BAB 1

Romance Series 8134

"NIA, kita putus hari ni ye? Fad rasa hubungan kita ni dah tak boleh pergi jauh. Lagipun Fad tengah sibuk dengan tuisyen, lepas tu ada lawan bola lagi." ujar Fadli tenang tanpa rasa bersalah mahupun rasa sedih atas permintaannya itu.

"Tapi kenapa? Selama ni kita okay je, tak ada pulak Nia nak paksa-paksa Fad jumpa ke apa. Fad boleh je teruskan tuisyen dengan bola tu, Nia pun boleh ulangkaji sama-sama dengan Fad. Janganlah sampai nak putuskan hubungan, kita dah dua tahun couple. Takkan Fad nak putus macam tu je?" rayu Rania dengan airmata yang mulai bergenang di tubir matanya.

Berkaca mata itu merenung Fadli dengan penuh harapan agar Fadli menarik balik permintaannya tadi. Namun, mimik muka Fadli yang nampak jengkel meremukkan hati Rania. Pemuda itu seperti sudah nekad dengan keputusannya.

“Fad semaklah, Rania. Tolonglah faham!” bentak Fadli mulai menunjukkan reaksi tidak senang dan meluat.

“Sanggup Fad buat Nia macam ni…” sayu wajah Rania menahan diri dari menangis, suaranya juga mulai bergetar.

“Dah cukup baik Fad berani terus terang kat Nia macam ni. Kalau Fad buat dek je macam mana? Lagi sakit hati, kan? Dahlah, Nia. Fad kena balik ke padang, kejap lagi Cikgu Raja sampai. Nanti dia tengok Fad tak ada kat sana, dia cari pulak. Nia jangan ganggu Fad dah lepas ni lagi, tau!”

Fadli segera berlalu pergi setelah memberi amaran pada Rania. Dia meninggalkan Rania yang sudah basah wajahnya dengan airmata membanjiri takungan tubir matanya. Suaranya tertahan dari mendayu tinggi, takut didengari oleh orang lain yang mungkin melalui taman sains yang terletak di belakang bangunan makmal sains itu.

Dia betul-betul kecewa dan terkejut dengan keputusan drastik daripada Fadli itu. Dia tidak pernah menyangka hubungan yang baik-baik saja selama ini akan berakhir dengan secara tiba-tiba sahaja. Tiada angin, tiada ribut.

Perkenalannya dengan Fadli telah berlangsung sejak mereka berada di tingkatan dua lagi dan hanya bersetuju menjadi pasangan kekasih sejak dua tahun lalu semasa mereka berada di tingkatan tiga. Sangkanya pada tahun baharu ini hubungan mereka akan bertahan lagi rupanya ia telah tiba ke pengakhirannya.

Semua angan-angan Rania untuk menempuh tahun penting itu bersama hancur berkecai. Mahu mengulangkaji pelajaran bersama-sama, mahu berjaya menjawab SPM bersama-sama dan juga mendapat keputusan cemerlang bersama-sama. Tetapi angan-angannya cuma Mat Jenin.

Hatinya sudah terluka. Macam mana cara dia mahu merawatnya pada saat itu? Dia tidak tahu. Rania duduk mencangkung di atas tanah. Menahan rasa sebak yang menyesakkan. Esakan tangisannya sudah menjadi sedu-sedan yang tertahan.

Mujurlah waktu itu sudah tamat waktu persekolahan tetapi masih ramai lagi pelajar yang berkeliaran di sekitar sekolah itu kerana menghadiri aktiviti kokurikulum pada sebelah petang. Tidak mustahil ada pelajar lain yang berkeliaran di kawasan taman sains itu kerana kawasan itu agak tersorok dari pandangan bangunan utama terletaknya pejabat urusan sekolah. Tempat yang sesuai bagi aktiviti tidak sihat pelajar lelaki yang nakal.

Rania cuba menguatkan hatinya. Perlahan-lahan dia bangun mengangkat punggungnya yang mulai terasa berat dan kakinya juga terasa kebas akibat terlalu lama diposisi yang sama. Betis yang kebas dan geli ditumbuk-tumbuk perlahan. Esakannya sudah beransur reda hanya sesekali saja terdengar bunyi hingus yang disedut semula.

Setelah membetulkan penampilannya yang mungkin kelihatan tidak terurus dan comot, baju kurung putihnya jelas kelihatan basah dengan tompokan dan titisan air mata. Tudungnya juga hampir lencun, hujung lengan baju kurung turut menjadi mangsa menjadi kain mengesat airmata yang tidak mahu berhenti.

Rania perlahan-lahan melangkah menuju ke kantin sekolah. Beg sekolah serta barang peribadinya yang lain dia tinggalkan sementara dalam pemerhatian rakannya. Putus cinta rupanya terasa sakit benar. Bagaimana dia mahu melalui hari-hari seterusnya? Tangisan Rania bertambah lagi tanpa dia sedar.

*
* *

“EH, kau kenapa Nia? Nangis ke? Kenapa nangis? Kau jatuh ke?” Vina menghampiri Rania yang kebetulan berselisih dengannya di koridor menghala ke kantin.

Rania diam tidak menjawab. Air matanya terus mengalir seperti paip bocor. Vina mengiringi Rania sehingga ke kantin menuju ke bangku hujung sekali yang didiami oleh beberapa orang pelajar perempuan yang lain.

“Rania kenapa?” masing-masing terkejut melihat keadaan Rania yang kelihatan tidak terurus dan masih menangis.

“Kau sakit ke, babe?” tanya Suri prihatin sambil mengesat wajah Rania dengan tisu, belakang tangannya sempat dia tekapkan di dahi rakannya namun suhu badan gadis itu normal.

“Korang, aku balik dulu. Korang discuss la dulu, nanti cerita kat aku balik apa jadi. Aku tak ada mood nak buat revision harini.” ujar Rania dengan suara yang serak basah. Barang-barang sekolahnya dia kemas dan masukkan ke dalam beg.

“Aku teman kau balik, eh? Bahaya kau balik macam ni. Korang, aku teman Rania balik.” Suri menawarkan pertolongan. Rakan-rakan mereka yang lain cuma mengangguk setuju dalam kebimbangan.

Suri mengejar Rania yang sudah jauh langkahnya meskipun kelihatan pendek saja bukaan kaki gadis itu. Nampak yang gadis itu hilang tumpuan tanpa arah yang jelas. Suri pantas meraih lengan Rania lalu memaut lengannya erat. Mereka berdua beriringan berjalan keluar dari kawasan pagar utama sekolah.

“Kau jumpa Fadli tadi, kan? Korang cakap apa? Dia buat kau sedih ke? Cakaplah Nia, jangan diam je. Kau tak boleh pendam macam ni nanti kau sakit. Ceritalah kat aku…” pujuk Suri sepanjang perjalanan mereka yang kini sudah tiba di sebuah taman permainan dalam taman perumahan yang mereka lalui tadi.

“Suri, Fad nak putus dengan aku. Dia minta putus…” usai meluahkan ayat itu, yang dipendam dari tadi Rania terus saja menghamburkan tangisannya tanpa selindung lagi.

Suri tersentak. Terkejut. Hatinya dipagut sayu dan turut bersedih melihat kepiluan yang ditanggung rakannya. Patutlah gadis itu kelihatan sangat terganggu, rupa-rupanya putus cinta dengan kekasih hati.

“Kenapa dia nak putus? Sebab apa? Takkan tiba-tiba je?” soal Suri ingin tahu.

“Aku tak tahu, Suri. Tiba-tiba je. Suri, apa aku nak buat lepas ni? Aku sedih sangat, aku tak boleh berhenti fikir pasal Fadli. Tolong aku Suri…” rintih Rania pilu.

***

1 Februari 2007

Nia terlalu sedih hari ini, Cik Diari. Nia tak tahu apa yang patut Nia rasakan sekarang. Terlalu bercampur baur sampai Nia sendiri janggal dengan perasaan asing ni. Sampai hati Fadli buat Nia macam ni. Cik Diari, apa yang patut Nia buat sekarang? Fadli dah putuskan hubungan kami tanpa sebab yang kukuh. Tolonglah Nia Cik Diari, tahun ni Nia nak SPM dah tapi Nia rasa macam dah tak ada semangat…

Maaf semua.. Lupa nak setting auto update.. hehe.. BtW karya ni settingnya cerita remaja ye memandangkan ilham cerita ni ketika saya pun masih dalam dunia remaja.. Cewahh.. hehe.. Anyways, enjoy reading guys

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience