Pertanyaan Maya itu tidak disambut oleh Iskandar. Jadi memang benar
dengan apa yang disangkakan. Dulu semasa dia baru berkahwin dengan
Iskandar, ibu mertuanya benar-benar menyayanginya. Namun sejak
akhir-akhir ini dia bagaikan terpinggir. Pada mulanya dia cuba untuk
menepis sebarang buruk sangka terhadap ibu mertuanya. Kini, segalanya
sudah terjawab. Iskandar memandang sayu kepada Maya. Betapa dia
tersentuh dengan reaksi Maya itu. Rasa kasihan mula menjalar hati lelakinya.
“Maya…”
“Maya tahu semua ni salah Maya, kan. Sebab Maya tak mampu berikan cucu
untuk mama.” Kata-kata Maya itu mula menjerut tangkai hati Iskandar.
“Mungkin Allah nak menguji kesabaran insannya, Maya. Allah menjadikan
sesuatu itu dengan bersebab.” Senyuman nipis dilemparkan oleh Maya.
“Dan Allah juga memberikan jalan, bang.” Sesak nafas Maya bila dia
mengungkapkan kata-kata itu.
“Dan Allah juga menyuruh umatnya berusaha. Abang belum habis berusaha,
Maya. Abang belum nak angkat bendera putih lagi. Abang yakin kalau Maya
bersama-sama dengan abang, kita boleh laluinya bersama.” Betapa Maya
terharu dengan kata-kata Iskandar itu.
“Abang jangan lupa yang syurga terletak di bawah kaki ibu. Maya tak nak
menjadi penghalang kepada hubungan abang dengan mama dan Maya tak nak
abang jadi anak yang derhaka.”
“Habis Maya nak abang ikut cakap mama? Maya rela kalau abang kahwin
lain?” Pantas kepala Maya menggeleng. Ah, dia di dalam delima kini.
“Cukup jawapan yang Maya berikan pada abang. Abang dah kata, selagi
abang belum menyerah kalah abang akan sentiasa bersama-sama dengan Maya.”
Maya memandang kepada anak mata Iskandar. Ah, apakah benar apa yang
dikatakan oleh suaminya itu? Dia buntu.
Semalaman Maya tidur bertemankan air mata. Betapa sedih dengan apa yang
telah dilaluinya kini. Namun dia perlu pasrah sekiranya dia menyintai
lelaki itu. Maya bangkit dari tidur dengan kesan bengkak di mata. Dia
kemudiannya mandi untuk menyegarkan badan dengan fikiran yang masih lagi
melayang. Dia tidak mahu apakah yang bakal terjadi nanti.
Maya memandang di segenap penjuru bilik bila melihatkan Iskandar sudah
tiada di atas katil. Pulak dah, ke mana pulak dia pergi ni?
“Maya!” Maya berpusing. Eh, itu suara suami aku!
“Kenapa bang? Tikus nak beranak ke?” Sempat juga Maya berseloroh.
“Kalau tikus beranak abang gerenti buat kenduri kesyukuran.” Tawa
Iskandar. Kemudiannya dia memandang kepada raut wajah Maya yang tidak
bermaya itu.
“ Maya menangis?” Pertanyaan Iskandar itu membuatkan lidah Maya menjadi
kelu.
“Mana ada. Abang ni ada-ada je.”
“Jangan nak tipu abanglah sayang. Abang tahu.”
Maya diam.
“Abang baru je telefon ayah nak minta izin beri cuti pada Maya.”
“Hah?”
“Cuti untuk Maya. Abang dah applykan cuti sayang untuk seminggu.”
“Seminggu? Abang ni biar betul. mana ayah nak setuju.”
“Dah, dia dah approvedkan cuti Maya.” Iskandar mengangkat kening.
“Macam mana….”
“Luahan lelaki ke lelaki. Dah, jangan banyak cerita. Kemas barang semua.
Ala… kita pergi cuti dekat-dekat je. Dah lah…. Tak payah nak fikirkan
apa-apa lagi pasal mama tu. Yang penting, kita enjoy.”
“Kita nak pergi mana bang?”
“Ala… ikut jelah. Yang pasti bukan bulan dan bintang. Sebab yang itu
abang tak mampu nak taja.” Maya ketawa.
Share this novel