“NIA!”
“Ya, ma! Kejap!” sahut Rania sambil terkocoh-kocoh keluar dari bilik air di dalam bilik tidurnya.
“Nia tolong mama kejap, pergi kedai runcit kat hujung blok sana. Tolong belikan sayur dengan barang dapur sikit, mama nak masak untuk tengah hari nanti. Papa balik makan sekejap lagi,” pinta Mama sambil sibuk berulang-alik di dapur.
“Okay, ma.”
“Nia ambil duit RM50 kat dalam dompet mama kat almari depan tu, ni beg ni bawa sekali. Senang nak bawa barang-barang nanti,” Mama menyerahkan satu beg kitar semula pada Rania sebelum kembali berperang di dapur.
Rania tanpa banyak soal terus kembali ke dalam biliknya untuk bersiap. Jika tadi dia berseluar pendek tiga suku, kini dia menukar seluar panjang yang longgar. Sehelai kardigan turut dicapai lalu disarungkan ke badan dan di padankan dengan sehelai tudung bawal berwarna coklat.
Dompet Mama dibuka dan sehelai not 50 di ambil lalu disumbat ke dalam beg kecilnya. Tanpa berlengah, dia terus saja keluar melalui koridor menuju ke lif. Sangkanya dia berseorangan, rupanya ada seorang remaja lelaki turut sama menunggu di sebalik tangga kecemasan yang terletak bersebelahan dengan lif.
Mereka sama-sama masuk ke dalam lif itu dan juga sama-sama keluar di tingkat bawah. Rania sedar arah tuju remaja itu sama dengan arah tujuan kakinya, ke kedai runcit Mak cik Ema di hujung blok pangsapuri mereka.
Rania bagaimanapun tidak ambil pusing selepas itu, baginya ia adalah perkara biasa kerana kedai runcit Mak Cikm Ema sememangnya menjadi tumpuan ramai penduduk di pangsapuri itu untuk membeli barang keperluan dapur.
Sebelum ke bahagian barangan basah, Rania menuju ke rak-rak bahagian makan kering terlebih dahulu. Dia mengambil beberapa barangan sebelum meletakkan barang pilihannya di atas kaunter sebelum beralih ke bahagian barangan basah pula.
Tidak kekok memilih dan mencari sayuran yang dipinta Mama, senarai barang yang dipinta Mama tadi dikerling seketika. Timun, terung, daun sup, halia dengan daun pandan. Mama kata esok pagi nak buat nasi lemak. Lebar senyuman Rania teringatkan menu itu.
Mama masak nasi lemak memang sedap, kegemarannya sepanjang masa. Esok hari ahad, mungkin Mama boleh buat puding karamel sekali? Detik hati Rania mula berangan mahu makanan yang enak-enak pada esok hari.
“Awak, ni sawi ke?” tegur satu suara.
Rania pantas berpaling ke sisinya. Oh, budak lelaki tadi. Kening Rania lantas berkerut seribu apabila melihat jari telunjuk budak lelaki itu menuding pada selonggok kangkung. Budak lelaki itu siap membelek-belek lagi seikat kangkung sambil menghidunya.
“Tu kangkung.” jawab Rania pendek dan hairan. Dia kemudian terus berlalu ke bahagian ayam dan ikan, meninggalkan budak lelaki itu terkulat-kulat dengan kangkung yang sudah berada di dalam genggamannya.
“Assalamualaikum, Acik Ema.” Sapa Rania pada seorang wanita separuh abad yang sedang sibuk membersihkan kawasan memotong ayam.
“Waalaikumsalam, oh Nia. Nia nak ayam ke? Nak berapa ekor?” ramah Mak Cik Ema melayani Rania.
“Eh, tak. Nak tengok ikan, semua baru sampai pagi ni ke? Gemuk-gemuk ikannya,” balas Rania sambil membelek seekor ikan tenggiri.
“Haah, fresh semua ni. Nia nak ikan apa?”
Sedang Rania leka melihat-lihat ikan-ikan yang lain, budak lelaki tadi datang merapati Rania sekali lagi. Rania agak terkejut dengan kelakuan budak lelaki itu yang agak berani.
“Macam mana nak beza sawi dengan kangkung?” soalnya tanpa rasa serba salah.
Rasanya seperti bersambung kening Rania mendengar pertanyaan budak lelaki itu. Sungguhkah dia tidak mengenali perbezaan di antara dua jenis sayur itu? Melihat pada riak wajah, kelihatan budak lelaki itu sungguh tidak tahu apa.
“Sawi dengan kangkung pun tak boleh beza? Sah la dua tu tak sama langsung rupanya…” rungut Rania bernada rendah.
Namun, budak lelaki itu kekal bersikap tenang dan tetap saja mengekori Rania menuju ke bahagian sayur semula. Rania kemudian berdiri di tempat dia berdiri awal tadi. Dia menuding jarinya pada longgokan kangkung tadi.
“Kangkung.” ujarnya pendek. Kemudian dia bergerak lagi beberapa langkah.
“Sawi.” Kini dia menuding pada longgokan sayur sawi pula. Budak lelaki tadi mengangkat kening tinggi. Kepalanya bergerak ke kiri dan kanan melihat dua jenis sayur itu.
“Faham?” soal Rania sedikit meluat. Apabila budak lelaki itu mula mengangguk perlahan, Rania terus saja beredar pergi ke kaunter untuk membayar barang-barang yang dipilihnya tadi.
*
*
*
“MAMA, ada orang baru pindah ke kat sini? Nia nampak ada budak baru tadi masa pergi kedai Mak Cik Ema.” tanya Rania usai makan tengah hari. Waktu itu dia sedang membantu Mama mengemas dapur.
“Orang baru pindah? Entahlah. Mama tak perasan pun. Tak ada rasanya. Blok lain kot?” jawab Mama sedikit ragu-ragu.
“Tapi dia turun lif sama dengan Nia tadi. So, mesti dia dari tingkat ni jugak,” Rania masih lagi tidak berpuas hati dengan jawapan yang Mamanya berikan tadi.
“Ish, sibuklah kamu ni Nia. Biarlah dia, baru pindah ke duduk tingkat mana pun. Yang Nia beriya sangat nak tahu kenapa?” Mama mula berasa jengkel dengan pertanyaan Rania yang dia rasakan seperti orang yang suka jaga tepi kain orang pula lagaknya.
Rania mencebikkan bibirnya dengan teguran Mama. Otaknya bagaimanapun masih enggan mengalah. Terusan berfikir tentang kehadiran orang baru di kawasan mereka itu. Jika orang lama, sudah tentulah mereka akan selalu terserempak.
Ish, kenapa dengan kau ni Nia?! Sibuk jelah nak tahu pasal budak lelaki tu! Biarlah dia, kenapa kalau terserempak hari-hari pun. Mentang-mentang nak lupakan Fadli, mudah-mudah je kau nak pikir pasal orang lelaki lagi.
Sudah-sudahlah, Nia oii.. Tak serik ke?! Jerit batin Rania, membawa dia kembali ke alam realiti. Betul, dia sepatutnya sudah berhenti dari memikirkan hal yang bukan berkenaan hal sekolah. Kegagalan hubungannya dengan Fadli sudah cukup memberi pengajaran padanya apa yang lebih penting buat masa ini.
Jika Fadli yang bijak itu tidak mampu membezakan antara kaca dan permata, apatah lagi budak lelaki yang tidak tahu antara sawi dan kangkung. Sifat lelaki begitulah, sesuatu yang penting diambil remeh saja.
Setelah puas berperang dengan hati sendiri sambil menyiapkan tugas mengemas dapur bersama Mamanya, Rania terus saja masuk ke dalam bilik. Ruang yang menjadi tempat dia muhasabah diri.
***
10 FEBRUARI 2007
Mama suruh Nia pergi kedai pagi tadi. Masa kat kedai tu, ada seorang budak lelaki ni. Nia tak pernah pun tengok dia selama ni. Mungkin ada keluarga baru pindah kat flat ni. Bila Nia pergi kat bahagian sayuran budak lelaki tu ikut Nia, dia tengok aje Nia pilih-pilih sayur tu.
Time tu tak ada orang sangat, Mak Cik Ema aje yang jaga kedai. Cik Diari tahu budak tu cakap apa kat Nia? “Macam mana nak beza sayur sawi dengan kangkung?” Nia rasa macam nak ketuk aje dia tapi tak pun, Nia tunjuk aje mane sayur sawi dengan kangkung kat dia lepas tu Nia blah…
Takkan sawi dengan kangkung tak boleh beza? Lainlah kalau dia tanya mana daun sup dengan daun ketumbar. Yang itu Nia sendiri pun confuse. Apalah, memang macam tu la budak lelaki kan. Tak pandai beza antara kaca dengan berlian. Huh!
Share this novel