Kesakitan mencengkam kepala Azizi. Degupan jantung bergema di seluruh tubuh, seiring dengan nafasnya yang terputus-putus.
Dunia di sekeliling terasa berputar, kabur, dan celaru. Helaan nafas terasa berat, seolah-olah terasa seperti ada sesuatu yang menghalang.
Mata di kedip, cuba menyesuaikan diri dengan cahaya mentari yang bersinar. Perlahan-lahan Azizi membuka matanya. Pandangannya masih kabur, namun apa yang terpapar dihadapannya membuatkan nafasnya tersekat.
Hutan hijau pekat dengan pepohon menjulang tinggi, dedaunan rimbun melatari latar. Bukit-bukau berbalut kabus terbentang di kejauhan, diiringi lapangan rumput luas yang melambai ditiup angin lembut. Bau tanah yang lembap dan udara pagi yang segar menyapa hidungnya, namun segalanya terasa asing. Terlalu asing.
"Di mana aku?"
Azizi terduduk, tangannya menggenggam rumput hijau yang dingin, cuba menenangkan diri. Namun degupan jantungnya tidak mahu reda. Nafasnya makin laju, peluh dingin mula menitis deras.
Tiba-tiba,
"DUP! DUP! DUP!"
Kedengaran derapan kuda yang gagah menghentam bumi. Deruan angin mula berubah garang, membawa bersama debu dan tanah yang berterbangan di udara.
Dari kejauhan, kelihatan sepasukan tentera berkuda muncul dibalik kabus, dalam formasi yang rapi dan tersusun. Kuda-kuda tampak gagah, para penunggang pula lengkap berbaju zirah hitam. Kelihatan tengkolok yang dihiasi dengan beberapa aksesori besi, berkilau di bawah cahaya suria pagi. Kedengaran juga bunyi gemerincing besi yang dipasang ke atas kuda, berlaga di antara satu sama lain.
Azizi cuba berdiri, namun lututnya masih terasa lemah. Kuda-kuda itu semakin menghampiri, mencipta pusaran debu yang kian menutup pandangan mata.
Asap debu mula menipis. Dari tengah-tengah gerombolan itu, datang seorang lelaki gagah melangkah ke hadapan. Tingginya hampir dua meter, tubuhnya dibaluti baju kulit perisai hitam pekat berukir simbol harimau berwarna emas. Wajahnya bengis, keras seperti singa.
Panglima itu berdiri dihadapan Azizi. Mata hitamnya yang dingin menyorot tajam ke wajah Azizi yang masih terpinga-pinga.
"Siapa gerangan tuan hamba?"
Suaranya berat, garau, dan bergetar. Penuh ketegasan.
Azizi tergamam. Nafasnya terhenti seketika. Hatinya berdegup makin kencang. Dia cuba membuka mulut, namun suaranya bagaikan tersekat di kerongkong. Hanya nafas kasar yang keluar.
Panglima itu terus menghentakkan hujung tombaknya ke tanah!
"DUMM!!"
"Jawab!"
Azizi tersentak, kaku. Tubuhnya menggigil. Hatinya menjerit merintih.
"A... Apa yang sudah berlaku ni?! Aku dekat mana ni?!"
Matanya memandang tepat ke arah mata tombak yang berkilauan itu. Tajamnya mata tombak seolah-olah seperti sedang menunggu saat untuk menamatkan riwayatnya. Nafasnya semakin pendek. Jantungnya berdegup laju.
"Ini mimpi?! Atau nyata?!"
Azizi merasa seolah-olah nyawanya kini berada dihujung tanduk.
Azizi masih terduduk, tubuhnya kaku, lidahnya kelu, disimpul dengan seribu pertanyaan bersimpang siur di benaknya.
Buntu. Terkejut. Tidak percaya.
Semua yang dilihatnya terasa terlalu asing, terlalu sukar untuk dicerna dik akal. Tentera berkuda lengkap bersenjata, baju perang kulit bersama tengkolok yang berkilauan. Senjata tombak, pedang dan keris? Terasa seolah-olah dia telah dilempar ke dalam lipatan sejarah yang sudah lama lenyap dari dunia nyata.
"Tempat apakah ini!? Siapa mereka semua ini?!"
Azizi mengusap wajahnya yang mula berpeluh. Tangan dan kakinya menggigil, seperti ada sesuatu yang merayap di bawah kulitnya. Kepalanya terasa berat, denyutan di dahi makin kuat, bagai ada palu besi menghentam tempurung kepalanya berulang kali.
"Argh... Sakitnya kepala aku... Rasa macam nak pecah!"
Panglima itu mula merasa tercabar. Wajahnya yang tegang makin memerah. Tombak di tangannya terus dihalakan ke arah dada Azizi.
"Sini tanah larangan! Siapa yang memberi izin kepada tuan hamba untuk menceroboh masuk?!"
Nada suara Panglima itu makin meninggi, menekan, Azizi yang makin lemah.
Azizi cuba berdiri, kedua tangannya menekan tanah. Lututnya bergetar, namun tekad dalam hatinya memaksa dirinya untuk bangkit. Dengan sisa tenaga yang masih berbaki, dia bangkit perlahan-lahan.
Namun, penglihatannya kembali kabur.
Kakinya terasa longlai. Jantungnya terasa seperti diperah. Nafasnya makin berat, tubuhnya terasa seperti ditarik oleh kekuatan yang tidak terlihat. Dunia disekelilingnya berputar, pandangannya makin gelap. Suara Panglima dan kuda-kuda disekelilingnya mulai sayup... jauh... menjauh...
"Aku..."
Tubuh Azizi mula terhuyung-hayang. Tangannya cuba mencapai sesuatu di udara, namun angin kosong yang menyambutnya. Dadanya terasa sesak, seluruh tubuhnya terasa lumpuh. Kakinya akhirnya menyerah.
Azizi terus rebah ke bumi. Segalanya menjadi gelap, dan sepi...
Di Istana Mahajarawi, kemegahan Kerajaan Tandasuka, keheningan ruang singgahsana tiba-tiba diganggu oleh derapan langkah yang tergesa-gesa.
Seorang Bendahara muncul dari celahan pintu besar yang terbuka, berlari memasuki balairung dengan nafas yang termengah-mengah.
Tanpa menunggu isyarat, dia berlutut dihadapan seorang raja berwajah garang yang sedang duduk di atas singgahsana yang diperbuat daripada kayu gaharu dan bertatahkan emas dan mutiara, Paduka Azlan Mahmud Baginda.
"PADUKA! PADUKA!"
Suara teriakan bergema, memecah suasana tenang Paduka. Paduka Azlan mengangkat wajahnya dengan riak, matanya tajam memandang terus ke arah Bendahara itu.
"Ampun Paduka, beribu ampun. Sembah patik harap diampun. Patik datang membawa berita yang kurang enak, Paduka."
Paduka Azlan mengangkat sebelah keningnya. Jari-jemarinya yang berbalut cincin permata diketuk perlahan pada lengan singgahsana.
"Hmmm... Berita penting apa yang kamu bawakan, Bendahara? "
Bendahara itu menundukkan kepala, wajahnya pucat.
"Panglima Megat Jaya, bersama para tenteranya telah pulang, tapi... Mereka pulang membawa seorang pemuda yang tidak tahu asal-usulnya, Paduka."
Mata Paduka Azlan mengecil, tajam memandang wajah Bendahara.
"Pakaian pemuda itu... Aneh, Paduka. Tingkahnya tidak seoerti rakyat Lagindra. Rasanya... Pemuda itu pengintip Angmaar."
Paduka Azlan terus terkesima. Dahinya berkerut tegang.
"APA?! Pengintip?!"
Suasana dalam balairung menjadi tegang. Beberapa orang bangsawan yang berdiri di sisi singgahsana mulai berbisik sesama sendiri.
"Di mana pemuda itu sekarang?" (tanya Paduka Azlan yang tegas.)
"Pemuda itu telah dipenjarakan, Paduka. (jawab Bendahara.)
Mata Paduka Azlan melirik liar seolah-olah bingung dengan kejadian yang baru menimpa negerinya.
Paduka Azlan melontarkan pandangan tajamnya kembali ke arah Bendahara itu.
"Bendara, arahkan pengawal penjara bangunkan pemuda itu. Hadapkan dia dihadapan Beta, sekarang!"
"Menjunjung perintah, Paduka!"
Bendahara itu segera bangun, menundukkan kepala sebelum bergegas keluar dari singgahsana. Sementara itu, Paduka Azlan masih termenung, memikirkan teka-teki apa yang cuba di mainkan musuhnya, Angmaar.
Pada masa yang sama dibalik tirai balairung, kelihatan seorang gadis misteri sedang mendengarkan segala perbualan mereka. Dengan wajah yang dingin, dia terus melangkah pergi, menyelinap dibalik kegelapan lorong istana.
Di bilik penjara... Sunyi dan gelap. Azizi masih terbaring di atas lantai batu yang dingin, matanya terpejam rapat. Namun, di sebalik kegelapan itu, telinganya tiba-tiba menangkap suara lembut seorang gadis muda.
"Saudara... Bangun..."
Suara itu bagaikan bisikan angin yang halus dan menenangkan. Kelopak mata Azizi mula bergerak, dan perlahan-lahan dia membuka matanya. Namun, bayangan yang menyapa pandangannya masih kabur.
Azizi berusaha mengangkat kepalanya, namun tubuhnya masih lemah. Dalam samar-samar, dia melihat susuk tubuh seorang gadis cantik rupawan.
"Si... Siapa... kau?"
Belum sempat wanita itu bersuara,
"KREEEEEKKKK!!!"
Suara pagar besi bergeser keras, bergema diseluruh ruangan penjara. Gadis itu terkejut, segera menyelinap semula ke dalam kegelapan, meninggalkan Azizi sendirian.
Tiba-tiba datang dua orang pengawal penjara, lengkap dengan baju besi dan tombak melangkah masuk ke dalam bilik.
"SPLASH!"
Sebaldi air tiba-tiba disiramkan tepat ke wajah Azizi.
Azizi tersentak, batuk, dan tersedak akibat simbahan yang mengejutkan itu
"BANGUN!"
Suara pengawal itu bergema ditelinga Azizi. Azizi cuba membuka mata, tetapi masih kabur. Air curahan mula menitis di wajah, bercampur dengan peluh dingin dan luka diwajahnya.
"AKU KATA BANGUN!"
Pengawal itu menendang timba besi. Bunyi dentingan logam bergema diseluruh ruangan bilik. Azizi memejamkan mata, cuba menenangkan resah yang semakin menggila.
Pengawal itu terus mencengkam kasar lengan Azizi.
Azizi terkial-kial, tubuhnya masih lemah dan berat, namun tangan yang mencengkam erat itu terus menariknya pergi tanpa belas kasihan.
Azizi diseret keluar dari bilik penjara yang kelam. Derapan tapak kaki berserta bunyi rantai yang terhentak di lantai jelas kedengaran disepanjang lorong.
Di hujung lorong, berdiri sosok yang tinggi tegap, lelaki misteri yang dilihatnya di lapangan sebentar tadi. Wajah lelaki itu tegang, renungan matanya tajam memandang wajah Azizi.
"Tuan hamba telah diperintahkan untuk mengadap Paduka Azlan Mahmud sekarang juga."
Azizi erhuyung-hayang. Matanya memandang lelaki itu dengan seribu soalan.
"Paduka? Siapa dia...."
"PANG!!"
Azizi tersentak ke belakang. Satu tamparan keras hinggap ke pipinya sebelum dia selesai berkata. Panas. Pedih. Kepala Azizi tertoleh ke sisi, namun dia tetap mendongak, menatap Panglima Megat Jaya dengan mata yang kini berair menahan sakit.
"Cis! Biadap benar ucapan tuan hamba!"
Suara Panglima Megat Jaya bergema di ruang itu, penuh amarah dan kehinaan.
"Pengawal! Bawa dia!!"
Tanpa diberi peluang untuk menjawab, pengawal yang mengapit Azizi terus menariknya keluar menuju ke balairung istana.
Azizi hanya mampu menurut dengan keadaan yang lemah.
Tidak lama kemudian, Azizi sampai di hadapan pintu balairung.
Saat pintu itu mulai dibuka, terlihat di singgahsana, Paduka Azlan Mahmud Baginda sedang duduk di atas singgahsananya sambil menongkat dagu dengan kedua belah tangan yang bertaut, merenung Azizi dengan pandangan penuh dingin dan tajam.
Panglima Megat Jaya melangkah ke hadapan, lalu berlutut sembah hormat. Pengawal yang membawa Azizi memaksanya untuk berlutut juga. Azizi meronta, namun cengkaman itu terlalu kuat untuk dilepaskan.
"Ampun, Paduka. Patik datang membawa tawanan, sesuai seperti yang diperintahkan."
Paduka Azlan Mahmud Baginda masih memerhati Azizi dengan penuh curiga.
"Siapa gerangan kamu? Dari mana asalmu?"
Suara tegas Paduka Azlan Mahmud Baginda bergema di seluruh ruang singgahsana.
Azizi mendongak, matanya bertemu dengan renungan tajam Paduka. Jantungnya terasa seperti mahu meledak. Nafasnya tersekat. Bibirnya terkatup rapat.
"Apa Angmaar yang mengirim kamu kemari?" (tanya Paduka Azlan Mahmud Baginda lagi.)
Azizi masih lagi membisu seribu bahasa. Kekeliruan semakin berselirat di benak fikirannya. Dunia ini terlalu asing, terlalu mustahil untuk diterima akal.
"Aku di mana sebenarnya? Apakah aku sedang bermimpi?"
"Tapi... Kalau benar ini mimpi, kenapa aku merasa sakit?!"
Azizi mula menarik nafas panjang, cuba menenangkan diri.
Mata Azizi bertemu dengan renungan tajam Paduka Azlan. Sekilas, dia nampak keangkuhan dibalik wajah Paduka itu. Seorang raja yang terbiasa dengan pemerintahan "Kuku Besi".
Tiba-tiba Paduka Azlan menghempas tangan ke pemegang singgahsananya.
"Mengapa dibisukan mulutmu?! Kamu tahu dengan siapa kamu berhadapan sekarang?! Beta, Paduka Azlan Mahmud Baginda! Penguasa Kerajaan Tandasuka!"
Azizi terkaku seketika.
"Kerajaan... Tandasuka?"
"Tak pernah dengar pun! Dalam peta dunia pun tak pernah nampak!" (bisik Azizi yang kian celaru.)
Tiba-tiba datang seorang pengawal bertubuh tegap melangkah ke tengah balairung, tunduk hormat sebelum menyembahkan sesuatu kepada Paduka Azlan Mahmud Baginda.
"Paduka, ini Batu Permata Putrajidar yang telah lama menghilang. Pasukan Panglima menemukannya di dalam kantung baju pemuda itu."
Wajah Paduka Azlan berubah drastik sebaik sahaja matanya menangkap sinar permata yang berkilauan itu. Renungannya yang pada awalnya penuh kebijaksanaan kini dipenuhi amarah.
Di balik tirai sutera yang memisahkan balairung dari ruangan belakang, terlihat gadis misteri yang sebelum ini, turut berada menyaksikan kejadian tersebut. Telinganya menangkap setiap butir bicara. Dia menahan nafas saat melihat batu itu dari kejauhan, jari-jarinya mengepal kain jubahnya. Wajahnya sedikit berubah, tetapi dia tetap diam, tidak mahu kehadirannya disedari.
Paduka Azlan terus bangun dari takhta.
"Dari mana kamu temukan Permata ini? Apakah Angmaar yang berikan pada kamu?!"
Suaranya bergema, menekan ruang balairung yang tiba-tiba terasa semakin berat.
Azizi semakin resah. Hatinya berkecamuk. Nama Angmaar itu kembali disebut-sebut, sedangkan dia tidak pernah mendengarnya. Fikirannya cuba menyusun kata, mencari cara untuk melepaskan diri dari situasi ini.
"Sumpah! Aku tak kenal siapa Angmaar! Permata itu milik peninggalan keluargaku!"
"Bagi balik! Dan... Lepaskan aku!" (suaranya nyaring, nadanya terdesak.)
Tangannya yang bergari digoncangkan, menunjukkan tanda protes.
"Siapa kata batu Permata ini milik kamu?!"
Paduka Azlan menuding jari dengan wajah penuh amarah.
"Batu Permata ini milik Tandasuka! Kamu telah mencurinya! Dan kamu tahu apa hukumannya bagi seorang pendusta?!"
Azizi mengetap gigi, dirinya sudah terlalu emosi dan tidak dapat menahannya lagi.
"Oh ya?! Peduli apa aku!" (suaranya meninggi, kemarahan mula menguasai dirinya.)
Wajah Paduka Azlan semakin merah.
"Kamu memang biadab!!"
"PANGLIMA! TAMATKAN PEMUDA ITU!"
Serentak dengan titah itu, Panglima Megat Jaya segera menghunus kerisnya yang berkilat, mata tajamnya tepat memandang Azizi dengan niat membunuh. Langkahnya dibuka dengan penuh tekad, keris itu diangkat tinggi, bersedia menamatkan riwayat pemuda asing itu dalam sekelip mata.
Jantung Azizi seakan berhenti. Peluh mula membasahi dahinya. Adakah ini penghujungnya? Di tempat yang langsung tidak dikenali, tanpa sempat memahami mengapa dia berada di sini?
Tiba-tiba, satu bayang hitam keungguan datang meluncur pantas, menghayunkan sebilah kerambit yang tajam. Hampir dibenamkan ke leher panglima.
Seluruh balairung menjadi terkesima.
Rupanya dia adalah seorang gadis. Gerakannya berjaya mengunci langkah panglima..
Dengan suara lembut, bagaikan sutera, gadis misteri itu bersuara...
"Satu langkah lagi... dan kau..."
"MATI..."
Share this novel