Prolog

Romance Completed 155761

Langkah diayun pantas demi menyaingi insan yang sudah jauh meninggalkannya di belakang. "Abang, abang nak ke mana? Jawab dulu soalan Hanis. Abang!" Panggilannya ibarat angin lalu yang tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk menghalang gerangan itu dari terus melangkah pergi.

Hampa, penat dan kecewa! Dengan berat hati, dia memilih untuk berputus asa dan berhenti mengejar yang tidak sudi mendengar penjelasannya. Gerangan itu sudah terlalu jauh untuk dia gapai. Hanya keluhan menjadi penawar kala hati tercarik luka. Tinggallah dia seorang diri, merawat duka tanpa sesiapa di sisi.

Hanis tercengang di anak tangga terakhir. Tangan mencengkam kuat tiang pemegang, menahan tubuh yang sedang menggeletar daripada rebah ke atas lantai. Daun pintu yang terkapai-kapai ditiup angin malam dipandang sepi. Nafasnya tersekat di kerongkongan.

Tangisan yang cuba ditahan, akhirnya meletus jua. Hatinya remuk mengenangkan rumahtangga yang terbina hampir 3 tahun itu, bakal musnah angkara satu salah faham.

Tempurung lutut bergegar seiring gugurnya keyakinan diri. Kekesalan menyelubungi jiwa kala membayangkan perjalanan hidup yang perlu ditempuhi seorang diri selepas ini. Tiada ilmu, tiada juga harta, mahupun keluarga buat bergantung harap.

-------3 tahun yang lalu-------

"Aku terima nikahnya, Hanis Umairah binti Abdullah, dengan mas kahwin, seratus ringgit tunai." Laungan sah daripada beberapa orang saksi memecahkan lamunan Hanis yang sejak tadi tertunduk memandang lantai masjid. Bukan kehendaknya untuk mendirikan rumah tangga di usia yang cukup muda ini.

Menjadi anak yatim sebaik dilahirkan, tidak dia pinta. Kata orang, dia ditinggalkan di hadapan pintu rumah kebajikan sewaktu masih bayi. Dia kemudiannya dijumpai oleh pengetua yang bertugas pada hari tersebut sebelum bergelar salah seorang penghuni di situ.

Masalah dana yang tidak terkawal, menjadi asbab Hanis dan kanak-kanak lain yang senasib dengannya, tidak dapat menikmati taraf pendidikan yang sempurna. Hari-hari mereka terisi dengan aktiviti pembersihan kawasan rumah kebajikan, memasak serta menjaga anak-anak yatim yang lebih muda.

Hanis sanggup melakukan kesemua tugas itu asalkan diberi tempat untuk berteduh serta sesuap nasi buat mengalas perutnya setiap hari. Untung saja dia masih dibenarkan untuk tinggal di rumah kebajikan itu lagi, walhal dia sudah pun mencapai usia 18 tahun.

"Cium tangan suami". Suara bisikan itu memecahkan bayangan kisah lalunya. Wanita pertengahan abad yang sedang tersenyum manis ke arahnya itu dilirik sekilas. Lantas, kepala dipaling, menghadap jejaka yang sudah selamat bersimpuh kemas di hadapannya bersama dua bentuk cincin belah rotan.

Sayangnya, seraut tampan itu kusam tanpa calitan senyuman. Kelihatan betul-betul terpaksa melalui detik hitam ini dengan menikahi seorang gadis yang tidak sekufu dalam keadaan yang cukup memalukan.

Seusai menyarungkan cincin pada jari manisnya, Hanis memberanikan diri untuk menyentuh lalu mengucup tangan lelaki yang langsung tidak dikenalinya. Rasa janggal dan kekok menguasai diri masing-masing. Hinggap pula satu ciuman singkat pada dahi Hanis. Sontak terpejam rapat kelopak matanya, cuba menahan satu rasa aneh yang terbit dalam hati. Sebutir manik jernih jatuh ke wajah yang dirias sederhana.

Takdir menyatukan mereka angkara satu kejadian yang tidak dijangka. Mampukah ikatan yang tersimpul tanpa rasa cinta ini, kekal sehingga ke akhir hayat mereka? Dan, mahukah si dia, menerima kisah silam seorang yatim piatu yang dibuang keluarga sebaik sahaja dilahirkan? Jelas, takdir hidupnya tidak seindah gadis-gadis lain di luar sana. Entah apa dosa si gadis sunti ini, sehingga sering diuji di luar kemampuannya...

Masing-masing berhenti di hadapan bilik sut mewah yang ditempah khas oleh Azuan Mikael. Jejaka yang sering kali tewas dengan godaan dunia. Entah bila kali terakhir dia menyanjungi sang pencipta, dia sendiri tidak ingat.

Tuah badan, menjadi pewaris sulung pasangan elit yang cukup terkenal dalam dunia perniagaan, sehingga mampu memiliki cabang perusahaan sendiri di usia 30 tahun.

Seorang Hanis Umairah bukanlah pilihan hati. Hanya kerana disyaki berkhalwat, dia terpaksa mencipta satu hubungan rasmi di sisi undang-undang bersamanya.

Penumbuk dikepal, seiring maraknya kebencian terhadap isteri yang tidak diiktiraf itu. Mencerlung mata Mikael, merenung keresahan yang terukir pada wajah Hanis.

Yang menjadi tanda tanya adalah kredibiliti Badrul. Terang-terang, lelaki itu gagal melindungi pelanggan berpengaruh sepertinya. Setahu Mikael, Badrul bukanlah bodoh atau masih tunas dalam bisnes ini. Dan sekarang, habis berantakan semua perancangan awal yang dibuatnya sebelum mendarat ke Malaysia.

Malam lalu, dia hampir hilang waras dan menyerang Hanis saat bilik mereka didatangi pegawai-pegawai Pencegah Maksiat. Demi maruah dan reputasi keluarga, Mikael turutkan sahaja permintaan mereka untuk menikahi gadis yang tidak diketahui asal usulnya.

Helaian rambut yang basah dengan keringat disebak ke belakang. Entah GRO mana yang dikahwininya ini! Mikael mula hilang sabar.

"Hai, bro! Apa khabar? Long time no see. Bila sampai Malaysia?!" Berdengung gegendang telinga kala suara garau itu menyapa pendengarannya. Segera dialihkan telefon bimbit yang melekap pada telinga ke tepi. Bodoh! Cakap perlahan sudahlah! Sakit telinga aku. Wajah pemandu teksi yang sedang memandu dengan tenang dikerling sekilas. Lelaki yang mungkin dalam lingkungan 50an itu, kelihatan sedikit terganggu dengan bunyi bising dari corong telefon pintarnya.

"Macam biasa. Tempat yang sama." Peranti itu dimasukkan semula ke dalam poket seluar. Posisi duduk dibetulkan.

Selang beberapa minit, benda pipih itu menjerit nyaring beberapa kali. Notifikasi mesej yang barusan dihantar kepadanya, dibaca sekilas lalu. Siapa lagi kalau bukan daripada Si Badrul. Terbit satu senyuman sinis pada bibir Mikael.

-Bad-
Ada barang baru, nanti aku send. Bayaran tinggi sikit!

Laju jemarinya melakukan kerja. Ini pertama kali dia melanggan pelacur tempatan.

-Mika-
Sure.

-Bad-
Will be there before 12!

Terherot sudut bibirnya. Badrul, seorang lelaki yang sanggup melakukan apa sahaja demi wang. Wanita-wanita yang dilacurkan, hampir kesemuanya dari keluarga miskin. Demi menyara hidup, mereka terpaksa taat dan menuruti setiap permintaan bapa ayam itu.

"Saya nak ke cafe dulu. Hantarkan saya ke Big Valley Coffee and Donuts." Pemandu itu lantas menganggukkan kepala sebelum membelok ke arah sebuah kafe pencuci mulut di tengah bandar.

"Ingat, aku tahu ini first time untuk kau. Tapi kalau nak hidup senang, kau kena tunjukkan bakat malam ni. Pelanggan ni bukan calang-calang orang. Faham tak?!" Tekan Badrul sehingga Hanis tidak berdaya untuk membuka mulut. Sejak tadi, dia tertunduk sambil bermain pada hujung dress yang tersarung di tubuh langsingnya.

Arahan yang diterima, dibalas dengan anggukan kepala. Air mata yang semakin deras, cepat-cepat disekanya. Walaupun rasa berdosa, namun apakah daya. Demi menjelaskan hutang, dia terpaksa mengadaikan maruah diri.

"Dah, dah! Tak payah nak menangis sangat dekat sini. Rosak make up kau nanti." Hanis mengangguk lemah. Tidak berani angkat muka apatah lagi melawan tatapan Badrul yang sungguh tajam terhadapnya.

Pipinya terasa pijar impak tamparan bertalu-talu oleh pembantu Badrul hanya kerana dia tidak mahu memakai dress seksi yang kini sudah pun tersarung elok pada badannya. Solekan tebal disapu ke serata wajah Hanis bagi menyembunyikan kesan tamparan itu.

"Tercegat apa lagi, masuklah!" Hanis terjerit kecil saat tubuhnya ditolak masuk ke dalam sebuah bilik. Belum sempat dia memulas tombol, pintunya malah dikunci dari luar. Hanis tergamam di muka pintu.

Setia merenung daun pintu dengan harapan ada sesiapa datang membantunya pada saat ini. Ingin melarikan diri, dia tidak tahu selok belok jalan di situ. Jika tertangkap, boleh melayang nyawanya dikerjakan oleh orang-orang Badrul.

Kaki menapak lemah ke arah meja solek. Hanis menilik rupanya pada biasan cermin. Cepat-cepat tangan menarik keluar beberapa helaian tisu lalu solekan pada wajah cuba dilap bersih. Dress yang mendedahkan tubuhnya, direnung lama bersama rasa kecewa. Apa yang aku nak buat ni? Ya Allah, selamatkan aku dari sini, aku takut.

Klak!
Hanis tersentak kala daun pintu ditolak dari luar. Rasa takut mula menjalar dalam dirinya. Entah orang tua mana yang bakal meragut kesucian yang dijaganya selama ini.

Dia mengundur ke belakang sebelum terduduk kaku di atas katil. Pandangan masih lurus ke hadapan.

"Well, hi... cepatnya! Ingatkan Bad nak hantar tengah malam nanti." Matanya tidak kekok merenung setiap inci tubuh yang terhidang di depan mata. Hebat juga 'ayam-ayam' Badrul.

'Cantik.' Hati sempat memuji. Bagasi diletakkan di tepi meja, sebelum Mikael menghampiri Hanis yang sudah menunduk memandang lantai. Wajah putih mulus itu pucat sekali. Mikael terus mengambil tempat di sebelah. Bahu Hanis yang terdedah menjadi sasarannya. Kawasan itu diusap lembut lalu dikucup lama sehingga meninggalkan kesan merah.

"You are mesmerising me. Your hair, your eyes, your face, your lips, your body, everything about you makes me wanna eat you right now..." Setiap sentuhannya merangsang satu rasa aneh dalam diri Hanis. Bahkan dia terpukau melihat ketampanan lelaki asing itu.

Belaian hangat daripada Mikael, membuat nafasnya turun naik. Dia terpegun sehingga tidak sedar tubuhnya sedang diteroka.

Mereka saling berbalas pandangan. Bibir basah Hanis dihampiri sebelum dia merapatkan jurang antara mereka. Mata gadis itu terpejam rapat kala hembusan nafas Mikael menampar wajahnya.

Tok! Tok! Tok! "Assalammualaikum. Kami dari Jabatan Pencegah Maksiat. Kami mendapat aduan, bahawa ada seorang lelaki dan seorang perempuan sedang bersekedudukan di dalam bilik ini tanpa ikatan yang sah. Sila buka pintu." Serta merta Mikael menjauhi kedudukan Hanis. Gadis itu kelihatan benar-benar terkejut dengan kehadiran mereka. Mikael merenung daun pintu yang sedang diketuk bertalu-talu dari luar sebelum berpaling semula ke arah Hanis yang sudah membenamkan wajah basahnya pada lutut di sudut bilik.

"Dasar pelacur! Kau perangkap aku?!"

Hi semua...Cass repub balik kisah ni. Ada sedikit penambahan dan pembuangan ayat...tapi tidak mengubah jalan cerita asal. Jemput baca...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience