BAB 13

Romance Series 8134

“NIA, cuba tengok dalam bekas surat-surat atas almari tu. Dah banyak terkumpul satu pun tak buka lagi, papa tu bukan nak tengok semua. Dia main simpan je kat situ. Mama pun baru teringat surat bank lama dah tak nampak. Cuba bawak turun sini kita tengok sama-sama,” pinta Mama yang baru melabuhkan punggungnya bagi melepaskan lelah setelah melakukan kerja rumah tangga.

Rania tanpa banyak soal hanya menurut permintaan Mama. Sebelum dia mengangkat bakul berbentu petak itu, matanya tertancap pada sepucuk sampul surat kosong yang hanya tertera namanya di sudut penjuru surat itu.

Bekas surat tadi dia serahkan semuanya pada Mama, manakala sampul surat tadi di ambilnya. Dia kemudian mengambil tempat duduk sedikit jauh dari Mama, risau pula jika Mama mahu mengetahui isi surat itu. Jika benda yang baik tak mengapa, jika isinya sesuatu yang buruk tentulah resah jiwa orang tuanya itu.

Sekali-sekala Rania mengerling pada Mama sambil tangannya berhati-hati membuka sampul itu. Ada sepucuk surat di dalamnya. Rania mengeluarkan sehelai kertas dengan beberapa patah perkataan ditulis pada kertas itu.

Pertama sekali matanya hanya sekadar melihat secara kasar bait-bait perkataan kerana mahu mencari nama si pengirim mahupun si penulis. Namun hampa. Tiada nama yang ditinggalkan. Lalu Rania mula membaca setiap baris ayat surat itu.



~Patah tumbuh hilang berganti, yang pergi tetap pergi yang tinggal teruskan perjuangan dengan hati yang tabah.~
~Pahlawan menentang dengan kekuatan tetapi hati menentang dengan kecekalan.~
~Usah diungkit masa silam, ia takkan mungkin dapat diundur kembali melainkan membina kehidupan baru yang manis untuk dikenang.~
~Mata kasar takkan mampu melihat dengan hati yang kosong melainkan keriangan memenuhi, apa yang tersirat pun boleh dibaca.~
~Ketahuilah bahawa hanya manikam yang mengenal jauhari.~
~Salam tulus dan ikhlas, senyumlah kembali.~

Rania mengulum bibirnya. Siapakah gerangan yang menghantar surat itu untuknya? Jika tiada cop setem, adakah ini bermakna surat itu diletakkan terus ke dalam kotak surat rumahnya? Tetapi siapa?

Tarikh pun tidak tertera dengan jelas di surat itu. Sejak bila surat itu berada di situ? Papakah yang mengambil surat itu? Atau Mama? Pantas Rania memanggung wajah merenung Mama yang sedang teliti menilik surat-surat rasmi yang diterima.

Mustahil. Jika betul antara salah seorang dari kedua-dua orang tuanya, tentu dia akan diberitahu perihal surat itu yang jelas tertera namanya. Atau mungkin juga mereka terlupa? Argh!!! Rania menggaru kulit kepala yang tidak gatal. Runsing memikirkan pelbagai kemungkinan.

Tetapi persoalan yang lebih besar adalah siapakah gerangan yang menulis surat itu pada dirinya? Berdasarkan isi surat itu, orang itu tahu tentang kekecewaan yang melanda dirinya sejak kebelakangan ini.

Adakah rakan sekolahnya? Tapi siapa? Kalau antara sahabat baiknya tentulah bukan kerana mereka boleh saja memujuk dia pada bila-bila masa hanya dengan ungkapan lisan dan bukan melalui surat sebegini lebih-lebih lagi dihantar terus ke rumahnya.

Zairin?

Ah, mustahil! Takkanlah! Tapi budak sayur tu ada kesempatan memasuki rumahnya beberapa hari lalu. Mungkinkah betul si budak sayur itu? Tetapi kenapa perlu sembunyi begini? Malu? Segan?

“Surat apa tu, Nia? Duk tenung macam dah tembus je surat tu, kenapa? Siapa bagi?” tegur Mama memecahkan lamunan Rania yang masih berkisarkan tentang si budak sayur.

“Errr… kawan Nia bagi, lama tak dengar khabar katanya. Dia masuk asrama tahun ni,” jawab Rania. Tipu sunat tak apa. Detik hatinya gundah.

“Oh… Nia tolong kutip baju kat ampaian, Mama tengok awan kat luar tu mendung je dari tadi. Takut hujan lebat tiba-tiba tak sempat nak angkat jemuran pulak.” Pinta Mama tidak menunjukkan minat mahupun menghiraukan surat di tangan Rania.

Tanpa banyak bicara, Rania masuk ke dalam biliknya. Dia menyimpan kemas surat itu ke dalam laci meja soleknya lalu mencapai tudung. Ampaian yang dikatakan Mama terletak di luar rumah maka dia perlu menutup auratnya.

*
* *

“AWAK?”

Sapaan dari seseorang membuatkan Rania pantas menoleh kebelakangnya. Tinggi keningnya terangkat sebaik melihat Zairin berada di situ bersama senyuman manis. Perlahan-lahan Rania mengawal pergerakannya.

“Kenapa?” tanya Rania berlagak tenang.

“Saja…”

Berkerut seribu dahi Rania dengan tingkah budak sayur itu. Meskipun begitu, hati Rania tetap dipalu gemuruh namun dikawal dengan meneruskan tugasnya mengutip pakaian yang masih bersisa beberapa helai.

Apabila Rania tidak lagi mengendahkan dirinya, Zairin menggaru kepalanya yang terasa gatal. Kekal di situ menunggu Rania menyiapkan pekerjaannya. Dia juga risau jika kelakuannya akan menimbulkan rasa rimas pula pada gadis itu.

Memandangkan Zairin masih lagi tercegat menunggu dirinya, Rania akhirnya mengadap wajah anak muda itu. Cuba memberikan perhatian untuk mendengar apa saja yang mahu dibicarakannya.

“Haritu saya lupa nak cakap…” Zairin memulakan rangkap ayatnya dengan nada gemuruh.

“Cakap apa?” Rania mengerah kembali ingatannya pada hari dia menerima pelawaan Zairin untuk menemaninya makan di restoran makanan segera setelah habis menonton wayang.

Suri adalah manusia yang paling gembira untuk dirinya apabila Rania menerima pelawaan itu malahan dia semakin gembira apabila mereka berempat terserempak dengan Fadli dan Sofia di tempat makan yang sama.

“Hmmm… kalau awak tak keberatan, lepas ni boleh ke… hmm… awak sudi tak pergi dan balik sekolah sekali dengan saya? Kiranya saya teman awak balik jalan kaki…” tersekat-sekat bicara Zairin. Jelas dia gugup.

Rania mengulum bibir dan menggigitnya. Terkejut dengan keberanian Zairin. Apa maksud sebenar budak sayur itu membuat usul begitu? Mahu pergi dan balik sekolah bersama-sama? Apa kata orang? Rania gusar.

“Kenapa?” aju Zairin dengan wajah hairan.

“Hmmm… nanti orang sekeliling kata apa pulak…” luah Rania berterus-terang.

“Eh, saya cuma ajak pergi dan balik sekolah sama aje. Selalu pun saya jalan kat belakang awak bila awal pagi, balik pun sama. Tak ada beza pun. Kan?” persoal Zairin pula atas kegusaran Rania yang berfikir keterlaluan.

Tersentap hati Rania dengan kebenaran itu. Betul jugak kata budak sayur ni. Selama ni pun memang dah pergi dan balik sekolah sama-sama jalan kaki, dah arah tujuan pun sama. Rania mengurut lehernya yang tegang tadi.

Akhirnya setelah berjeda beberapa minit, Rania menganggukan kepalanya perlahan membuatkan senyuman manis yang terukir lebar dibibir Zairin.

***

22 FEBRUARI 2007


Nia terima sepucuk surat hari ni. Siapa bagi, Nia tak tahu tapi Nia ada firasat cuma Nia tak berani untuk berharap. Nia rasa macam terlalu cepat Nia lupakan Fadli. Betul ke apa yang Nia rasa dan fikir ni, Cik Diari?

Tapi kalau Fadli mampu menggantikan Nia dalam masa beberapa hari, kenapa Nia pula kena hadkan diri Nia? Tapi semudah itu ke melupakan perasaan sayang yang dah lama bertapak dalam hati, Cik Diari?

Atau selama ini cuma Nia je yang syok sendiri dengan Fadli? Sebab tu Nia masih teragak-agak dengan hati sendiri sedangkan Fadli seronok ada orang baru?

Share this novel

ina @ sabariah
2024-06-03 23:35:36 

bila nk sambung


NovelPlus Premium

The best ads free experience