” Aku terima nikahnya Nur Annisa binti Ahmad Mazlan dengan mas kahwin tiga ratus ringgit tunai.”
Annisa dan Andrian mengucap syukur di dalam hati kerana akhirnya mereka disatukan dalam ikatan yang sah. Impian Andrian untuk menjadi suami buat Annisa sudah tercapai. Walaupun tiada majlis besar-besaran yang dibuat, hanya akad nikah dimasjid, Annisa dan Andrian tetap bersyukur. Bukan majlis besar-besaran yang mereka dambakan. Cukuplah antara mereka sudah punya ikatan yang halal.
” Perempuan mana kau bawa balik ni Andrian?” Datin Maria sudah mengerutkan dahi. Atas bawah dia memandang gadis bertudung labuh yang asyik menunduk di sebelah Andrian. Takut-takut gadis itu mahu memandang wajah Datin Maria dan Datuk Bahadur yang tidak berkelip memandangnya.
” Kenalkan mummy, daddy… ini Annisa. Isteri Ian…”
” Isteri?” Datin Maria terus terbangun dari duduknya. Membulat matanya memandang Andrian dan Annisa silih berganti.
” Sejak bila pula kamu berkahwin? Tiba-tiba kamu bawa perempuan ni balik dan kenalkan perempuan ni sebagai isteri kamu? Kamu nak buat lawak ke apa ni?”
” Andrian, cuba kamu cakap betul-betul. Perkara ni tak boleh di buat main. Betul kamu dah bernikah dengan perempuan ni?” Datuk Bahadur lebih berdiplomasi. Dia tidak mahu cepat melenting berbanding isterinya.
Andrian mengangguk.
” Sejak bila?”
” Dah sebulan.”
” Sebulan?” Melengking kuat suara Datin Maria. ” Dah sebulan kamu bernikah, baru sekarang kamu nak beritahu kami? Kamu memang memalukan kami. Mana mummy dan daddy mahu letak muka ni hah? Kamu lupa ke Ian yang kamu dah bertunang dengan Maya. Apa mummy nak jawab pada mak bapak Maya? Kamu tahu tak tindakan kamu ni boleh merenggangkan persahabatan kami. Mana kamu letak otak kamu hah? Ni, perempuan mana yang kau bawak balik ni? Siapa mak bapak dia? Dia ni anak Datuk mana?”
” Isteri Ian anak yatim piatu, mummy.”
” Anak yatim piatu? Perempuan ni bukan orang berada? Kamu ni memang dah gila agaknya. Memang memalukan keturunan aku. H ei, perempuan! Apa yang kau nak dari anak aku hah? Kau nak kikis harta anak aku, kan? Tak guna!” Datin Maria menarik tangan Annisa lalu dilempang pipi Annisa sekuat hati. Annisa terjelepuk ke lantai.
” Mummy!” Cepat-cepat Andrian menahan Datin Maria dari mengasari Annisa. Datuk Bahadur hanya melihat. Langsung tiada hati mahu menyuruh isterinya menghentikan perbuatannya itu.
” Ian tak akan benarkan mummy mengasari isteri Ian. Annisa isteri Ian sampai Ian mati. Ian tak akan benarkan mummy sakiti isteri Ian lagi!”
Datin Maria semakin berang. Anak yang dijaganya dengan penuh kasih sayang selama ini telah berani meninggikan suara padanya. Kerana perempuan tak guna tu Andrian sudah berani menengking ibunya sendiri.
” Kerana perempuan jalanan ni kamu sudah pandai tinggikan suara pada mummy.”
” Dia bukan perempuan jalanan. Annisa isteri Ian!”
” Andrian Shah!” Datuk Bahadur sudah campur tangan. Dia juga sudah tidak dapat duduk selesa bila melihat Andrian sudah menjadi kurang ajar.
” Kamu memang sudah betul-betul memalukan kami. Daddy beri pilihan kepada kamu. Kamu mahu pilih apa yang kamu ada sekarang ataupun kamu mahu pilih untuk hidup dengan perempuan tu?” Datuk Bahadur sudah membuat keputusan. Dia berharap Andrian memilih apa yang dia ada sekarang. Kalau betul, Andrian perlu menceraikan isterinya dan berkahwin dengan Maya. Andrian satu-satunya anak tunggal dan menjadi kebanggaan mereka selama ini. Dari kecil hidup Andrian disogokkan dengan kemewahan.
Tidak pernah sekalipun Andrian hidup susah. Jika Andrian memilih isterinya, bermakna Andrian harus melupakan niatnya untuk mewarisi segala harta kekayaan keluarganya.
Andrian menarik nafas panjang. Wajah Annisa yang asyik menunduk dari tadi dipandang dengan perasaan berbaur. Dia tahu Annisa menangis. Dia tahu Annisa takut dengan suasana seperti ini.
Betapa rendahnya martabat Annisa di mata ibu bapanya. Andrian sendiri tidak menyangka sampai begitu sekali penerimaan mummy dan daddy terhadap Annisa. Hanya kerana Annisa bukan dari golongan berada,maruah dan harga dirinya dipandang hina. Andrian mengeratkan genggaman tangannya pada tangan Annisa seakan memberi kekuatan kepada isterinya untuk melalui keadaan sekarang. Wajah putih bersih yang sudah basah dengan air mata itu sudah mendongak memandang Andrian dengan harapan yang tinggi menggunung.
” Dengan nama ALLAH yang maha pemurah lagi maha mengasihani, aku, Andrian Shah memuliakan Nur Annisa sebagai isteriku. Isteri yang akan menjadi isteriku sehingga ke akhir nafas. Di dalam sukar atau senang, Ian hanya mahu Annisa yang berada di sisi Ian. Hidup mati Ian hanya disamping Annisa.
Walau apa pun rintangan dan halangan, Ian hanya mahu Annisa menjadi isteri Ian dunia akhirat.”
Annisa membalas genggaman tangan Andrian. Terharu dia mendengar kata-kata Andrian. Kerana dia, Andrian sanggup meninggalkan segala kemewahan yang dikecapi sekarang. Kerana dia, Andrian sanggup mengorbankan segalanya. Annisa berjanji pada diri sendiri selagi nyawa dikandung badan, dia akan taat pada Andrian. Segala hidupnya diserahkan pada Andrian. Dia berjanji akan menjadi isteri yang terbaik dan solehah untuk Andrian.
” Baik, kalau itu pilihan kamu, daddy harap kamu tak akan menyesal. Sekarang daddy mahu
kamu kemaskan semua barang-barang kamu dan keluar dari rumah ini dengan segala hormatnya.”
Andrian memejam matanya. Ya, dia sudah bulat dengan keputusannya. Dia tidak akan sesekali berganjak. Annisa hidupnya sekarang. Annisa gadis yang telah membawa dia ke pangkal jalan. Kalau bukan kerana Annisa, sampai bila-bila dia tidak mengenal TUHAN. Kalau bukan kerana Annisa, sampai bila-bila dia tidak mampu beroleh ketenangan.
” Abang…” Annisa sudah mula kerisauan. Dia tidak sanggup melihat Andrian dibuang keluarga kerana dia. Dia tahu Andrian tertekan dengan keputusan daddynya. Annisa tahu Andrian kecewa.
” Abang sanggup kehilangan segalanya tapi abang tak sanggup kehilangan Nisa.”
Datin Maria mencebik mendengar kata-kata Andrian. Meluat dia melihat pasangan sejoli itu.
” Ingat Ian. Selagi kamu bersama betina ni, mummy haramkan kamu jejakkan kaki ke rumah ini.
Menantu mummy hanya Maya. Hanya Maya yang layak menjadi menantu mummy. Dan kau perempuan, sampai mati aku tak akan terima kau sebagai menantu aku. Seluruh keturunan kau aku haramkan jejakkan kaki ke rumah ini. Sekarang kamu berdua boleh berambus. Berambus!!!”
Andrian memeluk Annisa bila Datin Maria mahu mengasari Annisa lagi. Dia tidak akan biarkan mummy menyakiti Annisa walaupun seinci.
” Abang…” Fikiran Annisa bercelaru. Betulkah keputusan yang dibuat oleh Andrian. Annisa sudah bersedia untuk berundur asalkan Andrian tidak dibuang keluarga. Dia tidak sanggup melihat Andrian memusnahkan hidupnya semata-mata kerana dia. Andrian menarik tangan Annisa keluar dari rumah mewah keluarganya. Sudah tidak sanggup lagi dia mahu mendengar cercaan dan makian mummy terhadap Annisa. Annisa perempuan yang baik. Mummy tidak ada hak mahu mempertikaikan siapa isterinya.
” Abang tak apa-apa sayang. Abang baik-baik saja selagi Nisa ada di sisi abang.” Annisa tahu walaupun Andrian mengukir senyuman namun didalam hati Andrian sedang dilanda rasa sedih yang teramat sangat. Andrian sudah melakukan pengorbanan yang paling besar dalam hidupnya.
” Terima kasih kerana memilih Nisa. Nisa janji Nisa akan setia dan taat pada abang. Nisa janji akan menjadi yang terbaik untuk abang.”
” Abang yang patut ucapkan terima kasih pada Nisa kerana Nisa sudi terima abang jadi suami Nisa. Abang janji abang akan melindungi Nisa, tak akan sesekali abang sakiti Nisa. Abang janji abang akan bersama Nisa hingga ke akhir nafas abang. Dengan nama ALLAH, abang janji Nisa yang akan menjadi isteri abang sampai akhir nafas abang.”
Annisa memeluk lututnya. Abang… mana janji-janji abang dulu? Kenapa abang tinggalkan Nisa macam ni? Apa salah Nisa? Apa dosa Nisa? Nisa tak pernah pun curang pada abang. Nisa hanya setia pada abang selama ini. Kenapa tergamak abang ragui kesetiaan Nisa? Kenapa abang sanggup jatuhkan hukuman sebelum dengar penjelasan dari Nisa? Kenapa abang? Kenapa?
Annisa sudah mengongoi kesedihan. Sudah naik lenguh dia mendail nombor telefon Andrian namun Andrian mematikan telefonnya. Sudah beratus-ratus mesej dihantar namun tidak sekali pun Andrian membalas mesej-mesejnya. Benci sangat Andrian padanya sekarang.
” Maya, abang Ian mana? Bagilah Nisa cakap dengan abang. Sekejap pun tak apa.” Annisa merayu. Berjuraian air matanya. Dia sanggup buat apa saja untuk Maya asalkan Maya sanggup memberi dia peluang untuk bercakap dengan Andrian.
” Hei, betina! Kau ni memang jenis tak faham bahasa ke? Andrian tak nak cakap dengan kaulah! Dasar perempuan sundal. Masa buat tak fikir dulu. Dah jadi macam ni baru nak menyesal. Kau jangan harap Andrian akan terima perempuan jalang macam kaulah.”
” Cakaplah apa yang Maya nak cakap pada Nisa. Tuduhlah Nisa sepuas hati Maya. Tapi benarkanlah Nisa bercakap dengan abang. Bagi Nisa peluang jelaskan segalanya pada abang.”
” Dah tak ada apa yang perlu kau jelaskan. Andrian pun dah tinggalkan kau, kan? Sepatutnya dari dulu lagi dia patut tinggalkan kau. Perempuan sundal dan jalang macam kau ni, memang tak patut dia simpan lagi. Lepas ni kau jangan kacau suami aku lagi. Andrian tu suami aku!”
” Abang pun suami Nisa jugak. Tolonglah Maya. Nisa merayu. Tolonglah benarkan Nisa bercakap dengan abang. Tolonglah!”
” Andrian tak ada!” Klik.
Annisa hampir meraung. Abang…Nisa perlukan abang. Nisa rindu sangat pada abang. Baliklah abang. Jangan buat Nisa macam ni…
Annisa memeluk gambar Andrian. Dicium baju Andrian…
” Abang… baliklah…”
Share this novel