Tangan kananku terasa pedih setiap kali aku gerakkan. Mataku terlalu berat untuk dibuka. Tekakku terasa perit hingga menyukarkan aku untuk telan air liur. Dalam keadaan mata yang masih terpejam rapat, sayup-sayup aku mendengar perbualan dua orang wanita.
"Macam mana boleh jadi macam ni? Buat apa sampai KL sana?"
"Kak Nisa mengidam Sugarbun"
"Huh! Inilah akibatnya kalau suka sangat berahsia. Dia dengan Iz sama je!"
Sayup namun aku dengar butir perbualan itu. Lama aku memasang telinga, akhirnya aku tahu siapa yang sedang bersoal jawab itu.
Mummy dan Amira.
Aku usap perutku yang masih terasa sakit. Kejadian itu bermain semula di fikiranku. Aku tidak sedar apa yang berlaku tapi aku yakin yang aku diragut. Peragut itu datang dari arah belakang dan terus menarik tali bag yang tersangkut di bahu kananku. Tali itu tersangkut di sikuku sebelum ia direntap oleh peragut dan aku hilang pertimbangan.
"Ya Allah, jangan kau ambil dia". Doaku dalam hati. Bibirku bergetar menahan sendu. Aku harap bayi yang aku kandung masih lagi selamat di dalam kandunganku ini meski ketika terjatuh, abdomen aku terasa begitu sakit. "Mama harap anak mama ni kuat", bisikku lagi berdoa.
Aku buka mata perlahan apabila mendengar tirai yang menutupi katilku diselak. Terpacul dua wajah sugul di hujung katilku. Seorang dengan wajah yang penuh sayu dan seorang lagi wajah yang penuh dengan kebencian.
"Mummy...", panggilku. Aku cuba untuk bangun dibantu oleh Amira. Kepala katilku dinaikkan sedikit supaya aku dapat bersandar dengan selesa. Mummy mencemik apabila mendengar aku memanggilnya.
"Suka sangat kan berahsia? Sekarang tengok apa dah jadi", sinis kata-kata itu dilontarkan kepadaku. Aku hanya diam. Ketika ini aku terasa diriku berada diawang-awangan. Mungkin akibat kesan ubat yang diberikan kepadaku.
"Mira, is everything allright?", bisikku pada Amira. Gadis ini hanya terdiam. "Mira?", panggilku lagi. Aku mula rasa tidak sedap hati. Tolonglah katakan padaku bahawa semuanya baik-baik saja.
Tolong...
"You miscarriage". Lantang suara itu berkata.
"Mummy!", jerit Amira. Tajam matanya merenung si ibu namun langsung tidak diendahkan oleh ibu mertuaku.
Aku terkedu. Seraya itu tapak tangan aku lekapkan pada perutku. Aku dapat rasakan hatiku bagai dihiris. Tidak semena air mata mengalir laju tanpa aku pinta. Badanku menjadi lemah, selemah-lemahnya.
"You ni memang tak gunalah!"
Mummy terus meninggalkan bilik wad. Aku meraung semahunya sambil Amira cuba untuk menenangkan aku. Bayi yang aku tunggu selama ini hanya mampu bersamaku selama 13 minggu saja?
"Akak..janganlah macam ni. Akak sabar ye. InsyaAllah Allah akan gantikan semua ni dengan yang lain. Banyakkan bersabar, kak"
Aku tidak hiraukan kata pujukan Amira itu. Hatiku terus merintih. Bukan aku tidak terima suratan takdir, tapi aku sedih. Zuriat yang aku nanti selama ini hanya dipinjamkan kepadaku selama beberapa bulan saja.
Faiz. Bagaimana dengan Faiz? Sudahkah dia tahu tentang hal ini?
Aku segera mencari telefon bimbitku. Seperti orang gila aku meracau hinggakan Amira menjadi kaget.
"Mana phone akak, Mira? Mana phone akak?", tanyaku bertalu-talu. Mataku melilau mencari tas tanganku.
"Ada, kak. Kejap Mira ambilkan", balas Amira tenang. Dia menunduk dan membuka kabinet di sebelah katilku. Tas tanganku dikeluarkan. Talinya sudah putus. Ia kelihatan sangat kotor.
"Akak kena ragut tadi. Tapi nasib baik ada orang sempat kejar peragut tu", terang Amira sambil menghulurkan tas tanganku. Aku tidak berkata apa cuma tanganku pantas mencari telefon bimbitku di dalam bag.
"Akak nak rehat. Mira pergilah balik". Suaraku setelah beberapa minit keadaan sunyi sepi. Amira menggeleng.
"Mira teman akak. Abang Iz nak Mira temankan akak", balasnya. Aku angkat muka. Air mata yang tadinya sudah berhenti, mengalir kembali membasahi pipi.
"So Iz dah tahu?", tanyaku inginkan kepastian. Amira angguk perlahan. Aku hembus nafas perlahan. Sudah pasti Faiz kecewa dengan aku.
"Tapi abang tak boleh balik", kata Amira perlahan. Kesal mungkin.
"Akak tahu", ringkas balasanku. Tersangat faham dengan keadaan kerja Faiz. Setakat keguguran, apalah sangat. Selagi tidak hilang nyawa, tiada pekerja yang dibenarkan pulang ke darat. Sudah berapa ramai isteri pekerja di pelantar mahupun di kapal seperti Faiz yang bersalin seorangan tanpa suami di sisi? Balik-balik saja, anak sudah sebulan dua.
Berkahwin dengan lelaki yang bekerja di tengah laut ini banyak dugaannya. Jika tidak kuat hati, usahlah harapkan apa-apa dari perkahwinan itu. Terlalu banyak perkara yang perlu dikorbankan terutamanya masa dan perhatian.
"Akak rehatlah dulu. Kalau ada apa-apa, panggil Mira", kata Mira seraya menurunkan kembali kepala katil supaya selaras dengan bahagian badanku. Aku merebahkan kepala pada bantal. Aku cuba pejam mata namun hampa. Otakku ligat berfikir tentang perasaan Faiz ketika ini.
"I'm so sorry, sayang", bisikku perlahan.
***************************
Dua minggu aku diberikan cuti sakit selepas keguguran, aku mengambil keputusan untuk pulang ke kampung di Taiping dan berpantang di sana. Elok juga aku berpantang di kampung memandangkan tiada siapa yang boleh menjaga aku di rumah.
Dengan keizinan suamiku, aku pulang ke kampung ditemani Amira. Dia yang menghantar aku. Dua hari lepas Faiz ada menghubungiku. Dari ton suaranya, seakan dia tidak terkesan dengan kejadian yang menimpa aku. Tutur katanya tenang, sepertinya dia tidak sedih langsung. Tapi aku tahu, dia sedang berperang dengan perasaannya juga. Dia tidak mahu aku rasakan kesedihan itu.
Kereta yang dipandu Amira memasuki perkarangan rumah pusaka milik Tok Abah, datukku. Pak Tam, bapa saudaraku sudah tunggu atas anak tangga. Sebentar tadi semasa kami singgah di pekan, aku ada menghubungi Pak Tam mengatakan yang aku hampir tiba ke kampung. Teruja agaknya dengan kepulangan aku kali ni setelah hampir enam bulan juga aku tidak pulang ke Taiping.
Mak Yah muncul selepas kereta diberhentikan betul-betul depan tangga rumah papan ini. Inilah rumah pusaka yang ditinggalkan arwah Tok Abah kepada Mak Yah, satu-satunya anak perempuan Tok Abah. Aku dibesarkan oleh wanita ini selepas ibu dan ayah meninggal dalam satu kemalangan jalanraya ketika aku masih kecil.
Mak Yah menjaga dan membesarkan aku macam anak dia sendiri. Dia dan Pak Tam tidak dikurniakan anak, jadi segala kasih sayang itu dicurahkan kepadaku. Sakit pening aku dari dulu, Mak Yah lah yang uruskan. Dialah yang paling risau ketika aku ingin menyambung pengajian di Kuala Lumpur selepas tamat SPM.
Semasa aku membawa Faiz pulang ke kampung bertemu mereka berdua, Mak Yah yang paling gembira sekali kerana akhirnya aku akan menamatkan zaman bujangku. Sementelah lagi waktu itu usiaku sudah memasuki 30 tahun.
"Assalamualaikum", ucapku selepas badan keluar dari perut kereta. Pak Tam sudah menapak menuruni anak tangga menuju ke arahku. Mak Yah mengikuti dari belakang.
"Waalaikumsalam!", serentak mereka menjawab. Memang sehati sejiwa. Makin lebar senyuman Mak Yah. Selepas bersalam dengan Pak Tam, dia terus ke bonet kereta untuk mengambil bagasiku. Aku berjalan perlahan menghampiri Mak Yah yang sudah berada di anak tangga terakhir.
"Mak sihat?", tanyaku sambil tangan kuhulurkan untuk bersalam. Tangan wanita lewat 50-an ini aku cium. Aku memang memanggilnya mak sedari kecil lagi.
"Alhamdulillah, sihat" jawabnya lembut. Huluran tangan bertukar kepada Amira pula.
"Ni Mira, adik Faiz", kataku memperkenalkan. Amira menepuk lembut bahu aku. Aku angkat kening memandangnya.
"Akak ni, macam lah Mak Yah tak kenal Mira. Kan Mak Yah?", kata Amira. Aku tepuk dahi. Iyalah, masakan Mak Yah tidak kenal Amira sedangkan gadis inilah yang selalu aku usung ke sini. Aku ketawa, kelakar dengan diri sendiri.
"Dah, dah. Jom naik. Dah senja ni. Mak dah setkan appointment dengan Cik Yam malam ni untuk urut Nisa", kata Mak Yah sambil memimpin aku naik ke rumah.
"Thanks, mak. You're the best", ucapku. Mak Yah sememangnya tahu untuk menyusun semuanya untuk aku. Ketika aku memberitahunya untuk berpantang di kampung, Mak Yah terus aturkan semua hal berpantang untukku. Meski dia bukan ibu kandungku, tapi aku bersyukur dia menjadikan aku seperti anak kandungnya.
Terima kasih, mak!
Share this novel