BAB 10

Romance Series 8134

“ASSALAMUALAIKUM!”

Laung suara beberapa kali memberi salam dari luar pintu rumah. Rania dapat mendengar dengan jelas suara itu kerana tingkap biliknya memang berhampiran dengan koridor laluan. Bagaimanapun dia tidak menyahut salam itu memandangkan dia sedang menunaikan solat Asar.

“Waalaikumsalam!” Sambut Mama dari dalam dapur sambil terkocoh-kocoh keluar menjenguk di pintu rumah.

“Eh, mari masuk! Masuklah!”

Sekali lagi cuping telinga Rania mendengar suara ceria Mama menjemput tetamu mereka masuk. Terganggu solat Rania yang khusyuk tadi dengan suara-suara asing yang menziarahi mereka.

“Susah-susah je bawa buah tangan…” sayup-sayup lagi suara Mama merendah diri pada si tetamu.

Sepanjang waktu itu, telinga lintah Rania tidak dapat pula mendengar dengan jelas suara si tetamu. Tapi dari segi perbualan bersama Mama, dia dapat menangkap si tetamu tentulah seorang wanita yang lemah lembut dalam berbicara. Siapa agaknya? Teka hati Rania sambil menadah tangan untuk berdoa di hujung solat.

“Hah, Nia baru sudah solat?” tegur Mama sebaik sahaja Rania terjengul keluar dari biliknya.

Kaget seluruh tubuh Rania saat matanya tertancap pada sepasang mata dari orang yang dia kenali. Serta merta dia dilanda gemuruh dan teruja dalam masa yang sama. Kekok pun ya juga namun cepat-cepat dia tunduk dan segera menghampiri lalu menghulurkan salam tanda hormat pada seorang wanita separuh abad di sisi orang yang dia kenali itu.

“Comel anaknya, Rania ya nama? Nama pun sedap…” puji wanita itu ketika salam mereka bertaut.

Tanpa amaran juga Rania ditarik lalu dipeluk kasih oleh wanita itu. Rania bertambah kekok dan janggal diperlakukan begitu oleh orang yang baru pertama kali dia temui. Senyuman yang terukir di bibirnya juga jelas kelihatan terkejut dan terpaksa.

“Samalah kita, Nia ni pun anak tunggal kami.” sampuk Mama sambil tangannya mengusap bahu Rania lembut.

“Tak apalah, dah rezeki kita tertulis macam tu.” balas wanita itu juga lembut nadanya.

“Eh, Rania tolong buat air kejap. Mama sembang ni lupa pulak nak buat air…” arah Mama. Rania cuma mengangguk patuh. Lega sebenarnya dapat menyorok seketika dari perasaan malu yang mula menyelubungi dirinya apabila matanya kembali bertembung dengan sepasang anak mata lain yang sedang teliti menilik dirinya tadi.

“Kita dah lama berjiran kat sini, kan? Tapi anak ni tak pernah kita tengok kelibat dia. Zairin ya? Besar tinggi sungguh budak-budak sekarang ye?” tegur Mama diselangi dengan selorohnya.

“Zairin ni, STPM tahun ni. Kalau ikutkan lama dah ajak dia pindah sekolah dekat sini tapi dia kesian tinggalkan arwah nenek dia kat kampung sorang-sorang. Tu bila arwah mak saya dah meninggal akhir tahun lepas, barulah dia nak pindah duduk semula dengan kami.”

Sempat juga telinga Rania mencuri dengar perbualan terakhir kedua-dua wanita itu sebelum dia memasuki dapur, langkah kakinya juga disengajakan bergerak perlahan konon kontrol ayu. Padahal tengah pasang telinga!

*
* *

“Banyak buah-buahan dengan sayur ni semua, susah-susah je bagi kami.” Ujar Mama dengan nada sedikit serba salah ketika Rania keluar dari dapur dengan penuh berhati-hati menatang dulung berisi air minuman serta sedikit makanan ringan.

“Haah… ni semua hasil dari kebun tanaman arwah mak, tahun ni rezeki betul semua menjadi. Separuh hasil ni ayah si Zairin jual kat peraih, separuh lagi agih-agih kat saudara mara. Ni pun ada lebih lagi, tu yang saja bawa sini. Kita kongsi rezeki…” balas ibu Zairin merendah diri.

“Terima kasihlah, dapat jimat barang basah kat dapur tu bulan ni. Semua ni pun nampak segar betul, ye? Eh, duk bersembang je dari tadi lupa nak pelawa minum. Jemputlah minum air yang Nia ni buat. Zairin, minumlah.” Pelawa Mama ramah. Zairin hanya mengangguk hormat bersama segaris senyuman sambil mencapai segelas air kordial di yang dihidangkan di hadapannya oleh Rania tadi.

Terasa merah pula muka Rania apabila Mama menyebut nama Rania begitu. Alah, setakat buat air macam tu, kalau tak pandai malu seantero dunia! Rania bagaimanapun cuma tunduk saja, malu hendak bersua muka secara berdepan dengan Zairin yang pastinya sedang menumpukan perhatian pada dirinya.

Pada saat Rania cuba melarikan pandangan mata serta wajahnya yang berona merah, pandangan matanya terpandangkan selonggok buah mata kucing yang bulat segar di tepi meja kopi. Wah, buah mata kucing ni favourite Nia tau!

Serta merta wajah yang berona merah kerana malu itu bertukar ceria. Terliur pula dengan buah kegemarannya itu. Hendak dia capai mahu memakannya tetapi kedudukan buah itu terletak dekat pula dengan Zairin, mustahil untuk dia berganjak semata-mata mahu mengambilnya.

“Zairin kat sekolah tak ada jumpa dengan Nia ni ke? Nia tahun ni SPM, mak cik risau juga kat dia ni. Biasalah anak pertama dah tu satu-satunya, nervous jugak mak cik bila teringat. Manalah tau, kamu boleh tolong tunjuk ajar si Nia ni. Berapa SPM kamu dulu, Zairin?” soalan Mama berupa cepumas juga tidak berselindung langsung.

Rania dari wajah berona merah tiba-tiba bertukar putih pucat wajahnya. Bertambah rasa malu yang sedia ada dari tadi apabila Mama terang-terangan meminta Zairin memberikannya tunjuk ajar. Bukan Mama tak tahu anak dia ni antara pelajar cemerlang sekolah. Buktinya, berderet piala dan tanda kemenangan Rania berkenaan akademik sekolah yang bersusun menjadi tayangan di kabinet televisyen.

“Alhamdulillah, result saya cemerlang juga. Nak tunjuk ajar tu rasanya Nia pun budak pandai kat sekolah, takut dia lagi cemerlang dari saya aje nanti.”

Bulat matanya kerana suara garau anak muda itu kedengaran merdu pula di cuping telinganya. Untuk pertama kalinya Rania dapat mendengar suara Zairin dengan jelas dan terang. Mengapa terasa berbeza pula aura anak muda itu jika dibandingkan sewaktu mereka berada di kedai runcit Mak Cik Ema dulu? Rania berasa hairan.

Selain suara, senyuman manis yang terukir spontan dari mulut anak muda itu juga seperti yang dikatakan oleh Jamie dulu. Manis boleh kena diabetes! Seseungguhnya Rania telah terpesona.

Entah kenapa terasa seperti masa itu sedang berhenti apabila dua pasang mata Rania dan Zairin tepat bertembung sesama mereka. Saling merenung wajah masing-masing. Rania kelu lidah untuk membuka mulut membalas kenyataan dari Mamanya dan juga dari Zairin yang merendah diri.

Jika di timbal balik, atau jika tawaran tunjuk ajar itu diajukan kepada kawan-kawannya terutama Jamie tentulah ia ibarat bulan jatuh ke riba. Malahan gadis itu pastinya kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan!

Siapa saja yang mahu menolak tuah dari merapatkan diri mengenali anak muda yang ada rupa seperti Zairin. Jika ditanya pada Rania sendiri saat ini pun, tipulah jika hatinya tidak tercuit.

***

16 FEBRUARI 2007


Budak sayur datang rumah Nia hari ni, dia datang dengan mak dia bawak sebakul buah-buahan dengan sayuran. Mak budak sayur tu ada tegur Nia, Nia pun dengan penuh adab pergilah salam mak dia. Mak dia siap peluk Nia lagi, Nia pun tak paham tapi Nia buat dek aje. Malas nak fikir. Mak dia kata dia baru aje sampai dari kampung. Saja pulang bercuti. Nia dengar lepas Nia hantar minuman kat mereka.

Nak tau tak, Cik Diari? Mula-mula tu Nia tak tengok pun budak sayur tu sebab malu sangat tapi lepas tu Nia nampak ada buah mata kucing dalam bakul yang dia orang bawa tu. Wah, favorite! Tapi kan Cik Diari, bila budak sayur buka mulut bersuara Nia macam kena pukau pulak. Apasal masa kat kedai Mak Cik Ema tu rasa lain? Masa tu Nia rasa budak sayur tu annoying sangat. Peliklah!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience