Tidak pernah terlintas langsung dalam bayangan Hanis, yang dia akan diberi peluang untuk menjejakkan kaki di sebuah rumah agam yang maha besar seperti ini. GULP, air liur ditelan buat kesekian kalinya.
Hanis terkesima. Mulutnya asyik menganga saat melihat kepelbagaian tanaman yang menghiasi halaman rumah itu. Luarannya sahaja sudah gempak begini, apatah lagi di dalamnya nanti. Rumah persis sebuah mahligai kayangan ini membuat hati kecilnya melonjak-lonjak kegembiraan.
Mikael masih dengan riak dingin dan bekunya. Mungkin tidak mampu 'move on' atau menerima hakikat yang kini dia sudah pun hilang status bujang terlajak laris.
"Awak...ni rumah awak ke?" Hanis menyoal sambil mengekori langkah besar Mikael dari belakang. Lelaki itu memilih untuk berdiam diri.
Ukiran bunga-bungaan bersalut warna emas pada dinding dan tiang menyerlahkan lagi keindahan rumah agam milik Shahir Hamid.
Dari jauh anak mata Hanis menangkap kehadiran seorang wanita yang mungkin dalam lingkungan 50an menghampiri mereka berdua. Walaupun wajah sudah dimamah usia dengan kedutan dan garis halus, namun kecantikan serta aura semulajadinya masih lagi terserlah. Hampir tidak berkelip Hanis menatap wajah tua itu. Ini mak dia ke? Cantiknya...
"Eh, Mika, awalnya kamu balik! Kamu kata kamu sampai rumah esok. Mama tak sediakan apa-apa lagi. Eh, kamu bawak siapa tu? Budak ni siapa?" Mata tua itu langsung beralih pada seorang gadis muda yang terlindung di sebalik tubuh kekar Mikael.
"Maid baru. Orang susah. Mika ingat, nak suruh dia kerja dekat sini. Boleh tolong mama dengan Mak Idah di dapur." Tanpa berfikir panjang, Mikael mula menyusun jalan cerita sendiri. Ada potensi untuk menjadi seorang penulis skrip yang berjaya pada masa akan datang. Dia menoleh sekilas ke arah Hanis.
"Maid baru? Kamu ni biar betul Mika. Budak lagi ni...kecik je badan dia ni mama tengok." Terpamer riak curiga pada wajah Datin Rose. Wanita itu segera menghampiri Hanis lalu membelek tubuh kecil molek itu kiri dan kanan.
Takkanlah dia nak ambil gadis bawah umur sebagai pembantu rumah. Ini kalau aku suruh mop rumah, boleh tahan ke? Fikirnya.
Mikael menyiku lengan Hanis yang kelihatan terpinga-pinga. Geram pula dengan reaksi gadis itu yang langsung tidak membuka mulutnya. Ini kalau Rose syak apa-apa, habis masa depan Mikael nanti!
"Hanis? Hanis?!" Jerkahnya sedikit kuat.
"Err...err selamat petang aunty. Saya Hanis." Dia menghulurkan tangan lalu bersalaman dengan wanita separuh abad itu. Akhirnya, Hanis bersuara. Lega sikit hati Mikael.
"Hanis, Hanis ni anak siapa? Hanis betul ke nak kerja dekat rumah aunty?" Dia mengimbas penampilan Hanis dari atas sehingga bawah. Masih ragu-ragu dengan penjelasan Mikael. Kata-kata anak sulungnya kadang tak boleh pakai.
"Ha...err ya. Hanis nak kerja dekat sini. Hanis dah tiada siapa-siapa. Hanis anak yatim piatu." Jatuh kasihan pula Rose mendengar cerita Hanis. Tubuh kecil itu kelihatan tidak bermaya. Dengan rambut yang tidak terurus, baju yang jauh lebih besar daripada saiz badan, seluar yang menunggu masa untuk terlondeh. Haih, tergeleng kepala dibuatnya.
"Hanis umur berapa sekarang?" Sempat dia menjeling ke arah Mikael yang masih berdiri seperti tunggul kayu di sebelah mereka. Cepat-cepat, Mikael melarikan wajah. Buat-buat tidak nampak jelingan Rose tadi.
"Hanis dah 18 tahun." Jawabnya dengan jujur.
"Ya Allah, muda lagi. Meh masuk. Duduk sini. Aunty buatkan air ya." Rose segera melangkah ke dapur untuk menyediakan kudapan buat Hanis. Entah makan atau tidak budak tu semalam. Nampak kurus sangat. Getus hatinya.
"Kau ingat ek...jangan sesekali bocorkan rahsia kita." Ugut Mikael sambil menunjukkan isyarat yang setiap gerak geri Hanis akan diperhatikannya dari jauh.
Terkocoh-kocoh dia mendaki anak tangga selepas mendengar suara Rose dari dapur. Tak kuasa nak layan soalan ibunya yang berjela-jela, baik dia lari masuk bilik. Hanis memerhatikan gelagat Mikael dari ruang tamu. Wah, laju betul dia naik tangga.
"Nah, Hanis makan ni. Maaflah aunty tak masak lagi. Ada kek dengan air hot chocolate je. Hanis makan dulu ya, sementara Mak Idah masak." Rose tersenyum mesra melihat Hanis yang sedang mengunyah dengan tertib kek coklat buatannya.
Rasa bahagia pulak saat air tangannya dijamah oleh seseorang dengan begitu berselera. Mahu mengharapkan si suami dan anak-anaknya? Sibuk je memanjang. Suaminya pula anti dengan makanan manis. Tak sihat katanya. Hanya dia dan Mak Idah sahajalah yang sering menghabiskan makanan setiap hari.
"Eh, dah habis ke? Sedap tak?" Senyuman lebar pada wajah Rose tidak dapat disembunyikan lagi. Habis licin kek dijamah Hanis. Hanis mengangguk perlahan sambil tersenyum.
Sudah 2 hari dia tidak mengisi perutnya. Ketika di hotel, dia hanya sempat membasahkan tekak sahaja dengan air mineral. Itupun air mineral yang disediakan secara percuma di bilik hotel. Sepanjang perjalanan, perutnya menjerit minta diisi, namun Mikael tidak memberikan apa-apa reaksi dan dia juga tidak berani bersuara kerana takut dengan lelaki dingin bak beruang kutub utara itu.
"Nak aunty tambah lagi?" Rose menatap dalam anak mata Hanis yang sedang malu-malu. Ini mesti kes mahu, tapi malu.
"Takpelah aunty. Hanis dah kenyang." Bohongnya. Tapi, jauh di sudut hatinya, dia masih berharap agar Rose menghidangkan lagi kek itu. Ini pertama kali dalam hidupnya, dia dapat menikmati kek seenak ini.
Sepanjang berada di rumah kebajikan, jarang sekali dia dapat menikmati makanan yang enak-enak. Semuanya perlu berkongsi dengan kawan-kawan yang lain, sehingga hanya sisanya sahaja yang dapat dimasukkan ke mulut.
"Eh, betul ke? Takpe-takpe. Aunty tambah lagi ya. Jangan malu-malu dengan aunty. Aunty tak suka. Sekarang ni Hanis bagitahu dengan aunty, Hanis nak berapa biji lagi? Aunty ambikkan..." Rose membuat isyarat menggunakan jari, bilangan kek yang dimahukan oleh Hanis. Kepala Hanis terus mengangguk saat Rose menunjukkan simbol 2 jari.
"Ya Allah, Mak Idah...ada jugak akhirnya orang yang sudi makan air tangan saya! Happy sangat tau. Dulu Mak Idah je yang layan. Sekarang ada Hanis. Mak Idah, keluarkan kek dari dalam peti, Hanis nak tambah lagi 2 katanya. Ya Allah, happynya aku!" Omelan Rose membuatkan Mak Idah turut tersenyum gembira. Yalah, tidak perlulah dia memaksa diri untuk menelan segala macam pastri dan makanan manis yang dihasilkan oleh majikannya itu selepas ini.
Bukan dia tidak mahu atau air tangan Rose tidak sedap, cuma kerana faktor umur yang semakin meningkat, Mak Idah cuba mengurangkan pengambilan gula dalam pemakanan. Dia melirik sekilas ke arah Rose yang sudah memecut ke ruang tamu sambil tersengih gembira bersama potongan keknya.
"Nah. Habiskan tau. Kalau nak lagi, cakap je dengan aunty. Banyak lagi kat peti. Okay?" Dia hulurkan semula piring tadi kepada Hanis.
"Anak-anak aunty tak makan sekali ke?" Suasana sunyi di rumah sebesar alam itu menghairankan Hanis.
"Haih, Hanis. Aunty ada 2 ketul je. Masing-masing sibuk. Sorang doktor di Dubai, dan sorang lagi tu...tengah memerap dekat dalam bilik. Tengah bertelur agaknya." Rose menjuihkan bibir ke arah tangga. Pasti dia maksudkan Mikael, anak sulungnya.
"Balik sini pun sekali sekala je. Aunty ni kalau bosan suka buat pastri, masak-masak. Uncle kamu tu pulak, tak makan benda-benda macam ni. Tak sihat katanya. Jadi aunty dengan Mak Idah jelah yang telan. Tapi kesian jugak dengan Mak Idah, dia pun makin tua...mana boleh makan benda-benda macam ni dah." Rose bersandar pada sofa sambil meneruskan celotehnya. Seronok juga bila ada teman berbual. Hanis pula masih tekun mendengar kisah-kisah purbakala keluarga Shahir sambil mengunyah kek terakhirnya.
happy reading guys
Share this novel