Selepas 1 bulan.
"Zida, kita sarapan dulu ya? Nanti lambat pulak nak ke rumah kak ngah." Kata-kata Hadi tidak diendahkan oleh Azida. Wanita itu seperti biasa, berada dalam dunianya sendiri. Tangan tua itu masih tekun menggenggam kepingan gambar yang sama.
"Zida?" Bahu isterinya diusap lembut.
"Ish, saya tahulah! Tak payah nak buat baik." Jerkah wanita itu sebelum meninggalkan Hadi terpinga keseorangan di beranda. Hadi mengeluh kesal sambil merenung kepingan gambar yang berada di atas meja. Kalaulah masa boleh diputar, pasti dia akan cuba memperbetulkan keadaan.
"Mama, jom breakfast." Sosok yang amat dirinduinya selama ini, akhirnya sudah pulang. Tubuh tinggi lampai itu dibawa ke pelukan.
"Balik dah anak mama." Tubir matanya basah saat melihat wajah anak bujangnya yang sudah lama tidak pulang ke rumah.
"Mama, please don't. Kan Edy dan balik. Dah-dah tak mau sedih-sedih." Air mata ibunya dihapus dengan hujung jari. Dia sempat melirik ke arah Hadi yang baru sahaja turun dari tingkat atas. Wajah bapanya sedikit muram. Mungkin baru lepas bertengkar dengan mamanya.
Pergaduhan antara pasangan itu sudah menjadi satu irama harian bagi Zaidi Ashraf. Dan, kerana itu jugalah dia meninggalkan rumah ini selama 2 tahun untuk mencari ketenangan di China sambil menguruskan bisnes Hadi di sana.
Harapan untuk melihat senyuman pada bibir Hadi sirna apabila suara jeritan ibunya menyapa pendengaran sebaik sahaja dia menjejakkan kaki ke dalam rumah pagi tadi. Ikutkan hati, Zaidi mahu berpatah balik, namun bila mengenangkan Hadi, dia tidak sampai hati.
Semua ini berlaku kerana insiden hitam itu. Ia telah meragut kebahagiaan mereka sekeluarga dalam sekelip mata sehingga Azida berubah menjadi seorang yang panas baran.
"Jom kita makan." Azida menghulurkan pinggan berisi mi goreng kepada Zaidi. Sementara Hadi pula, terpaksa mengambil sendiri makanannya. Satu situasi yang janggal jika dilihat oleh orang luar, tapi bukan bagi Zaidi. Dia sudah terbiasa dengan semua itu.
Walaupun Zaidi berasa kasihan terhadap Hadi, namun dia tetap tidak mahu membela ayahnya di hadapan Azida. Kecelaruan ini berlaku kerana sikap terburu-buru Hadi. Terlalu ikutkan perasaan sehingga ingin membuang darah daging sendiri. 18 tahun sudah pun berlalu, namun peristiwa itu masih segar dalam ingatan Zaidi sehingga kini.
"Aku tak mengaku anak ni darah daging aku! Aku haramkan dia membesar di rumah ini apatah lagi berbinti'kan nama aku. Kalau kau masih rasa nak hidup bersama aku dan Edy, sila buang anak tak guna ni dari hidup kau!" Ruang tamu mereka bergema dengan suara jeritan Hadi. Zaidi segera bersembunyi di belakang Azida. Hujung baju ibunya digenggam kuat.
"Abang mengarut apa ni? Ni anak kita, darah daging abang! Sampai hati abang cakap macam tu. Hanya disebabkan cemburu buta abang tu, sanggup abang curiga dengan Zida dan anak kita. Dah berbuih mulut Zida dengan Ghani jelaskan perkara sebenar pada abang. Tapi, abang masih lagi fikir yang bukan-bukan!" PANG! Azida menekup pipinya yang terasa pijar dan perit kerana tamparan Hadi. Zaidi yang ketakutan, mula menangis teresak-esak dalam pelukan ibunya.
"Kalau kau tak nak buang anak tu, biar aku bunuh je." Azida segera menarik Zaidi lalu berlari ke arah katil bayi. Dia menghalang Hadi daripada mendekati anak itu.
"Azida! Kau jangan cabar aku. Ketepi sekarang!" Bentak Hadi dengan geram. Azida cepat-cepat mengangkat bayinya dari katil sebelum menarik tubuh Zaidi mendekat ke arahnya. Semakin lama, semakin menjadi-jadi amukan Hadi.
Lelaki itu menumbuk kuat dinding ruang tamu sehingga bergegar. Setiap kali dia melihat wajah kecil itu, dia terbayang akan pengkhianatan Azida dan rakan baiknya, Ghani.
"Zida akan pergi dari hidup abang. Jangan cari kami lagi." Azida menarik tangan Zaidi sebelum keluar dari rumah. Dia tidak kisah lagi tentang apa-apa, selain keselamatan anak-anaknya.
"Ma, Edy penat." Sudah terlalu jauh mereka berjalan. Hari pun sudah larut malam.
Azida membawa Zaidi ke sudut kedai makan yang sudah ditutup lalu melabuhkan punggungnya di situ. Kawasan itu gelap tanpa cahaya.
"Mama...mama dah tak nak tinggal dengan papa ke? Macam mana dengan pelajaran Edy? Macam mana dengan hidup kita nanti?" Suara halusnya meluluhkan hati Azida. Ibu mana yang sanggup melihat anak-anaknya menderita? Dia tidak mempunyai pilihan lain selain keluar dari rumah kerana bimbang anak-anaknya diapa-apakan oleh Hadi. Namun, entah mengapa, dia menyesali tindakannya itu sekarang.
Apa yang akan jadi kepada anak-anaknya nanti? Jika dia mahu bercerai sekalipun, bagaimana dia bakal membesarkan Zaidi dan bayi ini seorang diri? Dengan bekerja? Tapi bekerja di mana? Lagi-lagi, dengan keadaannya yang masih berpantang dan belum mampu berjalan seperti biasa, mahukah orang mengambilnya bekerja? Hendak meminta pertolongan daripada keluarga? Dia tidak punya siapa-siapa lagi. Dia anak yatim piatu.
Azida menjadi bingung. Dia merenung sayu Zaidi yang sudah terlena di atas ribanya. Ketika itu juga, luka jahitan di bawah perutnya terasa sakit. Azida meringis perlahan sambil membetulkan posisi duduk.
Ya Allah, apa yang patut aku lakukan? Sesungguhnya, aku sayang Hadi dan anak-anak. Tapi, kalau aku diceraikan, apa yang akan berlaku pada Zaidi? Macam mana dengan pelajaran dia? Kalau aku hendak balik ke pangkuan suamiku semula, aku terpaksa melepaskan bayi kecilku ini. Berikan aku petunjuk Ya Allah. Sesungguhnya, hanya kepadaMu aku bermohon.
Azida bersandar sebentar pada dinding sambil mengendong anak kecilnya. Zaidi masih terbaring di atas riba Azida.
Beberapa minit kemudian, sebuah kenderaan melalui kawasan itu sehingga mengejutkan Azida dari lena yang panjang. Wanita itu mencelikkan mata lalu memandang kawasan sekeliling yang sedikit terang kerana pantulan cahaya daripada kenderaan yang lalu-lalang di sekitarnya.
Ketika itu, mata Azida tertancap pada sebuah bangunan kecil yang berada di seberang jalan.
"Rumah Kebajikan Nasuha?" Azida terdiam sejenak. Wajah bayi yang sedang tertidur pulas dalam gendongannya direnung dalam.
Mungkin ini satu-satunya jalan yang dia ada buat masa sekarang.
Sementara dia memujuk Hadi, mungkin anak kecilnya lebih selamat berada di sini. Setelah keadaan kembali pulih, dia akan datang semula ke sini dan mengambil anak itu.
Azida mengalihkan kepala Zaidi dari ribanya. Kanak-kanak itu dibaringkan seketika di atas lantai kosong.
Rumah kebajikan itu dituju dengan langkah perlahan. Keadaan sekeliling diperhati. Berharap tiada melihat perbuatannya.
Bayi kecil itu dicium lama. Tubir matanya basah. Kalaulah dia mempunyai pilihan yang lebih baik. Hatinya meronta. "Maafkan mama sayang. Mama terpaksa." Bisiknya sebelum meletakkan anak itu di muka pintu.
"Edy? Edy..." Bahu Zaidi digoncang sedikit kuat.
"Erm...kenapa mama?" Zaidi yang masih mamai, memisat-misat kelopak matanya. Wajah cemas Azida dipandang hairan.
Baru Zaidi perasan bahawa adiknya tidak lagi berada bersama mereka. Dia bingkas berdiri lalu mencari bayi kecil itu.
"Edy, kita balik dulu ya...Jom." Tubuh Zaidi lantas diangkat lalu dipeluk erat. Dengan hati yang berat, Azida meninggalkan tempat itu. Jangan risau, mama akan datang ambil kamu semula. Mama janji.
********
"Edy? Edy?" Zaidi tersedar dari lamunannya.
"Pagi-pagi dah berangan? Makan, nanti kembang pulak mi tu nanti." Zaidi lantas mengangguk sebelum menyuapkan mi goreng itu ke dalam mulut. Hujung matanya melirik wajah sayu Hadi. Ya tuhan, bilakah semua kekusutan ini akan berakhir?
*******
"Masuk...masuk. Ya Allah, susah-susah je kamu ni Zida. Kak ngah baru je masak tadi." Rose menyambut mesra huluran Azida sambil tersenyum lebar.
Dia menjemput keluarga adik bongsunya, Hadi untuk turut serta dalam acara makan tengah hari di rumah. Abang sulung Rose dan Hadi pula sudah lama menetap di Australia.
"Alah, sikit je kak ngah. Zida buat brownies je pun. Bukannya susah mana." Azida memang rapat dengan Rose. Kakak iparnya selalu mengambil berat tentang mereka sekeluarga dan sering memberikan kata-kata semangat.
"Jemput duduk dulu ya. Kak ngah nak hidangkan makanan dekat belakang." Rose dan Azida melangkah bersama ke dapur. Manakala, Shahir, Hadi, Mikael dan Zaidi pula berkumpul di ruang tamu.
"Dah lama kita tak kumpul macam ni kan?" Luah Shahir, memecahkan keheningan antara mereka. Hadi menyahut dengan anggukan kepala. Sementara Mikael dan Zaidi pula, berbalas pandangan.
"Itulah, masing-masing busy. Edy ni pun baru je balik pagi tadi. Sibuk sangat dekat China sampai tak ingat Malaysia." Shahir tergelak kecil.
"Kau pulak, balik bila?" Soal Zaidi. Mikael berdeham terlebih dahulu sebelum menjawab.
"Nak masuk sebulan dah. Kau tu, balik tak inform dulu. Kalau tak boleh lepak." Shahir dan Hadi hanya memasang telinga sambil memerhati perbualan antara jejaka-jejaka itu.
"Jom lepak dekat luar." Ajak Zaidi. Kedua lelaki itu bingkas berdiri sebelum menuju ke luar rumah.
Shahir mengeluh dalam diam. Wajah pucat Hadi membuatkan dia jatuh kasihan.
"Hadi dengan Zida macam mana sekarang?" Dia sememangnya tahu konflik yang melanda keluarga adik iparnya. Mahu menasihat, risau akan mengeruhkan lagi keadaan.
"Macam tulah bang ngah. Hari-harilah saya kena menghadap angin dia tu. Tapi nak buat macam mana, salah saya jugak. Kalau kak ngah dengan abang ngah tak bawak Ghani datang ke rumah Hadi dan terangkan semuanya hari tu...entah-entah Hadi masih berburuk sangka pada Zida." Lelaki itu tertunduk malu. Disebabkan sikap barannya, anak mereka menjadi taruhan.
"Sabar Di. Tu semua ujian. Nak tak nak, kita kena terima. Abang yakin, pasti ada hikmah di kemudian hari. Kamu takde pergi balik ke rumah anak yatim tu?" Hadi menggeleng dengan kecewa.
"Bukannya abang ngah tak tahu. Rumah anak yatim tu dah ditutup waktu kami pergi ke sana. Saya dapat tahu, anak-anak dari rumah kebajikan tu pun telah dipindahkan ke tempat-tempat yang berbeza. Dah merata saya cari, tapi, anak kami tiada di situ. Saya dah hampir putus asa bang ngah. Dah 18 tahun kami cari, tak jumpa-jumpa lagi. Entah hidup atau dah..." Luahannya terhenti di situ. Mereka masih berharap, anak itu masih hidup dan berada dalam keadaan yang baik walau di mana pun dia berada sekarang ini.
"So, macam mana hidup kau? Bila nak kahwin?" Zaidi tersenyum nakal.
"Relaks lah, muda lagi kut. Nanti-nantilah aku fikirkan. Kau tu pulak, bila nak ada bini?" Zaidi terkedu. Dia mencebik sebelum tersenyum tipis.
"Hmm, entah. Bila dah jumpa..." Gumamnya sendiri.
"Hah, bila dah jumpa? Maksud kau?" Zaidi lantas menggelengkan kepala.
"Takde apa. Macam mana bisnes di sana?" Cuba menukar topik perbualan mereka.
"Not bad. Berjaya secured few projects dengan new companies." Zaidi tersenyum bangga. Bahu Mikael ditepuk perlahan.
"That's my brother!" Pujinya sebelum kedua lelaki itu tergelak. Namun, Mikael tetap berasa curiga terhadap Zaidi. Apa maksud lelaki itu tadi? Jumpa? Jumpa siapa?
"Eh, siapa budak tu?" Mikael berpaling ke belakang lalu tercengang tanpa kata.
next chap ^^
Share this novel