“ Nisa…”
Andrian mengusap lembut wajah Annisa yang sedang lena di atas tikar sejadah. Ada kesan air mata di wajah Annisa. YA ALLAH, apa yang dah aku lakukan? Apa yang aku dah buat ni? YA ALLAH…
“ Abang? Bila abang balik? Maaf, Nisa tertidur.”
Annisa berpisat-pisat. Tidurnya rasa terganggu apabila terasa ada tangan sedang mengelus lembut mukanya. Buka saja mata, wajah Andrian yang terpampang. Wajah yang selalu menghiasi hari-harinya. Wajah yang setiap saat dirindui.
“ Abang rindukan Nisa. Rindu sangat.” Tubuh Annisa didakap erat. Air mata sudah merembes keluar.
“ Maafkan abang, Nisa. Maafkan abang. Maafkan abang kerana telah khianati cinta kita.”
Annisa memejam rapat matanya. Kesedihan sudah tidak mampu dibendung. Tadi dia sudah puas menangis, mengadu pada YANG SATU. Hanya itu saja cara untuk meredakan hatinya yang terlalu terluka.
“ Nisa yang patut minta maaf pada abang. Nisa tak jalankan tanggungjawab dengan baik. Nisa tak jalankan kewajipan Nisa sebagai isteri abang. Nisa…”
“ Tak… Nisa isteri abang yang terlalu baik. Nisa isteri solehah. Nisa penuhi setiap keinginan abang. Nisa isteri yang taat pada abang. Nisa tak pernah sakitkan abang. Nisa tak pernah lukakan hati abang. Nisa isteri abang yang terlalu sempurna, terlalu sempurna untuk abang.” Andrian menggenggam erat tangan Annisa. Pipi Annisa dicium bertalu-talu. Sayangnya pada Annisa tiada tolok bandingnya lagi. Annisa wanita yang terlalu sempurna.
Annisa mengangkat muka mencari sinar mata Andrian. Mata itu basah dan bengkak menentang sinar mata Andrian. Terlalu jelas kelukaan yang sedang ditanggung Annisa.
“ Nisa masih tak sempurna untuk abang. Sampai sekarang Nisa masih tak mampu nak beri zuriat pada abang. Nisa isteri abang yang terlalu banyak kekurangan. Maafkan Nisa, bang.” Andrian memeluk Annisa seeratnya. Kalau hati Annisa hancur, hati dia juga turut hancur. Memang dia inginkan zuriat walaupun sudah acap kali dia mengatakan pada Annisa yang dia tidak kisah jika tiada anak. Tak ada anak pun tak apa asalkan Annisa setia dan taat disisinya, itu sudah cukup membahagiakan. Namun semakin hari keinginannya semakin tidak dapat dibendung sehinggakan dia tersilap langkah dan percaturan. Betapa lemah iman yang terpahat didada sehingga tidak mampu menepis godaan syaitan.
Kepolosan wajah Annisa terus hilang dikotak fikirannya. Kesetiaan Annisa terus hambar. Wajah Annisa yang diagungkan selama ini terus tenggelam. Hatinya sedang asyik melayan godaan syaitan dan untuk kesekian kalinya syaitan bersorak gembira apabila seorang lagi anak Adam jatuh ke perangkapnya.
“ Nisa, abang berdosa pada Nisa. Ampunkan abang. Abang… abang…”
“ Bukan pada Nisa abang patut minta ampun tapi pada ALLAH. Mintalah ampun pada yang Maha Esa. Nisa juga insan lemah yang banyak kekurangan dan sentiasa berbuat dosa. Abang, kita sama-sama dah janjikan yang kita akan bersama-sama berusaha menuju ke JannahNYA. Marilah kita sama-sama memohon keampunan dariNYA. Nisa minta maaf kerana Nisa telah buat abang terjebak hingga melakukan perkara yang dimurkai ALLAH. Kalaulah Nisa mampu lahirkan zuriat untuk abang, tentu perkara macam ni tak akan terjadi.” Annisa tersedu. Semakin lebat air matanya gugur. Hanya Tuhan yang tahu hati dah perasaannya. Selama beberapa hari dia duduk berteleku memikirkan perjalanan hidupnya dan akhirnya dia perlu bulat dengan keputusan yang sudah dibuat.
Andrian semakin rasa terhukum. Dia yang berdosa. Dia yang lupa diri. Dia yang bersalah tetapi Annisa pula menyalahkan diri sendiri dengan apa yang telah terjadi. YA ALLAH, sesungguhnya aku adalah manusia yang tak tahu bersyukur dengan kurniaanMU. Aku dikurniakan isteri yang terlalu sempurna dan taat seperti Annisa tetapi aku tetap tidak tahu bersyukur malah aku menyakiti isteri yang sepatutnya aku lindungi dan hargai. YA ALLAH betapa hinanya aku sebagai hambaMU.
“ Nisa dah buat keputusan. Nisa rela dimadukan.”
Andrian tergamam. Sungguh tidak disangka yang Annisa sanggup membuat keputusan yang bakal merobek hatinya sendiri.
“ Abang, nikahilah Maya. Halalkanlah ikatan antara kalian. Lagipun Maya sedang hamilkan anak abang, zuriat abang. Abang perlu bertanggungjawab pada dia.”
“ Tapi Nisa… abang…” Kelunya lidah Andrian untuk bersuara. Nafasnya terakan tersekat-sekat. Mudahnya Annisa membuat keputusan tanpa berfikir panjang. Kalau perempuan lain, bermati-matian akan mempertahankan hubungan dan tidak sanggup dimadukan tetapi Annisa… Andrian tak tahu apa yang ada difikiran Annisa sekarang.
“ Kalau abang mahu, Nisa boleh pinangkan Maya untuk abang.” Annisa berusaha untuk mengorak senyuman manis untuk Andrian. Sedaya upaya dia cuba menyembunyikan kelukaan hatinya. Tak apalah asalkan suaminya bahagia. Untuk melihat suaminya tersenyum, dia sanggup berkorban apa saja.
Hari semakin berlalu. Annisa cuba sedaya upaya untuk mengukir senyuman. Kacak. Tidak dinafikan suaminya memang kacak. Dengan berbaju melayu teluk belanga dan bersampin, suaminya tetap kelihatan segak seperti waktu dahulu. Tidak mustahillah Maya masih tergila-gilakan suaminya.
” Nisa…kenapa diam ni?” Andrian menegur. Annisa kelihatan leka membetulkan butang baju melayunya. Annisa mengangkat muka. Mata bertentang mata. Lama Andrian menatap mata itu. Mata yang telah memikat hatinya. Andrian suka sangat melihat mata Annisa. Namun mata itu kelihatan redup bagaikan menyimpan seribu kedukaan.
Annisa mengukir senyuman. Senyuman yang sukar untuk ditafsirkan.
” Nisa bertuah ada suami handsome macam abang…” ujar Annisa perlahan. Ada getar pada suaranya. Air mata yang ingin mengalir cuba ditahan. Tidak mahu mencemarkan hari bahagia suaminya. Ya, sebentar lagi Andrian akan menjadi suami Maya. Segalanya akan berubah. Andrian bukan miliknya seorang. Dia perlu berkongsi kasih. Segala-galanya perlu dibahagi dua kini.
” Nisa…”
Andrian memaut dagu Annisa supaya isterinya itu menatap wajahnya. Bening yang redup dan tenang, sejuk mata memandang.
” Abang pun bertuah ada isteri macam Nisa. Cantik dan menawan. Wajah inilah yang abang selalu rindui, tiap masa tiap saat. Nisa isteri yang terlalu sempurna untuk abang.” Manisnya kata-kata Andrian. Agaknya kerana kata-kata manis seperti inilah Maya semakin jadi gila bayang dengan suaminya. Annisa memejam matanya rapat, Nisa bukan isteri yang sempurna. Kalau Nisa isteri yang terbaik untuk abang, abang tak akan berpaling kasih. Abang tak akan menduakan Nisa.
” Nisa harap abang tak akan lupakan Nisa.”
” Kenapa Nisa cakap macam tu? Nisa ingat bila abang bersama Maya, abang akan lupakan Nisa ke? Nisa isteri abang, selamanya akan jadi isteri abang. Abang janji abang tak akan lupakan Nisa. Abang janji abang tak akan abaikan Nisa. Abang janji…”
Annisa meletakkan jari telunjuknya pada bibir Andrian. Tidak mahu Andrian terus melafazkan janji-janji yang Annisa sendiri tidak pasti sama ada Andrian mampu tunaikan atau pun tidak. Dulu pun abang selalu berjanji takkan menduakan Nisa, berjanji akan setia pada Nisa tapi akhirnya abang memungkiri semua janji. Nisa tak mahu abang terus melafazkan janji dan akhirnya Nisa sendiri yang akan tersakiti.
” Tahniah…Nisa doakan abang bahagia selalu dengan Maya. Nisa sentiasa mendoakan semuanya berjalan dengan lancar.” Annisa bersuara sayu sambil memakaikan songkok di kepala Andrian. Kemudian tangan Andrian dikucup lembut. Hanya TUHAN saja yang tahu betapa hancur hatinya melihat Maya tersenyum bahagia disamping Andrian.
Annisa memeluk erat baju Andrian. Sudah seminggu dia ‘berpisah’ dengan suaminya. Andrian berbulan madu di luar negara bersama Maya. Annisa tidak dapat membayangkan bagaimana Maya tersenyum gembira disamping Andrian. Tidak dapat membayangkan bagaimana merpati dua sejoli itu sedang meniti saat-saat bahagia.
Air mata semakin lebat mengalir. Semakin erat Annisa memeluk baju Andrian.
” Nisa rindukan abang…”
Share this novel