BAB 2

Romance Series 8134

REMUK redam hati Rania apabila dia disajikan dengan kemesraan di antara Fadli bersama seorang pelajar perempuan ketika waktu rehat.

Dia tidak kenal siapa pelajar perempuan itu namun dia akui pelajar perempuan itu lebih cantik dan comel dari dirinya kerana gadis itu tidak memakai tudung labuh sepertinya. Rambut gadis itu panjang mengurai dan beralun cantik.

“Tu, Sofia. Budak tingkatan 4 Sains Tulen. Budak tu popular jugak kat batch dia orang. Tak sangka Fadli tergila-gilakan budak tu. Aku nak tengok lama mana dia orang boleh tahan couple tu. Ingat senang ke budak popular macam tu nak setia? Entah-entah sebulan dua je!” cemuh Suri di sebelah Rania.

“Aku dengar Fadli siap hantar dia balik naik motor semalam. Rania pun tak pernah bonceng motor Fadli tu. Kemain ye dia orang!” Sampuk Vina pula sambil mengunyah roti sosej gulungnya yang penuh di mulut.

“Macam tu eh budak lelaki. Senang je bagi dia orang tukar girlfriend macam tukar baju, tak pernah serius. Dia ingat dia bajet handsome kot?” Tambah seorang lagi rakan Rania, Jamie.

Rania langsung tidak bersuara. Matanya berkaca melihat adegan mesra Fadli dan Sofia. Sangkanya Fadli mahu menumpukan pada aktiviti sekolah rupa-rupanya pemuda itu menipunya. Dia memutuskan hubungan mereka kerana mahu memikat Sofia.

Dia tidak pernah menyangka Fadli mempunyai perangai tidak jujur seperti itu. Selama perkenalan mereka, Fadli adalah seorang pelajar yang amat berdedikasi dan peramah.

Guru-guru pun ramai yang menyenangi pemuda itu, melantiknya pelbagai jawatan dan menjadi pelajar contoh. Tapi sekarang dia melihat ada perubahan pada diri Fadli.

Sejak awal tahun lagi pemuda itu sudah mula berubah sedikit demi sedikit. Rania sangka itu cuma kerana tekanan akibat SPM rupanya hati Fadli mulai goyah kerana perkenalannya dengan Sofia.

Apakah hubungan tiga tahun mereka selama ini tidak bermakna sedikit pun pada Fadli? Atau adakah dia yang terlalu naif mencurah segala rasa dan perasaan demi seorang lelaki seperti Fadli?

Lelaki yang tidak pernah menjanjikan apa-apa padanya selama ini? Bodohkah aku? Getus hati Rania mempersoalkan ketulusan jiwa mudanya.

“Aku ada dengar jugak si Sofia tu playgirl. Mentang-mentang hot stuff, boyfriend dia memang macam tisu, pakai buang je!” bisik Jamie pada sahabat-sahabatnya dalam nada yang perlahan dan berbisik. Risau ada yang mendengar.

“Haah, aku ada dengar jugak. Bijak pun bijak dia tu tapi biasanya perempuan bijak ni takde masa layan lelaki. Tapi Sofia ni lain sikitlah.” sampuk Vina pula. Roti sosejnya sudah habis dimakan, kini dia sedang mengunyah sepotong tembikai pula.

“Bijak menggunakan kesempatan. Fadli, kan pelajar contoh. Tahun ni SPM, korang rasa apa strategi dia? Mestilah dia nak skor SPM next year dengan bantuan Fadli!” Suri menyuarakan teorinya dan diangguk laju oleh rakan-rakan lain kerana mendukung teori Suri yang kedengaran logik.

“Tapi selama ni Fadli study dengan aku, aku ajar dia…” suara Rania perlahan dengan nada yang tertahan.

Ketiga-tiga sahabatnya saling berpandangan dan merenung Rania dengan mimik muka yang tidak percaya. Ya, mereka baru tersedar. Rania juga antara pelajar terbaik di sekolah itu.

*
* *

“SUDAHLAH tu, Nia. Membazir air mata je nak menangis sebab si Fadli tu. Kau kena fikir yang Allah SWT dah jaga kau sebab tu dia pisahkan korang berdua. Kalau korang couple lagi lama, kot la sampai kahwin. Lepas tu dia buat perangai menggatal dengan perempuan lain, tak ke haru? Macam sekarang ni dah tau perangai sebenar dia, selamat kau sekarang ni tau tak?” pujuk Suri.

Ketika itu mereka berdua sedang berjalan kaki pulang ke rumah melalui laluan biasa yang mereka kerap gunakan untuk berulang ke sekolah. Vina dan Jamie pulang dijemput oleh ahli keluarga masing-masing.

“Aku sedih, Suri. Banyak kenangan kami bersama tiga tahun ni, bukan waktu yang singkat Suri. Bukan mudah aku nak lupakan seharian macam tu je,” ujar Rania dengan suara sayunya.

“Ye, aku tau tapi tak payahlah nangis hari-hari. Tengok mata kau tu, lebam merah macam mata panda dah. Buruk la, Rania.”

“Aku tak boleh kawal hati aku, Suri. Aku nak lupakan tapi susah…” keluh Rania lemah. Air mata yang mulai mengalir diseka cepat-cepat dengan hujung lengan baju sukannya.

“Kalau kau terus sedih macam ni nanti kau sakit, Rania. Esok Cikgu Anizah nak buat kuiz Add Math, kita kena skor kalau nak lulus portfolio dia. Kau boleh fokus belajar dulu tak? Jangan fikir pasal Fadli. Kalau kau cuba sibukkan diri kau dengan belajar, mana tau kau boleh lupakan dia cepat?” cadang Suri.

Dia amat berharap Rania mempertimbangkan nasihatnya. Dia tidak mahu sahabatnya itu merudum prestasi pelajaran hanya kerana kecewa putus cinta. Ianya tidak berbaloi pada usia mereka yang masih muda belia.

“Aku cuba…”

Sesampainya Rania di rumah, tiada siapa yang menyambut kepulangannya dari sekolah. Emaknya seperti tidak nampak bayang, kemanakah orang tuanya itu pergi?

Dia mendekati meja makan lalu membuka tudung saji yang menutupi lauk di atas meja makan itu. Banyak betul lauk yang dimasak oleh emaknya namun tiada satu pun yang memikat selera Rania. Tudung saji itu diletakkan kembali menutup lauk pauk berkenaan.

Dengan langkah yang lemah dia seret kakinya masuk ke dalam bilik tidurnya. Beg sandang dia letakkan di hujung katil, tudung labuhnya di tarik lalu di sidai pada kepala katil. Dia kemudian duduk di birai katil melepaskan lelah. Jam di dinding dia kerling, sudah hampir 2.30 petang.

Matanya terpandangkan sebuah buku di atas meja. Nafasnya dihela pendek, bangun dan duduk di meja soleknya. Sebatang pen dia capai di dalam laci lalu mencoret sesuatu sambil menyeka air mata yang kembali lagi sebelum dia menutup buku itu dan menuju ke bilik air.

Rania mahu membersihkan diri, mahu menunaikan solat. Mahu mengadu pada yang Maha Esa akan kegalauan hatinya.

***

3 FEBRUARI 2007

Cik Diari, hari ni Nia nampak Fadli dengan awek baru dia. Sedihnya Nia rasa, air mata pun senang aje nak jatuh. Nia tak boleh kawal rasa sedih ni, Cik Diari. Su dengan Jamie dah puas nasihat Nia tapi air mata ni tetap nak mengalir jugak. Cik Diari, Nia tak sanggup Fadli tinggalkan Nia. Tolonglah, Cik Diari. Nia tak kuat…


Ya Allah, Kau kuatkanlah semangatku. Kau Tabahkanlah hatiku, Nia mohon pada-Mu. Jika apa yang Nia lalui sekarang ini adalah ujian-MU pada Nia, Nia terima Ya Allah. Sesungguhnya Nia hanya hamba-Mu yang lemah tanpa bimbingan-Mu, Ya Allah. Berikanlah Nia petunjuk, berikanlah Nia apa yang terbaik untuk diriku, Ya Allah. Nia pinta kepadamu atas kerapuhan jiwa ini, Ya Allah. Berikanlah Nia yang terbaik, Ya Allah. Nia mohon pada-MU…

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience