Hampir setengah jam aku menunggu di dalam kafe itu, akhirnya kelihatan juga kelibat gadis ini. Aku hela nafas lega. Aku ingatkan dia tidak mahu bertemu denganku tadi. Dia mengukir senyum manis saat menghampiri aku. Keadaan dalam kafe agak lengang, jadi tidak susah untuk dia mencari aku.
"Sorry. Dah lama ke akak tunggu?", tanyanya lantas melabuhkan punggung di kerusi depan aku. Aku hanya senyum dan menggeleng.
"Tak lah, baru 10 minit", balasku. Menu di atas meja dia teliti satu persatu. Setelah pesanan di buat, dia memberikan perhatian kepadaku.
"Ada apa akak nak jumpa Ira ni?", tanyanya lembut dan penuh sopan. Dia memberikan tumpuan pada aku.
Aku memandang raut wajah Shahira. Kulit wajahnya bersih licin, tidak tercela dengan sebiji jerawat pun. Dia hanya mengenakan solekan nipis saja. Kulit kuning langsatnya menyerlahkan lagi keayuan gadis ini. Mungkin sebab itulah mummy suka benar padanya.
"Akak rasa Ira tahu kot kenapa akak nak jumpa Ira", dalihku. Sudah tentu dia sedia maklum tentang perancangan Makngahnya yang mahu menjodohkan dia dengan Faiz. Shahira tersenyum nipis lalu bersandar pada kerusi. Tangan disilangkan. Raut wajahnya tenang. Aku hanya perhatikan gerak gerinya. Tidak kisahkah dia dengan semua itu?
"Pasal Ira dengan Abang Iz?", soalnya pula. Aku dapat menghidu dia sengaja bermain kata. Aku angguk perlahan. "Kalau akak tak setuju, bagitau je dengan Makngah. Habis cerita. Ira bukan nak kacau rumahtangga akak pun"
"Habis tu, kenapa Ira setuju semalam?", pantas aku bertanya. Petang semalam semasa hal ini diutarakan, Shahira langsung tidak membantah. Malah apabila ditanya, dia hanya menurut kehendak ibubapanya.
"Kenapa akak tak bantah?", sinis pula dia bertanya padaku. Aku ketap gigi geram lalu aku menghembus nafas kasar. Sepertinya ini bukan permulaan yang baik untuk aku dengan Shahira.
Faiz pula, sejak pagi tadi langsung tidak bercakap dengan aku. Sepatah aku tanya, sepatah dia jawab. Aku minta izin untuk keluar pun, dia hanya memberi keizinan dengan anggukan kepala. Entah bagaimana pula aku mahu memujuk suamiku itu.
"Ira tahu kan kedudukan akak sebagai menantu? Ira sendiri tahu kan Makngah tu macam mana?". Tenang aku menyoalnya.
Hubungan dingin antara aku dengan mummy bukannya rahsia lagi. Hampir lima tahun aku menjadi menantunya, hampir semua saudaranya mengenali aku. Mummy tidak pernah berpura-pura akan layanannya terhadapku hatta di hadapan saudara maranya.
Jeda.
Tiada sebarang bunyi yang keluar baik dari mulut aku atau pun Shahira sehingga makanan yang kami pesan tadi tiba di meja. Aku mempelawa Shahira untuk makan. Fikiranku serabut ketika ini. Aku dah tak boleh berundur. Aku tetap kena teruskan apa yang sudah dirancang.
"Akak buat semua ni untuk Iz. Bukan untuk sesiapa", suaraku apabila selesai kami menikmati makanan kami tadi. Mungkin kedua-dua kami sedang kelaparan, kami makan tanpa ada sebarang perbualan di antaranya.
"Baguslah. Ira buat semua ni sebab mak dengan abah. Dan juga Makngah", balasnya selamba. Tiada langsung riak bersalahnya padaku. Bukan aku minta dia berasa bersalah kerana bakal merampas suami aku, sekurang-kurangnya tunjukkan perasaan yang dia tidak rela untuk dimadukan.
"Akak cuma nak bagitau pasal kerja Iz. Bila Ira dah kahwin dengan dia nanti, Ira kena banyak bersabar. Dia tidak akan selalu ada dekat sini"
"Ira okay je"
Aku lepas keluhan perlahan. Hilang kata. Aku tahu dia tidak suka untuk berjumpa aku. Dari lenggok bahasa dan gaya badannya cukup menunjukkan yang dia terpaksa bertemuku.
"Kalau tak ada apa-apa lagi, Ira nak minta diri dulu. Ada benda nak kena settlekan untuk majlis tunang tu. Lagipun majlis dua bulan lagi kan? So nak kena terus tempah baju nikah semua. Kejap lagi Ira jumpa Abang Iz. Akak tak kisah kan?"
Aku terkedu. Sejak bila pula Faiz merancang untuk bertemu dengan Shahira? Perasaan cemburu mula menguasai diriku tiba-tiba namun aku kawal. Aku tidak mahu Shahira perasan akan keadaan itu.
Pertemuan kami berakhir di luar kafe. Aku membawa haluanku dan Shahira juga membawa haluannya sendiri.
******************************
"Kak, kalau akak tak boleh buat semua ni, jangan buat. Jangan ikut sangat cakap mummy tu boleh tak?"
Aku pandang gadis di sebelahku ini. Tegang sungguh wajahnya. Aku tahu dia marah aku bersetuju dengan cadangan mummy.
"Akak boleh lah", balasku ringkas dan selamba. Meski dalam hati ketika ini seperti sedang berperang, aku perlu berlagak selamba. Aku perlu tenang hadapi semua ini.
"Mira tak fahamlah dengan akak ni. Percayalah, mummy takkan berubah", bisik Amira. Aku hanya mendengar tanpa sebarang reaksi. Memang gadis ini lebih arif tentang ibunya tapi aku juga mesti berusaha untuk mengubahnya.
"Mira memang takkan faham. Ini hal akak dengan mummy", bidasku. Terkadang sakit hati juga dengan semua orang dalam keluarga Faiz ni. Dari mak sampai ke anak, semuanya keras kepala. Amira berpeluk tubuh dan hanya membatu di sebelahku.
"Jadi setujulah ni ye. Majlis kita adakan tiga bulan dari sekarang", suara Paklong, ayah Shahira. Semua wakil dari pihak perempuan dan lelaki angguk setuju. Aku turut angguk setuju. Bukanlah setuju sangat, tapi sudah itu yang akan terjadi. Aku terima sajalah.
"Kalau macam tu, dah bolehlah sarung cincin. Minta wakil pihak lelaki sarungkan cincin", suara wakil dari pihak perempuan. Semua mata terarah kepadaku. Aku tergamam. Kenapa semua pandang aku?
Mummy mendekatkan badannya denganku dan berbisik, "You sarung cincin merisik, I sarung cincin tunang".
Aku angguk tanda faham. Segera aku bangun dan menuju ke mini pelamin. Shahira lengkap berbaju kurung moden rona biru laut dengan kemasan manik di hujung lengan serta bajunya. Diserikan dengan fingertip veil rona putih disangkut pada sanggulnya.
Tubuhku rasa menggigil, tanganku terasa sejuk bagai tiada darah yang mengalir. Dada aku berdegup kencang saat aku mula menghampiri mini pelamin itu. Semua mata tetamu yang memenuhi ruangan itu tertumpu kepadaku. Aku hela nafas dalam lalu kuhembuskan perlahan. Memohon agar diberikan aku kekuatan. Dari ekor mata, aku perasan beberapa tetamu berbisik sesama sendiri sambil menunjuk-nunjuk ke arahku.
Aku melabuhkan punggung dekat kerusi ottoman yang berada di atas pelamin. Amira menghulurkan dulang hantaran berisi sebentuk cincin emas belah rotan kepadaku. Jelas ketara tangan aku yang menggigil cuba mengambil cincin itu.
"Cool kak. Sekejap je ni", ujar Amira memberikan semangat. Aku megukir senyum lalu cincin itu aku bawa ke jari Shahira yang sedari tadi hanya menanti dengan senyuman yang tidak lekang dari bibirnya.
Aku mencapai tangan kiri Shahira lalu aku sarungkan cincin itu ke jari manisnya. Tenang saja aku lihat wajah gadis ini. Gembirakah dia dengan pertunangan ini?
"Terima kasih, kak sebab sudi jadikan Ira madu akak"
Zup! Hatiku begitu terkesan dengan kata-kata itu. Aku hanya kaku tidak berkata apa. Shahira menyalamiku dan kami berlaga pipi kiri dan kanan. Berpuluh gambar diambil, namun aku seperti berada di awangan.
Adakah aku sedang bermimpi meminangkan seorang bidadari lain untuk suamiku? Tolong sedarkan aku jika aku sedang bermimpi!
Aku tersedar apabila bahuku dicuit lembut. Aku kalih pandangan kepada yang mencuit tadi. Amira memberikan isyarat mata supaya aku beredar dari pelamin. Dengan langkah yang berat, aku membawa diri jauh dari pelamin itu. Tumpuannya kini hanya pada Shahira.
Perjalanan pulang ini aku rasakan memakan masa yang terlalu lama. Mujur aku hanya berdua di dalam kereta ini bersama Amira. Aku meminta dia memandu keretaku untuk pulang ke Subang Jaya. Kepalaku menjadi berat. Aku ingin lelapkan mata seketika. Amira seolah faham akan keadaanku kini.
"Bodoh ke akak ni, Mira?", tanyaku memecah kesunyian ketika itu. Amira toleh memandang aku sekilas sebelum kembali memberikan tumpuan kepada pemanduannya.
Jeda.
Aku tahu Amira tiada jawapan untuk itu. Atau mungkin saja dia malas untuk menjawab soalanku ini.
"Mummy happy, semua orang happy tapi Iz marahkan akak. Salah ke apa yang akak buat ni?", tanyaku lagi. Ingin aku luahkan semua yang terpendam dalam hati aku beberapa minggu ini. Pergaduhan aku dengan Faiz sehingga kini terkesan di dalam hati aku. Pertama kalinya Faiz meninggi suara dengan aku dalam tempoh lima tahun kami berkahwin.
"Akak lebih kenal suami akak. Dia marah bersebab. Dan akak tahu apa sebabnya", balas Amira setelah lama dia mendiamkan diri.
"Mira sendiri tak setuju dengan apa yang akak buat, apatah lagi abang", sambungnya lagi.
Aku hanya diam. Aku akui semua ini salah aku. Aku pertaruhkan sesuatu yang aku sendiri tidak pasti bagaimana akhirnya nanti. Aku pertaruhkan hati dan perasaan Faiz. Mungkin betul kata Faiz, aku tidak hormatkan dia sebagai suami apabila aku bersetuju dengan cadangan mummy.
Tapi semua ini dah terlambat. Seorang gadis sudah dipinang untuk suamiku. Aku sudah tidak boleh berpatah balik. Semua ini harus diteruskan. Aku pejam mata sambil membiarkan titis-titis jernih mengalir dari mataku.
Tenanglah wahai hati. Akan ada sinar baru untukmu nanti.
Share this novel