cedera parah dan sedang dirawat di sebuah hospital.
Saat itu, dunia Azizi mula terasa gelap. Nafasnya terasa berat. Kakinya lemah, membuatkan tubuh kecilnya terduduk di lantai ruang tamu. Datuknya yang mendengar suara Azizi yang tersekat-sekat segera berlari masuk. Wajah datuknya berubah serta-merta apabila mendengar perkhabaran itu.
Selepas kejadian itu, kehidupan Azizi mulai berubah sedikit demi sedikit. Ayahnya telah menjalani beberapa siri pembedahan demi menyelamatkan nyawanya. Datuknya terpaksa berhutang dengan pihak bank bagi menampung kos rawatan yang tinggi. Akhirnya mereka terpaksa menjual rumah lama kerana ingin melangsaikan hutang yang bertimbun, sehingga memaksa mereka berpindah ke rumah kecil di pinggir bandar.
Walaupun ayahnya selamat, kehilangan orang yang paling dicintai telah mengubah hidup ayah Azizi menjadi orang yang tidak lagi sama seperti dulu lagi. Selepas pulih dari kecederaan, ayah Azizi mula mengalami kemurungan yang teruk. Dia sering termenung jauh dihadapan jendela rumah, matanya kosong dan bibirnya kaku tanpa sebarang senyuman.
Azizi sering melihat ayahnya duduk berjam-jam tanpa sebarang reaksi. Dia tidak lagi berbual dengan Azizi, tidak lagi memeluk atau mencium dahinya sebelum tidur seperti dahulu. Lama-kelamaan, tubuh ayahnya semakin kurus, wajahnya semakin cengkung. Kemudian, pada suatu pagi yang suram, ayah Azizi tiba-tiba menghilang begitu sahaja.
Tiada sebarang nota, mahupun pesanan. Cuma pakaian dan barang peribadinya sahaja yang tertinggal di dalam bilik. Hal ini telah memeranjatkan semua kejiranan mereka. Azizi dan datuknya giat mencari ke serata tempat. Balai polis, hospital, rumah saudara mara, namun jejak ayahnya langsung tidak ditemui.
Setelah itu, datuknya menjadi pelindung dan tempat bergantung buat Azizi. Datuknya adalah segalanya baginya. Lelaki tua itu membesarkan Azizi dengan penuh kasih sayang. Namun, segalanya berubah selepas datuknya pula pergi.
Dan sejak hari itu, bayangan ayah dan datuknya terus menghantui fikiran Azizi. Wajah dua lelaki itu masih jelas dalam ingatannya. Senyuman yang pernah menceriakan hari-harinya, suara yang pernah memanggil namanya dengan penuh kasih sayang.
Tapi sekarang, yang tinggal hanyalah kekosongan.
Azizi meraup wajahnya perlahan. Dadanya terasa sesak. Merasa dirinya sangat bersalah dan tidak layak dimaafkan kerana kesibukan kerja membuatkan dia jarang meluangkan masa bersama datuknya. Walaupun pada hakikatnya, dia hanya mahu mengeluarkan datuknya daripada cengkaman kemiskinan,
tetapi… semuanya sudah terlambat.
“Ayah… di mana ayah sekarang?”
Share this novel