BAB 3

Romance Series 8134

SUARA gelak ketawa riang di belakang kelas mengganggu tumpuan Rania. Dia menekup kedua-dua belah telinganya dengan telapak tangan. Namun tindakannya itu hanya sia-sia. Dia berpaling ke belakang sambil mendengus marah.

Matanya tertancap pada kemesraan Rahman terhadap Hani. Pasangan cinta monyet yang terkenal di sekolah mereka, pasangan yang setia sejak dari Tingkatan 1. Bagaimana mereka boleh bertahan selama itu?

Sedangkan dia yang cuma tiga tahun saja sudah retak seribu, inikan pula selama lima tahun. Tiadakah persengketaan yang pernah terjadi pada mereka? Rania menjuih bibirnya. Dia cemburu.

Rahman sememangnya seorang anak muda yang nampak nakal tetapi punya sifat kesetiaan yang tinggi. Hani, katanya dia anak sulung. Tentulah mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi, mungkin juga disebabkan sifat toleransi antara mereka berdua yang membuatkan hubungan mereka kekal selama itu.

Rania menconteng sesuatu di atas permukaan mejanya, entah apa yang dicoretnya sehingga menarik perhatian Suri yang duduk di meja sebelah.

“Vandalism!” tegur Suri sambil mencuit lengan Rania.

Rania tersentak. Coretan itu cepat-cepat dia tutupi dengan bukunya. Mata dan kepalanya tertoleh kiri dan kanan, risau ada mata lain yang menangkap perbuatannya itu tadi.

“Kau ni, terkejut aku!” marah Rania pada Suri. Suri cuma mengekek ketawa, geli hati kerana berjaya menyakat Rania.

“Kau tulis apa tu? Tu meja hak milik sekolah tau! Apa yang kau tulis tu nanti budak petang boleh tengok, pastu kekal kat situ sampai hayat pelupusan dia.” omel Suri tidak lama selepas ketawanya sirna.

Rania menggigit hujung bibir. Coretan tadi dia kerling. Betul juga apa yang Suri katakan tu. Aduh, lupa pulak dengan sesi murid petang.

Perkataan ‘jealous’ yang tertulis di situ dia lihat sekali lagi. Ah, cuma satu perkataan itu sahaja. Pujuk hatinya. Dia menoleh lagi ke belakang. Rahman dan Hani sedang berbincang sesuatu berkenaan buku yang terhampar di atas meja mereka.

Dia mula mengenang dirinya juga pernah berada di situasi yang sama. Menelaah bersama-sama Fadli, saling memberi buah fikiran dan berbincang jawapan peperiksaan. Saling bantu membantu dalam mata pelajaran.

Tetapi kini semuanya tinggal kenangan. Tumpuan pembelajarannya juga sudah terganggu, kerap kali dia mengelamun.

Menungannya itu boleh dikatakan hingga tembus papan putih di hadapan kelas mereka, fikirannya menerawang jauh mengenang masa lalu hingga berangan ke masa hadapan.

“Sudah-sudahlah tu berangan Rania. Sia-sia semua tu. Kalau Fadli tengok, mesti dia mengumpat kata kau tak boleh move on. Entah-entah jadi bahan dia je nak naikkan market dia kat awek baru dia tu. Malulah kau nanti.” selar Suri pedih sekaligus menarik Rania kembali ke alam realiti.

“Mata kau tu dah buta ke? Ramai lagi budak lelaki yang bagus kat sekolah ni, bukan Fadli sorang je. Kumbang bukan seekor la,” tambahnya lagi.

Rania hanya mampu mengetap saja bibirnya menahan rasa hati dengan ayat dari Suri itu. Dia bukannya tidak tahu hal itu cuma bukan mudah untuk dia melupakan sesuatu dengan begitu singkat.

Menyulam kasih bertahun, sekelip mata terputus kasih. Siapa saja yang tidak kecewa? Apatah lagi Fadli itu adalah cinta pertamanya. Biarpun cinta itu dikatakan sebagai cinta monyet, namun perasaan yang dia alami selama ini adalah tulus ikhlas dia rasakan buat Fadli.

Ya, mungkin juga dia masih mentah untuk tahu perbezaan antara rasa cinta sebenar ataupun sekadar suka-suka. Tapi hatinya tetap sakit apabila dikhianati.

*
* *

WAKTU rehat, ramai pelajar berpusu-pusu menyerbu kantin sekolah. Masing-masing berlumba siapakah yang akan berjaya dan dapat berbaris paling hadapan sekali untuk membeli juadah yang tersedia di masak oleh makcik kantin.

Meja-meja yang ada di kantin juga sudah dipenuhi dengan para pelajar. Rania, Suri dan Vina masih santai berbaris menunggu giliran untuk tiba di kaunter kantin. Mereka tahu meja-meja itu akan kosong dengan segera setelah pelajar lain selesai mengisi perut.

Seperti kebiasaan, ketiga-tiga sahabat itu berjaya mendapatkan tempat kosong. Cuma kali ini mereka berada berhampiran dengan bangsal tempat letak basikal pelajar.

Di kawasan itu juga penuh dengan pelajar lain sedang menikmati makanan mereka sambil rancak berborak bersama kawan masing-masing.

Di hadapan bangsal pula terletaknya padang sekolah, juga ada beberapa pelajar sedang liar berlari kejar-mengejar sesama mereka. Bergelak ketawa bagai tiada masalah yang wujud dalam hidup mereka.

“Korang tengok Rahman dengan Hani tu, tak bosan ek asyik menghadap muka masing-masing tiap hari sepanjang masa. Kalau akulah, mesti dah lama rimas!” komen Vina sambil mengunyah nasi lemaknya.

“Alah, kita ni bab cinta monyet kejap je boleh lupa. Yang kita akan ingat nanti first crush kita. Cinta monyet ni macam trial je bagi kita zaman sekolah ni. Kau pun Rania tak payah nak lama sangat frust menonggeng, membazir masa!” sampuk Suri dengan mimik muka yang jengkel.

“Cakap senanglah, Suri. Kau tak pernah couple lama-lama, tak tau rasa dikhianati tu macam mana. Kau tak faham kecewa aku macam mana. Cuba kau panggil Hani, tanya dia kalau dia putus dengan Rahman nanti apa dia rasa. Hah, panggil dia!” cabar Rania.

Suri mencebik dengan bibir yang disorotkan ke arah Hani dan Rahman yang sedang bergelak ketawa di tepi bangsal basikal itu.

“Hani! Hani, meh sini jap!” panggil Suri kuat. Pantang dicabar, dia buat tanpa berfikir.

Meskipun dalam keadaan terpinga-pinga, Hani tetap juga bangun dan melangkah merapati mereka bertiga setelah dipanggil oleh Suri. Rahman hanya melihat dari jauh, segan jika dikerumuni ramai pelajar perempuan.

“Kenapa panggil?” soal Hani penasaran.

“Tak, si Rania ni haa… Dia kan baru putus dengan Fadli, tengah frust menonggeng. Hari-hari menangis ingat kat ex dia. Jealous tengok kau dengan Rahman lovey-dovey gitu.” lancar saja mulut Suri menerangkan situasi Rania.

“Ish… kau ni Suri, laser sangat mulut tu!” cebik Rania. Malu dirinya bila dikata Suri di hadapan mukanya.

Hani cuma mengekek ketawa. Geli hati dengan penerangan Suri berkenaan Rania.

“Pastu ni kita orang macam tertanya-tanyalah kau macam mana dengan Rahman? Si Rania ni dua tiga tahun je couple tapi dia punya putus cinta tu macam mati laki. Yang kau pulak dari tingkatan 1 dengan Rahman, tak bosan ke korang dua?” tidak mengendahkan teguran Rania, Suri terus saja dengan ayat-ayatnya tanpa serba salah.

Hani diam seketika. Sempat dia menoleh pada Rahman yang masih setia menunggu sambil memperhatikan mereka berempat.

“Entahlah korang. Aku tak pernah terfikir pun macam tu. Rahman pun okay je. Gaduh tu pernahlah tapi tak lama pun sebab Rahman pandai pujuk. Kalau kita orang putus macam Rania dengan Fadli tu, aku pun tak tahu nak fikir akibat dia. Mungkin aku frust jugaklah kot macam Rania sekarang ni.” jawab Hani dengan mimik muka tidak bersalah.

Jawapan Hani itu membuatkan mereka bertiga diam. Rania juga sempat mengangguk-angguk kepalanya dengan kenyataan Hani. Betullah, perpisahan itu menyakitkan. Cuma yang membezakan cara mereka menerima dan melalui saat itu.

***

5 FEBRUARI 2007

Nia cemburu sangat hari ni, Cik Diari. Hani dengan Rahman nampak bahagia betul kat dalam kelas tadi. Masa waktu rehat mereka makan sama-sama kat tepi bangsal tempat letak basikal. Cik Diari tahukan bangsal basikal tu pun pernah jadi tempat Nia dengan Fadli dating dulu. Nia tak dapat tahan airmata Nia bila teringat. Ah, susahnya!

Bila Cinta Di Dusta oleh Screen, Hati Yang Kau Sakiti oleh Rossa, Bila Bunga Dipetik Orang oleh Sejati dah jadi lagu kegemaran Nia sekarang ni, Cik Diari. Berbesen-besen airmata Nia keluar kalau boleh ditadah. Makin sedih dan kecewa hati Nia tiap kali dengar lagu-lagu tu, sungguh menyayat hati dan perasaan Nia…

Lagu² jiwang karat ni, kan tipulah kalau tak pernah layan zaman frust bercinta dulu.. Hahahha ( ^~^)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience