Bab 12 : Sisi Gelap Lagindra, Menjelma.

Fantasy Series 916

Malam itu, di bawah cahaya unggun api, Suri dan Awang merawat luka-luka Azizi. Daun mengkudu yang diasapkan sehingga panas, diletakkan pada kawasan yang lebam bersama beberapa bahan herba lain.

Azizi yang merasa kepanasan segera meronta.

"Argghh! Panas!"

"Tidak bolehkah kau bertahan sedikit, Azizi? Lemah benar kau. Dengan Awang pun kau boleh kalah. Kelamlah nasib Lagindra nampak gayanya..."

Azizi yang malu hanya mampu mendiamkan diri. Luka ditubuh tidak sesakit luka dihati.

"Sudah. Aku sudah balut semua lukamu itu. Esok baiklah ni. Pergilah kau menjamah semulut dua sebelum kau rehatkan mata. Jangan biarkan kau lena tanpa perutmu terisi. Nanti masuk angin pula. Kau juga yang merana. Aku pergi tidur dulu. Jika ada apa-apa, kau panggil saja." (ujar Suri dengan lembut dan tenang.)

Kata-kata Suri membuatkan Azizi terpaku seketika.

"Eh? Dia tak marah akulah? Malah, cara dia cakap berbeza sangat dari sebelum ini. Hmm... Mesti dia rasa serba salah sebab buat aku luka begini." (bisik Azizi.)

Setelah sekian lama, baru malam ini Suri berkata lembut dengannya. Nada Suri bak angin malam yang tenang. Azizi hanya diam tersenyum. Malam itu, mereka tidur berbumbungkan bulan dan bintang sambil diterangi unggun api ditengah mereka bertiga.

Hari demi hari berlalu dengan tenang. Kini Azizi sudah tidak seperti dulu lagi. Walaupun tangannya berbalut, tetapi ketangkasan dan ketajaman pergerakannya sudah meningkat pesan, hasil dari latihan keras Awang dan Suri.

Biarpun perit, tetapi akhirnya Azizi berjaya juga mengimbangi pergerakan Awang meskipun dia masih tidak dapat kalahkan Awang.

Azizi berjalan dibelakang, mengekori Awang dan Suri yang tampak begitu akrab. Cara mereka berbual, dengan senyuman kecil yang terbit sesekali, mengingatkan Azizi kepada seseorang yang sangat dia rindui. Dan perlahan-lahan, perasaan itu mengusik ruangan hatinya.

Sudah enam bulan pusara adiknya tidak diziarahi. Terlalu sibuk dengan kerja sehinggakan kekusutan hidup telah mencuri detik-detik penting dalam hidupnya.

Hati Azizi mula merasa sayu. Perasaan rindu semakin menenggelamkan dirinya.

Azizi menghela nafas perlahan. Pandangannya kembali ke arah Awang.

"Awang." (panggilnya perlahan.)

"Ya, Kanda?" (sahut Awang, menoleh sedikit.)

"Sahaja hendak tahu... Sudah lama ka Awang kenal dengan Kakanda Suri?" (bisik Azizi.)

Awang mengangguk sambil tersenyum.

"Sudah lama. Sejak Awang masih kecil. Dulu Awang selalu ikut Pak Cik hantarkan bekalan ke istana. Dari situlah Awang mengenali Kakanda Suri. Lama-lama jadi rapat."

"Oh... Jadi Awang pasti sudah kenal dengan perangai Suri, kan?"

Awang tersenyum senget.

"Tahu... tapi tak semua."

Azizi mendengus kecil, namun masih bersuara.

"Dia memang selalu macam gitu ka? Wajah serius. Tak banyak cakap."

Awang ketawa kecil.

"Begitulah Kakanda kalau dengan orang luar, atau dalam urusan rasmi. Tapi kalau sudah kenal, Kakanda sebenarnya penyayang. Lembut hati, prihatin."

Azizi mengangguk perlahan.

"Oh... Tapi dengan Paduka, dia nampak dingin sangat, kenapa?"

Awang terkejut sehingga membulat matanya.

"Oh ya kah? Tak tahu pula Awang..."

Azizi menggumam perlahan dalam hati.

"Ceh... kata kawan rapat. Tapi bila tanya hal penting, semua tak tahu."

Tiba-tiba, Awang pula bersuara.

"Kanda... boleh Awang bertanya sesuatu?"

"Hmm..."

"Kanda berasal dari mana? Mengapa tutur Kanda berlain dengan kami semua?"

Azizi tergelak kecil, sambil menggaru tengkuk.

"Haha... Hmmm, nak mula dari mana, ya? Sebenarnya Kanda...."

Tiba-tiba.

"Kita sudah sampai."

Suri mencelah pantas. Suaranya tenang tapi cukup tegas. Langkah mereka bertiga terhenti serentak.

Mata Suri melilau ke sekeliling.

"Molek. Kita berhenti dulu disini, untuk kumpulkan kembali tenaga kita buat seketika. Selepas itu, kita sambung semula perjalanan kita."

Dia menghulurkan seuncang wang kepada Awang.

"Awang, ambil ini. Pergi mana-mana rumah yang hampir. Tanya kepada tuan rumah... Barangkali mereka sudi menjualkan kepada kita sekantung dua bahan makanan untuk dijadikan bekalan nanti."

"Baik, Kakanda."

Awang segera melangkah menuju ke sebuah perkampungan kecil yang terletak tidak jauh dari situ.

Suri kemudian memandang ke arah Azizi.

"Azizi, mari ikut aku. Kita harus mengisi semula air dalam karung ini."

"Hmm... Baiklah." (balas Azizi sambil mencapai beberapa karung air yang mereka bawa bersama.)

Mereka berjalan menyusuri laluan kecil yang diteduhi pokok rendang, sehingga sampai ke sebatang anak sungai yang jernih dan mengalir tenang.

Azizi terpaku seketika tatkala melihat kejernihan air sungai itu cukup memukau, sehingga dasarnya kelihatan jelas walau dari jauh.

Tanpa ragu, Azizi segera menadahkan tangannya dan meminum air itu beberapa kali.

"Ah... leganya..." (ujarnya perlahan, puas.)

Kesejukan air sungai itu menyegarkan tekaknya. Dia menadah air lagi, kali ini disapukan ke wajahnya. Rasa dingin yang menyentuh kulitnya memberi kelegaan yang sukar digambarkan, hampir membuatkan Azizi terfikir untuk terus terjun mandi.

Namun, dia segera mengawal diri dan mula menadah air ke dalam karung yang dibawanya. Suri pula diam di sisi, menunduk mengisi air dengan penuh tenang.

Tiba-tiba, satu jeritan nyaring kedengaran tidak jauh dari tempat mereka.

"AAAGGGRRRR!"

Azizi dan Suri terkedu sejenak. Mata mereka saling menatap dengan penuh tanda tanya, sebelum kedua-duanya segera berlari ke arah sumber suara.

Jantung mereka berdegup kencang, berharap Awang tidak apa-apa.

Sampai sahaja dihadapan sebuah rumah, Azizi terkejut melihat Awang terduduk ketakutan. Tangannya menggigil sambil menunjuk ke arah sepasang suami isteri yang telah berubah menjadi patung batu. Sebahagian daripada rumah mereka juga telah bertukar menjadi batu.

Mata Azizi terbeliak, tergamam menyaksikan kejadian yang tidak terjangka itu.

"Suri...Ini angkara Angmaar ka?" (soalnya dengan cemas.)

"Tidak..." (jawab Suri perlahan, dan dingin.)

"Aku tak rasa ini perbuatan mereka."

Suri berjalan sekeliling sambil memeriksa kawasan kejadian dengan lebih teliti.

"Lihat dari bentuk sumpahan ni... Aku yakin ini pasti kerja Sang Kelembai."

"APA?!"

Azizi dan Awang serentak menjerit.

"Sang Kelembai?!"

"Ya." (kata Suri sambil menghulurkan tangannya kepada Awang untukbangun.)

"Tak syak lagi. Dari bentuk kesan sumpahan ini sudah cukup menjadi bukti. Pasti dia ada melalui tempat ini semalam."

Azizi dan Awang saling berpandangan. Sukar untuk mereka menerima kenyataan yang baru sahaja terhidang didepan mata. Azizi termenung sejenak, cuba menenangkan fikirannya yang berkecamuk.

"Sang Kelembai... Jadi dia juga wujud di dunia ni?" (fikir Azizi.)

Pelbagai persoalan mula timbul dalam benaknya. Mula-mula Badang, kini Sang Kelembai. Sebenarnya berapa banyak makhluk mitos yang hidup dalam dunia ini?

Sementara Azizi masih berfikir, Awang dilihat sedang meneliti bentuk patung batu di dalam rumah itu dengan penuh berhati-hati.

"Awang, apa yang kau tenung lagi tu? Cepat bantu Kakanda. Kita harus segera kumpulkan bekalan makanan yang ada sebelum hari mula gelap."

Awang mengangguk, lalu tanpa membuang masa, Awang dan Azizi membantu Suri mengumpulkan apa saja yang masih boleh digunakan untuk perjalanan mereka. Setelah selesai, mereka segera meninggalkan rumah itu untuk meneruskan perjalanan.

Namun, Azizi ada terhidu sesuatu yang kurang menyenangkan. Matanya segera meliar mencari, dan tiba-tiba dia terpandang sebuah pekan kecil berhampiran. Dia segera terdiam.

"Suri! Awang! Cepat kesini! Lihat pekan tu!"

Suri dan Awang segera menghampiri Azizi, lalu mata mereka sama-sama tertumpu ke arah pekan yang dimaksudkan. Keduanya turut terkejut besar.

"Tak... Tak mungkin..." (ujar Suri perlahan.)

"Kakanda... Mereka semua pun... Dibunuh oleh Kelembai jugakah?" (tanya Awang dengan penuh ketakutan.)

Ketiga-tiga mereka terdiam. Tiada siapa yang mampu mengeluarkan kata. Keadaan pekan itu begitu menyayat hati. Darah menyimbah di serata tempat, baunya menusuk bersama dengan bau mayat yang mula membusuk.

Anggota tubuh yang terlerai, mayat yang tidak lengkap, semuanya bersepah, seolah-olah pekan itu telah menjadi medan pembantaian.

Azizi menahan rasa mual dan seram yang semakin menguasai dirinya. Tangannya mula menggeletar.

"Apakah ini juga perbuatan Sang Kelembai?"

"Tidak. Itu tidak mungkin!" (balas Suri yang yakin.)

"Sang Kelembai bukan makhluk yang membunuh. Dia penyendiri, dia suka menjauhi manusia. Setahuku, dia tidak akan sesekali masuk ke kawasan pekan seperti ini."

"Kalau bukan Sang Kelembai... siapa?" (Azizi keliru.)

"Kakanda! Datang sini lekas! Lihat apa yang Awang jumpa!" (jerit Awang yang berada disisi lorong pekan.)

Mereka segera bergegas ke arah suara Awang. Sewaktu tiba, Suri terlihat mayat yang ditunjukkan oleh Awang dan wajahnya serta-merta berubah.

"Tak mungkin..." (bisik Suri perlahan.)

"Kau kenal mayat ni?" (soal Azizi, hairan melihat reaksi Suri.)

"Ini... Mayat askar Mandala." (jawab Suri akhirnya, dengan suara yang hampir tersekat.)

Mendengar itu, Azizi dan Awang tergamam.

Azizi menoleh ke sekeliling dengan rasa tidak sedap hati. Adakah mereka sedang diperhatikan? Tiba-tiba, rasa takut yang mendalam menyusup ke dalam dirinya. Lututnya terasa longgar.

"Kau pasti, Suri?" (Azizi cuba mendapatkan kepastian.)

"Ya. Tiada syak. Ini memang askar Mandala. Tapi... aku juga hairan. Bagaimana mereka boleh berada di sini tanpa dikesan askar pengintip Tandasuka? Dan... Apa kaitan mereka dengan Sang Kelembai? Lihat! Ada diantara mereka yang turut terkena sumpahan."

"Adakah... Sang Kelembai telah menjadi sekutu Garuda dan Angmaar?"

"Aku tak rasa begitu. Sang Kelembai takut pada manusia. Dia suka menyendiri. Tidak mungkin dia bekerjasama dengan mana-mana pihak." (jawab Suri.)

"Aku rasa, baik kita tinggalkan tempat ini sekarang. Aku takut kalau musuh masih ada disekitar sini." (kata Azizi kepada mereka.)

"Ya, mari!" (balas Suri pantas.)

Mereka segera beredar dari pekan ngeri itu. Ketika perjalanan, Azizi menjeling ke arah Awang. Nampaknya Awang masih kelihatan bingung dan pucat.

"Awang, apa yang kau termenungkan?" (tegur Azizi.)

"Tiada apa. Cuma... teringat kejadian tadi. Sungguh mengerikan. Tambah pula... Ini kali pertama Awang melihat sendiri sumpahan Sang Kelembai. Tak sangka... sekuat itu." (jawab Awang perlahan.)

Azizi hanya mengangguk. Namun ketika dia berpaling semula, dia terlihat Awang...

Tersenyum.

"Eh? Dia senyum?" (bisik Azizi yang terkedu.)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience