“ I tak kira. You kena bertanggungjawab pada I. Yang dalam perut ni anak you. Bukan anak orang lain!” Maya sudah membentak. Ringan saja tangannya mahu melayang ke muka Andrian namun disabarkan hatinya. Dia tidak mahu terlalu mengikut perasaan. Bimbang Andrian akan berubah fikiran.
“ I akan bertanggungjawab. Tapi bagi I masa.” keluh Andrian. Fikirannya yang sudah sedia kusut semakin kusut dengan desakan Maya dari hari ke hari. Bukannya dia tidak mahu bertanggungjawab. Dia akan bertanggungjawab cuma dia perlukan sedikit masa.
“ Masa untuk apa? Berapa banyak masa you nak ambil? Sampai I dah terberanak baru you nak bertanggungjawab?”
“ Maya!”
“ Dulu sebelum you dapat I, apa yang you dah janjikan pada I? Kenapa bila benih you dah hidup dalam perut ni, you lupa pada janji-janji you?”
“ I tak lupa, Maya. I ingat janji I. I akan tunaikan janji I. Tapi I hanya minta masa untuk berterus terang dengan Annisa. Itu saja.”
Maya tersenyum sinis.
“ Sebelum you bertindak, I sudah bertindak dulu. Sekarang you tak perlu risau apa-apa lagi.”
Andrian terngadah. Dadanya bergetar hebat. Annisa dah tahu? Annisa dah tahu kecurangan yang dia lakukan? Andrian meraup wajahnya. Pasti hati isterinya sudah hancur lumat. Teringat reaksi Annisa pagi tadi. Tulus dan polos wajah itu seakan tiada apa-apa yang terjadi. Tidak disangka isterinya itu sedang menanggung bebanan perasaan yang maha berat.
“ Maafkan segala kekurangan Nisa selama ini…” Bagaikan terngiang-ngiang kata-kata Annisa pagi tadi. Langsung tidak terlintas dibenaknya yang Annisa sedang bergelumang dengan perasaan. Maafkan abang, Nisa. Maafkan abang…
“ Hello, ada orang tak ni? I ni tengah bercakap dengan tunggul ke?”Maya merengus geram. Penat mulutnya pot pet itu ini tapi rupa-rupanya Andrian sedang asyik berkhayal.
“ I nak balik.” Terus Andrian bingkas meninggalkan Maya yang sedang terjerit-jerit memanggil namanya.
Share this novel