Maya memandang ke arah jam dinding di ruang tamu rumahnya. Sudah hampir
2 pagi. Hati Maya sudah tidak dapat dibendung lagi. Rasa gelisah, takut
dan bimbang silih berganti. Saat itu matanya amat sukar untuk
dilelapkan. Bermacam yang bermain di fikirannya, dan kebanyakkan hanya
yang buruk sahaja. Langsir di ruang tamu acap kali diselak. Di dalam
hati dia hanya mampu memanjat doa untuk suaminya itu agar selamat sentiasa.
Akhirnya Maya menghela nafas lega saat terpandangkan lampu kereta yang
masuk ke perkarangan rumahnya. Maya masih menanti di ruang tamu untuk
menyambut Iskandar pulang. Dia kemudiannya mengukir senyuman dan segera
bersalam dengan Iskandar bila suaminya itu melangkah masuk ke dalam rumah.
Terkejut Iskandar melihatkan Maya yang masih belum tidur dan menantinya
pulang. Maya memandang kepada Iskandar yang seperti tidak terurus.
Terbit rasa kasih di dalam hati Maya. Nampak penat sangat Iskandar di
mata Maya.
“Kenapa Maya tak tidur lagi?” Tanya Iskandar mendatar. Wajah Maya ditatap.
“Maya tunggu abang.” Sambut Maya.
“La… tak payahlah tunggu abang. Dah pukul berapa ni? esok nak kerja kan?”
“Maya risau bila abang tak balik. Abang dah makan?” Tanya Maya.
“Abang dah makan kat rumah mama tadi.” Maya terdiam.
“Kenapa abang tak beritahu dengan Maya yang abang nak pergi rumah mama?”
“Takkan abang nak ke rumah mama pun abang nak kena beritahu dengan Maya.
Ingat abang pergi mana? Berjoli?”
Maya tersentak apabila ada nada keras di situ. Maya terdiam. Dia
terkejut bila Iskandar dengan tiba-tiba melenting. Hilang semua rasa
gelisah, timbul pula rasa sebak yang amat sangat. Penantiannya bagaikan
tidak dihargai.
Share this novel