"Hanis!" Hanis yang sedang bermain dengan buih mula gelabah saat namanya dipanggil dari jauh. Kepalanya lantas menoleh ke belakang, sebelum terkejut beruk.
Mikael dan seorang lagi lelaki yang tidak dikenali sedang melangkah ke arahnya. Mata Hanis masih tertumpu pada lelaki asing itu. Siapakah dia? Adakah dia anak bongsu Rose yang selalu wanita itu katakan?
Mata Zaidi juga melekat pada Hanis. Dia tertanya-tanya tentang gadis yang tidak pernah dia lihat di rumah ibu saudaranya sebelum ini.
"Kau buat apa dekat sini?" Hanis menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Sudah terang-terangan di situ, malah masih bertanya seperti tidak nampak apa-apa.
"Dia tengah mandikan kucing." Jawab Zaidi malas-malas. Dia berasa jengkel dengan sepupunya. Benda depan mata, takkan nak tanya lagi. Rungutnya dalam hati.
"Kenapa mandikan kucing tu sekarang?" Hanis tercengang. Apa salahnya kalau dia ingin memandikan kucing itu sekarang?
"Tak, yang kau nak marah-marah sangat ni pasal apa? Suka hati dialah nak mandikan kucing tu bila-bila pun." Luah Zaidi sebelum mengenyitkan sebelah matanya pada Hanis. Gadis itu nyata terkejut dengan tindakan berani Zaidi. Begitu juga dengan Mikael.
"Aunty yang suruh saya mandikan Mochi, tuan." Jawab Hanis sambil menundukkan kepala. Dia berasa tidak selesa dengan tatapan Zaidi yang sejak tadi tidak lepas dari memandang ke arahnya.
"Ini kucing mak ngah ke Mika?" Zaidi curiga. Dia agak terkejut dengan kehadiran kucing di dalam kawasan rumah itu kerana dulu, Rose pernah melarang Mikael dari memelihara haiwan.
"Tak juga. Ini kucing dia." Keningnya hampir bercantum. Hanis yang masih tertunduk itu direnung lama. Siapa budak ini, dan mengapa Rose membenarkannya memelihara haiwan di dalam kawasan rumah sedangkan anak sendiri dilarang berbuat demikian.
"Dah, bawa dia ke dalam." Hanis lantas mengganggukkan kepala sebelum membawa Mochi yang masih basah itu ke dalam rumah.
"Siapa budak tu Mika?" Mikael menelan air liurnya. Wajah Zaidi yang penuh persoalan itu dilirik dengan hujung mata. Bukan apa, Mikael bimbang Zaidi akan menyiasat tentang Hanis dan rahsianya akan terbongkar.
"Err, dia tu..."
"Edy! Mika! Jom makan. Mama dah siap hidang ni. Cepat!" Jejaka-jejaka itu berpaling serentak ke arah pintu dapur. Mereka saling berbalas pandangan sebelum turut melangkah masuk ke dalam rumah.
"Siapa ni kak ngah?" Kesemua mata di situ tertumpu pada Hanis yang baru sahaja mengambil tempat di sebelah Rose. Gadis itu tersenyum tipis ke arah mereka. Malu menjadi perhatian ramai.
"Ini, kak ngah nak kenalkan. Nama dia Hanis. Hanis akan tinggal bersama kak ngah lepas ni." Balas Rose sambil mengelus lembut kepala Hanis.
"Keluarga dia di mana?" Hadi pula bersuara. Gadis itu nampak terlalu muda.
"Dia anak yatim, Di. Muda lagi budak ni, baru masuk 18." Jawab Shahir bagi pihak Rose. Hadi dan Zaidi sama-sama mengganggukkan kepala mereka.
"Hanis dah berapa lama tinggal di rumah anak yatim?" Hadi menoleh ke arah isterinya yang kelihatan tertarik dengan gadis itu.
"Sejak lahir puan." Ujarnya dengan sopan.
"Panggil aunty je. Tak perlu berpuan-puan." Kata Azida. Wajah tua itu kelihatan ceria, tidak seperti tadi. Rose juga dapat merasakan hal yang sama. Cuma, dia tidak berani menyuarakan perkara itu sekarang. Bimbang ada hati yang kecewa nanti.
Keluarga itu sambung menikmati makan tengah hari mereka sambil berborak mesra dan bertukar cerita.
********
Selesai makan, mereka sambung berehat di ruang tamu. Sesekali, Hadi mencuri pandang ke arah Hanis yang sedang rancak berbual bersama kakak dan isterinya.
"Aku rasa, ayah aku syak sesuatulah." Mikael menoleh ke arah Zaidi. Dia menjongketkan keningnya.
"Mungkin Hanis tu adik aku yang dah lama hilang." Damn! Air muka Mikael serta merta berubah. Takkanlah?
Zaidi mula ragu-ragu terhadap Hanis. Selepas mendengar tentang kisah gadis itu tadi, dia syak bahawa Hanis adalah adiknya yang sudah lama menghilang.
Sekitar petang, Azida dan Hadi meminta diri untuk pulang. Begitu juga dengan Zaidi.
"Hanis, salam tangan Uncle Hadi dengan Aunty Zida." Hanis bersalaman dengan Azida sebelum beralih pada Hadi. Saat itu, tanpa disedari oleh sesiapa, Hadi mencabut sehelai rambut Hanis, ketika gadis itu menunduk cium tangannya.
"Jaga diri baik-baik. Aunty dengan uncle balik dulu." Pesan Hadi sebelum masuk ke dalam kereta.
********
"Ini keputusan DNA yang Tan Sri suruh saya buat hari tu." Sampul surat bertukar tangan. Kedua lelaki itu saling berpandangan buat seketika.
Dengan lafaz Bismillah, Hadi mengoyakkan hujung sampul surat sebelum membawa keluar keputusan ujian DNA. Kertas yang berlipat dua itu dibuka perlahan-lahan. Isi kandungan dibaca dengan teliti.
Wajahnya benar-benar kelihatan kecewa. Doktor Harun yang masih setia menatap teman lamanya terdiam.
"Sabar Tan Sri." Dia juga sedih dengan nasib yang menimpa keluarga itu.
"Sampai bila saya kena hukum macam ni Harun? Saya dah tak sanggup. Saya dah tak sanggup dibenci Azida." Hadi tenggelam dalam tangisannya. Kertas ujian itu dikeronyok lalu dilemparkan ke atas lantai. Dia kecewa, terlalu kecewa dengan keputusan ini.
short chap...happy reading
Share this novel