Empat bulan sudah berlalu. Empat bulan ini juga aku tidak bersua dengan Faiz. Selepas kejadian itu, aku menghabiskan masa hampir dua minggu di kampung. Mencari ketenangan dan juga kekuatan untuk aku terus pertahankan perkahwinan aku dengan Faiz.
Faiz pula, sejak bernikah dia tidak pulang ke rumah kami. Masa cutinya dihabiskan dengan berbulan madu bersama Shahira di Maldives. Pulang dari Maldives, dia terus menghabiskan masa bersama Shahira dan keluarganya. Aku hanya dapat mendengar suaranya melalui panggilan telefon. Itupun jika aku menghubunginya. Hubungan kami menjadi terlalu dingin.
Hari ini, kami semua berkumpul di rumah ibu mertuaku. Kenduri kesyukuran sempena Faiz dinaikkan pangkat dan dipindahkan ke ibu pejabat di Kuala Lumpur. Selepas ini, dia tidak lagi ke tengah laut seperti sebelum ini. Aku bersyukur untuk itu meski hubungan kami semakin jauh.
Keadaan riuh di ruang tamu dengan saudara mara Faiz yang rancak berbual membuatkan aku rasa terasing. Aku tidak seperti selalu yang ringan mulut untuk bergaul mesra dengan mereka. Topik perbualan itu langsung tidak masuk ke dalam otakku. Semua orang sudah tidak pedulikan aku. Semua perhatian diberikan kepada Shahira. Oh iyalah, dia kan bakal memberikan zuriat pada suamiku, cucu kepada ibu mertuaku. Mestilah dia disanjung dan ditatang tinggi.
"Tengok Ira tu, kahwin je terus mengandung. Itulah bagusnya kahwin muda. Badan sihat lagi, subur. Senang lekat"
Huh! Kahwin muda tapi caras suami orang. Elok ke?
"Patutnya kau ni kahwin awal. Ini tak, dah 30 tahun baru kahwin. Dah tua"
Aku rasa macam nak cilikan saja mulut ibu saudara Faiz ni. Memanglah dia suka. Suami aku kahwin dengan anak dia!
Kali ini aku mendapat serangan bertubi-tubi dari kiri, kanan, atas dan bawah. Aku keseorangan. Aku rasa bagai ditembak berkali-kali. Hati aku bagai dihiris belati tajam.
Aku cuba mencari kelibat Faiz di dalam keramaian. Aku dah tak sanggup nak hadapi serangan secara mental yang keluarganya berikan padaku.
Sedap mulut mereka menuduh aku mandul sedangkan aku tak mandul. Sesedap rasa mereka mengutuk aku isteri tidak kenang budi sedangkan apa yang aku lakukan untuk keluarga ini mereka langsung tidak peduli.
Aku segera mengorak langkah laju tatkala melihat Faiz sedang berbual dengan saudaranya dekat khemah depan rumah.
"You, I nak balik boleh tak?", bisikku perlahan supaya tidak didengari saudaranya itu. Dahi Faiz berkerut, riak wajahnya berubah. Aku tahu dia tidak senang dengan permintaanku ini.
"Kenapa nak balik? I dah cakap kita tidur sini kan?"
"Tapi..."
"No buts. Kita tidur sini"
Tegas suaranya walaupun perlahan seakan berbisik. Aku bangun membawa diri masuk kembali ke dalam rumah. Canggung rasanya apabila ada mata-mata yang memerhati. Apa hina sangatkah aku pada pandangan mata mereka? Salahkah aku mengizinkan suamiku berkahwin lagi? Hinakah jika aku bermadu?
Apa salah aku?!
Langkahku untuk ke tingkat atas terhenti apabila lenganku dipegang dari belakang. Aku berpaling.
"Kenapa Ira?", tanyaku lembut dan perlahan. Aku cuba mengawal perasaan aku ketika ini. Kalau ikutkan amarah, mahu saja aku tampar muka budak ni. Dia yang rampas semuanya milik aku.
"Akak nak pergi mana?", soalnya bersahaja. Aku tahu dia berpura-pura baik dengan aku sedangkan di belakang aku, dia selalu mengutuk aku.
Aku membalas, "Nak masuk bilik"
"Bilik Abang Iz?", soalnya lagi. Aku angguk. Bilik mana lagi? Bilik beradu aku dan Faiz lah jika kami pulang ke Subang Jaya.
"Tapi.. Ira tidur bilik tu dengan abang. Takkan akak nak tidur sekali", katanya seakan naif. Aku hela nafas dalam. Faiz gantikan tempat aku dengan wanita ini?
Tanpa bersuara, aku pergi meninggalkan Shahira. Aku tak tahu apa yang aku rasa ketika ini. Tapi hati aku terlalu sakit. Faiz yang minta aku bermalam di sini tapi di manakah selayaknya tempat aku?
***********************************************
Kereta aku pandu tanpa hala tuju. Lantaklah kalau Faiz nak marah aku melarikan keretanya. Aku dah tak sanggup nak duduk dalam rumah itu lagi.
Air mata yang bercucuran jatuh sedikit pun tidak diseka. Tangan aku menghentak steering beberapa kali, meluahkan segala sakit yang terpendam dalam hati.
Empat bulan usia perkahwinan Faiz dengan Shahira, tapi aku rasakan seperti empat tahun. Empat bulan ini sikap dan layanan Faiz terhadap aku berubah serta merta.
"Apa salah I, Faiz?? Apa salah I???". Aku menjerit semahunya. Raunganku semakin kuat. Pemandanganku semakin kabur dek kerana air mata yang memenuhi tubir mataku. Aku terus memusingkan steering kereta lalu membelok ke satu kawasan parkir kereta.
Muka aku sembamkan pada steering. Aku menangis lagi. Dada yang terasa sakit aku pukul perlahan, seolah ingin memujuknya supaya kembali pulih.
Aku kalah. Kalah dengan percaturanku sendiri. Aku masih tak dapat restu mummy dan aku kehilangan suamiku sedikit demi sedikit.
Kepala aku angkat lalu bersandar pada kerusi dengan mata terpejam. Terbayang segala layanan mummy terhadapku selama lima tahun ini.
Kenapa mummy tak boleh terima aku? Hina sangatkah anak yatim piatu seperti aku? Memang aku tidak setaraf dengan mereka. Aku hanya budak kampung yang punya cita-cita besar. Tapi aku sayangkan Faiz seikhlas hati aku. Sikit pun tidak pernah terlintas untuk ambil kesempatan atas kebaikan dan kasih sayang yang Faiz curahkan pada aku selama ini.
"Faiz! Kenapa you buat I macam ni??!!! Ahhhhh!!!"
Aku menjerit lagi sekuat hati. Berkali-kali steering menjadi mangsa hentakan tanganku. Air mata semakin deras mengalir. Tangan aku memegang bahagian atas steering lalu aku jatuhkan dahiku atas tangan.
Aku hela nafas dalam lalu aku hembus perlahan. Aku lakukan berulang kali sehingga aku terasa sedikit tenang.
Tok! Tok! Tok!
Aku dikejutkan dengan ketukan pada cermin kereta sebelah pemandu. Terpisat-pisat aku menggosok mata yang aku yakin sudah bengkak. Aku kerling jam pada dashboard kereta. Ya Allah! Sudah pukul 1 pagi. Cermin tingkap aku turunkan sedikit untuk bercakap dengan orang diluar.
"Ye encik?", kataku dengan suara yang sedikit serak.
"Cik tak apa-apa ke? Kenapa parking dekat sini waktu-waktu macam ni?", soal lelaki yang lengkap beruniform berwarna biru tua dan memakai beret. Aku terpinga.
"Maaf, saya Shah. No badan 344876", katanya lagi. Ralit aku memerhatikan nombor badan yang tertera di uniformnya saat dia memperkenalkan diri.
"Cik, bahaya kalau parking dekat sini waktu macam ni. Kawasan ni banyak kes samun dan rompak", sambungnya lagi. Aku rasa seperti di awangan. Mungkin kerana terlalu banyak sangat menangis dan aku tertidur sekejap tadi.
"Err...maaf encik. Saya sakit kepala tadi. Sebab tu saya parking sekejap dekat sini. Tak sangka pula sampai tertidur", jawabku memberi alasan. Aku sendiri tidak sedar akan keadaan sunyi tempat ini sewaktu aku memberhentikan kereta tadi.
"Ohh.. macam ni, kalau cik tak boleh drive, saya boleh tolong hantarkan cik balik", cadangnya. Aku terdiam. Otak ingin memproses cadangan itu namun aku rasakan seolah otak aku tidak boleh berfungsi dengan betul ketika itu.
"Cik jangan takut. Kawan saya akan escort kita", katanya setelah aku gagal memberikan sebarang jawapan. Aku memandang ke arah kereta polis yang bersiren biru yang berhenti di belakang keretaku.
Aku hanya angguk tanda setuju. Aku berasa letih dan aku tidak mampu untuk berfikir dengan waras. Aku hanya mampu berdoa agar polis ini seorang polis yang baik dan tidak mengambil kesempatan. Saat ini, aku rasa hanya ingin cepat tiba di rumah.
Pegawai polis bernama Shah itu terus memandu keretaku menuju ke Cyberjaya, diiringi oleh kereta polis di belakang. Keadaan sunyi. Tiada sebutir patah perkataan keluar dari mulut aku mahupun pegawai polis ini. Aku tidak berminat untuk memulakan bicara. Dalam fikiranku kini hanya ingin cepat sampai ke rumah.
Aku tersedar dari lena apabila terasa sesuatu menggerakkan bahuku. Perlahan aku buka mata. Aku sudah berada di depan rumah. Tidak sedar aku boleh terlena sepanjang perjalanan. Mujur pegawai polis ini sudah minta alamat rumah aku awal-awal.
"Hurmm.. dah sampai?", tanyaku. Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula. Buat kali pertama aku lihat Shah ukir senyum. Manis!
Dia angguk dan menjawab, "Dah, cik"
Aku keluar dari kereta. Elok dia parkir kereta aku dalam garaj. Aku pelik macam mana dia boleh lepas masuk dari pondok pengawal yang ketat tu. Mungkin juga sebab dia seorang pegawai polis, siap dengan kereta polis mengiringi perjalanan pulang aku tadi.
Aku seluk dalam tas tangan yang aku pegang. Shah sudah berlalu ke kereta polis yang dipandu rakan sekerjanya.
"Encik! Tunggu sekejap"
Shah tidak jadi masuk ke dalam kereta dan berjalan semula ke arah aku. Raut wajahnya tenang. Suka pula aku melihat wajah tenang begini. Rasanya sudah lama aku tidak melihat wajah tenang Faiz.
"Terima kasih sebab hantar saya balik. Nah, upah encik", ucapku seraya menghulurkan sekeping not berwarna hijau pekat kepadanya.
"Eh, tak apa cik. Kami ikhlas tolong cik. Lagipun dah tugas kami untuk menjaga keselamatan kan?". Shah menolak pemberianku dengan penuh hormat dan sopan. Aku tahu tidak sepatutnya aku memberikan sesuatu kepada anggota polis kerana ia boleh dianggap rasuah.
Aku berkeras untuk memberikan wang itu kepadanya, dia juga berkeras tidak mahu menerima. Malas untuk terus dengan drama tolak menolak, aku mengalah.
"Harap saya dapat jumpa awak lagi, tapi bukan waktu awak on duty", kataku sebelum meminta diri untuk masuk ke dalam rumah. Kepala yang terasa semakin berat ini memaksa aku untuk masuk berehat.
"InsyaAllah, cik. Kalau ada jodoh kita jumpa lagi. Assalamualaikum"
Share this novel
updte lg sis..best
updte lg sis..best
updte lg sis..best