SUDAH jauh malam tetapi Rania masih belum dapat melelapkan matanya. Dia kemudian keluar dari bilik, itu pun kerana mahu ke dapur membasahkan tekak yang terasa kering. Dia sebenarnya sudah pun terlena awal namun terjaga, lama dia termenung dan sekejap-sekejap menangis teringatkan Fadli.
Tiap kali malam menjelang, otaknya akan aktif mengimbau kenangan manisnya bersama Fadli. Senyuman manis Fadli, gaya ketawanya dan suaranya yang serak basah apabila berbual.
Teringat saat mereka saling mengenali, saling menyimpan perasaan antara mereka sebelum Fadli yang membuka langkah terlebih dahulu.
“Awak, saya dah lama tengok awak. Hmmm… kalau saya nak jadi boyfriend awak, awak sudi terima?” sapa Fadli secara berterus terang selepas tamat waktu aktiviti kokurikulum petang itu.
Ibarat orang mengantuk disorong bantal, lamaran Fadli padanya untuk menjadi pasangan kekasih dia terima tanpa banyak bicara.
Senyumannya melebar, riang girang hatinya tidak terungkap. Kini, ianya telah menjadi memori pahit buat dirinya.
“Rania, mari sini. Mari dekat dengan Opah, Opah nak tengok Nia sekejap. Nia kenapa ni? Asyik berkurung dalam bilik je sejak balik sekolah ni, Nia sakit ke?” panggil Opah pada Rania yang baru keluar dari bilik tidurnya.
“Nia dah nampak kurus sangat, muka tu cengkung sangat. Kenapa dengan cucu Opah ni?” tegur Opah lagi selepas Rania menghampiri Opah yang menggamitnya dari ruang tamu.
“Tak ada apalah, Opah. Tak sihat sikit je, nanti Nia makan ubat.” nafi Rania, tidak mahu Opah kerisauan.
“Ye ke ni? Alahai, kesian cucu opah ni. Nia nak makan bubur? Opah ada buat tadi, nanti Opah ambilkan,” pujuk Opah penuh kasih. Diusap sayang wajah gadis itu.
Rania cuma mengangguk senyum. Dalam keluarga mereka, dia adalah antara cucu kesayangan Opah. Ini kerana hanya dialah satu-satunya cucu perempuan dalam keluarga, sepupunya yang lima orang ke semuanya lelaki.
Dan sehingga ke saat ini pun, dia adalah anak tunggal pada mama dan papanya. Namun, dia tidaklah bersikap manja.
Ada ketika dia akan dibebeli juga oleh kedua-dua ibubapanya. Mereka juga masih tegas dalam pelajarannya, mahu dia berjaya dalam menimba ilmu.
“Opah, macam mana kita nak lupakan benda yang buat kita sedih?” soal Rania selepas beberapa ketika.
Dia mahu tahu pandangan dari seorang yang tentunya banyak pengalaman seperti Opah. Atok telah lama pergi meninggalkan mereka, sejak dari Rania bayi lagi.
Tentu Opah punya pandangan dan cerita tersendiri dalam menangani rasa sedih setelah ditinggalkan, dan tentunya disebabkan oleh kehilangan.
Opah terjeda seketika selepas mendengar soalan dari Rania. Dia menjeling ke atas, memikirkan jawapan yang munasabah atau penjelasan yang baik untuk pemahaman anak muda seperti Rania.
“Otak kita ni unik, Nia. Dia tak sama macam kita rekod kat telefon dan bila-bila masa kita boleh padam dan buang. Selagi otak kita ni berfungsi dengan baik, dikurniakan dengan kesihatan yang bagus, dia tak akan terjejas. Segala memori, dan ingatan kita setiap hari tu dia akan simpan dengan baik.”
“Bezanya, dalam banyak-banyak memori setiap hari tu, hati kita ni akan pilih yang mana kita nak dia simpan dan boleh ulang bila-bila masa. Sebab, akan ada satu ketika bila kita nak ingat balik moment tu, ingatan tu jadi samar-samar. Kenapa boleh jadi macam tu? Sebab kita ajar hati kita untuk lupa benda tu.”
“Kita pujuk hati ni, supaya memori tu lupus sekali dengan rasa yang memori tu bawa. Tapi, bukannya hari ni kita nak lupa lepastu esok terus lupa. Tak… semua tu makan masa, sayang. Times will heal everything. Kita akan masih ingat memori tu tapi dia dah takkan menyakiti hati kita dah. Dia jadi kenangan.”
“Berapa lama dia makan masa, Opah? Letih rasa nak tunggu hati tu berhenti sedih,” ujar Rania berwajah sayu.
“Bila kita sedih, kita jangan harap kesedihan tu boleh hilang sekelip mata. Hati kita nak sedih, biarkan. Kita berhak untuk sedih sebab itu adalah ekspresi emosi kita, kalau kita halang rasa sedih tu lama-lama nanti kita akan jadi sakit!” ujar Opah berbaur amaran dengan mata yang membulat.
“Sakit? Sakit apa, Opah?”
“Sakit jiwa, sakit mental… sakitkan hati orang! Haaa… jadi, kita layan je rasa sedih tu. Tapi bukan layan melampau, orang kata hidup ni kena teruskan. Kena redha, terima hakikat. Kita pun kena ingat, yang kita bukan berseorangan. Ingat kat kawan-kawan, ingat kat adik beradik, jangan lupa kat mama dan papa. Dia orang tu semua boleh sembuhkan kesedihan kita.” jelas Opah, lembut dan penuh kasih suaranya.
*
*
*
SEMALAMAN dia menangis teringatkan penjelasan Opah tentang kesedihan. Betul kata Opah, dia tidak patut menahan dirinya dari melayan rasa sedih akibat putus cinta dengan Fadli. Tiap kali dia cuba memaksa hatinya berhenti sedih, semakin sakit hatinya mengenangkan Fadli.
Redha, itu yang perlu dia lakukan sekarang. Dia perlu terima perpisahan itu, tentu ada perkara lain yang dapat menggantikan memorinya bersama Fadli. Tentu ada hikmahnya suatu hari nanti.
Puas Rania memujuk hatinya malam itu, menangis semahunya melepas semua kesedihan. Hinggalah dia terlena sendiri. Dengan harapan esok dia mampu menghadapi hari yang lebih bermanfaat dari terus memikirkan Fadli.
“Sudah-sudahlah menangis tu, Nia. Putus cinta je pun yang sampai nak sedih beriya tu. Esok-esok umur mama dengan papa tak panjang, lagi teruk Nia sedih menangis. Jangan menyesal pulak nanti!” tegur Mama dengan nada menyindir.
Mama tahu Rania putus cinta dengan Fadli. Mana Mama tahu? Tentulah sebab hari-hari Mama kena hadap muka monyok sedih Rania. Boleh dikatakan setiap hari bila bangun pagi, mata Rania akan bengkak lebam akibat menangis
Walaupun Mama tahu tentang kesedihannya, tiada pula usaha Mama mahu memujuknya malah dia pula di marahi, dibebeli dan disindir perli. Pada Rania mungkin sebab Mama tidak berkenan dengan kisah cintanya pada saat dia masih bersekolah.
Dan begitulah hari-hari Rania, menempuh hati duka tanpa sesiapa sudi memujuk. Menangis sayulah dia pada malam hari kerana meratapi hati yang terluka.
***
7 FEBRUARI 2007
Benci! Nia benci! Airmata Nia tak pernah nak berhenti! Nia penat! Penat setiap malam macam tak ada tanda Nia nak berhenti menangis. Makan pun Nia dah tak lalu. Cik Diari, seksanya putus cinta. Nia dah tak sanggup nak terus menangis…
Cik Diari, Opah ada tegur. “Nia dah nampak kurus sangat, muka tu cengkung sangat. Kenapa dengan cucu Opah ni?” Lepas Opah tegur tu Nia terus masuk bilik. Nia nangis kat dalam bilik tu sampai tertidur.
Esok pagi bila bangun mama membebel tengok mata lebam Nia. Mama tahu Nia putus cinta dengan Fadli. Tapi mama tak cakap banyak, mama cuma membebel aje. Bertambah-tambah kesedihan Nia ni, Cik Diari…
Share this novel