“NIA, mana kupon Kelab Perpustakaan? Bukan kau yang selalu jual ke bila sampai waktu-waktu macam ni? Ke kau dah tak ambik port benda-benda jiwang ni?” Usik Jamie sewaktu mereka sedang berkumpul di dewan terbuka pada awal pagi persekolahan.
Jamie mengambil kesempatan dirinya sebagai pengawas yang sedang memantau pelajar-pelajar di dalam barisan dengan menghampiri Rania.
Rania hanya mampu mencebik dengan usikan Jamie itu. Ya, dia sudah ‘letak jawatan’ bab hal jiwang-jiwang kali ini. Setaraf dirinya saat ini yang sudah tiada pasangan.
“Kau ni Jamie sibuk je kan benda-benda tak berfaedah macam ni? Ke kau suka kalau badi Rania putus jangkit kat kau? Nak?!” Ugut Suri sekaligus cuba membantu Rania dari terusan menjadi bahan usikan Jamie.
“Choi!!! Mulut kau ni Suri macam laser gun! Janganlah kata macam tu, aku dengan Chew baru aje start tahun ni. Kau pun tau aku dah lama crush dekat dia, tiba-tiba kau nak kita orang clash? Kau jahat!” cebik Jamie merajuk.
“Yalah,yalah aku tarik balik! Tapi kau pun janganlah usik Rania macam tu. Kau pun tau macam mana susahnya nak pujuk dia move on, kau buat dia teringat kat mangkuk Fadli tu pulak.” ujar Suri sedikit kendur nadanya dibandingkan awal tadi.
“Ya,ya… Sorry, Nia. Aku melawak je tadi. Tapi betul aku nak tanya kau dah tak edar kupon macam selalu ke? Aku nak beli ni, takut nanti bunga cantik sold out. Tinggal yang buruk-buruk aje,” pujuk Jamie dengan wajah yang penuh mengharap.
“Sorry, Jamie. Tugas tu Mei Lan yang pegang tahun ni, tapi kalau kau nak book kupon bagitau aku banyak mana. Nanti aku bagitau kat Mei Lan.” jawab Rania lembut.
"Oh, okay! Macam tu kau tolong simpan empat kupon kat aku. Kau bagi nama aku kat Mei Lan, nanti aku jumpa dia aku bayar terus kat dia. Okay?” Lebar sengihan Jamie setelah mendengar kata-kata Rania tadi. Dia kemudian berlalu pergi dengan hati yang girang.
“Kau okay tak?” tanya Suri setelah Jamie hilang dibalik pelajar lain.
“Okay je,” jawab Rania bersama senyuman lembut.
“Kau tugas apa je kali ni?” soal Suri beberapa minit setelah ucapan Guru Disiplin tamat dan digantikan pula dengan acara panitia minggu itu.
“Kalau tahun lepas Hafiz yang bertugas sebagai ‘cleaner’, so tahun ni giliran aku pulak. Lagipun dah dua tahun asyik muka aku je yang edar kupon.” jawab Rania bersahaja dengan matanya tidak lepas menonton sketsa pendek di atas pentas.
“Aku sejak makin dekat 14 haribulan ni memang kerap fikir pasal kau, Nia. Aku takut kau tak boleh nak move on lagi…” luah Suri tentang kerisauannya terhadap emosi sahabat baiknya itu.
Rania berpaling pada Suri dengan mata yang sengaja dibulatkan besar. Mulutnya menyeringai dengan sengihan lebar.
Berkelip-kelip kelopak matanya merenung Suri. Sesungguhnya dia terharu bercampur geli hati dengan kenyataan serius daripada Suri itu.
“Sayang kau!” ucap Rania dengan mimik muka terharu. Suri mencebik namun kemudian dia juga tersengih malu.
*
*
*
SURI tersengih kerang busuk sewaktu dia membayar kupon kepada Mei Lan sambil diperhatikan oleh Rania dan Jamie yang membuat mimik muka tidak berpuas hati. Ingatkan Suri tidak berminat hal begitu rupa-rupanya dia pun ikut sama terjebak.
“Itulah ada pepatah ni sesuai untuk kau... Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih! Kan, Nia?” Jamie menjuihkan bibirnya kepada Suri sambil berpaling pada Rania yang sedang memeluk tubuh.
“Alah, korang ni! Aku kan memang tiap tahun beli kupon ni. Bukan nak bagi kat Hakim je, tapi aku ada bagi kat korang jugak sekali. Sebagai tanda aku sayang persahabatan kita, tanda ingatan tulus ikhlas dari Suri.” Ujar Suri tanpa riak bersalah malah cuba untuk mempertahankan tindakannya.
“Eleh, alasan je kau ni!” Jamie nampaknya tidak termakan dengan kata-kata Suri itu.
Suri bagaimanapun hanya tergelak kecil, terasa lucu dengan situasi mereka saat itu. Pagi tadi bukan main dia menegur Jamie kerana mengusik Rania. Tapi rupanya dia pun akhirnya meminta tolong Rania supaya menempah kupon dari Mei Lan.
"Hah, korang nak tau tak?! Tadi masa aku nak bayar duit kupon kat Mei Lan, dia bagitau aku pasal Fadli. Dia cakap Fadli pun ada beli kupon nak bagi kat si Sofia tu... Siap canang lagi belikan teddy bear untuk girlfriend baru dia! Huh! Dasar lelaki!" cemuh Jamie siap mimik muka yang cukup meluat ketika menyampaikan berita itu.
Bagaimanapun Rania seakan tidak memberi perhatian pada ketika itu. Mata Rania lebih tertumpu pada arah lain apabila terpandangkan sesusuk tubuh si budak sayur yang melintasi belakang Jamie.
Langkah budak sayur itu menjadi sorotan mata Rania sehinggalah budak sayur itu menghampiri Mei Lan yang sudah jauh langkahnya meninggalkan mereka tadi.
Dari kejauhan Rania dapat melihat budak sayur itu sedang berbicara sesuatu dengan Mei Lan. Dari arah dan gerak tubuh mereka berdua, Rania cuba meneka topik perbualan mereka tentulah berkisarkan tentang kupon ucapan Hari Kekasih esok.
Wah, nampaknya budak sayur pun ada membeli kupon ucapan itu. Siapalah penerimanya, untung tuah si empunya badan. Detik hati Rania.
Eh, Nia! Sibuk sungguhlah kau ni pasal budak sayur tu! Lantak dialah nak bagi bunga dengan ucapan pada sesiapa pun. Bukan urusan kau, bukan masalah kau dan bukan hal kau nak irikan. Rania menggeleng kepalanya laju tanpa sedar, mahu mengusir fikirannya tadi.
“Kau dah kenapa ni, Nia? Tergeleng-geleng, pening ke?” tegur Jamie yang berdiri bertentangan dengan Rania.
“Taklah, ada lalat.” Sangkal Rania menutup kenyataan sebenar. Risau jika diketahui fikiran nakalnya tadi akan dijadikan bahan usikan pula oleh Jamie. Rakannya yang satu itu pantang ada benda tak kena memang laju mulutnya mengusik.
“Nia, sorry. Aku bukan tak fikir pasal kau tapi aku betul-betul nak kau lupakan pasal Fadli. Jangan kecik hati tau dengan kami…” luah Suri dengan nada serba salah. Risau Rania terasa hati dengan gelagat mereka berdua.
“Eh, tak adalah. Aku okay je la… Takkan aku frust putus cinta, korang pun nak kena putus jugak? Biasalah tu, hidup kena diteruskan jugak. Aku pun happy je tengok korang happy macam ni, tak adalah kita asyik stress je fikir pasal benda yang dah lepas tu. Serius aku okay, korang jangan risau!” Rania memberi jaminan akan kestabilan emosinya kini.
Ya, dia sudah tidak kisah tentang perihal hati dan perasaannya dulu. Dia rasa dia sudah mampu menjalani kehidupannya dengan rutin biasa tanpa kehadiran Fadli. Malah kelainan sikap yang ditunjukkan awal-awal oleh Fadli juga antara salah satu faktor Rania cepat memujuk hatinya.
***
13 FEBRUARI 2007
Esok Hari Kekasih. Kelab Perpustakaan sibuk dengan tugas mengelolakan aktiviti, Flowers’ for Them. Nia pun kena join sekali sebab Nia kan memang pengawas perpustakaan hendak tak hendak Nia kena libatkan diri jugak walaupun cuma kutip sisa-sisa bunga tinggalan.
Macam-macamlah rancangan yang akan berlangsung esok. Kata Suri, dia dah tempah bunga ros untuk Hakim. Jamie pulak siap buat coklat untuk Chew.
Nia? Fadli awal-awal dah canang nak beli bear untuk Sofia. Benci! Nia rasa macam nak jerit je kat semua orang supaya jangan jadi bodoh sebab bagi benda-benda tak guna kat pasangan mereka.
Yalah, kalau dah putus nanti dah satu hal pulak merambu air mata nak buang semua kenangan-kenangan tu. Nia dah rasa jadi Nia taulah!
Share this novel