Hari ini masuk hari kedua aku tidak bekerja minggu ini. Morning sickness yang aku alami semakin teruk. Setiap kali bangun tidur, kepala aku rasa terlalu berat. Pagi tadi, hampir saja aku rebah apabila ingin turun dari katil. Nasib aku masih dapat mengimbangi badan dan duduk kembali di sisi katil.
Entah mengapa apabila aku buka mata saja terasa kepala aku sakit berdenyut-denyut. Ya Tuhan, beginikah ujian yang perlu dilalui setiap ibu mengandung? Memang patutlah syurga di bawah telapak kaki ibu. Terlalu besar pengorbanan seorang ibu ini rupanya. Dari saat benih baru bercambah sehingga sudah membuahkan hasil. Yang aku pelik, usia kandungan aku sudah masuk minggu ke 13 baru aku alami morning sickness.
Itu belum masuk waktu melahirkan nanti. Aku selalu juga mendengar rakan sepejabat berbual mengenai pengalaman bersalin, baik secara normal atau caesar. Aku yang dengar pun terasa ngilu dan ngeri, apatah lagi yang mengalaminya. Dan tidak lama lagi, aku turut merasai pengalaman itu.
Ketukan di pintu mematikan lamunan aku. Aku lantunkan suara sedikit kuat meminta tetamu itu masuk.
"Akak okay?", tanya Amira di sebalik pintu. Aku memanggilnya dengan isyarat tangan meminta dia masuk mendekatiku. Sudah seminggu Amira menemani aku sejak Faiz kembali bekerja di tengah laut.
"Akak nak minta tolong boleh?"
Amira tersenyum lalu membalas, "Memang Mira dekat sini untuk tolong akak"
"Nanti petang Mira balik kerja, kita pergi KL boleh?", tanyaku. Berkerut dahi Amira mendengar permintaanku.
"Nak buat apa kak?", tanyanya ingin tahu. Iyalah, mesti dia pelik dengan permintaan aku ini. Untuk apa ke ibu kota pada waktu petang yang tengah sesak tu?
"Akak teringin nak makan Sugarbun. Branch yang dekat Ara Damansara tu dah tutup. Yang ada dekat Jalan P. Ramlee je", jawabku lancar. Entah kenapa dari malam tadi aku teringin sangat nak makan Saucy Kano Chicken Meal dekat Sugarbun. Terasa di tekak aku kesedapan makanan itu.
"Hari ni Mira balik awal kan?", tanyaku lagi. Amira angguk, menjawab soalan aku tadi.
Aku sudah faham dengan sistem penggiliran kerja Amira. Mereka boleh masuk jam 7 pagi dan pulang jam 4 petang atau masuk kerja jam 8 pagi dan pulang jam 5 petang. Bagus juga apabila jabatan kerajaan buat sistem penggiliran begini, sekurang-kurangnya sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesesakan untuk masuk ke Putrajaya pada waktu pagi.
Aku sudah berkira-kira. Jika Amira pulang jam 4 petang, sempat kami ke Menara Hap Seng, Jalan P. Ramlee sebelum restoran itu tutup pada jam 8 malam. Kalau tak dapat makan di sana, aku boleh bungkus bawa balik. Cukuplah. Sekadar lepaskan rasa teringinku ini.
"Okay, kak. Nanti Mira dah on the way balik, Mira text akak", balas Amira. Aku tersenyum lebar. Dapat juga lepaskan teringin aku hari ini.
"Thank, Mira", ucapku. Amira hanya angguk dan berlalu pergi meninggalkan aku untuk ke tempat kerja. Aku kembali merebahkan badan dalam selimut. Selimut aku tarik separas dada. Tidak sedar entah bila aku lena dibuai mimpi.
*****************************************
Hujan lebat menemani perjalanan kami ke ibu kota Kuala Lumpur. Demi Sugarbun yang aku idamkan, sanggup Amira meredah hujan yang lebat ini untuk memenuhi keinginan aku. Tidak sangka pula hujan turun dengan lebat sebaik saja kereta yang dipandu Amira memasuki lebuhraya MEX.
"Sorry Mira. Tak sangka pula hujan petang ni", suaraku setelah keadaan lama sepi. Sejak kereta bergerak dari rumah tadi, perjalanan kami hanya ditemani lagu-lagu di radio. Aku ralit dengan telefonku untuk memberitahu Faiz tentang kepergian aku ke Kuala Lumpur, Amira pula fokus dengan pemanduannya.
"Eh, tak ada apalah kak. Small matter. Lagipun Mira nak rasa jugak Sugarbun yang akak gila-gilakan tu", balas Amira dengan tawa di hujung kata. Aku turut ketawa mendengar balasan katanya.
Kotak memoriku mengimbas kali pertama aku mengenali restoran makanan segera yang datangnya dari negeri di Kepulauan Borneo ini. Ketika itu aku sengaja ke Miri untuk menemui Faiz yang kebetulan turun ke darat selama seminggu tetapi tidak boleh keluar dari Miri kerana dia dalam mode standby. Bila-bila masa saja akan dipanggil semula untuk naik ke atas kapal.
Aku pula pada waktu itu memang tengah bercuti kerana menghabiskan cuti tahunan yang banyak. Sebaik aku dapat tahu Faiz berada di Miri, aku terus menyatakan hasrat untuk ke sana menemuinya. Rindu dengan suamiku. Dapat berjumpa dia sekejap pun jadilah, janji rindu dapat dilepaskan. Hari itu juga aku ambil penerbangan terakhir ke Miri. One-way ticket. Kerana aku tidak rancang lagi perjalanan pulang ke Semenanjung.
Hari pertama di Miri, kami hanya menghabiskan masa di dalam bilik hotel. Almaklumlah, jarang jumpa. Masa macam inilah kami gunakan sebaiknya untuk melepaskan segala yang sudah lama terpendam. Hari kedua, aku mula bosan terperuk dalam bilik, aku ajak Faiz berjalan di sekitar bandar Miri. Dengan kereta yang dipinjamkan rakan sekerjanya yang juga warga tempatan, Faiz membawa aku berjalan di sekitar bandar Miri.
Petang itu, perjalanan kami berakhir di sebuah mall. Kami ambil keputusan untuk makan malam dalam mall dan ketika itulah Faiz cadangkan Sugarbun.
"Kenyang ke sayang? Makan roti je", soalku apabila Faiz cadangkan tempat itu. Faiz ketawa terbahak-bahak mendengar soalan naif aku. Iyalah, aku ni kuat makan. Faiz tahu itu. Tapi diajaknya aku makan roti. Mana kenyang!
"Ni bukan kedai rotilah, baby"
"Habis tu? Nama Sugarbun. Bun tu bukan roti?"
Tawa Faiz semakin kuat. Aku memuncungkan bibir tanda merajuk. Suka benar dia ketawakan aku jika aku berfikiran naif begitu.
"Just wait and see", balas Faiz sambil mencuit hidung aku. Hidung kukerutkan setelah jarinya berlalu pergi dari hidungku.
Tanggapan pertama aku, wow! Aku tak sangka ada restoran kategori makanan segera yang macam ni. Disebabkan aku lapar, jadi aku pesan set nasi dengan ayam. Sedap! Dan sehingga kini, aku selalu inginkan Sugarbun. Mujur ada cawangan yang dibuka di Semenanjung, jika tidak jenuhlah aku nak kena terbang ke Sarawak semata-mata untuk Sugarbun.
"Kita parking dekat basement lah, Mira. At least tak basah kena hujan", cadangku saat bangunan Menara Hap Seng mula kelihatan. Amira hanya angguk. Aku kerling jam di pergelangan tangan kiriku. Jarum pendek sudah menginjak ke angka enam. Hampir dua jam juga perjalanan dari Cyberjaya hanya kerana hujan lebat.
Aku teruja. Semakin dekat dengan restoran ini, semakin terasa di tekak aku akan kesedapannya. Aku menelan liur beberapa kali. Aku sudah tidak sabar. Langkah aku lajukan menuju ke restoran itu. Terkedek-kedek Amira mengejar langkahku.
*********
Aku tersandar kekenyangan pada kerusi. Perutku yang penuh kuusap berkali-kali. Lepas sudah rasa teringin aku pada Sugarbun. Air Ice Lemon Tea dalam cawan kertas aku sedut hingga habis. Amira sudah lama habis makan. Dia hanya memerhatikan aku makan sedari tadi.
"Puas ke kak?", tanya Amira dengan senyuman meleret. Mesti dia perasaan raut kepuasan yang terpancar di wajahku ketika ini. Aku angguk laju. Puas sangat!
"Nanti kita turun bawah sekejap boleh? Mira nak pergi Starbucks", katanya.
Aku perasan juga ada Starbucks di ground floor tadi ketika kami mahu naik ke tingkat satu ini. Mesti Amira mahu beli minuman kegemarannya itu. Selalu juga kami melepak di Starbucks selepas balik kerja hinggakan aku sudah hafal minuman kesukaannya.
"Jomlah. Hujan pun dah reda sikit tu. Restoran ni pun dah nak tutup", ajakku. Kelihatan beberapa orang pekerja sudah mula mengemas ruangan makan di dalam restoran ini. Jam sudah menunjukkan pukul 7.45 malam. Elok jugalah jika kami beransur pulang.
Aku dan Amira beriringan menuju ke tingkat bawah. Rancak kami berbual. Perut sudah kenyang, banyak pula yang kami bualkan sepanjang kaki melangkah ke Starbucks.
Kami terpaksa masuk mengikut pintu yang berada di luar kerana pintu dari dalam bangunan ditutup. Untuk ke pintu itu, kami perlu melalui kaki lima bangunan. Lantai yang licin akibat percikan air hujan melambatkan langkahku. Aku perlu berhati-hati, takut tergelincir. Amira sudah mendahului langkahku menuju ke dalam Starbucks.
Tiba-tiba aku terasa bahuku direntap dari belakang. Akibat terkejut dengan badan yang terdorong ke depan, aku hilang pertimbangan lalu terjatuh.
"Ahhhhh!!", aku menjerit kuat saat punggungku mencecah lantai. Aku tidak sedar apa yang berlaku. Bahagian abdomenku pula terasa sakit bagai dicucuk-cucuk dengan pisau. Pedih!
"Akak!"
Sayup aku dengar jeritan suara halus itu. Mataku mula berbalam. Jantungku berdegup kencang. Aku tidak pasti apa yang berlaku ketika ini.
"Cik, cik. Cik okay ke tak ni?"
"Ya Allah, kak!"
Keadaan menjadi semakin kabur. Aku tidak pasti berapa ramai yang mengerumuni aku ketika ini. Sesaat selepas itu, dunia aku rasa gelap gelita.
Share this novel