"Eh, janganlah lari. Saya bukan orang jahat." Hanis berjalan ke hulu ke hilir bersama ayam goreng di tangan. Hasratnya mahu menangkap kucing putih itu lalu membelanya di dalam sangkar.
Kucing putih itu pula kelihatan berlegar-legar di kebun bunga Rose tanpa menghiraukan panggilan Hanis.
Tidak lama kemudian, ia duduk di tepi pasu bunga sambil membersihkan bulunya. Hanis lantas mengambil peluang itu untuk membelai kucing tersebut.
"Buat apa dekat situ?" Seruan yang tiba-tiba itu menyentakkan Hanis. Dia berpaling ke belakang, melihat gerangan yang menyergahnya tadi. Ternyata itu adalah Mikael.
Tidak semena-mena, muncul tompokan merah pada pipi Hanis. Gadis itu menyembunyikan senyumannya. Dia kembali teringat aktiviti panas mereka pada malam lalu.
"Tengah main dengan kucing." Jawab Hanis malu-malu. Langsung tidak memandang wajah tenang lelaki itu.
"Ew, kau suka kucing? Kotorlah kucing ni. Entah-entah ada penyakit. Dah, dah halau dia!" Kata-kata Mikael melunturkan harapan Hanis untuk membela kucing. Air mukanya mendadak berubah.
"Tapi, Mochi tak kotor..." Gumamnya dengan perlahan. Namun, masih dapat didengari oleh Mikael. Lelaki itu lantas bersila di sebelahnya. Dia mengerling sekilas ke arah Hanis. Gadis itu terdiam.
Mikael menarik nafas dalam-dalam sebelum kembali bersuara.
"Dari luaran memang tak nampak kotor. Tapi dalaman dia, kita tak tahu. Kucing tu kucing terbiar yang selalu berkeliaran di merata tempat. Jadi, mustahil dia dapat sumber makanan yang bersih sebelum ni. Kalau nak bela sekalipun, kau kena bawa dia ke Vet dulu. Bagi rawatan dan apa yang patut. Takdelah penyakit dia merebak dekat manusia nanti." Jelasnya panjang lebar. Hanis mengeluh panjang.
Rupanya, banyak perkara yang harus dititikberatkan sebelum dia membela kucing. Kepalanya terangguk-angguk.
"Mana mak aku?" Mikael mencari Rose. Selalunya, waktu-waktu begini, ibunya sedang sibuk membersihkan kebun bunga. Namun, hari ini, dia tidak kelihatan di situ.
"Aunty ada di dalam." Giliran Mikael menganggukkan kepala. Kini, pandangan mereka tertumpu pada haiwan berkaki empat yang sedang menikmati ayam goreng.
"Kau nak bela kucing ni?" Nadanya kedengaran seperti tidak puas hati.
"Nak! Hanis suka kucing. Aunty pun bagi Hanis bela kucing dekat sini." Bertambah sakit hati Mikael mendengar kata-kata Hanis. Amboi, dulu sewaktu dia merayu untuk membela arnab, ibunya menghalang keras-kerasan. Kata alergik bulu lah, susah nak jagalah, itulah inilah. Tapi, bila Hanis ingin membela kucing, terus diberi kebenaran. Memang pilih kasih betul orang-orang di rumah ini. Getus hatinya.
"Hah, kamu buat apa dekat sini Mika?! Kamu jangan nak kacau Hanis dengan Mochi tu." Rose mengeluarkan beberapa buah pasu bunga plastik yang baharu dari stor sebelum berjalan ke arah mereka berdua. Terbit satu senyuman tipis pada bibirnya kala melihat Mochi yang sudah sedikit mesra dengan Hanis.
"Mama, kenapa masa Mika nak bela arnab dulu mama tak bagi. Tapi bila Hanis nak bela kucing, mama bagi pulak?" Soalnya dengan sebal. Renungan tajam daripada Rose ditentang dengan berani.
Haih, mintak penyakit pulak anak aku pagi-pagi ni. Gumam Shahir dari beranda. Air kopi yang masih panas dicicip sedikit demi sedikit sambil menyaksikan pemandangan di bawah. Cuaca pada hari itu juga sangat menenangkan. Ditambah pula dengan irama kicauan burung-burung yang bebas berterbangan di langit... DUP! Shahir tersenyum sinis mendengar bunyi asing itu.
"Argh!" Bergegar rumah dengan suara jeritan Mikael. Lelaki itu menekup erat kepalanya yang sedang berdenyut-denyut. Hanis pula terkedu tanpa kata.
"Mama! Apa ni!" Adunya dengan geram. Belum apa-apa, kepalanya diketuk dengan pasu bunga plastik yang dibawa oleh Rose sebentar tadi. Wanita itu tidak mengendahkan jelingan anak sulungnya. Ada kerja yang perlu dia selesaikan.
Mikael dan Hanis sama-sama memandang ke arah Rose yang sedang mengangkat pasu-pasu bunga lamanya. Pasu-pasu bunga yang sudah reput itu akan digantikan dengan pasu bunga yang baru.
"Kamu nak bela arnab macam mana kalau diri sendiri pun tidak terjaga? Nak bela haiwan ni, kita kena bertanggungjawab. Bukan main bela je. Lepas dah bosan, tinggal di mana-mana tempat yang boleh memudaratkan mereka. Kan berdosa macam tu..." Mikael terdiam. Terasa dengan kata-kata Rose. Ibunya sedang sibuk menggaul tanah hitam di dalam pasu.
"Tapi, Mika memang nak jaga arnab tu pun. Mama yang tak bagi." Rungutnya lagi.
"Kamu nak bela macam mana Mika? Kamu sendiri jarang ada di rumah, pastu nak suruh mama tolong jagakan arnab kamu?" Mikael langsung terkedu. Dia tidak lagi memandang Rose.
Shahir hanya memasang telinga dari atas. Tiada niat untuk masuk campur.
********
"Mak Idah? Oh... Mak Idah." Laung Rose dari ruang tamu. Tangannya sibuk membelek cadar baharu. Ukiran bunga-bungaan pada helaian cadar itu betul-betul menarik perhatian Rose. Cantik! Nak tarok di bilik sendiri, nanti suaminya marah pulak. Sejenis yang tidak suka dengan corak bunga-bungaan. Sudah bertahun-tahun, mereka menggunakan cadar plain merah hati di bilik tidur mereka. Ugh, terlalu old-fashioned. Kutuk Rose.
"Ya datin?" Sahut Mak Idah yang sedang menghampirinya.
"Ini. Mak Idah gantikan cadar dekat bilik Hanis ya. Cadar lama tu Mak Idah buang je. Dah luntur warna." Dia menyerahkan cadar tadi kepada Mak Idah. Wanita tua itu menggangguk faham sebelum berlalu ke tingkat dua.
Belum sampai seminit tiba di tingkat atas, Mak Idah tergesa-gesa menuruni anak tangga. Rose mengerutkan dahinya. Kenapa ni?
"Datin!" Mak Idah menelan air liur.
"Ya, kenapa Mak Idah? Kenapa turun balik?" Soal Rose dengan cemas.
"Ada kesan merah-merah dekat atas cadar lama Hanis." Jawab wanita itu sambil memandang tepat wajah Rose.
"Kesan darah?!" Rose terdiam.
********
"Aunty..." Hanis melabuhkan punggung di hadapan wanita itu.
"Hanis, kesan darah dekat atas cadar tu, Hanis punya ke?" Hanis tercengang. Dia menoleh sekilas ke arah katil sebelum mengganggukkan kepala.
"Hanis cedera?" Giliran Mak Idah pula bertanya.
"Tak." Balasnya sepatah.
"Atau Hanis period?" Teka Rose.
Tiada jawapan. Sebaliknya, Hanis memandang selang seli wajah kedua wanita itu.
"Err, maksud aunty, Hanis datang bulan ke?" Rose menyoal kembali.
"Err...ya." Hanis tertunduk malu. Sebenarnya, dia terlupa untuk membasuh cadar katilnya pagi tadi. Kerana tidak ada lampin yang sesuai, Hanis terpaksa melipat dua beberapa helai tisu demi menampung darah haidnya.
Sewaktu berada di rumah kebajikan, dia hanya menggunakan kain lama sebagai lampin wanita.
"Hanis ada pad tak?" Soal Rose yang seakan memahami keadaan gadis muda itu.
"Pad?" Hanis tercengang seketika. Sementara Rose, tersenyum nipis dengan reaksi polos gadis itu.
"Pad tu lampin wanita. Benda tu boleh serap darah kotor dengan baik. Jadi, tak bocor." Terang Rose dengan lembut.
"Oh, Hanis tak pernah dengar pasal pad sebelum ni. Masa dekat rumah kebajikan, Hanis guna kain je. Kain batik yang dah tak guna tu, Hanis potong lepastu lipat tebal-tebal. Hanis cuci dan guna balik." Rose dan Mak Idah terkedu. Wanita-wanita itu saling berpandangan.
"Mak aunty dulu-dulu pun, guna kain juga. Cuma, bila kita asyik guna kain yang sama berulang kali, boleh memudaratkan kesihatan." Hanis menggangguk faham sebelum menggaru kepalanya. Hanya lebihan kain sahaja satu-satunya pilihan yang dia ada ketika itu.
"Mak Idah, nanti Mak Idah sediakan pad buat Hanis ya. Lepas tu, ajarkan sekali cara nak guna. Cadar tu Mak Idah buang je. Lagipun, warna dia dah luntur sangat. Guna cadar baru tadi." Mak Idah lantas mengangguk faham sebelum keluar dari bilik. Begitu juga dengan Rose.
happy reading
Share this novel