BAB 1

Romance Completed 11857

‘’Assalammualaikum? Apa khabar? Sihat?

Salamku tidak dijawab dan huluran tanganku juga tidak disambut. Panahan mentari menyilau membuat mataku sedikit pedih namun dapat ku lihat dengan jelas wajah lelaki tua di hadapanku. Masih tidak berubah.

Huh, boleh tahan jugak si tua ini egonya, masih meninggi tak sepadan dengan usianya! Dia masih berpeluk tubuh tanpa memandang aku walaupun secebis. Wanita tua disebelahnya pula mengambil lakon, menyambut salamanku. Tapi tak lama, kerana cepat-cepat ditepis tangan wanita itu membuatkan aku terdorong ke belakang.

“Aku hanya ada tiga orang anak lelaki! Aku tak punya anak perempuan, apatah lagi cucu dari anak perempuan itu! Kau boleh berambus dari rumah aku, seperti mana juga perempuan itu berambus dari rumah ini!” Itu tingkahnya setelah aku menerangkan yang aku cucunya, anak kepada Mariam.

Riak wajahnya terus berubah garang, tidak manis seperti mula-mula aku melangkah anak tangga tadi.

Aku tidak ambil kisah. Aku sudah mengagak, mahupun aku sudah bersedia.

“Abang haji, sudah-sudah lah tu. Hal 30 tahun lepas pun, nak diungkit-ungkit buat apa? Kita ni pun bukannya muda lagi, entah esok ke lusa tuhan panggil kita, tak ke menyesal nanti?”

“Ah, awak perempuan apa tahu? Asyik salah, kita saja! Apa-apa pun, aku tak mahu tengok muka budak ni kat sini! Pandang muka dia saja dah buat aku panas hati, petah lagi nak bercakap dengan dia, memang aku tak hadap!” Atuk masih bercekak pinggang. Nenek sudah mengalirkan air mata. Ah, malasnya nak berdepan dengan drama swasta begini!

“Tak kisah la atuk nak cakap apa. Pendek cerita macam nilah. Saya datang bukannya nak buat slot jejak kasihan kat sini. Saya datang nak ambil balik tanah milik mak saya yang katanya dah dinamakan atas nama dia. Tanah yang dekat belakang rumah besar sana.” Atuk terus terduduk sambil menekan dadanya, lalu nenek segera memapahnya ke kerusi. Aku masih tidak bereaksi. Er.. berterus-terang sangat ke aku?

“Hei, budak biadap! Kau keluar dari sini! Jangan pernah datang lagi, atau aku parangkan kau nanti! Pergi!!” Aku sengih, masih duduk bersila dilantai kayu itu walaupun tak dijemput untuk duduk.

“Atuk.. sebelum sampai tadi, saya ada lah melawat kampung ni. Paling menarik perhatian, kebun pisang yang atuk duk usahakan sekarang ni tu lah. Tapi, duk syok-syok berkebun, atuk ingat tak yang atuk dah bagi geran tanah tu pada Tuan Wilson? Ingat tak?” Serta merta atuk bangun lalu mencerlung memandang aku.

“Mesti atuk tak lupa kan, Tuan Wilson tu pun atuk saya juga. Cuma, bezanya Tuan Wilson masih ambil tahu hal berkaitan cucu dia. Jadi, dia pun serahkan geran tanah tu pada bapak saya, dan kemudian saya. Berbalik pada cerita tadi, jika tak keberatan, apa kata kita buat sistem barter kat sini. Saya dapat geran tanah mak saya, dan atuk dapat geran tanah atuk. Kalau tak nanti sia-sia je pisang yang atuk dah tanam berdekad-dekad tu. Amacam, cerdik tak saya?” Aku gelak halus sambil atuk dah laju-laju berjalan ke biliknya dan menghempas pintu bilik. Er.. apa maksudnya tindakan dia tu? Ah, tak kisahlah. Selagi aku tak dapat tanah ibu aku tu, selagi tu aku tak berganjak dari sini. Nenek memandang aku lambat-lambat.

Nenek, tolonglah jangan pandang saya macam tu. Persis ibu..

“Err..” Nenek teragak-agak untuk memanggil aku.

“Oh, lupa pulak nak perkenalkan diri.. Saya Rafael Abdullah.” Nenek mengerutkan muka.

“Betul ke kamu ni anak Mariam?” Aku angguk.

“Ha’ah. Saya anak Mariam dengan Abdullah. Sebelum babah masuk Islam nama dia William Wilson.” Nenek senyum. Ah, aku kalah dengan senyuman itu. Mataku berair. Cepat-cepat aku kalihkan dari pandangannya.

“Patotlah.. wajah kamu memang seiras benar dengan William. Patotlah juga atuk kamu tu mengamuk sakan, dah memang dia pun tak sukakan William!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience