BAB 8

Family Completed 5499

Empat bulan kemudian….. Terkilan! Cuma itu yang diselami Hidayah. Majlis perkahwinan Hanani, dia tidak dibenarkan menyiapkan pelamin kepada pengantin. Tugasnya melayan tetamu undangan semata. Puan Azizah melarang habis-habisan juga semasa Nek Su mengusulkan cadangan supaya Hidayah menjadi pengapit.

Kata ibunya, dia sudah serik. Dia tidak mahu kenduri untuk puteri kesayangannya musnah akibat sikap melulu Hidayah. Dari jauh Hidayah menonton pasangan indah itu. Mahu menangis, airmatanya sudah kering. Baju yang tersarung di tubuhnya pun ala kadar.

Entah mengapa, dia tidak terpanggil untuk mengenakan pakaian yang serba meriah coraknya. Pakai apa yang ada.

“Dayah, apasal tercegat kat sini?” Puan Azizah menyentakkan lamunan Hidayah.

“Err, tak ada apa…Dayah…”

“Dah tu? Pergilah layan tetamu. Termenung dari semalam. Kalau dah tak ada kerja sangat, tolong mak cik-mak cik kat belakang tu cuci pinggan. Suka sangat curi tulang. Nasib baik Dayah tak jadi pengapit.” Hidayah mengerling sekilas pasangan pengantin yang sedang duduk di atas pelamin. Ceria muka mereka berdua. Shazriel, Hanani…Mereka saling melengkapi.

“Zizah, cakap tu tapislah sikit bahasa.” Encik Zamri menegur. Isterinya mencebik. Hidayah beredar. Merajuk hati! Ibunya kerap menyiat perasaannya dengan kata-kata pedas.

“Saya bukan apa bang, jiwa raga saya dah sakit. Hanani tu anak saya. Selama ni saya sabarkan aje dengan perangai Si Dayah tu. Dia memang tak boleh diharap langsung. Bahu Nani melecur, kaki Nani lumpuh, semuanya datang dari Dayah.” Mujur ketika itu ramai undangan. Agak riuh suasana kenduri dek dendangan lagu yang dipasang oleh DJ. Puan Azizah berdiri di pintu pagar menyambut para insan yang dijemput ke majlis meriah itu.

“Eh, Zizah… Nani bukan satu-satunya anak awak. Dayah dan Nani tu kembar. Anak kita berdua. Jangan berat sebelah. Sembilan tahun peristiwa berlaku. Awak masih susah nak maafkan Dayah?”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience