BAB 7

Romance Completed 15293

” Perempuan mandul. Apa lagi yang kau nak hah? Tak puas lagi kau rampas Andrian dari kami, sekarang kau nak halang Andrian balik jumpa Maya pulak?” Annisa mengurut dadanya. Salam tak, apa tak tiba-tiba saja dia kena sembur.

” Assalamualaikum mummy. Mummy sihat?” sapa Annisa dengan lemah lembut. Andrian yang baru saja ingin menghidupkan enjin kereta terus menoleh ke arah Annisa saat perkataan mummy meniti dibibir isteri kesayangannya itu. Mummy? Kenapa mummy call Annisa? Andrian mula rasa tidak sedap hati.

” Andrian mana?” jelas kebencian dalam nada suara itu. Salam Annisa langsung tidak disambut malah dibalas dengan dengusan kasar.

” Abang ada dengan Nisa ni. Mummy nak cakap dengan abang ke?” Annisa terdiam seketika sebelum menghulurkan telefon bimbitnya kepada Andrian. Dengan berat hati Andrian menyuakan telefon bimbit Annisa ke telinganya. Berkerut-kerut dahi Andrian mendengar maki hamun ibunya.

” Nisa pun isteri Ian mummy…” keluh Andrian. Sesekali dia mengerling ke arah Annisa. Saat mata mereka bertentangan, Annisa mengukir senyuman.

” Ya Ian tahu. Ian tak abaikan pun Maya. Ian tahu tanggungjawab Ian. Tapi Annisa pun isteri Ian. Dua-dua isteri Ian. Dua-dua Ian sayang. Mummy kena faham.”

Andrian terdiam lagi. Keluhan demi keluhan dilemparkan. Dia tahu Maya mesti ada mengadu apa-apa dengan mummynya. Kalau tak macam mana mummy boleh campur tangan. Dari dulu lagi mummy memang tak senang tengok dia bahagia dengan Annisa.

“Tak payahlah mummy. Nisa pun tengah sibuk tu. Lain kali saja mummy cakap dengan Nisa. Okeylah, Ian pun ada kerja juga ni. Lain kali kita bual lagi ya, mummy. Assalamualaikum.” Terus Andrian memutuskan talian. Jelak telinganya mendengar maki hamun mummy. Telefon dihulurkan semula kepada Annisa.

” Kenapa abang tak bagi Nisa cakap dengan mummy?”

” Tak payahlah. Ingat, lepas ni kalau mummy call, Nisa jangan angkat.”

” Tapi…”

” Abang tak izinkan Nisa angkat call mummy, okey?”

” Tapi kenapa?” Annisa tidak puas hati.

Andrian terus memutar stereng kereta. Bukan dia sengaja tidak mahu benarkan Annisa bercakap dengan mummy. Tapi cukuplah selama ini mummy menyakiti Annisa. Andrian tidak mahu melihat Annisa tersakiti lagi. Andrian sendiri tidak tahu bagaimana mahu menjernihkan hubungan Annisa dan mummy.

Sejak dia memperkenalkan Annisa sebagai isterinya, mummylah orang pertama yang menentang.

” Selagi kamu bersama perempuan tu, mummy haramkan kamu jejak kaki ke rumah ini!” Bagaikan terngiang-ngiang maki hamun mummy dipendengarannya dan kerana itu jugalah sudah hampir empat tahun Andrian tidak menjejakkan kaki ke rumah ibu bapanya. Dia sendiri tidak pernah menyesal memilih Annisa. Bagi Andrian, Annisa adalah pilihan terbaik dalam hidupnya.

Annisa isteri yang sangat disanjungi. Annisa isteri yang sangat disayangi. Kerana Annisa juga dia sanggup mati. Andrian sendiri tidak faham kenapa mummy benci sangat pada Annisa. Adakah kerana pangkat dan harta yang menjadi ukuran? Hina sangatkah anak yatim piatu seperti Annisa? Hina sangatkah gadis miskin seperti Annisa? Kasihan isterinya itu.

” Malam ni abang temankan Nisa ya.” Andrian tidak menjawab soalan Annisa. Dia tidak mahu memikirkan tentang mummy lagi. Biarlah mummy melayan rasa amarah di sana. Sekarang dia hanya mahu tenang bersama Annisa. Itu saja.

” Habis tu macam mana dengan Maya?”

Andrian melepaskan keluhan berat. Diluah mati emak ditelan mati bapa. Dua-dua dia sayang.

” Abang dah lama tak balik rumah kita. Abang rindukan Nisa. Rindukan air tangan Nisa. Malam ni abang nak Nisa buatkan asam pedas untuk abang ya. Sedapnya. Kecur air liur abang bila teringat masakan Nisa.”

Annisa mengukir senyuman bahagia saat mendengar kata-kata suaminya.

” Nisa pun rindukan abang. Rindu nak berjemaah dengan abang. Abang sudi tak jadi imam Nisa lagi?” Andrian menggenggam jari jemari Annisa lalu dikucup penuh kasih. Annisa isteri kesayangannya.

Annisa isteri solehah. Annisa, isterinya yang sentiasa mengingatkan dia tentang tanggungjawab, halal dan haram. Annisa isteri yang membimbingnya menuju ke jalan Allah. Silap dia kerana terjebak dengan godaan Maya. Silap dia kerana tidak sabar. Silap dia kerana mengkhianati cinta dan kasih sayang Annisa. Semua yang berlaku adalah salah dia.

” Nisa isteri abang. Isteri abang dunia akhirat…”

” Terima kasih kerana sudi terima Nisa dalam hidup abang.”

” Abang yang patut ucapkan terima kasih kepada Nisa kerana sudi menjadi isteri yang terbaik untuk abang. Walaupun abang dah banyak lukakan Nisa, Nisa tetap terima abang seadanya, tetap menjadi yang terbaik untuk abang. Abang janji abang tak akan sia-siakan Nisa. Abang janji abang tak akan sesekali abaikan Nisa. Abang janji.” ucap Andrian bersungguh-sungguh membuatkan Annisa tersenyum panjang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience