BAB 9

Drama Completed 429

“Mulai esok mama akan buat persiapan untuk Is. Esok juga Is boleh tempah
baju pengantin.” Bagaikan berderai hati Maya mendengarkannya. Dia sudah
tidak sanggup lagi mendengarkan perbualan itu. Sudah tentu kehadirannya
di situ pasti tidak akan dihiraukan. Akhirnya dia bangkit dan berlalu
meninggalkan kedua-dua beranak itu.

“Puas hati mama?” Iskandar mula mengorak langkah.

“Dia sendiri yang setuju, Is.”

“Dan mama sedikit pun tidak ucap terima kasih dengan dia.” Iskandar
terus berlalu meninggalkan puan Julia untuk mendapatkan Maya.

“Kenapa Maya buat abang macam ni?”

“Maafkan Maya, bang. Maya tak nak abang jadi anak yang derhaka. Maya tak
sanggup mama menderita macam tu. Maya tak sanggup, bang.” Terus sahaja
Iskandar merangkul tubuh isterinya dan memeluknya erat.

“Macam mana dengan kehendak abang yang tak nak menduakan Maya?” Maya
meleraikan pelukan. Hati Maya sebak dan sedih. Dia tidak dapat berkata
apa dan terus tunduk. Perlahan Iskandar memaut dagu Maya dan menyeka air
mata yang mengalir di pipi milik isterinya. Iskandar sudah tidak sanggup
melihatkan isterinya sedih begitu. Melihatkan Maya sedih, hatinya juga
bagaikan dilanda pilu.

“Maafkan Maya, bang.”

“Shh… abang tahu nak buat macam mana.”

“Abang jangan nak buat pekara yang bukan-bukan pulak.”

“Abang nak bawa lari sayang boleh?”

“Ingatkan mama, bang. Isteri boleh dicari ganti. Tapi mama? Dia cuma
seorang je. Maya tahu yang mama buat semua ini adalah untuk berikan yang
terbaik untuk abang. Dia nak sangat tengok zuriat abang sendiri.
Sedangkan Maya tak boleh beri semua tu.”

“Bukan ke kita dah buat ujian dan doktor sendiri kata yang kita ni okey.
Cuma belum ada rezeki untuk kita je.”

“Kita mungkin faham, bang. Tapi mama? Hidup kita tak panjang, bang. Apa
lagi mama.”

“Okey, kita jangan bincang hal ni kat sini. Kita balik, sayang. Abang
tengah berserabut sekarang ni.” Iskandar menarik tangan Maya lembut.

“Kita jumpa mama dulu, bang.”

“Okey, lepas kita jumpa mama kita balik.” Maya akur. Dia mengekori
Iskandar sehingga ke bilik puan Julia.

Semenjak dari peristiwa itu, Maya kerap bersedih. Kalau berjumpa dengan
ibu mertuanya perancangan perkahwin yang menjadi tajuk perbualan. Betapa
gembira puan Julia membuat persediaan menyambut menantu. Namun tidak
kepada Iskandar. Sebenarnya dia berat hati untuk berkahwin lain.

“Mama, kalau Is kahwin dan ditakdirkan tiada rezeki juga mama nak buat
apa? Nak cari calon ketiga pula ke?” Pertanyaan Iskandar itu membuatkan
puan Julia tersentak.

“Mama yakin, Is.”

“Macam mana mama boleh tahu yang Is akan menjadi ayah kalau Is kahwin lain?”

Puan Julia senyap.

“Mama ingat anak ni macam buat kek? Bancuh semua, masuk dalam oven
kemudian keluar siap! Mama, kalau Allah dah kata belum ada rezeki lagi
kita tak boleh nak buat apa-apa.”

“Sebab itu kita kena berusaha, Is.”

“Mama ingat kami tak berusaha? Kami pun nak anak juga. Mama, please…
fikirkan balik keputusan mama.” Pujuk Iskandar.

“Keputusan mama muktamad.” Iskandar kalah dengan suara puan Julia yang
agak tinggi itu. Pandangan Iskandar kemudiannya dilepaskan kepada Maya
yang dari tadi hanya menyendiri. Betapa dia kasihankan isterinya itu.

“Baiklah mama. Kalau macam tu, Is ada permintaan.” Pandangan Iskandar
dibalas oleh Maya. Maya sebolehnya tidak mahu mencampuri urusan kedua
beranak itu. Lagi pun kini dia bagaikan tidak wujud di situ.

“Is nak berjumpa dengan perempuan tu sekali.”

Bersinar mata puan Julia bila mendengarkan kata-kata Iskandar itu.

“Nama dia Dania. Ini nombor telefon dia. Telefonlah dia. Boleh
kenal-kenal.” Ah, tidak boleh digambarkan perasaan Maya ketika itu.
Dengan senyuman yang terukir di bibir mertua sambil menyebut nama bakal
madunya bagaikan hatinya di hiris pilu.

“Maya ikut abang ye.” Maya menggelengkan kepala. Dia tidak mahu
menambahkan lagi derita yang sedia ada di hati dengan berjumpa dengan
bakal insan yang akan berkongsi kasih sayang suaminya.

“Maya betul tak nak jumpa?”

“Tak apalah, bang. Abang pergi soranglah. Maya izinkan.” Bergetar juga
suara Maya bila mengungkapkan perkataan ‘izin’.

Iskandar mengeluh perlahan. Dia menjadi serba salah. Semenjak dia
bersetuju untuk berkahwin, hubungannya dengan Maya agak dingin. Walau
bagaimana pun Maya tetap menjalankan tugas sebagai seorang isteri. Namun
keceriaan di wajah Maya dirasakan kian pudar.

“Maya ikutlah….” Pujuk Iskandar kepada Maya.

“Tak perlulah bang. Biar Maya kat rumah je.”

“Kalau macam tu abang hantar Maya balik dulu.” Maya mengangguk perlahan.
Dia bangkit dan bersalam dengan ibu mertuanya.

“Kalau Is jumpa dengan dia, kirim salam sayang mama kat dia.” Pesan puan
Julia. Iskandar mengangguk perlahan.

Setelah menghantar Maya pulang, Iskandar terus menghubungi Dania. Dia
perlu bertemu dengan wanita itu. Dia bernasib baik bila Dania sudi untuk
bertemu dengannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience