BAB 9

Family Completed 5499

Puan Azizah berdehem. Selendang di kepala dibetulkan sedikit. Cuaca boleh tahan panas tengah hari itu. Bicara Encik Zamri juga mencetuskan bahang berapi di dadanya. Puan Azizah menghela nafas.

“Saya sayangkan Nani. Anak yang saya lahirkan asalnya sempurna. Tapi Dayah…Kerana dia, Hanani cacat. Haih…Abang pun satu, saya suruh abang hantar Dayah duduk kat kampung sekejap, abang tak nak. Nani dah kahwin, dia bila pula? Duduk kampung senang sikit cari jodoh. Ringan beban saya. Dahlah, saya masuk ke dalam kejap. Letih bersembang dengan abang.” Hidayah mengelap peluhnya guna hujung tudung bawal yang dipakai.

Bagaimana caranya lagi untuk dia mendapatkan kata ampun dari ibunya? Segalanya hilang sekelip mata. Kaki melangkah ke belakang rumah. Bangku plastik bertona kuning diambil.

Letak di tepi besen besar. Terbongkok-bongkok Hidayah mencapai pinggan-pinggan kotor. Pili air dipulas. Menyental-nyental gelas kaca dan pinggan mangkuk.

Telinganya sudah tidak mengendahkan suara-suara manusia yang terpekik terlolong meminta bantuan. Yang dia tahu, tugasnya membersihkan perkakas makanan.

Biasanya, andai ada di antara ahli keluarga yang berkahwin, golongan terdekat tidak melakukan kerja begini. Tetapi tidak pula Hidayah.

Pada hari perkahwinan kembarnya sendiri, dia tidak berkesempatan menjadi pengapit adiknya. Peluang hanya sekali. Shazriel,…Aduh! Sedihnya apabila mengenangkan jejaka itu sudah dimiliki. Untungnya Hanani…

“Ya Allah, Dayah… Isy! Kamu ni janganlah buat kerja ni. Pergi duduk depan. Tadi Nani cari Dayah. Diorang nak bergambar satu keluarga.”

“Sikit aje Nek Su. Alah, Nani yang kahwin takkan Dayah tak tolong pula. Bukan ke yang sepatutnya bergambar tu pasangan pengantin?” Lincah tangannya membilas objek-objek kaca itu. Nek Su meneliti raut Hidayah yang tidak bercahaya. Kelihatan lesu. Bawah matanya juga bengkak.

“Dayah sayang, pasangan pengantin nak juga ambil gambar dengan ahli keluarga. Pergilah. Tinggalkan semua bekas-bekas ni. Nanti Nek Su suruh orang lain ambil alih.”

“Dayah seganlah, nek. Baju Dayah tak lawa. Malaslah nak bergambar dengan imej begini.” Selorohnya selamba.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience