BAB 11

Romance Series 8134

SAKIT! Namun kesakitan itu hanya mampu di dalam hatinya sahaja dan tidak terluah di bibir. Akibat menahan kesakitan yang dia alami saat itu, Rania mengerekot baring di atas katil sambil memegang perut.

Waktu tengah hari begitu rumahnya sunyi, Mama awal pagi lagi keluar bersama Papa dan masih belum pulang lagi. Kata Mama, berkemungkinan mereka akan pulang sekitar jam dua atau tiga petang dan paling lewat pun sebelum Maghrib.

Rania menolak untuk mengikuti kedua-dua ibubapanya kerana dia berfikir mahu menyiapkan portfolio Matematik Tambahan yang perlu dihantar minggu hadapan. Tetapi sejak jam 10 pagi tadi dia mula merasa tidak selesa dengan keadaan perutnya.

Jika dia ingat kembali, sejak kebelakangan ini memang dia seringkali mengabaikan waktu makan. Apa yang masuk di dalam perutnya hanya sekadar isi perut dan tidak menentu. Jika masa rehat di sekolah pun dia cuma menemani rakan-rakannya sambil berbual, tidak berselera untuk menjamah apapun makanan.

Mungkin apa yang dia alami saat ini adalah gastrik. Jika benar, apa yang perlu dia lakukan kerana saat ini hanya dia seorang diri sahaja di rumah ini. Kepada siapa dia harus meminta tolong? Atau tahankan saja rasa sakit itu hingga Mama dan Papa pulang? Tapi berapa lama? Rania berkira-kira sendiri.

Rania mula mengaduh sakit dengan kuat. Air matanya mula mengalir. Rasa sakit perutnya semakin mencengkam ulu hati. Perutnya juga terasa penuh dan tidak selesa jika dia bergerak biar seinci pun.

Bayangan di minda Rania mula memaparkan semula insiden dibebeli Mama kerana enggan menjamah sarapan pagi tadi. Nampaknya dia sudah ditimpa ketulahan akibat tidak mengendahkan kata Mama.

“Mama tengok Nia sekarang dah jarang makan pagi, tengah hari ke petang lepas balik sekolah pun makan sikit je lepas tu banyak berkurung dalam bilik. Tu buah makan banyak pun bukan mengenyangkan, lama-lama boleh sakit perut!” bebel Mama pagi tadi setelah Rania menolak untuk bersarapan pagi.

“Ish, Mama ni ada pula cakap macam tu! Tu doa tau! Nia bukannya tak makan langsung, Ma. Makan jugak, kan? Cuma dah tak banyak macam dulu…” sangkal Rania sambil membuat muka merajuk.

“Tu la, asal Mama cakap ada je nak menjawab. Ikut suka kamulah, Nia. Sakit nanti baru kamu nak insaf! Dah, Mama keluar dulu. Ada lauk kat atas meja makan, jangan lupa makan nanti!” pesan Mama sebelum dia keluar dan menutup pintu rumah.

“Mama… sakit…” rintih Rania dengan nada dan suara yang menggeletar.

Tok! Tok! Tok!

Rania tersentak. Kepalanya di panggung memandang pada tingkap biliknya yang ditutupi dengan langsir. Ketukan di cermin tingkap membuatkan jantungnya dipalu laju. Berdebar kuat. Rasa takut mula menyelubungi dirinya.

Selama ini tidak pernah ada yang berani mengganggu dengan mengetuk cermin tingkapnya begitu. Bermacam-macam sangkaan buruk memenuhi ruang mindanya melebihi rasa sakit perutnya saat ini. Peluh di dahinya mula terbit antara takut dan menahan sakit.

“Rania… awak okay tak tu?” tanya satu suara garau di luar tingkap.

Rania menelan air liur. Suara itu?

“Si… siapa tu?” soal Rania sekadar mahukan kepastian meskipun hatinya kuat mengatakan empunya suara itu dia kenali.

“Zairin… sorry, saya kebetulan lalu tadi. Dengar suara awak… awak tengah sakit ke? Mak cik mana?” Kini suara Zairin lebih jelas, mungkin dia berdiri betul-betul di tepi tingkap bilik Rania.

“Hmmm… Mama keluar tak balik lagi…” hanya soalan terakhir Zairin yang mampu Rania jawab. Terasa malu pula mengiyakan dirinya sedang menahan kesakitan saat itu.

“Awak okay tak tu? Dengar suara awak macam tengah sakit,” nampaknya Zairin benar-benar prihatin.

“Sakit perut…” jawab Rania selepas terjeda beberapa saat. Dia tidak mampu untuk menahan lebih lama rasa sakit itu. Terasa sesak nafasnya saat ini.
“Kejap saya panggil mak saya, awak boleh bangun buka pintu tak?” tanya Zairin bernada kerisauan.

“Saya cuba…” jawab Rania sambil menguatkan dirinya untuk bangun mencapai tudung sarung yang tersadai di atas kerusi meja solek sebelum perlahan-lahan mengatur langkah keluar dari biliknya menuju ke pintu utama rumah.

*
* *

“LAINKALI bila Mama cakap tu, dengar! Nasib baik Zairin ada, kalau jadi apa-apa tadi macam mana? Perut dah okay sikit ke ni?” Dalam pada bebelan dan rasa geram, seorang ibu tetap khuatir akan kesihatan anaknya.

“Dah okay, dah kurang sakit… Sorry, ma…” ujar Rania lemah, serba salah.

“Nasib baik jugaklah, mak ayah Zairin ada. Boleh bawak terus ke klinik, kalau tunggu Mama tadi bilalah baru nak sampai rumah. Jangan buat main-main gastrik ni, Nia. Kalau tak jaga betul-betul perut tu, rosak kena operate buang!” Mama masih lagi dalm mood membebel dan dia menokok nambah pula sengaja mahu menakutkan anak tunggalnya itu.

“Ish, Mama ni ada ke situ pulak! Ingat Nia ni budak kecik ke mama nak momokkan benda macam tu…” panjang muncung Rania dengan bebelan serta ugutan Mamanya.

“Esok tak payahlah sekolah, bagi sihat betul-betul dulu. Esok pagi mama buat sarapan Nia kena makan. Tau?!” Mama memberi amaran keras.

Rania menjuihkan bibirnya namun apabila Mama menjeling cepat-cepat dia menukarnya dengan senyuman kambing. Mama hanya mampu menggeleng kepala. Anak cuma seorang pun teruk nak menjaga. Detik hati Mama.

Setelah Mama hilang di balik tembok yang memisahkan dapur, Rania bingkas bangun masuk ke dalam biliknya lalu menutup rapat pintu bilik itu. Sebu perutnya sudah banyak berkurangan setelah diberi rawatan semasa di klinik tengah hari tadi.

Mama telah dihubungi oleh emak Zairin memberitahu halnya. Disebabkan jarak perjalanan Mama dan Papa masih jauh, emak Zairin diberi amanah oleh Mama untuk memantau keadaan Rania buat sementara.

Peristiwa dia ke klinik tadi kembali menerawang diingatannya. Senyumannya terukir segaris. Malu pula bila diingat semula. Disebabkan kudrat emak Zairin yang tidak larat memapahnya, maka Zairinlah yang bertanggungjawab mencempung tubuhnya yang kecil itu keluar dari rumah, masuk ke dalam lif sehingga ke tempat letak kereta dan sesampainya di klinik.

Sepanjang waktu itu memang tidaklah Rania memandang Zairin. Kepalanya tunduk saja dan kebanyakan masanya dia cuma menutup mata. Terasa hilang segala sakit perut yang dia alami saat itu. Tidak dia menyangka anak muda seperti Zairin punya tenaga sekuat itu mencempung dirinya.

Sepanjang Zairin menemaninya bersama emaknya sehingga kepulangan Mama, Rania dapat nilai kerisauan yang terbit di riak wajah anak muda itu meskipun anak muda itu langsung tidak bersuara sepanjang masa dia ada bersama.

Hanya emak Zairin sahaja yang bercakap dan bertanya itu ini, Zairin hanya melaksanakan apa saja tugas yang dipinta samada dari Rania mahupun emaknya sendiri. Malahan kini setiap pelusuk rumah Rania termasuk juga biliknya telah diteroka oleh anak muda itu.

Mujur juga bilik Rania sentiasa kemas tanpa meninggalkan khazanah yang bakal memalukan dirinya kelak. Jika tidak tentu selepas ini dia tidak akan berani lagi mahu bersua muka dengan si budak sayur itu.

***

18 FEBRUARI 2007

Cik Diari, disebabkan kemurungan putus cinta tu Nia dapat gastric. Mama dah bising sebab selama ni pun Nia Nia kerap tolak makanan yang mama buat, makan pun sikit je. Padanlah dengan Nia sekarang ni. Tapikan Cik Diari, pagi tadi masa Nia sakit perut rupa-rupanya si budak sayur tu dengar Nia mengadu sakit.

Agak-agak Cik Diarilah, apa yang si budak syur tu fikir pasal Nia eh? Dahlah dia yang dukung Rania dari keluar rumah sampai klinik. Malunya Nia rasa! Esok Nia tak sekolah. Mesti kecoh satu kelas nanti sebab apa Rania tak hadir. Kalau difikirkan mulut riuh Jamie tu mesti dia akan canang satu sekolah. Kalau Fadli tahu, dia kisah tak?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience