Saat ini jiwanya berkecamuk. Hatinya bagaikan ingin meletup. Dia sesak nafas. Hampir rebah tubuhnya. Air mata sudah mula bergenang namun ditahan agar tidak jatuh menyembah bumi. Segera mulutnya terkumat kamit mengucap kalimah suci,memohon kekuatan dari yang Maha Esa.
“ Tak banyak yang I minta. I hanya mahu Andrian. Itu saja.” Maya menyandar tubuhnya dikerusi sambil berpeluk tubuh. Matanya tidak lepas memandang wajah tenang di hadapannya. Dia tahu wanita di hadapannya sedang berperang dengan perasaan. Dia tahu hati wanita itu dalam kehancuran. Namun dalam keadaan begini, Maya harus mementingkan diri sendiri.
“ I dengar you ni ‘isteri solehah’, terlalu taat pada suami. Jadi I rasa tak ada masalah kalau suami you ingin bernikah satu lagi. Lagipun I sedang hamilkan anak Andrian. I tak mahu anak ini dilahirkan tanpa bapa. Mana I nak letak muka kalau orang tahu yang I sedang mengandungkan anak luar nikah? Suka atau tidak, Andrian tetap perlu bertanggungjawab terhadap I sebelum perut I ni membesar..” Sinis kedengaran suara itu menampar gegendang telinga Annisa. Langsung tidak rasa bersalah dengan kata-katanya.
Annisa mengangkat muka. Sedaya upaya dia mengukir senyuman manis untuk Maya. Kalau perempuan lain, memang dah lama Maya kena ganyang. Masa buat tak beringat. Bila dah disahkan hamil anak luar nikah baru nak kelam kabut minta dipertanggungjawabkan.
“ Abang Andrian cakap apa?”
“ Dia memang nak bertanggungjawab. Tapi dia takut nak berterus terang dengan you. Annisa, you izinkanlah Andrian berkahwin lain. You sendiri tahukan yang Andrian dah lama nak kan anak. You tak mampu nak bagi dia anak. Hanya I yang mampu. Sampai bila you nak halang keinginan dia. Dia juga perlukan zuriat untuk menyambung generasinya. Sampai bila you nak sekat keinginan Andrian. You kena sedar yang yang you mandul, Annisa! You takkan mampu bagi Andrian anak sampai bila-bila. I yang sedang mengandungkan zuriat Andrian. I yang lebih berhak terhadap dia!” Suara Maya kedengaran lantang dipendengarannya. Annisa tahu Maya tidak akan sesekali mengalah.
Air mata Annisa menitik di atas telapak tangan. Sungguh, dia sudah tidak mampu membendung kesedihannya. Dilepaskan sepuas-puas hatinya.
“ YA ALLAH, apakah aku tidak cukup baik untuknya? Apakah aku antara mereka yang masih gagal menunaikan kewajipanku sebagai isteri sehingga suamiku berpaling tadah? Adakah aku yang bersalah? Adakah kerana aku tidak mampu memberi zuriat kepada suamiku menjadikan aku seorang isteri yang gagal? Ampunkanlah aku YA ALLAH. Hinanya aku kerana gagal menunaikan kewajipanku. Hinanya aku kerana tidak mampu menjadi isteri yang terbaik untuk suamiku. Ampunkan aku…”
Teresak-esak Annisa melepaskan lelah di dada. Di hadapan Maya sebentar tadi, dia berusaha untuk kelihatan tenang dan kuat. Dia tidak mahu Maya melihat kelemahan hatinya. Hanya kepada Yang Maha Esa tempatnya mengadu. Hanya pada Dia tempat Annisa meluahkan rasa hati.
“YA ALLAH… YA ALLAH…YA ALLAH… kuatkanlah hatiku untuk menempuhi semua ini. Jangan biarkan aku ketandusan. Jangan biarkan aku dalam kehancuran. Jadikan aku hambaMU yang sentiasa redha dengan setiap ketentuanMU. YA ALLAH… tolonglah kuatkan aku. Kuatkan hatiku YA ALLAH…”
Menitik air mata Annisa jatuh membasahi bumi. Hancur hatinya namun dia pasrah dan redha. Mungkin khilafnya sehingga si suami yang pernah berjanji sehidup semati dengannya sanggup berpaling tadah.
Share this novel