BAB 12

Romance Completed 15293

Jannah melepaskan keluhan kecil. Lapan bulan sudah berlalu namun Annisa tetap begitu. Menungan sudah menjadi rutin hariannya. Sahabat yang dahulunya hidup penuh dengan keriangan dan senyuman sentiasa menghiasi bibir kini hidup dalam kesuraman. Tidak disangka yang Annisa sedang menanggung beban yang maha berat. Walaupun tidak banyak yang Jannah tahu tentang kisah Annisa dan Andrian namun Jannah dapat memahami bebanan perasaan yang ditanggung Annisa.

” Annisa…”

Annisa yang sedang mengait baju bayi mengangkat muka. Walaupun wajah itu kelihatan suram namun seri ibu mengandung tetap kelihatan. Tenang Jannah melihat wajah polos Annisa. Cantik dan tidak jemu mata memandang.

” Saya belikan nasi beriani yang awak nak tu.” Kebetulan sewaktu keluar dari butik tadi Jannah terus teringatkan Annisa. Annisa pernah cakap yang dia teringin sangat nak makan nasi beriani. Annisa sekarang sudah tidak lagi ke butik. Segala urusan di butik Jannah yang uruskan. Annisa lebih selesa bekerja di rumah. Nasib baik rakan kongsinya itu jenis memahami.

“Terima kasih Jannah. Maaf terpaksa susahkan awak.”

” Nisa… awak dah macam adik saya. Apa pun yang awak teringin nak makan, awak cakap saja. InsyaALLAH saya akan sediakan.”

Annisa mengukir senyuman. Syukur walaupun semua orang bencikan dia sekurang-kurangnya masih ada umat Muhammad yang masih ingin mengambil berat perihal dia. Annisa mengusap perutnya yang sudah memboyot. Tunggu masa saja untuk dia melahirkan. Bahagianya kalau Andrian ada disisi dia.

Mengingati Andrian, dada Annisa dipalu rasa sedih dan kecewa. Ke mana agaknya Andrian menghilang. Sejak peristiwa itu, sekali pun Andrian tidak kirimkan khabar berita. Andrian sudah berhenti kerja. Andrian dan Maya juga sudah tidak duduk di rumah mereka lagi. Mungkin juga Andrian sudah membawa Maya keluar dari Kuala Lumpur. Mungkin juga Andrian sudah menetap semula di Johor Bharu, di mana keluarga mewahnya menetap. Annisa ingin sekali menghubungi mentuanya untuk bertanyakan perihal Andrian namun terpaksa Annisa batalkan niatnya.

Dia yakin mummy tentu tak akan beri dia peluang untuk bercakap dengan Andrian. Bukan saja tak mahu beri dia peluang untuk bercakap dengan Andrian, malah cercaan dan makian yang akan diterima.Annisa tidak mahu mummy terus-terusan membenci dia. Semoga suatu hari nanti hati Andrian akan terbuka untuk memaafkan Annisa.

” Jannah.. boleh tak kalau saya buat satu permintaan?”

Jannah mengangguk.

” Andai kata berlaku apa-apa pada saya nanti, boleh tak awak jaga anak saya ni. Boleh tak awak anggap anak saya ni sebagai anak kandung awak? Saya dah tak ada sesiapa lagi yang boleh saya harapkan sekarang. Saya tak sanggup biarkan anak saya ni dihantar ke rumah anak-anak yatim. Saya tak mahu anak saya terima nasib yang sama macam saya. Saya nak anak saya hidup dengan sempurna, ada ibu dan ayah yang menyayangi dia.” Air mata Annisa sudah berlinangan. Mengenangkan anak dalam kandungannya membuatkan Annisa susah hati. Bimbang memikirkan nasib anaknya di kemudian hari.

” Kenapa awak cakap macam tu. Awak tak akan apa-apa Annisa.”

” Berjanjilah pada saya Jannah. Hanya awak harapan saya. Saya takut sangat kalau saya tak sempat nak jaga anak ini.”

Bagi Jannah yang sudah hampir lima tahun mendirikan rumah tangga namun masih tidak dikurniakan anak, permintaan Annisa bagaikan rezeki yang jatuh dari langit. Jannah memang sudah berniat mahu menjadikan anak dalam kandungan Annisa sebagai anak angkatnya tetapi dia mahu membesarkan anak itu bersama-sama Annisa. Dia mahu mereka sama-sama melihat anak itu membesar. Suaminya juga bersetuju dengan pendapat Jannah.

” Nisa… Ini juga anak Andrian. Andrian pasti akan bertanggungjawab sebab ini darah daging dia.”

Anissa membungkam. Kalaulah Jannah tahu apa yang terjadi. Kalaulah Jannah tahu yang Andrian tak mahu mengaku yang ini anaknya, tentu Jannah akan merasa terkilan. Tentu Jannah tidak menyangka yang Andrian sanggup buat begitu. Annisa pun tidak mahu buka mulut untuk bercerita apa-apa pada Jannah. Ini hal rumah tangga mereka. Anissa tidak mahu mengaibkan sesiapa. Lagipun mungkin dia juga bersalah tanpa dia sedar cuma dia tidak tahu apa salahnya sehingga dia dihukum sebegitu rupa.

” Jannah, berjanjilah pada saya…” Annisa memegang tangan Jannah. Penuh pengharapan. Jannah melepaskan keluhan sebelum mengangguk tanda setuju dengan permintaan Anisa.

Abang, disaat Nisa begini hanya abang yang Nisa harapkan berada disisi Nisa. Siang malam Nisa tak putus-putus berdoa semoga ALLAH melembutkan hati abang agar abang kembali pada Nisa. Cinta kita semakin membesar dalam rahim Nisa dan sekarang Nisa hanya tunggu masa saja untuk melahirkan cinta kita. Inilah tanda cinta yang kita tunggu-tunggukan hampir 4 tahun. Akhirnya TUHAN memakbulkan doa kita. Nisa tahu abang teringin sangat nak menimang cahaya mata.Nisa juga tahu abang teruja bila tahu Nisa tak sedap badan dan abang pasti akan kecewa bila keputusannya negatif. Nisa tahu abang sengaja mahu sedapkan hati Nisa bila abang cakap ‘tak apa, bukan rezeki lagi’.Ada anak atau tidak, abang tak kisah asalkan Nisa sentiasa disisi abang.’

Dan sekarang impian abang untuk menjadi seorang ayah sudah termakbul. Tapi kenapa abang menghilang? Tak sekali pun abang balik jenguk Nisa disini. Nisa selalu sedapkan hati Nisa yang abang akan balik suatu hari nanti. Cuma Nisa berharap sangat-sangat sewaktu Nisa melahirkan anak ini, abang ada disisi Nisa. Hanya itu yang Nisa harapkan. Nisa hanya mahukan abang. Hanya mahukan abang menemani Nisa. Tapi kalau abang tak mahu juga temankan Nisa, tak apalah. Nisa akur. Nisa maafkan segala salah silap abang. Bagi Nisa, abang tetap suami Nisa dunia akhirat. Abang tetap suami yang Nisa sanjungi. Nisa hanya mahukan abang dalam hidup ini. Hanya abang….

” Abang…Nisa sakit sangat abang… YA ALLAH…”

” Nisa, kuatkan semangat. Ingat ALLAH banyak-banyak. Mengucap banyak-banyak Nisa. Insya ALLAH segalanya akan berjalan dengan lancar.” Jannah menggenggam erat tangan Annisa. Sudah sampai masanya untuk Annisa melahirkan anak.

” Mana Andrian? Abang… Nisa nak abang…”

Jannah sudah tidak tahu apa yang harus dilakukan. Dia sendiri tidak tahu di mana mahu mencari Andrian. Dia tidak tahu di mana Andrian bekerja, di mana rumah ibu bapa Andrian. Segalanya dia tak tahu. Jannah juga sudah cuba mendail nombor telefon Andrian. Itu pun Jannah curi-curi mengambilnya dari simpanan telefon bimbit Annisa. Namun nombor itu sudah tiada dalam perkhidmatan. Jannah sudah berpatah arang. Dia sendiri sudah tak tahu apa yang harus dilakukan.

” Jannah… tolong sampaikan pada Andrian… hanya dia saja suami Nisa dunia akhirat. Hanya abang suami Nisa dunia akhirat. Nisa maafkan segala salah silap abang.” Annisa memejam matanya erat-erat cuba melawan kesakitan yang semakin mencengkam. Kecewa? Ya, Annisa sangat kecewa. Harapannya agar Andrian datang menemani dia saat dia melahirkan ternyata tidak termakbul. Tak apalah. Mungkin TUHAN sudah merencanakan sesuatu yang lebih baik untuknya.

Annisa membuka mata saat terasa dahinya dikucup seseorang. Dalam menahan kesakitan yang teramat sangat Annisa ternampak bayangan Andrian.

” Abang datang sayang…”

Annisa bersyukur di dalam hati. Walaupun dia tahu semua itu hanyalah sekadar ilusinya, dia tetap dapat merasakan kehadiran Andrian disisinya.

TIGA BULAN KEMUDIAN.

Hampir setahun Andrian tidak menjejakkan kaki ke rumah itu. Masih seperti dahulu, kemas dan teratur. Semakin menghampiri pintu rumah, semakin berdebar hati Andrian. Apa khabar Annisa agaknya. Mengikut perkiraan Annisa sudah melahirkan anak. Kalau ikutkan hati yang marah, memang dia tidak mahu melihat Annisa. Namun dia mahu melihat sebahagia mana hidup Annisa sejak dia meninggalkan isteri ‘solehahnya’ itu. Apakah Annisa hidup gembira sejak ketiadaannya? Apakah Annisa tak kisah sama ada dia ada atau tidak? Memang dasar perempuan sundal kalau betul Annisa bahagia sejak ketiadaannya.

Andrian memulas tombol pintu. Memang Andrian masih lagi menyimpan kunci pendua rumah mereka.

Rasanya dia tidak dikira menceroboh kerana rumah itu masih miliknya dan Annisa masih isterinya yang sah. Tak salah kalau dia mahu buat ‘spotcheck’. Mana tahu Annisa ada simpan jantan dalam rumah ni. Kalau betul, hari ini juga dia akan menceraikan Annisa. Dia sudah tidak sanggup menyimpan perempuan seperti itu lagi. Perempuan seperti itu tidak layak bergelar isterinya lagi.

Sambil melangkah masuk hati Andrian penuh dengan syak wasangka. Penuh dengan prejudis. Tidak sudah-sudah dia memikirkan keburukan dan kejahatan Annisa.

Andrian memandang sekeliling. Kemas dan teratur namun semua perabot ditutup dengan kain putih. Didinding masih lagi tergantung gambar perkahwinan mereka. Andrian merasa pelik. Kenapa semua perabot perlu ditutup dengan kain putih? Annisa dah pindah rumah ke? Tapi keadaan rumah langsung tak berhabuk seakan masih berpenghuni. Andrian mendaki anak tangga. Sasarannya ialah bilik tidur mereka. Daun pintu ditolak dengan rasa yang berbelah bagi. Kemas dan wangian kesukaan Andrian berkeliaran di seluruh ruang bilik tidur mereka. Mana Annisa? Andrian tertanya-tanya.

Langsung tidak terlihat kelibat Annisa. Di bilik air juga langsung tiada. Akhirnya Andrian duduk dibirai katil. Keadaan sekeliling menjadi perhatiannya. Segala kenangan terkumpul di dalam bilik itu. Di dalam bilik itu jugalah Andrian meninggalkan Annisa menangis tersedu sedan. Anak mata Andrian jatuh ke arah meja solek. Lantas dihampiri meja itu. Andrian mencapai telefon bimbit Annisa yang terletak elok di atas sebuah buku berkulit hitam yang tertulis Diari.

Dibelek-belek telefon itu. Semua digeledah sampailah ke peti mesej dan peti panggilan dibukanya. Banyak panggilan yang dibuat ke atas nombor lamanya. Mesej juga banyak dihantar ke nombor lamanya dan ternyata Andrian tidak pernah sekali pun membaca mesej-mesej itu. Sejak peristiwa malam itu Andrian terus menukar nombor telefon. Dia tidak mahu mendengar lagi rayuan Annisa.

Dia tidak mahu hatinya menjadi lembut mendengar tangisan wanita kesayangannya itu. Annisa patut diberi pengajaran. Tipulah kalau dia tidak merindui Annisa. Sumpah dia sangat merindui isterinya namun memikirkan Annisa yang telah mengkhianatinya, Andrian buang jauh-jauh perasaan rindunya pada Annisa.

Ketika sibuk membelek telefon itu barulah Andrian perasan yang nombor telefon Annisa sudah tamat perkhidmatan. Panggilan terakhir yang dibuat pun tiga bulan lepas. Mesej terakhir yang dihantar pun tiga bulan lepas. Nampaknya Annisa pun sudah menukar nombor telefon. Kenapa perlu menukar nombor telefon? Kau takut aku cari kau lagi ke? Andrian mendengus geram. Ikutkan hati mahu saja Andrian menghempas telefon bimbit itu ke dinding. Biar hancur berkecai!

Andrian mencapai buku berkulit hitam itu. Diari? Sejak bila pulak Annisa tahu menulis dairi? Andrian menyelak helaian dairi itu. Memang benar segala luahan hati Annisa tercatat pada Dairi hitam itu. Segala-galanya tercatat di situ sehinggalah saat Andrian menjatuh hukuman tak bertali pada Annisa, segalanya tertulis di situ.

14 may

Maya bertemu aku petang tadi. Dia mengaku yang dia sedang hamilkan anak suamiku. YA ALLAH dugaan apakah ini? Hancurnya hati aku mendengar pengakuan itu. Abang… betul ke abang? Betul ke abang yang buat semua tu?

16 May,

Aku ternanti-nanti Abang berterus terang. Hatiku sentiasa berharap dan berdoa agar Abang menafikan kata-kata Maya. Namun melihat Abang yang seakan menjauhi aku dan tidak mesra seperti selalu, membuatkan aku rasa ragu-ragu. YA ALLAH… jangan biarkan aku berprasangka dengan suamiku. Walaupun separuh hatiku yakin dengan kata-kata Maya,tetapi aku tetap mahu meletakkan harapan yang semua itu tidak benar. Mustahil suamiku akan menduakan aku. Mustahil suamiku akan mengkhianati cinta kami….

30 May,

Kosong… Kosongnya hati ini YA ALLAH… Apa yang harus aku lakukan sekarang? Aku tak boleh biarkan suamiku terus tersilap langkah. Dalam keterpaksaan aku membenarkan suamiku menikahi Maya. Hati isteri mana yang tidak hancur melihat suami sendiri tersenyum gembira disamping wanita lain. Kalaulah abang rasa apa yang Nisa rasa… Hancurnya hati Nisa. Tapi terpaksa Nisa pendamkan segalanya sendirian demi kebahagiaan abang. Nisa tahu Nisa tak mampu nak berikan abang cahaya mata. Mungkin bila bersama Maya, abang mampu mengecapi semua kebahagiaan yang tak mampu Nisa berikan…

Andrian terkedu. Dia hampir terlupa yang dia pernah menghancurkan hati Annisa. Sangkanya Annisa tidak kisah dengan perkahwinannya dengan Maya. Sangkanya Annisa tidak rasa apa-apa… Namun… ah, untuk apa difikirkan tentang perasaan Annisa. Annisa sendiri sudah melakukan perkara yang sama. Annisa sendiri telah melukai dia. Jadi mereka ‘seri’.

Andrian melangkah ke birai katil. Helaian demi helaian diselak lagi.

5 Ogos,

YA ALLAH… aku panjatkan penuh kesyukuran kepadaMU. Akhirnya apa yang kami nantikan selama ini KAU telah makbulkan. Betapa bahagiakan aku melihat suami kesayanganku tersenyum lebar saat doktor mengesahkan yang aku sudah mengandung dan kandunganku baru berusia 3 minggu. Itulah berita yang kami nantikan selama ini. Itulah tanda cinta kami berdua.

10 Ogos,

Baru saja aku ingin mengecapi kebahagiaan bersama suami tercinta, akhirnya aku di duga lagi. Sungguh berat dugaan kali ini hinggakan aku rasa lelah untuk menempuhinya. Untuk kesekian kalinya hatiku hancur sehancur hancurnya saat suamiku menjatuhkan hukuman ke atas kesalahan yang langsung tidak aku lakukan. Aku digantung tak bertali. Aku ditinggalkan terkapai-kapai. Suamiku pergi tanpa mendengar penjelasan dariku… Aku rela andai suamiku menghina aku, aku rela andai suamiku memukul aku tapi aku tersangat sedih bila suamiku tidak mahu mengaku yang anak dalam kandunganku adalah darah dagingnya. Aku dituduh perempuan sundal. Aku dituduh bagaikan pelacur sedangkan selama ini aku cukup menjaga maruahku sebagai seorang isteri kepada suamiku. Kerana salah faham segalanya hancur kini….

Dada Andrian berdegup kencang. Salah faham? Apa salah fahamnya? Dia sendiri yang nampak seorang lelaki keluar dari rumah mereka. Annisa yang sedang bersandar di kereta milik lelaki itu pula kelihatan asyik bergelak ketawa.

15 september

Abang… mana abang pergi? Nisa terlalu merindui abang. Baliklah bang…Puas Nisa cari abang. Puas Nisa hubungi abang tapi sekalipun abang tak pernah angkat panggilan Nisa. Setiap hari Nisa tunggu abang balik. Nisa rindu nak peluk cium abang. Nisa sanggup sujud dikaki abang asalkan abang kembali semula kepada Nisa. Nisa sanggup buat apa saja asalkan abang tak tinggalkan NIsa. Nisa sanggup buat apa saja demi abang…

5 Januari

Dugaan demi dugaan melanda. YA ALLAH berikanlah aku kekuatan. Berikanlah aku semangat. Kuatkan aku hingga kelahiran anak ini. Aku mahu anak ini membesar dengan sihat. Aku mahu anak ini dapat melihat dunia dan mengenali papanya walaupun papanya mungkin tidak dapat menerima anakku lagi. Abang… abang betul-betul dah buang Nisa dari hidup abang tapi Nisa tak pernah berhenti berharap agar suatu hari nanti abang akan kembali kepada Nisa.

13 Mac

Semakin menghampiri hari kelahiran, semakin hatiku berdebar-debar. Kadang-kadang terbayang-bayang kesakitan yang bakal aku alami. Namun demi anak tercinta, demi buah hatiku ini aku sanggup korbankan segalanya. Aku sanggup lupakan segala kesakitan itu. Dari minggu lepas aku teringin sangat nak makan nasi beriani. Tapi memikirkan keadaanku yang tak berapa sihat, terpaksa aku memendam keinginanku. Nak minta tolong Jannah, rasanya sudah banyak kali aku menyusahkan dia. Setiap kali aku mengidam, pasti Jannah yang akan berusaha memenuhi keinginanku. Syukur kerana aku dikurniakan sahabat baik seperti Jannah. Kalaulah abang ada, pasti abang akan lelah melayan kerenahku. Selalu aku terbayangkan abang berada disisiku melihat kandunganku membesar. Abang…. Nisa tak pernah lupakan abang. Seperti biasa Nisa tetap mengharapkan kepulangan abang… Hari-hari Nisa merindui abang. Nisa hanya mampu memeluk dan mencium baju dan gambar abang saja. Hanya itu yang mampu Nisa lakukan untuk mengubati rindu Nisa pada abang…

23 Mac

Abang….abang…abang…. Nisa teringin sangat ingin menatap wajah abang. Nisa nak kucup tangan abang. Nisa nak minta maaf pada abang dari hujung rambut sampai hujung kaki. Nisa nak peluk abang. Nisa terlalu rindukan abang… Nisa berharap sangat abang akan temankan Nisa masa Nisa mahu bersalin nanti. Nisa merayu pada abang. Berilah Nisa peluang menatap wajah abang mungkin untuk kali yang terakhir..

30 Mac

Malam ni Nisa masakkan semua makanan kegemaran abang. Walaupun Nisa tahu abang tak akan balik malam ni dan walaupun Nisa tahu semua tu membazir, Nisa tetap masak juga. Walaupun Nisa dah tak larat dan hanya tunggu masa saja, Nisa tetap lakukan juga kerana Nisa takut itu adalah peluang terakhir untuk Nisa memasak untuk abang. Hari ini segala-galanya Nisa lakukan untuk abang. Semua baju abang dalam almari tu Nisa dah gosokkan supaya nanti senang abang nak pergi kerja. Kasut abang pun Nisa dah kilatkan. Semua kertas-kertas kerja abang pun Nisa dah kemaskan betul-betul. Bila semuanya teratur, Nisa jadi puas hati. Semua itu pun untuk kesenangan abang juga.

2 April

Abang…. mulut ini tak pernah lelah memanggil abang…Rindunya Nisa pada abang hanya TUHAN yang tahu. Semakin menghampiri waktu itu, semakin memuncak rindu Nisa pada abang sampai Nisa tak tahu lagi bagaimana caranya untuk melampias rindu ini. Semakin dekat waktu itu semakin Nisa takut untuk kehilangan abang, semakin Nisa takut jauh dari abang…. Nisa takut semuanya menjadi yang terakhir untuk Nisa…

Andrian menyelak lagi helaian buku itu namun sudah tiada apa lagi yang tercoret dihelaian itu. Semuanya menjadi yang terakhir untuk Annisa? Apa maksud Annisa? Kenapa acap kali Annisa menyebut kali yang terakhir? Andrian sudah berdebar-debar. Ada sesuatu terjadi kepada Annisa ke? Andrian bingkas bangun. Dia keluar dari kamar.

” Nisa!” Andrian tercari-cari. Setiap bilik diperiksa namun kelibat Annisa tiada. Andrian melangkah ke dapur. Tetap kemas dan teratur. Seakan barang-barang disitu langsung tidak terusik.

“Nisa!” Muka Andrian sudah kemerahan. Dadanya sudah berombak-ombak. Ke mana Annisa pergi? Entah-entah Annisa berjumpa dengan kekasih hatinya. Tak guna! Kau kata setiap waktu kau tunggu aku balik tapi bila aku dah balik, batang hidung kau pun aku tak nampak! Hati Andrian sudah berbungkal geram. Dengan langkah pantas dia masuk semula ke dalam biliknya. Keluhan berat dilepaskan. Telefon bimbit Annisa dibelek-belek lagi. Peti mesej dibuka dan dibaca satu persatu. Tiada yang mencurigakan. Kebanyakan mesej yang dihantar adalah ke nombor lamanya.

Abang… Nisa sakit… Nisa sakit sangat…

Itu mesej Annisa yang terakhir. Mesej yang dihantar tiga bulan lepas. Andrian mula rasa tidak sedap hati. Berdegup kencang jantungnya memikirkan kemungkinan yang terjadi. Lantas Andrian menggeledah pula panggilan masuk dan keluar. Banyak panggilan yang dibuat ke atas nombornya dan juga Jannah. Semuanya dibuat tiga bulan yang lepas. Andrian memang kenal dengan Jannah. Jannah rakan kongsi Annisa. Rasanya Andrian boleh bertanya kepada Jannah. Pasti Jannah tahu apa yang berlaku. Lagipun sepanjang ketiadaannya Jannah yang telah melaksanakan tanggungjawab menjaga Annisa.

Ligat tangan Andrian menekan papan kekunci telefon bimbitnya.

” Assalamualaikum, Jannah…”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience