“HAPPY birthday, Nia! Semoga panjang umur, dimurahkan rezeki dan dikurniakan kesihatan yang baik untuk awak! Nah, ini hadiah untuk awak!” ucap Fadli ceria di hadapan Rania sambil menghulurkan satu kotak panjang dihiasi reben merah kepada Rania.
“Terima kasih, Fad.” tersengih-sengih malu dengan pemberian daripada Fadli.
Penutup kotak itu dibuka dengan berhati-hati dan terlihat olehnya akan seutas rantai leher dengan loket huruf ‘RF’. Senyuman Rania melebar, tahu maksud gabungan huruf itu yang tentunya gabungan dari nama mereka.
“Fad minta maaf sebab tak boleh nak bagi hadiah mahal-mahal untuk Nia, tapi rantai dengan loket ni stainless steel tau! Tak cepat karat, kalau warna dia pudar kita boleh cari kedai cuci. Boleh pakai lama macam relationship kita yang akan bertahan lama jugak,” ujar Fadli dengan susunan ayat yang manis demi membeli jiwa Rania.
“Huh, boleh pakai lama macam relationship kita konon!” cebik Rania pada rantai pemberian Fadli sewaktu sambutan hari lahirnya dua tahun lalu.
Rantai itu kemudian dia campak ke dalam tong sampah kecil di tepi meja soleknya. Sakit hati mengingatkan kenangan berkenaan rantai itu. Tidak guna menyimpan sesuatu yang telah dilupakan.
Sebentuk cincin juga serupa seperti rantai leher tadi dipandang. Terletak elok di dalam bekas baldu kecil berwarna merah. Kotak itu dicapai, ditutup rapat lalu ikut sama seperti rantai tadi. Dihumban tanpa belas kasihan ke dalam tong sampah.
“Surpise! Comel tak teddy bear ni? Haa… ni buat Nia, supaya tiap malam Nia tidur peluk teddy bear ni, ingat kat Fad!”
Sebuah patung beruang bersaiz sederhana yang diam terletak di hujung katil, menjadi perhatian Rania. Patung beruang pemberian Fadli pada tahun pertama mereka menjadi pasangan kekasih. Patung itulah yang menjadi bantal peluknya selama dua tahun sehinggalah semalam.
Patung beruang itu diambil, tong sampah kecil tadi juga dia angkat. Langkah kaki Rania laju meluru keluar dari biliknya. Tidak berfikir dengan lebih panjang lagi, patung beruang serta plastik sampah tadi terus dicampak masuk ke dalam tong sampah besar di sebelah sinki dapur.
Dadanya berombak, nafasnya mencungap akibat perasaan marah dengan langkah kakinya yang tegas tadi. Lama matanya merenung tong sampah besar itu. Merenung ke mata patung beruang itu yang berwarna hitam. Rania menggigit hujung bibir.
“Tedy… sebab perangai tuan kau, aku campak kau kat situ. Aku… minta maaf…” ujar Rania dengan nada yang bergetar mahu menangis.
Dia cuba tahan air matanya dari bocor lagi tetapi gagal, semakin laju pula turun membasahi pipi. Kakinya menapak perlahan menghampiri tong sampah itu mahu mencapai dan mengambil semula patung beruang tadi.
“Buat apa tu, Nia?” tegur Mama kuat.
Rania tersentak, langkah kakinya terhenti. Air matanya cepat-cepat dia seka. Tidak jadi mengambil patung beruang itu apabila Mama semakin menghampirinya. Dipandang wajah Mama yang berkerut seribu. Kemudian beralih pula pada tong sampah.
“Penuh dah sampah? Hmmm… tepi, mama nak buang. Dari pagi tadi mama suruh papa buang, eh… tak dibuat jugak orang tua tu! Hah, Nia ada lagi sampah tak buang ke? Kumpul semua sini, mama nak buang kat tong besar kat bawah. Esok pagi lori sampah datang,” bebel Mama sambil lincah mengikat plastik tong sampah itu.
Rania hanya mampu melihat sahaja barang-barang pemberian Fadli yang dibuangnya tadi hilang dari pandangan matanya. Jika bukan kerana Mama, tentu dia akan mengambil semula semua barang-barang itu.
Hatinya saat ini berbelah bagi, bercampur baur. Sedih, kecewa, kesal tetapi dalam masa yang sama dia berasa lega. Agaknya memang taktik Mama tadi cepat-cepat buang sampah tu supaya dia tidak berubah fikiran.
“Semua barang Fadli kau dah buang, Nia. Harapnya kenangan dalam otak kau ni pun dapat buang semua ingatan tu. Lagi cepat kau move on, lagi aman hidup kau. Tak payah nak sedih-sedih tiap hari.” gumam Rania pada diri sendiri sambil melangkah menuju ke biliknya kembali dengan sorotan kaki yang berat.
*
*
*
“Haaa… macam tu la! Move on! Tu, dah buang semua la barang-barang tu? Tak ada yang tinggal eh?” ugut Suri di akhir ayatnya.
“Takde, barang yang dia bagi bukan banyak mana pun.” jawab Rania meluat.
“Elok sangatlah tu! Dah, tak payah pikir pasal dia dah lepas ni. Kau ingat satu je, Nia. Jodoh kita ni semua dah tertulis awal lagi, kalau betul jodoh korang insyaallah masa depan mesti jumpa balik. Eh, aku bukan nak bagi harapan eh! Ni untuk bagi kau sedar! Jangan berharap nak get back balik pulak!” Suri memberi nasihat dan amaran dalam satu celotehnya.
“Taulah!”
“Lepas ni isi masa terluang kau tu dengan yang benda-benda berfaedah. Salah satunya, ajar aku Add Math. Aku blur betul dengan formula abc ni, tadi kat kelas macam faham. Ni buat sendiri aku rasa dah hilang ingatan pulak!” keluh Suri sambil membelek buku latihannya.
“Ish, kau ni! Tak bagi chance langsung aku nak feeling!”
“Feeling apa lagi? Seminggu dah kau frust, kau nak feeling lama mana lagi? Orang tu dah happy dengan awek baru dah! Kau kat sini dah macam jerangkung asyik menangis, tu mata tu sikit lagi nak tersembul keluar!” selar Suri lantang.
“Apalah kau ni, Suri! Janganlah laser sangat mulut tu!” marah Rania, bulat matanya. Namun ada sengihan lucu turut terukir di hujung bibirnya.
Dia hilang kekasih hati yang bila-bila masa boleh datang dan pergi, boleh ditukar ganti. Tetapi hubungan persahabatan seperti ini tiada seri jika bukan dari orang yang sama. Rania bersyukur di dalam hati kerana dikurniakan sahabat-sahabat yang setia memujuk hatinya yang lara selama ini.
Tanpa kata-kata nasihat, semangat dan pujukan mereka tentu dia tidak akan mampu melalui episod duka ini bersendirian. Sesungguhnya, di sebalik hujan ribut yang melanda akhirnya dihiasi dengan pantulan sinaran pelangi. Senyuman Rania melebar, senyuman yang pertama sejak seminggu lalu.
***
9 FEBRUARI 2007
Hari ni Nia nekad, Cik Diari! Nia dah buang semua barang-barang yang Fadli pernah bagi Nia dulu. Rantai, cincin, teddy bear semua Nia buang! Nia tak sampai hati tapi Nia terpaksa dan Nia kuatkan hati Nia buang semua barang-barang tu. Menangis-nangis Nia masa
buang barang tu dalam tong sampah. Lepas tu Nia rasa macam nak kutip semula tapi mama tiba-tiba ada kat situ tengok, jadi Nia pun biarkan aje barang tu kat tong sampah. Mama pun tak tunggu lama, dia terus buang sampah tu keluar…
Share this novel