Annisa meletak ganggang telefon. Dia termangu seketika. Beberapa minit kemudian telefon rumahnya berdering kembali.
” Assalamualaikum…”
” Andrian mana?” Suara di hujung talian sudah menerjah tanpa menjawab salam yang dihulurkan.
” Mummy…”
” Aku tanya mana Andrian?”
Semakin berkerut dahi Annisa. Tadi Maya menghubunginya mencari Andrian, juga memaki hamun dia. Kali ini Annisa terpaksa menadah telinga mendengar maki hamun dari mentuanya pula.
” Abang tak ada…”
” Kau jangan tipu. Aku tahu Andrian ada dengan kau. Mana Andrian? Panggil dia!”
” Betul mummy. Abang tak ada dekat rumah Nisa. Malam ni giliran abang bermalam di rumah Maya.”
” Kau jangan tipu aku! Maya telefon aku tadi. Dia mengadu Andrian tak bermalam di rumah dia.
Andrian bermalam di rumah kau. Kau sengaja nak sorok Andrian, kan? Kau memang tak bagi Andrian balik ke rumah Maya, kan? Kenapa busuk sangat hati kau ni, hah?”
Annisa beristigfar di dalam hati. Sampai hati mummy menuduh dia seperti itu padahal dia tak tahu ke mana Andrian pergi.
” Apa lagi yang kau nak sebenarnya? Kau dah rampas anak aku, kau dah kikis harta anak aku, sekarang kau nak pisahkan anak aku dengan Maya pulak. Lepas ni apa lagi yang kau nak buat? Memang dasar anak pungut, mak bapak kau memang tak tahu nak mendidik anak ke? Hidup menyusahkan orang!”
Mengalir deras air mata Annisa mendengar herdikan dan hinaan mentuanya. Sampai hati mummy. Apa salah dia? Dia tak pernah pun terniat nak memecahbelahkan hubungan Andrian dengan sesiapa pun. Sumpah dia langsung tak ada niat apa-apa.
” Kau jangan ingat kau dah mengandung, aku akan terima kau dengan anak haram kau tu? Sampai mati aku tak akan terima kau dan anak haram tu. Aku tak akan benarkan walau setitis darah kau mencemari darah keturunan aku.”
” Astagfirullah-al-azim mummy. Ini bukan anak haram. Ini anak abang. Anak halal kami. Tak elok mummy fikir sampai macam tu sekali.”
” Kau jangan nak mengajar aku pulak. Jangan nak berlagak alim. Aku hanya akan terima Maya dan anak dia saja dalam keturunan aku. Aku tak akan sesekali terima kau. Kau ingat tu. Sampai mati aku tak akan terima kau dan anak kau. Jangan sesekali kau muncul depan aku. Aku jijik nak tengok kau dan anak kau.”
Talian terus terputus. Air mata Annisa sudah mengalir deras. Tersedu-sedu dia menahan perasaan. YA ALLAH kenapa sampai macam ni sekali? Apa salah aku? Apa dosa aku sampai mummy benci aku sebegitu rupa. Salahkah aku mencintai Andrian? Berdosakah aku menjadi isteri halal untuknya? Annisa
mengusap perutnya yang masih kempis. Ada benih cinta tertanam dirahimnya sekarang. Bukti cinta dia pada Andrian. Alhamdulillah doanya termakbul akhirnya. Anak yang ditunggu-tunggu mereka berdua selama ini. Selama ini mummy menuduh dia mandul dan tidak mampu memberi zuriat kepada Andrian sehingga memaksa Andrian mencari isteri lain. Sekarang bila Annisa disahkan mengandung, mummy tidak mahu terima pula anak dalam kandungannya. Tapi dari mana mummy tahu yang dia mengandung? Mungkin Andrian sudah memaklumkan kepada mummy ‘berita gembira’ ini.
Annisa tersedar dari lamunan yang panjang saat terdengar pintu rumahnya diketuk. Diseka air mata yang masih membasahi bumi. Dengan langkah longlai Annisa melangkah membuka pintu rumahnya. Tersenyum Annisa saat melihat Jannah bersama suaminya.
Share this novel