BAB 7

Romance Series 8134

“ZAIRIN, tu senior kitalah. Dia STPM tahun ni.” Ujar Jamie dengan mimik muka yang penuh bersahaja siap dengan kerlingan mata pada kawan-kawannya. Nadanya juga kedengaran seperti bangga kerana dapat mengenalkan seorang senior kepada mereka.

Suri pula memberikan reaksi mulut hampir melopong, Vina cuma mengangguk-angguk kecil menunjukkan dia memberi perhatian meskipun tidak berminat. Rania pula hanya diam, cuma dia kelihatan sedikit resah.

“Mana kau tau tu senior kita? Aku sendiri tak pernah nampak dia kat sekolah ni.” Soal Suri setelah dia kembali tenang dan normal. Malah dia melemparkan rasa curiga pula pada kenyataan Jamie tadi.

Lima tahun dia bersekolah di situ, mustahil tidak sekalipun mereka terserempak. Vina dan Rania serentak mengangguk mengiyakan kata-kata Suri. Ikut sama bersetuju kerana mereka tidak pernah bertemu atau bertentang mata dengan senior itu.

“Memanglah tak pernah jumpa sebab dia pun baru masuk STPM tahun ni je. Tahun sebelum tu dia sekolah tempat lain,” beritahu Jamie sambil tersengih kerang busuk. Dia berjaya membuatkan rakan-rakannya penasaran.

Suri mencebik. Terkena. Rania mengangguk kecil tanda faham. Vina mengekek ketawa, geli hati dengan ulah Jamie. Zairin yang sedang jalan menjauhi menjadi perhatian ketiga-tiga anak gadis itu. Kiranya kehadiran Zairin ke pejabat sekolah merupakan satu titik permulaan perkenalan Rania terhadap si budak sayur.

Mengapa budak sayur? Budak? Rupa-rupanya dialah yang budak tetapi ada hati nak melabel orang lain sesuka hati. Nasib baiklah mulutnya tidak ringan menceritakan hal itu pada sahabat-sahabatnya. Jika tidak tentu dia teruk dijadikan bahan gurauan mereka.

Berdasarkan pemerhatian Rania yang cuma melihat dari jauh, Zairin tampak matang berpakaian kemas dengan uniform sekolah. Ketika anak muda itu berselisih dengan beberapa pelajar lelaki, jelas anak muda itu lebih tinggi dari pelajar lelaki yang melintasinya.

Tetapi mengapa pertemuannya dengan Zairin tempoh hari menampakkan dia kelihatan kecil? Sebab itulah Rania menganggapnya sebagai ‘budak’. Dahi Rania berkerut seribu dalam cubaannya mengingat semula kejadian dua hari lalu.

“Tak silap aku dia tinggal kat kawasan rumah Rania. Eh, Nia kau tak ada terserempak dengan dia ke?” Jamie kini beralih tumpuan pada Rania pula yang masih bergelut dengan ingatannya.

“Hei. Nia?! Mengelamun apa tu?” sergah Suri apabila Rania tidak memberi respon jawapan kepada ajukan soalan Jamie tadi.

“Hah?! Apa?”

“Ni kalau muka macam ni, samada fikir pasal Fadli atau tengah ingat balik jumpa senior tu kat mana? Kan? Kau rasa familiar macam pernah tengok, kan? Haaa! Aku dah cakap, dia tinggal dekat dengan rumah Rania!” sahut Jamie dengan yakin.

“Kau ni Jamie cerita macam tau semua benda pasal senior tu. Maklumat kau tu macam ambil dari poket Doraemon, semua ada!” usik Vina pada Jamie. Jamie mengangkat dagu, menunjukkan reaksi bangga.

“Aku tau sebab dia datang lambat tadi, panjanglah aku borak dengan dia masa perhimpunan tadi. Yalah, kali pertama nampak dia tu yang aku tanya macam-macam. Tapi dia pun peramah tau! Dia senyum tu, manis je muka dia. I suka la!” cerita Jamie dengan penuh bangga.

“Ceh! Ingatkan dah kenal sejak dari dalam rahim! Mentang-mentang pengawas, ambil kesempatan ye!” Vina mencuit pinggang Jamie membuatkan gadis itu meledakkan ketawanya yang nyaring.

“Kau okay tak ni?” tanya Suri perlahan pada Rania. Tidak mengendahkan dua lagi sahabat mereka yang sedang bergurau sesama mereka.

“Okay je, kenapa kau tanya?” jawab Rania dengan segaris senyum melihat gelak ketawa Vina dan Jamie.

“Tadi kau termenung. Ingat kat Fadli lagi ke? Tak habis lagi ke frust kau tu?” soal Suri dengan nada yang kedengaran sedikit jengkel.

Rania laju menggeleng menidakkan tuduhan Suri. Sebenarnya sudah dua hari dia tidak memikirkan hal Fadli sehinggalah Suri sendiri yang mengungkit kembali ingatannya itu. Dia baru sedar dirinya telah beralih perhatian dengan kemunculan ‘orang baru’ di tingkat rumah kediamannya.

“Dah tu? Kau fikir apa?” nampaknya Suri masih prihatin.

“Tak ada apalah, yang pasti aku tak fikir pun pasal Fadli. Jangan risau, aku rasa aku dah boleh move on.” Jawab Rania bersama senyuman manis demi meyakinkan Suri

*
* *

SENYUMAN manis seperti yang digambarkan oleh Jamie pagi tadi kembali terngiang-ngiang di cuping telinga Rania sebaik anak matanya bertembung dengan pandangan mata Zairin ketika mereka berselisih keluar dari pintu pagar utama sekolah.

Meskipun Rania pulang sedikit lewat dari kebiasaan atas tugas sebagai Pengawas Perpustakaan, masih ada juga pelajar-pelajar lain yang masih belum pulang. Samada mereka juga punya tugas sekolah yang lain, sedang menunggu penjaga menjemput pulang ataupun sekadar saja-saja melepak bersama kawan-kawan.

Hari ini Rania pulang bersendirian. Suri tidak terlibat dengan apa-apa aktiviti selepas waktu sekolah pada hari itu. Kebiasaannya Suri akan turut sama menunggunya tetapi dia memberi alasan hari ini keluarga sebelah ayahnya datang menziarahinya jadi dia perlu pulang awal.

Sangka Rania dia akan berjalan kaki pulang berseorangan hari ini, tidak dia menyangka ‘budak sayur’ juga pulang waktu yang sama masa dengannya. Bagaimanapun, Zairin hanya mengekori Rania dari belakang tanpa ada tanda untuk menyapa atau menegur.

Rania sepanjang jalan berbolak-balik dalam hati samada mahu menoleh kebelakang, menyapa atau sekurang-kurangnya bertanya arah tujuan. Tapi bukankah itu satu soalan bodoh jika dia bertanda perkara yang dia sudah tahu?

Ah! Sudahlah, Nia! Tak payah nak sibuk-sibuk hal Zairin. Biarlah dia tinggal berhampiran rumah kau sekalipun, untuk apa kau nak mengada-ngada mahu beramah mesra?! Bebel Rania pada diri sendiri.

Sehinggalah mereka sama-sama berada di dalam lif untuk naik ke tingkat rumah mereka, Rania mahupun Zairin langsung tidak bertegur sapa. Mujur juga ada penduduk lain turut berada didalam lif yang sama. Sekiranya hanya mereka berdua, tentulah Rania kan jadi mati kutu mahu sesak dada berdua di dalam lif itu.

Apabila Rania tiba di hadapan pintu rumah juga dia langsung tidak menoleh cuma sekadar menjeling apabila Zairin melintasi belakangnya menuju ke pintu selang sebuah dari rumahnya ini. Rania juga cepat-cepat masuk dengan dada yang berombak laju dipalu degupan jantung. Gaya macam dikejar penjahat pula padahal cumalah Zairin si budak sayur senior sekolahnya.

***

12 FEBRUARI 2007


Budak sayur. Zairin. Jamie yang kenalkan siapa budak sayur tu. Budak sayur tu rupanya tinggal selang sebuah rumah dari rumah Nia. Sungguh Nia tak perasan tapi Nia pun tak hairan. Budak sayur tu STPM, sama sekolah dengan Nia. Selama 5 tahun Nia sekolah di situ tapi tak pernah nampak dia sekali pun. Rupanya dia pun baru aje mendaftar masuk tahun ni.

Cik Diari, Nia rasa perasaan sedih Nia dah hilang sebab asyik memikirkan kedatangan orang lain yang entah dari mana datang. Adakah hati Nia dah sembuh, Cik Diari? Tapi jujur Nia tulis kat sini, Nia dah kurang fikirkan hal Fadli. Hati ni pun dah kurang rasa sakit. Mungkin juga dah berganti hampir sakit jantung hanya disebabkan si budak sayur tu?

Maaf banyak-banyak kepada para pembaca sebab abaikan naskah ni berbulan lamanya. Rutin harian dan kesihatan diri menghalang saya dari mencurah idea saya kali ini. Apapun saya akan cuba update secepat mungkin memandangkan bulan puasa ni mesti ramai yang punya masa terluang menunggu waktu bersahur atau berbuka. Oh ya... Selamat berpuasa kepada semua pembaca saya yang menyambut bulan Ramadhan yang mulia ini. Selamat membaca. (^_^)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience