{ 12 }

Romance Series 23059

BEBERAPA pasang baju aku masukkan ke dalam bagasi baju. Barang mandian dan ubat-ubatan tidak terkecuali. Kalau boleh, semua aku ingin sumbatkan ke dalam bagasi bajuku ini. Setelah berpuas hati dengan semua itu, aku menutup bagasi itu lalu aku letakkan dekat sisi katil.

Keluhan berat aku lepaskan. Kepalaku masih terasa pening, badanku terasa sakit. Sebentar tadi aku terjaga di sofa ruang tamu dengan jiran sebelah rumah yang cemas memerhatikan aku. Aku menjadi keliru. Katanya, dia nampak aku pengsan dekat garaj tadi. Dia yang ketika itu mahu keluar bersama suaminya terus mendapatkan aku.

Aku teringat kejadian pagi tadi. Selepas Faiz pergi meninggalkan aku, pandangan mataku terus menjadi kabur dan selepas itu aku tidak pasti apa yang terjadi. Jiran sebelah rumah yang aku panggil Kak Zi sempat memanggil jiran depan rumah aku, seorang doktor untuk memeriksa keadaan aku.

Menurut Dr. Lawrence, tekanan darah aku agak tinggi dan ada tanda dehidrasi. Aku dinasihatkan untuk banyakkan berehat. Muka aku nampak pucat dan lemah. Dr. Lawrence memberikan beberapa jenis ubat untuk makan.

Beberapa jam sebelumnya...

"Nak akak call kan Faiz?", tanya Kak Zi sebaik Dr. Lawrence pulang ke rumahnya. Aku hanya menggeleng. Kenapa mesti diganggu suamiku itu? Sudah pasti ketika ini dia sedang berdebar menanti masa untuk dinikahkan.

"Betul ni?", tanya Kak Zi lagi inginkan kepastian. Aku angguk pula.
"Tak apa, kak. Faiz pergi Banting, tak tahu bila dia balik. Saya nak berehat je dulu", balasku perlahan. Kepalaku masih terasa sakit ketika itu.

"Okaylah kalau macam tu. Kalau ada apa-apa panggil akak ye", pesannya dan meminta diri untuk pulang.

"Terima kasih, kak", ucapku ketika dia sudah tiba di ambang pintu. Kak Zi tersenyum dan angguk. Sebelum pergi, sempat dia berpesan padaku.
"Dalam rumahtangga ni, memang banyak dugaannya, Nisa. Akak tak tahu apa dah jadi tadi tapi akak tahu ada sesuatu yang tak baik berlaku. Nisa kena banyak bersabar dan kuat semangat"

Aku hanya diam. Sudah tentu Kak Zi nampak drama aku dengan Faiz tadi. Wanita ini terlebih dulu makan garam dari aku. Sekali pandang, dia tahu apa yang berlaku. Cuma yang dia tidak tahu hanyalah masalah yang sebenarnya.

"Terima kasih, kak. Nisa akan ingat tu", balasku. Kak Zi memeluk aku seolah menyalurkan semangatnya padaku. Hampir saja aku mengalirkan air mata sekali lagi tapi aku tahan. Aku teringatkan Mak Yah tiba-tiba. Rindu aku pada wanita itu. Wanita yang selalu menenangkan hati gundahku. Dialah tempat aku mengadu.

Aku nak balik kampung!

*****************

Telefon bimbit yang aku letak atas meja solek tadi dicapai lalu aplikasi WhatsApp dibuka. Aku mencari chat aku dengan Faiz seraya jemariku pantas menaip sesuatu.

'Salam sayang. Tahniah. Jadi suami yang baik untuk Ira. I love you always.'

Aku renung mesej yang aku taip itu. Jariku teragak-agak untuk menghantar mesej itu. Lama aku merenung setiap patah kata itu.

Kepala aku gelengkan beberapa kali. No! Aku tak boleh hantar mesej macam ni. Jemariku pantas memadam mesej itu dan menaip mesej yang baru.

'Salam sayang. I minta izin nak balik Taiping beberapa hari'

Hantar! Kali ini tidak teragak-agak.

Aku renung mesej yang sudah dihantar itu. Bluetick! Aku ukir senyum saat melihat Faiz sedang menaip sesuatu.

'Go ahead. I pun takkan balik sana for few months'

Aku lepas keluh berat. Dari mesejnya aku tahu dia masih marahkan aku. Aku setia menanti mesej dia yang seterusnya apabila melihat dia sedang menaip.

'I will go to Maldives with Ira'

Aku hela nafas dalam apabila membaca mesej itu. Faiz akan ke Maldives bersama Shahira untuk berbulan madu. Itulah tempat bulan madu yang aku inginkan lima tahun dulu.

Sampai hati you, Faiz!

'After that, I akan sambung kerja. Just get ready for not seeing me for another few months. Balik nanti, busy lagi nak buat anak dengan Ira. Dekat Maldives nanti mesti tak sempat nak buat sebab Ira kata dia tengah period right now. So you jangan berharap I akan balik Cyber tau'

Air mataku bergenang di kelopak mata membaca mesej terakhir Faiz. Dalam setiap bait ayatnya, begitu sinis dan memedihkan. Aku terduduk pada kerusi di meja solek. Hatiku pedih dan sakit bagai ditikam dengan belati tajam. Entah untuk kali ke berapa air mata aku mengalir hanya kerana lelaki itu.

****************************************************************

Aku tidak fokus dengan pemanduan. Perjalanan yang sepatutnya hanya mengambil masa selama 3 jam menjadi hampir 5 jam kerana aku kerap berhenti di kawasan rehat.

Keadaan diri aku langsung tidak mahu berikan kerjasama. Air mata asyik mengalir sedari aku mula memandu meninggalkan rumah selepas Asar tadi. Aku asyik terkenangkan ayat-ayat Faiz tadi.

Saat kereta memasuki perkarangan rumah kampung dua tingkat ini, kelibat Pak Tam dan Mak Yah sudah kelihatan di tangga rumah. Seperti biasa, jika aku pulang ke kampung, aku akan memberitahu mereka berdua sebaik saja aku tiba di pekan.

Pak Tam sudah menuruni anak tangga rumah sebaik kereta yang kupandu berhenti di depan tangga. Mak Yah menyusul kemudian. Wajahnya sugul, seakan mengerti akan kesedihan aku ketika ini.

Aku menyalami tangan tua Pak Tam lalu menciumnya. Tangan inilah yang membesarkan aku. Tangan ini yang bekerja keras membanting tulang demi menyekolahkan aku. Tidak pernah kurang kasih sayangnya pada aku meski pasangan ini punya anak sendiri.

Aku terasa sebelah tangan Pak Tam yang aku panggil abah ini mengusap lembut rambutku. Hati bapa mana yang tidak sedih melihat anaknya begini.

Aku angkat muka memandang Pak Tam. Segaris senyuman terukir di bibirnya. Wajahnya nampak bengis tetapi hatinya baik.

"Abah ambilkan beg. Nisa masuk rumah dulu"

Aku hanya mengangguk lalu langkah aku atur menuju ke arah Mak Yah yang sedari tadi berdiri di anak tangga terakhir. Melihatkan wajah redupnya, aku menjadi sayu kembali.

Aku terus menerpa dan memeluk erat tubuh wanita lewat 50-an ini. Raungku kembali. Memenuhi ruang depan rumah. Mak Yah mengusap perlahan belakangku untuk menenangkan hatiku yang hiba.

"Iz dah kahwin, mak. Iz dah kahwin lain", bisikku dalam sendu. Air mata sudah tidak mampu aku tahan lagi. Pada bahu wanita ini, aku luahkan segala yang aku pendam.

Bukan hanya kerana Faiz menikahi gadis lain, tetapi kerana semua beban dan derita yang aku tanggung selama aku menjadi isterinya.

"Semua ni salah Nisa, mak. Nisa bodoh. Nisa ikutkan perasaan. Nisa tak rela pun bermadu"

Aku mula menyalahkan diri sendiri. Ya, memang aku menyesal mengikut segala kemahuan ibu mertuaku. Aku sangka aku mampu hadapi semua ini, namun ternyata aku salah. Aku tidak kuat. Hati aku rapuh.

"Shhh... mengucap Nisa. Jangan salahkan diri sendiri, nak"

Lembut tutur katanya memujukku. Suara ini yang aku selalu nanti untuk memujukku selain dari Faiz. Aku tenang mendengar suaranya.

"Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Ini dugaan bagi Nisa. Allah tak akan uji hambaNya diluar kemampuan hambaNya itu"

Esakanku mula berkurangan. Ada betulnya kata Mak Yah. Tapi ketika ini aku rasakan aku sudah tidak mampu untuk menanggung beban beratnya ujian ini.

Aku meleraikan pelukan seraya air mata aku usap dengan belakang tangan. Bahuku sedikit terenjut menahan sendu.

"Mak yakin Nisa kuat. Banyakkan berdoa. InsyaAllah, hati Nisa akan tenang", pujuk Mak Yah. Aku hanya angguk persis budak kecil yang termakan dengan pujukan.

Mak Yah memimpin tangan aku untuk naik ke atas rumah. Aku mahu berada di kampung selamanya. Tempat ini saja yang mampu memberikan ketenangan untuk aku ketika ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience