{ 01 }

Romance Series 23059

SEHELAI demi sehelai baju suami aku lipat dan masukkan ke dalam bagasi baju. Seperti inilah selalunya setiap kali dia akan pergi meninggalkan aku demi tuntutan kerja.

Dan setiap kali itu, hati aku akan berasa sayu. Iyalah, aku akan ditinggalkan berbulan lamanya. Dan selalunya, lebih dari dua bulan.

Kali ini suami aku pergi lagi selepas kami menyambut ulangtahun perkahwinan yang ke empat tahun. Jika diikutkan, inilah kali pertama kami menyambut ulangtahun perkahwinan bersama. Tiga tahun sebelumnya, hanya ucapan melalui WhatsApp. Jika bernasib baik, dapatlah menatap wajahnya dengan panggilan video.

Di awal perkahwinan lagi, aku sudah ditinggalkan selepas sebulan kami menikah. Tiada bulan madu langsung. Dua bulan selepas itu, dia pulang bercuti selama seminggu dan kemudian kembali ke tempat kerjanya semula.

Jujur aku katakan, tahun pertama saja bermacam perasaan yang wujud dalam sanubariku. Rasa rindu usah dikata. Terlalu berat untuk ditanggung. Kadang-kadang ada juga rasa curiga dan kurang percaya terhadapnya lebih-lebih lagi jika dua tiga hari dia tidak menghubungiku.

Namun lama-kelamaan semua itu menjadi lali. Aku jadi terbiasa. Dan aku percaya, suami aku setia orangnya. Aku saja yang selalu berfikiran negatif terhadapnya.

"Dah habis kemas?"

Soalan itu mematikan lamunan aku. Jauh juga aku mengelamun selepas habis mengemas bagasi suamiku ini.

Aku mengukir senyum manis tatkala melihat susuk tubuh suamiku yang hanya bertuala keluar dari bilik mandi dalam bilik tidur kami. Dengan rambutnya yang masih basah, dada yang tegap walaupun perut sedikit buncit cukup membuatkan aku terpana dan tergoda.

"Dah, sayang". Ringkas jawapanku. Aku bangun dari katil selepas menutup bagasi baju suamiku. Lantas, aku mengorak langkah ke arahnya yang sedang memilih baju untuk dipakai.

"I'm gonna miss you...", kataku seakan berbisik lalu merangkul erat pinggang suamiku dari belakang. Aku dengar dia ketawa kecil. Tapi aku tidak pedulikan. Pipi aku melekap di belakangnya. Terasa berat untuk aku lepaskan dia pergi kali ini.

Badanku dipaling mengadapnya. Suami aku tersenyum memandang aku lalu satu ciuman singgah di dahiku. Sangat lembut. Aku jadi terbuai dengan ciuman itu. Tangannya kemudian dilekapkan ke pipi kiri dan kanan aku dan dia mengangkat sedikit wajah aku. Mata kami bertentang.

Ah, sayang! Jangan buat I cair dengan you untuk kesekian kali, please...

"I'm gonna miss you more, baby", ucap Faiz, suami yang menikahi aku empat tahun lalu. Aku tersipu malu mendengar ucapannya itu. Lantas, bibirnya bertemu bibirku. Dipagutnya lembut bibir aku. Lama. Aku mula berasa asyik dengan sentuhannya. Tangan aku mula merayap di dadanya yang sedikit berbulu. Sengaja aku mainkan jemariku pada dadanya yang berbulu itu.

"Let's make it, baby", bisik Faiz perlahan apabila bibir kami terlerai. Badanku dicempung lalu dibawa ke katil. Nasib baiklah dia masih larat nak angkat aku walaupun aku rasa berat badan aku naik mendadak dengan selera makan yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.
"You makin berat lah, baby", kata Faiz sambil ketawa. Aku muncungkan mulut tanda merajuk.

Tawa Faiz makin kuat melihat aku merajuk. Badan aku diletakkan perlahan atas katil. Dengan sebelah tangannya di leher aku, sebelah tangan sudah berada di perutku. Diusapnya perlahan membuatkan aku menggeliat kegelian. Satu ciuman singgah di dahi aku.

"You berat pun, I still sayang. Sampai bila-bila", ucap Faiz. Aku tersenyum bahagia. Tanpa kata, aku lantas memagut bibirnya. Aku mahu hari ini menjadi satu lagi memori terindah kami. Aku akan selalu rindukan sentuhan Faiz. Dua bulan dia pergi, selalunya hanya seminggu dia pulang. Paling lama, dua minggu kemudian pergi lagi. Empat tahun begitu, aku sudah terbiasa.

"Sayang... nak baby", bisik aku perlahan dan menggoda. Lebar senyuman Faiz mendengar bisikan aku tadi. Aku tidak pernah minta begitu pada Faiz. Aku tidak bersedia untuk besarkan anak berseorangan tanpa suami di sisi. Tapi kali ini, aku mahukannya. Buat peneman aku jika Faiz tiada. Sementelah lagi dengan umur kami yang semakin meningkat.

"As you wish, baby", bisik Faiz menggoda.

*******************************

DUA BULAN yang aku rasakan begitu lama. Entah kenapa kali ini aku rasa dua bulan Faiz pergi terlalu lama. Sedangkan sebelum ini ada saja dia tidak pulang seperti yang dijanjikan kerana kelewatan projek disiapkan. Tetapi kali ini, aku rasa dua bulan ini seperti dua tahun.

Ting!

Bunyi mesej masuk mematikan lamunan aku. Sudah setengah hari bekerja, aku masih tidak berbuat apa-apa. Nasib baik juga tiada kerja yang urgent untuk diselesaikan. Aku tersenyum lebar apabila skrin telefon ditatap. Mesej dari Faiz. Inilah yang aku nantikan setiap hari. Dapat berbalas mesej dengannya walau sekejap pun jadilah.

Faiz: Project delay another few weeks. I'm sorry, baby. Tak dapat balik next week.

Aku berasa sedih. Sepatutnya minggu depan tamat dua bulan itu. Aku mula sumpah seranah majikan suamiku dalam hati. Aku sudah tahu, jika projek ditangguhkan, ada saja masalah dari syarikat mahupun client. Kadang-kadang kerana alatan atau mesin rosak yang membuatkan mereka terpaksa memberhentikan kerja buat sementara waktu. Jika begitu, memang Faiz ada ke darat tapi setakat di kawasan berdekatan. Dia di Miri, tak mungkin dia akan terbang balik ke Kuala Lumpur dalam mode standby. Selalunya mereka hanya dibenarkan berada di kawasan berdekatan untuk memudahkan naik semula ke kapal.

Jemariku pantas menaip setiap huruf membentuk satu ayat, "Tak apalah sayang. Nak buat macam mana. Kerja kan?"

Sumpah seranah tadi sudah tentu aku simpan dalam hati. Tidak mungkin aku mengutuk majikan Faiz di depannya. Itu tempat dia mencari rezeki. Walaupun ada kalanya dia sendiri luahkan rasa tidak puas hati terhadap majikannya padaku.

Faiz: But I miss you, baby

Aku hanya tersenyum nipis membaca balasan mesej Faiz. Tidak tahu sebanyak mana rindu dia pada aku, tapi aku memang terlalu rindukan Faiz. Sejak akhir-akhir ini juga aku tidak tahu kenapa perasaan rindu itu semakin menebal. Padahal bukan baru kali ini Faiz pergi tinggalkan aku berbulan lamanya. 

Selalunya rindu tu akan hilang apabila kami berbalas mesej. Bercerita tentang kerja, mengadu hal remeh temeh, bergurau mesra dan melepaskan nafsu yang lama terpendam.

Aku hanya membalas, "Balik cepat okay?"

Entah kenapa aku menangis selepas mesej itu dihantar. Aku perlukan Faiz ketika ini atas sebab yang aku sendiri tidak tahu. Aku mahu dia ada depan mata aku. Aku rindu untuk tidur berbantalkan lengannya. Aku rindu untuk hidu bau badannya.

Ah, aku rindu semua tentang suamiku sendiri.

Ingin aku luahkan semuanya pada Faiz, tapi aku tak mahu menyukarkan keadaan. Aku tahu setiap hari dia di sana, dia selalu fikirkan aku. Tentang kesihatan aku, keselamatan aku dan semua perasaan aku.

Jangan aku kata yang aku rindukan dia, mulalah nanti dia tidak senang hati untuk bekerja. Aku tak mahu perasaan itu mengganggu tumpuannya.

Faiz: Okay, baby. Wait for me. Love you!

Bunyi notifikasi itu mematikan lamunan aku. Jauh sungguh aku mengelamun sambil menunggu dia membalas mesejku tadi. Tersenyum aku membaca mesej terakhirnya. Seperti biasa, sayang tak pernah tinggal.

Itulah suamiku, Faiz Amsyar.

Share this novel

mama aina
2021-10-26 17:54:56 

good


NovelPlus Premium

The best ads free experience