BAB 14

Romance Completed 15293

Abang….

Saat abang melafazkan akad nikah, Nisa sudah berjanji pada diri sendiri bahawa abang yang terakhir untuk Nisa. Hanya abang yang Nisa harapkan menjadi suami Nisa dunia akhirat. Nisa juga berjanji pada diri sendiri untuk jadi yang terbaik untuk abang. Nisa hargai segala pengorbanan abang.

Kerana Nisa, abang sanggup melupakan keluarga abang. Abang memilih Nisa, sanggup bersusah payah untuk Nisa. Pengorbanan abang takkan Nisa sia-siakan.

Kebahagiaan kita semakin berganda saat Nisa disahkan mengandung. Selama hampir empat tahun kita menanti dan akhirnya TUHAN memakbulkan permintaan kita. Walaupun kandungan itu bakal membahayakan Nisa, namun Nisa tetap teruskan. Nisa tak mahu penantian kita selama ini menjadi sia-sia. Nisa tak mahu membunuh kebahagiaan yang sedang kita kecapi. Ampunkan Nisa kerana merahsiakannya dari abang.

Untuk pengetahuan abang, Nisa menghidap kanser rahim. Maafkan Nisa kerana merahsiakannya. Ampunkan Nisa. Nisa terpaksa demi melihat abang bahagia… Cuma apa yang berlaku membuatkan Nisa rasa terkilan. Abang pergi dan menghukum Nisa sebelum sempat Nisa jelaskan apa-apa.

Abang, Nisa sakit sangat. Kadang-kadang rasa tak sanggup nak melalui kesakitan ini. Lagi-lagi segalanya Nisa alami sendiri. Tiada tempat untuk Nisa luahkan perasaan. Tiada tempat untuk Nisa minta pertolongan. Hari-hari Nisa lalui dengan tangisan dan air mata. Hancurnya hati Nisa, remuknya jiwa Nisa. Nisa peluk baju abang, Nisa cium gambar abang namun semua itu tidak mampu meredakan rasa yang terbungkam kuat dihati ini. Nisa hanya perlukan abang. YA ALLAH terlalu sakit perasaan ini. Terlalu sakit kerana terlalu merindui abang.

Abang…abang…abang… Mulut ini tak pernah berhenti menyebut perkataan itu sehingga disaat Nisa bersalin Nisa masih menyebut nama abang. Mengharapkan abang datang menemani Nisa, menggenggam tangan ini dan menyalurkan kekuatan untuk Nisa sehingga segalanya selesai. Nisa mahu abang lihat bagaimana sukarnya Nisa melahirkan permata abang. Nisa mahu abang tahu yang Nisa sanggup lalui apa saja kesakitan demi abang. Demi melihat abang bahagia, Nisa juga sanggup korbankan hati, perasaan dan juga nyawa Nisa.

Abang, ampunkan Nisa andai Nisa dah banyak lukai abang. Nisa insan yang terlalu banyak kekurangan namun Nisa cuba untuk jadi yang terbaik untuk abang. Andai nyawa Nisa tak panjang, halalkanlah makan minum Nisa. Nisa nak abang tahu yang Nisa tak pernah menyesal memilih abang sebagai suami Nisa. Nisa bertuah menjadi pilihan abang. Terima kasih untuk segalanya. Abanglah suami Nisa dunia akhirat, suami yang Nisa harapkan membimbing Nisa menuju ke JannahNYA.

Annisa…

Maafkan abang, ampunkan abang… Abang memang tak layak menjadi suami Nisa, kan? Kejamnya abang kerana mempersia-siakan hidup Nisa padahal sebaik sahaja akad nikah, abang sudah berjanji untuk menjaga Nisa sebaiknya. Abang memang manusia munafik, selalu sangat memungkiri janji.

Tipulah kalau abang cakap abang tak rasa apa-apa sejak meninggalkan Nisa. Dalam tempoh setahun abang hidup tanpa Nisa, TUHAN saja yang tahu betapa rindunya abang pada Nisa. Tapi kerana ego, kerana terlalu melayan rasa sakit hati, abang ketepikan semua perasaan itu. Abang tak dapat terima hakikat yang Nisa menduakan abang. Abang sengaja wujudkan rasa benci dan dendam pada Nisa agar mudah untuk abang melupakan Nisa. Macam-macam cara abang lakukan untuk melupakan Nisa. Tapi satu yang abang lupa, Nisa juga insan yang punya perasaan . Nisa juga tahu sakit. Nisa juga tahu sedih.

Abang terlupa yang abang juga sudah meyakiti Nisa, abang terlupa yang abang juga telah menduakan Nisa, menduakan cinta kita. Abang tahu Nisa kecewa, abang tahu Nisa sedih tapi Nisa selalu berusaha untuk menyembunyikan kesedihan itu semata-mata ingin melihat abang bahagia sehingga abang rasakan Nisa tak kisah abang menikahi Maya. Kadang kala wajah tenang Nisa membuatkan abang ragu-ragu benarkah Nisa mencintai abang lagi. Sehinggalah kejadian malam itu, abang rasa tercabar.

Macam-macam yang abang fikirkan. Macam-macam yang abang bayangkan. Abang tak rela Nisa menyakiti abang. Abang tak dapat terima kenyataan Nisa mencintai lelaki lain. Abang hanya mahu Nisa menjadi milik abang seorang. Hanya Nisa milik abang seorang. Sebab itu abang meninggalkan Nisa gantung tak bertali. Abang mahu Nisa rasa sakit seperti mana yang abang rasakan.

Rindu…tersangat rindu. Kadang-kadang abang sampai demam kerana terlalu merindui Nisa. Selalu risaukan Nisa. Selalu tertanya-tanya sihatkah Nisa? Lagi-lagi abang sudah jauh meninggalkan Nisa. Abang bawa Maya tinggalkan Kuala Lumpur dan menetap semula di Johor. Abang mengambil alih syarikat daddy. Abang tinggalkan Nisa sendirian di Kuala Lumpur kerana abang tahu Nisa boleh hidup sendiri.

Abang fikir Nisa akan bahagia tanpa abang. Kalau Nisa boleh bahagia, kenapa tidak abang. Abang fikir abang juga akan bahagia bersama Maya. Tapi ternyata abang tersilap percaturan. Abang sedar Nisa yang terbaik untuk abang.

Abang kembali semula untuk membetulkan keadaan namun abang tak sangka ini yang terjadi. Abang tak sangka hidup Nisa terseksa sejak abang pergi. Abang tak sangka Nisa menanggung beban yang maha berat selama ini. Kenapa Nisa sembunyikan penyakit Nisa? Kenapa Nisa sanggup membahayakan diri Nisa semata-mata ingin memberi zuriat untuk abang? Abang lebih tega tidak mempunyai zuriat sampai bila-bila daripada abang terpaksa kehilangan Nisa. Nisa ingat abang mampu untuk teruskan kehidupan tanpa Nisa? Nisa silap. Abang cuba untuk teruskan hidup ini tapi ternyata abang tak mampu.

Semakin hari abang semakin merindui Nisa. Hanya TUHAN yang tahu sakitnya apa yang abang rasakan. Ditambah pula dengan rasa bersalah dan berdosa abang terhadap Nisa, membuatkan hidup abang semakin terseksa. Sampai hati Nisa pergi tinggalkan abang sebelum sempat abang memohon ampun pada Nisa.

Abang terlalu menyayangi Nisa. Kalau Nisa sanggup mati kerana abang, abang juga begitu. Cinta abang pada Nisa dunia akhirat. Abang juga hanya mahukan Nisa menjadi isteri abang dunia akhirat.

Hanya Nisa yang layak menjadi isteri abang. Hanya Nisa yang abang inginkan. Nisa…berilah abang peluang untuk menebus dosa abang terhadap Nisa. Berilah abang peluang sekali lagi untuk menjadi yang terbaik untuk Nisa. Abang sangat menyesal dengan apa yang berlaku. Bodohnya abang kerana bertindak melulu dengan melukai Nisa. Maafkan abang, Nisa. Maafkan abang….

” Andrian, jangan tinggalkan mummy. Mummy merayu jangan tinggalkan mummy…” Datin Maria sudah menangis teresak-esak. Hanya Andrian permata hatinya, satu-satunya anak yang dia ada. Dia tidak sanggup kehilangan anak lelaki kesayangannya itu.

Datuk Bahadur sudah memeluk bahu isterinya. Dia juga tidak dapat membendung kesedihan. Melihat Andrian yang sedang terbaring kaku membuatkan hatinya diasak kesedihan yang teramat sangat.

Andrian telah mengalami kemalangan jalan raya. Kalau dilihat pada zahir, Andrian hanya mengalami luka ringan saja namun entah mengapa semakin hari keadaan Andrian semakin parah. Doktor sendiri tidak dapat mengesan penyakit yang dialami Andrian. Mereka hanya mampu berserah dan mengharapkan keajaiban berlaku.

” Andrian…” Maya meluru masuk ke dalam wad. Tubuh Andrian yang terbaring kaku dipeluk erat.

” I minta maaf, jangan tinggalkan I…Please, I beg you!”

” Hei, perempuan! Jangan sentuh anak aku!” Datin Maria memekik. Ditolak kasar tubuh Maya. Tidak rela perempuan sejijik Maya menyentuh kulit anaknya walaupun seinci.

” Aku takkan benarkan kau sentuh anak aku. Pergi kau dari sini. Pergi!! Aku tak nak tengok muka kau lagi. Pergi!!!”

” Mummy, maafkan Maya… Maya janji tak buat lagi. Maafkan Maya…”

” Jangan panggil aku mummy. Kau tak layak panggil aku macam tu. Dasar perempuan tak ada harga diri. Annisa lebih mulia dari perempuan macam kau. Pergi kau dari sini!!!”

Disaat mereka bertelagah, Andrian masih dengan dunianya. Biarlah apa pun yang berlaku sekarang, dia sudah tidak mahu ambil tahu apa-apa pun. Dunianya kini hanya Annisa. Andrian mengerdipkan matanya saat terlihat susuk tubuh seseorang datang menghampirinya.

” Nisa…” Andrian seakan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Wajah mulus Annisa ditatap dengan rindu yang sangat mendalam. Walaupun wajah itu kelihatan sedikit pucat namun wajah Annisa tetap nampak bercahaya. Seperti selalu wajah itu tetap sejuk mata yang memandang.

” Nisa datang nak jemput abang. Abang sudi tak ikut Nisa?”

Cepat Andrian mengangguk.

” Hidup abang hanya untuk Nisa. Abang tak sanggup hidup tanpa Nisa lagi. Bawalah abang bersama. Abang hanya mahu Nisa menjadi isteri abang dunia akhirat. Abang hanya mahu bersama Nisa…”

Andrian sudah menyambut huluran tangan Annisa. Dia sudah bulat dengan keputusannya. Cukuplah selama ini dia hidup sengsara tanpa Annisa. Dia tidak mahu terus terseksa selamanya.

Mummy, daddy… maafkan Ian. Apa pun terjadi Annisa tetap menjadi pilihan Ian. Hanya Annisa isteri Ian dunia akhirat. Maya, abang maafkan segala silap Maya. Jagalah anak Maya sebaik mungkin.

Halalkanlah hubungan Maya dengan kekasih Maya. Anak Maya perlukan kasih sayang dari bapanya.

Muhammad Fitri Shah, cinta hati papa dan umi, papa serahkan segalanya pada mama Jannah. Papa yakin mama Jannah mampu menjaga Fitri macam anak sendiri dan papa yakin mama Jannah dan papa Amran terlalu menyayangi Fitri. Papa terlalu menyayangi umi dan papa tak mahu kehilangan umi lagi.

Papa sentiasa mendoakan Muhammad Fitri menjadi manusia berguna dan sentiasa dalam lindungan ALLAH. Papa dan umi sentiasa mendoakan yang terbaik untuk Muhammad Fitri. Papa dan umi pergi bukan kerana kami tak sayangkan Fitri tapi kerana kami tidak diberi kesempatan untuk melihat Fitri membesar.

Namun papa tak pernah menyesal dengan segala ketentuanNYA. PerancanganNYA adalah sebaik-baik perancangan. Papa bahagia selagi umi berada disisi papa. Hanya umi isteri papa hingga ke akhir nafas papa… Hanya Annisa menjadi gadisku sampai mati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience