Dania terdiam.
“Aku tak kira. Kau kena ceraikan isteri kau.”
“Tidak! Aku tak akan.”
“Sekarang, awak pilih. Aku atau dia?”
“Aku tetap akan pilih dia. Jadi? Kau nak buat apa?”
“Biar aku sahaja yang fikir macam mana nak selesaikan masalah ni. Kau
jangan menyesal!” Dania meninggalkan Iskandar dengan keadaan
terpinga-pinga. Sakit hatinya bila dia mendengarkan apa yang melucur
dari bibir Dania.
Balik dari pertemuan dengan Dania, Iskandar pulang dengan wajah yang
muram. Kata-kata Dania supaya menceraikan Maya masih lagi
terngiang-ngiang di telinga.
“Abang,” Iskandar memandang kepada Maya.
“Abang okey tak ni?” Iskandar tersenyum kelat. Kalaulah Maya ada masa
pertemuannya dengan Dania, sudah pasti isterinya itu terasa hati.
“Abang okey.” Bohong Iskandar. Sedangkan di dalam hatinya penuh dengan
persoalan dan debaran.
“Macam mana dengan bakal isteri abang?”
Iskandar mengeluh. Sebolehnya dia tidak mahu menceritakan tentang Dania.
Alih-alih Maya pula yang membuka cerita.
“Mesti dia cantik kan bang.”
“Cantik pun tak guna juga sayang. Buat apa kalau muka cantik kalau hati
tak cantik. Kalau nak diikutkan, Maya lagi baik dari dia. Abang pun tak
faham kenapa mama boleh berkenan dengan dia. Abang takut mama tu main
tangkap muat je.”
“Abang, perempuan mana yang suka bermadu. Dia akan menjadi isteri kedua,
bang. Mungkin dia rasa tak selesa. Abang berilah dia peluang.”
“Abang tak naklah sayang.” Maya hanya memandang kepada Iskandar.
“Ingatkan mama, bang.”
Ya, kali ini hati Iskandar mula bergolak. Dia tidak tahu apakah yang
bersarang di dalam hatinya kini.
“Abang tak nak kehilangan Maya.”
“Abang, walau apa pun terjadi Maya tetap bersama dengan abang. Tak
kiralah waktu senang atau pun susah. Maya sayang dan cintakan abang
sampai bila-bila.” Iskandar menghinggapkan satu kucupan di pipi Maya.
Betapa dia merasa bahagia di saat itu.
“Sayang tak nak makan?”
“Abang makanlah dulu. Maya nak kemas dapur dulu.”
“Dapur tu nanti abang buat. Sekarang ni Maya temankan abang makan.” Maya
akur dan segera mencapai pinggan kosong dan menikmati hidangan
bersama-sama dengan Iskandar. Betapa luruh hatinya kerana tidak lama
lagi dia akan menikmati hidangan seorang diri.
Sebulan Berlalu….
Maya menekan remote control televisyen sambil matanya memandang ke
arah jam dinding di ruang tamu. Maya sedaya upaya untuk tidak
mengalirkan air mata namun akhirnya tumpah juga. Air mataya laju
menghiasi wajahnya. Maya yakin, pada saat ini wajah ibu mertuanya pasti
berseri-seri. Pada ketika itu juga sudah pasti Iskandar berada di
hadapan kadi untuk melafazkan akad.
Tak sanggup rasanya Maya untuk menghadiri perkahwinan Iskandar. Akhirnya
dia mengambil keputusan untuk duduk sahaja di rumah. Dada Maya bagaikan
sesak bila fikirannya tidak dapat ditepis dengan perasaan sedih yang
amat sangat.
Maya tersentak apabila pintu rumahnya diketuk orang. Dia segera menyeka
air mata dan melangkah perlahan di tingkap ruang tamu. Langsir diselak
kecil. Yelah, takut juga kalau dah tinggal seorang ni.
Dania? Maya membuka pintu rumah dan terkejut dengan kedatangan Dania ke
rumahnya.
“Dania?”
“Kenapa akak tak datang ke majlis saya?”
“Maaflah, akak tak berapa sihat.” Maya memandang kepada Dania yang masih
lagi cantik dengan baju kurung moden putih gading itu. Tapi, apa dia
buat kat sini?
“Tak nak ajak saya masuk?”
“Eh, masuklah.” Ajak Maya dengan senyuman.
Dania melabuhkan punggung di sofa milik Maya. Maya melabuhkan punggung
di hadapan Dania dan pandangan mereka bertaut. Ternyata Maya mula rasa
tidak senang.
“Kenapa akak relakan abang Iskandar kahwin lain?”
“Akak sayangkan abang Is. Akak sayangkan mama. Akak tiada ibu untuk
menumpang kasih, Dania. Hanya mama lah yang akak ada.”
“Demi kasih sayang tu akak sanggup berkorban? Tapi apa yang akak dapat?”
“Akak akan buat apa sahaja asalkan abang Is dan mama ada di sisi akak.
Walau pun akak tahu yang akak tak boleh berikan apa yang mama nak, tapi
akak nak sangat di sisi mama. Cukuplah kalau itu yang boleh
membahagiakan dia, akak rela.”
“Walaupun akak yang terseksa?”
Share this novel