BAB 6

Romance Completed 15293

Annisa mengelap bibirnya. Dadanya yang berdegup kencang sebentar tadi mula reda. Nafasnya mula teratur. Nafas panjang ditarik perlahan. Dengan lemah, dia melabuhkan punggung dibirai katil. Mata dipejam untuk seketika cuba melawan rasa tidak selesa diperutnya. Entah apa yang dia silap makan. Sudah tiga hari dia muntah-muntah sehingga naik longlai badannya. Nak pergi klinik, rasa tak larat sangat dia nak memandu. Nak maklumkan pada Andrian, dia bimbang akan menganggu suaminya itu. Lagipun suaminya sedang fokus kepada Maya dan bayi dalam kandungannya jadi Annisa tidak mahu menambahkan beban suaminya lagi.

Annisa mencapai telefon bimbitnya yang berbunyi. Berkerut dahinya melihat nombor yang tidak dikenali terpapar di skrin telefon.

” Assalamualaikum Annisa.”

” Waalaikumsalam abang!”

” Nisa sihat?”

” Alhamdulillah. abang?” Gembira tidak terkata saat mendengar suara Andrian dihujung talian. Langsung terlupa sakitnya sebentar tadi.

” Sihat. Abang rindu Nisa…” Annisa mengetap bibir. Sungguh dia juga sangat merindui suaminya.

” Abang balik jumpa Nisa tak malam ni?” Annisa sudah mengharap. Sudah hampir dua minggu Andrian tidak menjenguk dia. Ligat fikiran Annisa merangka-rangka menu masakan kegemaran Andrian. Tentu Andrian sedang merindui air tangannya.

” Malam ni abang tak dapat balik jumpa Nisa.” Serba salah Andrian apabila tidak kedengaran suara Annisa di hujung talian. Yang kedengaran hanyalah hembusan nafas yang dilepaskan. Dia tahu Annisa kecewa. Mereka tidak pernah berpisah sampai begini lama. Sehari tak jumpa pun Andrian dan Annisa sudah saling merindui. Inikan pula berpisah selama dua minggu lamanya.

” Nisa…” Sungguh Andrian rasa sangat bersalah. Hatinya sudah meronta-ronta untuk bertemu Annisa namun memikirkan Maya yang akan memberontak, terpaksa Andrian menahan rasa rindu yang semakin bergelodak.

” Tak apalah bang… ” keluh Annisa. Apa boleh buat. Andrian sudah ada tanggungjawab lain. Dengan keadaan Maya sebegitu, Maya memang patut diberi perhatian yang lebih.

” Abang janji esok abang akan balik jumpa Nisa ya.”

” Aminn…”

Annisa semakin mengharap. Andrian bukan jenis memungkiri janji namun dari hari ke hari Andrian tidak juga muncul. Hanya telefon saja yang menghubungkan mereka.

” Cik Annisa, busy sangat ke?”

Annisa yang sedang tekun meneliti rekaan terkini pakaian muslimah mengangkat muka. Terbias wajah sahabat baiknya, Jannah.

” Busy sikit cik Jannah. Kenapa?”

” Ada orang nak jumpa awak dekat luar tu.”

” Siapa?”

” Andrian.”

Terus terhenti pergerakan tangan Annisa yang sedang asyik melakar. Bulat matanya memandang Jannah.

” Andrian datang?” Berdegup kencang jantungnya saat melihat Jannah mengangguk.

” Betul?” Jannah mengangguk lagi. Jannah mengerutkan dahinya. Amboi bukan main teruja Annisa mahu bertemu dengan suaminya. Macam dah lama sangat tak berjumpa padahal hari-hari muka itu yang ditatap. Jannah menggeleng sambil tersenyum dengan gelagat Annisa.

” Kenapa teruja sangat ni? Hari-hari jumpa pun masih rindu lagi?” tegur Jannah yang melihat Annisa kelam kabut mengemas mejanya. Annisa hanya mampu melemparkan senyuman. Jannah tak tahu apa-apa dan Annisa pun memang seorang yang sangat perahsia. Annisa lebih suka memendam di dalam hati. Annisa sentiasa bersikap tenang sehinggakan Jannah merasakan Annisa seorang wanita yang bertuah kerana tidak mengalami apa-apa pun masalah dalam hidup. Tidak pernah sekali dia melihat Annisa mengeluh apatah lagi bersedih. Wajah itu sentiasa tenang. Sejuk mata sesiapa saja yang memandang.

Annisa pun tidak banyak bercerita tentang Andrian malah Andrian sudah berkahwin lain pun Annisa tidak pernah buka cerita pada sesiapa. Jannah hanya mengenali Andrian sebagai suami kepada Annisa dan dia juga tahu mereka pasangan yang sangat bahagia. Sepanjang empat tahun perkahwinan Annisa dan Andrian, tak pernah sekalipun Jannah mendengar Annisa mengadu apa-apa tentang rumahtangganya.

” Abang!”

Ikutkan hati mahu saja Annisa memeluk Andrian untuk melepaskan rindu namun memikirkan mereka berada di butik, terus dibatalkan niatnya. Tak mahu dikatakan lepas laku dan menjadi bahan kutukan pekerja dan pelanggan yang berada di butiknya.

” Nisa sihat? Kenapa makin kurus ni?” Timbul riak kerisauan di wajah Andrian. Baru tiga minggu mereka tidak bertemu, Annisa sudah kelihatan cengkung. Nampak kelihatan tidak bermaya.

Annisa melemparkan senyuman manis.

” Nisa rindu abang. Rindu sangat. Kenapa datang tak bagitahu?”

” Saja nak buat surprise. Abang nak bawa Nisa pergi makan. Jom.”

Annisa tersenyum panjang sambil mengekori langkah Andrian.

**

Maya menghempas beg tangannya ke lantai. Dadanya turun naik menahan kemarahan yang teramat sangat. Dia menjerit sekuat hati melepaskan kemarahan. Bergema kuat suaranya memenuhi ruangan rumah.

” Sayang, jom teman I pergi lunch nak tak? I laparlah.” Maya merengek manja di hujung talian.

” Sorry Maya. I tak dapat nak teman you hari ni. I ada lunch appointment dengan client.”

Maya mendengus geram.

” Tak boleh cancelkan ke? I teringin nak makan ikan bakar.”

” Appointment ni penting sangat. I tak boleh nak cancel last minute.”

” You memang tak sayangkan I ke? Tak sayangkan baby kita ni?”

” Maya…bukan macam tu. I memang betul-betul tak boleh cancelkan appointment tu. Penting sangat. Esok kita lunch sama-sama ya.”

Macam-macam alasan yang Andrian berikan. Penting sangat ke client tu sampai Andrian sanggup mengabaikan bayi dalam kandungannya. Dek kerana terlalu geram, terus Maya memutuskan talian.

” Huh, client la sangat!” Maya mendengus geram. Apa yang dilihatnya tadi sangat membuatkan kemarahannya membuak. Berani Andrian menipu dia. Mesra sangat dia melihat Andrian dan Annisa sampai makan pun bersuap-suap. Tak guna betul!

” Betina tak guna!!!” Maya menjerit lagi melepaskan geram. Membuak-buak rasa benci terhadap Annisa. Annisa, Annisa, Annisa. Apa lebihnya betina tu? Apa kurangnya aku? Betina tu memang dah melampau. Kau tunggulah nasib kau nanti. Kau tunggu saja, Annisa! Maya mengetap-ngetap bibirnya. Dia terus mencapai ganggang telefon. Tangannya ligat menekan papan kekunci. Nombor seseorang didail. Dia mahu mengadu pada seseorang. Biar padan muka Andrian dan Annisa nanti. Mereka tu memang patut kena sembur!

” Mummy….”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience